[go: up one dir, main page]

Academia.eduAcademia.edu

PROJEK WARGA: KERJA SOSIAL YANG DIPERTANDINGKAN

SEMINAR KEBANGSAAN KEMAHIRAN INSANIAH DAN KERJA SOSIAL

Kertas kerja ini akan membincangkan berkaitan satu program yang dianjurkan oleh Inisiatif Kewarganegaraan Malaysia, USM, iaitu Projek Warga. Melalui projek ini peserta perlu melihat permasalahan yang timbul di kalangan masyarakat setempat seterusnya mengkaji beberapa dasar yang berkaitan dengan permasalahan tersebut. Peserta projek ini terdiri dari kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah, serta melibatkan juga peserta dari kalangan pelajar institusi pengajian tinggi. Program ini telah berjaya mewujudkan semangat ingin tahu peserta terhadap dasar-dasar kerajaan dan akta-akta berkenaan permasalahan di peringkat komuniti. Apakah projek seumpama ini mampu mengasuh remaja Malaysia terlibat dengan kerja-kerja sosial dan kesukarelawanan? Bagaimanakah peserta program ini belajar mengkaji dan mengaitkan akta dengan permasalahan setempat? Sejauh mana keberkesanan program ini ke arah membentuk generasi muda Malaysia terlibat dalam kerja sosial? Semua persoalan ini akan di terangkan melalui penulisan kertas kerja ini. Penulis akan menghuraikan secara terperinci pelaksanaan projek ini dan kesannya kepada peserta.

SEMINAR KEBANGSAAN KEMAHIRAN INSANIAH DAN KERJA SOSIAL, MELAKA 26/7/2009 PROJEK WARGA: KERJA SOSIAL YANG DIPERTANDINGKAN Noor Azam bin Abdul Rahman, Mohd Azmir bin Mohd Nizah, Mohd Ariff Ahmad Tarmizi, Mohd Zin Mokhtar. Abstrak : Kertas kerja ini akan membincangkan berkaitan satu program yang dianjurkan oleh Inisiatif Kewarganegaraan Malaysia, USM, iaitu Projek Warga. Melalui projek ini peserta perlu melihat permasalahan yang timbul di kalangan masyarakat setempat seterusnya mengkaji beberapa dasar yang berkaitan dengan permasalahan tersebut. Peserta projek ini terdiri dari kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah, serta melibatkan juga peserta dari kalangan pelajar institusi pengajian tinggi. Program ini telah berjaya mewujudkan semangat ingin tahu peserta terhadap dasar-dasar kerajaan dan akta-akta berkenaan permasalahan di peringkat komuniti. Apakah projek seumpama ini mampu mengasuh remaja Malaysia terlibat dengan kerja-kerja sosial dan kesukarelawanan? Bagaimanakah peserta program ini belajar mengkaji dan mengaitkan akta dengan permasalahan setempat? Sejauh mana keberkesanan program ini ke arah membentuk generasi muda Malaysia terlibat dalam kerja sosial? Semua persoalan ini akan di terangkan melalui penulisan kertas kerja ini. Penulis akan menghuraikan secara terperinci pelaksanaan projek ini dan kesannya kepada peserta. Kata Kunci : Projek Warga, kerja sosial, dasar awam SEMINAR KEBANGSAAN KEMAHIRAN INSANIAH DAN KERJA SOSIAL, MELAKA 26/7/2009 Pengenalan Projek Warga adalah satu program yang telah dianjurkan oleh Pusat Inisiatif Kewarganegaraan Universiti Sains Malaysia (USM). Projek ini pada peringkat awal dijalankan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan sekolah-sekolah di Pulau Pinang. Pesertanya terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah. Bermula pada awal tahun 2009, program ini telah diperluaskan penyertaannya kepada pelajar-pelajar peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Sebagai permulaan peserta di peringkat IPT ini hanya dibuka kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di sekitar Lembah Klang sahaja. Selaras dengan itu Universiti Tenaga Nasional (Uniten) telah terpilih untuk turut serta dalam projek sulung ini bersama beberapa lagi IPTS di Lembah Klang. Kertas kerja ini akan menjelaskan pengalaman Uniten sebagai peserta program berbentuk kerja sosial yang dipertandingkan ini. Apa itu Projek Warga Program ini dinamakan projek warga kerana ia melatih pesertanya menjadi seorang warganegara yang prihatin dan bertanggungjawab, terutamanya terhadap komunitinya sendiri. Peserta program ini diminta untuk menyelidik dan memerhati masalah-masalah yang wujud dalam komuniti yang dipilih. Tumpuan masalah pula adalah berkaitan dengan pelaksanaan dasar-dasar awam yang telah diperkenalkan sama ada oleh pihak berkuasa tempatan ataupun peringkat kebangsaan dan persekutuan. Projek Warga adalah satu program pendidkan sivik. Ia bertujuan untuk mendidik warganegara khususnya golongan remaja di peringkat rendah dan menengah rendah. Ini bagi menggalakkan mereka terlibat secara aktif dan secara berkumpulan untuk mengenal pasti masalah awam, terutamanya di peringkat tempatan dan untuk mencari alternatif terbaik bagi menyelesaikannya. Dengan objektif utamanya adalah menggalakkan penyertaan golongan pelajar khususnya bermula dari peringkat rendah, menengah rendah dan pengajian tinggi terlibat secara aktif dalam penyelesaian masalah berkaitan dengan pelaksanaan dasar awam di peringkat komuniti. Peserta diminta untuk mengenal pasti keberkesanan dasar-dasar awam yang telah dipraktikkan kepada masyarakat. Adakah pelaksanaan dasar tersebut mampu membantu menjadikan kehidupan masyarakat menjadi lebih baik dan sebagainya. SEMINAR KEBANGSAAN KEMAHIRAN INSANIAH DAN KERJA SOSIAL, MELAKA 26/7/2009 Projek Warga dibentuk berdasarkan konsep pertandingan. Setiap peserta perlu membentuk satu kumpulan yang terdiri daripada lapan hingga dua puluh orang. Setiap ahli kumpulan ini pula akan dipecahkan kepada beberapa kumpulan kecil mengikut peranan yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, lima daripada ahli kumpulan tersebut akan terlibat sebagai penyelidik, pembentang, penyusun maklumat, pereka persembahan dan sebagainya. Konsep pertandingan ini memerlukan setiap kumpulan peserta menyediakan satu permasalahan yang berkait dengan pelaksanaan dasar awam di kawasan komuniti yang dipilih. Sebagai contoh, pihak kerajaan tempatan telah memperkenalkan satu dasar bagi membendung masalah pembuangan sampah dan sisa toksid dalam kuantiti yang besar di kawasan pentadbirannya. Peserta dikehendaki membuat penyelidikan berkaitan permasalahan ini dan seterusnya menganalisis keberkesanan dasar tersebut kepada penduduk setempat. Selain itu, peserta juga perlu membandingkan beberapa dasar awam di tempat lain yang telah dilaksanakan oleh pentadbiran lain sebagai perbandingan. Daripada permasalahan tersebut peserta perlu cadangkan satu konsep dasar awam yang baru bagi menyelesaikan persalahan yang telah dipilih. Metodologi pelaksanaan konsep dasar awam yang dicadang itu perlu diterangkan dan dijelaskan mengikut kronologi yang telah ditetapkan. Seterusnya halangan-halangan yang dijangka akan muncul dalam usaha pelaksanaan konsep dasar awam yang dicadang juga perlu dikemukakan dan disenaraikan bagi tujuan pemerhatian awal dan penyelesaian. Di peringkat IPTS, pertandingan ini menetapkan beberapa syarat. Iaitu setiap peserta perlu seorang pelajar berdaftar di mana-mana IPTS di Malaysia. Peserta juga dikehendaki mendaftarkan diri kepada pihak penganjur dalam tempoh masa tertentu yang ditetapkan. Manakala setiap kumpulan peserta juga perlu mempunyai seorang atau lebih wakil dari pihak pengurusan institusi mereka, iaitu sebagai pegawai pengiring. Sebelum program ini bermula, wakil peserta perlu menghadiri satu latihan yang dijalankan oleh pihak penganjur. Latihan tiga hari dua malam ini adalah satu medan bagi pihak pengajur menerangkan secara terperinci konsep dan corak perlaksanaan pertandingan ini. Pertandingan ini memerlukan peserta membuat persembahan berkaitan permasalahan yang telah dipilih. Peserta mempunyai pilihan sama ada akan menyampaikan persembahan dalam bahasa Malaysia atau bahasa Inggeris. Persembahan pembentangan masalah ini hanya menggunakan panel yang telah dikhaskan oleh pihak penganjur. Terdapat empat panel yang perlu dijelaskan oleh peserta, iaitu panel satu berkaitan masalah yang telah dikenal pasti, panel dua merupakan dasar awam sedia ada dan dasar alternatif. Manakala panel tiga pula peserta perlu kemukakan dasar yang mereka cadangkan atau dasar kelas mereka. Panel empat adalah pelan tindakan yang akan digunakan oleh peserta untuk menjadikan cadangan mereka menyelesaikan masalah tadi berjaya. Selain itu peserta juga diminta untuk menyediakan SEMINAR KEBANGSAAN KEMAHIRAN INSANIAH DAN KERJA SOSIAL, MELAKA 26/7/2009 satu laporan dalam bentuk dokumentasi yang mengandungi semua bahan yang telah digunakan bagi menyiapkan projek mereka itu. Laporan folio dan panel inilah yang akan dipertandingkan. Ini temasuk juga konsep dan gaya pembentangan. Permarkahan akan dinilai dari tiga perkara tadi. Dasar Awam Ramai ahli sosiologi berpendapat bahawa setiap kerajaan perlu menerangkan dengan jelas berkaitan dasar awam yang telah diperkenalkan. Ini penting kerana pemahaman yang jitu dari semua pihak terutamanya rakyat kebanyakan adalah perlu kerana apa sahaja dasar yang diperkenalkan akan member impak secara langsung kepada mereka. Ahmad Atory Hussin (2008) menyatakan bahawa setiap dasar awam yang diperkenalkan akan mengambil kira pelbagai aspek kepentingan setiap rakyat. Oleh itu dasar awam perlu digaris berdasarkan permasalahan rakyat yang sebenarnya. Di Malaysia, dasar awam adalah satu kaedah yang digunakan oleh pihak berkuasa untuk menyelesaikan permasalahan rakyat dan menjadikan kehidupan rakyat lebih tersusun dan selamat. Kaedah ini akan dilaksanakan sama ada oleh kerajaan persekutuan, kerajaan negeri ataupun kerajaan tempatan. Ini lebih kepada melindungi hak-hak individu dan mempromosikan kebajikan rakyat amnya. Sesetengah dasar awam telah termaktub dalam undang-undang yang diluluskan oleh parlimen. Antara contoh dasar-dasar awam dan agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab melaksanakannya adalah seperti berikut; i. Kabinet menetapkan had laju kenderaan yang menggunakan lebuhraya.- Polis trafik ii. Majlis Perbandaran membuat peraturan tentang pembuangan sampah dan pengubahsuaian bangunan. – Pegawai Penguatkuasa iii. Kementerian Pengajian Tinggi membuat garis panduan tentang siapa yang boleh mendapat tempat pengajian di universiti-universiti awam. – Unit Pusat Universiti (Buku Panduan Projek Warga) Walau bagaimanapun, masih terdapat dasar-dasar awam yang tidak mampu untuk menyelesaikan masalah yang wujud di peringkat komuniti ini. Hal ini demikian kerana berkemungkinan dasar-dasar sedia ada tidak begitu berkesan untuk menyelesaikan masalah berkenaan, atau dasar dan peraturanperaturan sedia ada tidak dikuatkuasakan, atau juga tiada langsung dasar dan peraturan yang berkaitan dengan masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat tersebut. SEMINAR KEBANGSAAN KEMAHIRAN INSANIAH DAN KERJA SOSIAL, MELAKA 26/7/2009 Oleh itu menjadi hak dan kewajipan setiap wargenegara untuk turut serta dalam memberi pendapat dan pandangan kepada pihak berkuasa. Terdapat banyak cara masyarakat boleh mengemukakan pendapat kepada pihak berkuasa. Sama ada secara berhemah atau sebaliknya. Masyarakat boleh saja berdemostrasi, menghantar memorandum atau berarak sepanjang jalan untuk membantah dan mengemukakan pendapat berkaitan masalah setempat. Namun sejauh mana keberkesanannya masih menjadi persoalan. Kebiasaannya penyataan masalah secara negative seperti berdemontrasi dan perarakan jalanan hanya akan menimbulkan banyak masalah lain daripada menyelesaikan masalah yang sebenarnya. Oleh itu program ini menjadi landasan untuk mendidik masyarakat cara yang betul dan berhemah untuk menyampaikan dan menyatakan masalah komuniti. Perbincangan Universiti Tenaga Nasional telah menghantar dua pasukan untuk menyertai Projek warga ini. Satu pasukan bahasa Inggeris dan satu pasukan bahasa Malaysia. Program ini melibatkan penyertaan seramai empat puluh orang pelajar yang kesemuanya pelajar dalam bidang kejuruteraan. Latar belakang peserta kebanyakannya adalah pelajar cemerlang dari peringkat sekolah hingga ke universiti. Cemerlang di sini bermakna mereka memperolehi keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan memperolehi CGPA yang baik (3.5 ke atas) di peringkat universiti. Pemilihan peserta-peserta ini dibuat berdasarkan kepada beberapa kriteria. Antaranya pelajar-pelajar ini perlu mempunyai kemahiran insaniah yang terpuji. Iaitu termasuk kemahiran komunikasi yang baik, bijak mengemukakan pendapat, berketrampilan, berkarisma, bermotivasi dan sebagainya. Ini penting kerana peserta bukan sahaja membawa nama universiti semasa pertandingan malah membawa nama universiti juga semasa menjalankan penyelidikan di kawasan yang dipilih. Dengan menetapkan beberapa kriteria ini pihak universiti mengharapkan pelajar-pelajar ini bukan sahaja akan membawa nama baik universiti malah membentuk diri mereka sendiri dengan kemahiran-kemahiran insaniah yang sukar dipelajri melalui teori semata-mata. Dengan penyertaan program ini pelajar diharap dapat mempelajari sesuatu berkaitan pembangunan diri. Program ini sebenarnya telah melatih setiap peserta member komitmen yang tinggi terhadap permasalahan yang dikaji. Dan member peluang yang banyak kepada peserta untuk mendekati permasalahan tersebut secara terperinci. Bukan sahaja mengetahui permasalahan tersebut secara permukaan malah perlu diselidiki secara mendalam. Peserta perlu menilai permasalahan tersebut berdasarkan dasar-dasar awam yang berkaitan, keberkesanan dasar-dasar awam tersebut dan SEMINAR KEBANGSAAN KEMAHIRAN INSANIAH DAN KERJA SOSIAL, MELAKA 26/7/2009 penyelesaiannya. Peserta juga perlu melihat perbandingan dasar-dasar yang telah diperkenalkan di tempat-tempat lain sebagai contoh dan panduan. Oleh kerana program ini adalah satu pertandingan, semangat peserta dilihat sentiasa memuncak dan bersungguh-sungguh. Penyediaan bahan perlu dilakukan dalam konsep penyelidikan. Peserta-pserta telah ke lapangan untuk menilai sendiri permasalahan yang dikemukakan. Boring soal selidik diedar dan temubual juga telah dijalankan. Hasil dari semua maklum balas ini telah dianalisis berdasarkan prinsip penyelidikan asas iaitu konsep baik buruk dan kebaikan dan keburukan. Analisis yang dibuat diselarikan dengan beberapa dasar awam sedia ada. Perbandingan dengan dasar-dasar di tempat lain dan pemilihan satu dasar utama yang dijadikan dasar kumpulan tersebut dibuat. Seterusnya meneliti bahan-bahan yang lengkap bagi menyokong dsar yang telah dipilih dijalankan. Metodologi persembahan dan mempertahankan dasar yang dicadangkan adalah langkah terakhir yang dilakukan oleh peserta. Melihat kepada langkah-langkah yang perlu dilakukan oleh peserta program ini dirasakan setiap peserta telah memenuhi kriteria asas dalam pembentukkan kemahiran insaniah. Aktiviti-aktiviti yang telah dilakukan oleh setiap peserta ini memperlihatkan bahawa pembentukkan kemahiran insaniah yang positif telah berlaku secara langsung dan tidak langsung. Secara langsung berlaku dalam konteks kemahiran penyelidikan yang sistematik. Manakala secara tidak langsung adalah kemahiran berinteraksi dengan masyarakat dan mendalami serta mengambil tahu tentang permasalahan dalam komuniti mereka. Perkara ini menjadi penting apabila kita mampu mendidik generasi muda yang berpotensi menjadi pemimpin masa depan dengan semangat kerja sosial yang berkesan. Secara keseluruhannya Projek Warga mempunyai peranan yang hebat dan besar dalam usaha membentuk semangat kerja sosial di kalangan generasi muda negara kita. Program ni secara dokumentasinya amat menarik dan hebat. Terutamanya jika dilihat dari aspek pesertanya. Ini kerana program ini bermula dengan peserta dari kalangan pelajar sekolah rendah sahaja. Ia menjadi lebih menarik apabila peserta dari kalangan pelajar sekolah rendah ini mampu menjalankan tugasan yang diberi dengan berkesan dan bersemangat. Namun secara realitinya program ini masih banyak kelemahan yang perlu diberi penambahbaikkan. Contohnya konsep pertandingan yang diperkenalkan. Program ini masih memberi keutamaan yang melampau kepada pemenang pertandingan daripada melihat permasalahan yang dikemukakan oleh peserta. Keutamaan yang melampau bermakna penganjur masih meletakkan objektif memenangi pertandingan sebagai yang utama kepada peserta daripada membawa permasalahan yang dikemukan oleh peserta kepada pihak bertanggungjawab dan menyelesaikannya. Adalah lebih baik setelah kita berjaya membentuk peserta dengan semangat kerja sosial yang berkesan seterusnya kita meletakkan kejayaan itu dengan kejayaan juga di pihak masyarakat yang terlibat dengan permasalahan SEMINAR KEBANGSAAN KEMAHIRAN INSANIAH DAN KERJA SOSIAL, MELAKA 26/7/2009 yang kita kemukakan itu. Hal ini dilihat lebih bermakna bukan sahaja kepada peserta malah kepada masyarakat komuniti juga. Kerja sosial memerlukan komitmen yang tinggi dan berterusan. Ia bukan sahaja menyelidik permasalahan yang wujud tetapi mencadangkan penyelesaiannya kepada pihak yang berkuasa untuk menyelesaikannya ataupun pihak berwajib. Projek Warga memenuhi konsep kerja sosial yang digalakkan. Namun kerja sosial tersebut adalah satu pertandingan yang mencari pemenang melalui penilaian persembahan pembentangan yang dikemukakan oleh peserta. Manfaatnya hanya kepada peserta yang berjaya memenangi pertandingan tersebut. Bagi masyarakat yang terlibat hanya menjadi bahan kajian sahaja. Permasalahan mereka itu tidakpun sampai kepada pengetahuan pihak berwajib. Ini kerana pembentangan permasalahan oleh peserta juga tidak melibatkan pihak berkuasa, ia hanya kepada juri yang terdiri daripada pegawai yang dilantik oleh penganjur yang kebanyakkannya staf universiti penganjur, yang secara relatifnya tidak akrab dengan permasalahan yang dikemukakan oleh peserta. Malah penilaian dan permarkahannya juga hanya tertumpu kepada apa yang didokumentasikan dan dicatatkan di panel yang disedia sahaja. Walau bagaimanapun ini adalah usaha yang baik oleh pihak penganjur. Kelemahan yang ditimbulkan ini hanya dapat dilihat jika kita menilainya dari aspek kerja sosial yang sebenar. Maksud dan tujuan kerja sosial yang sebenar adalah berkonsepkan penyelesaian masalah. Kerja sosial adalah kerja sukarela. Semangat kesukarelawanan ini masih menjadi sesuatu yang kurang mendapat perhatian dalam masyarakat Malaysia. Oleh itu pelaksanaan Projek Warga ini adalah salah satu usaha ke arah pemupukan semangat tersebut. Dari segi semangat yang menular di kalangan peserta program ini mungkin ia dianggap sebagai berjaya. SEMINAR KEBANGSAAN KEMAHIRAN INSANIAH DAN KERJA SOSIAL, MELAKA 26/7/2009 Kesimpulan Projek Warga adalah satu program berbentuk kerja sosial yang dipertandingkan. Pertandingan mengemukakan permasalahan yang berkait dengan dasar-dasar awam yang sedia ada, dan seterusnya mengemukakan cadangan dasar awam yang berkaitan yang dirasakan mampu menyelesaikan permasalahan yang dikemukakan. Program ini mampu mendidik peserta menjalankan kerja sosial yang mendekatkan mereka dengan masyarakat setempat. Peserta-peserta yang terdiri dari kalangan generasi muda ini dilihat berjaya melatih warganegara Malaysia menjadi sukarela yang berkesan. Namun program ini perlu diberi suntikan baru dengan beberapa penambahbaikkan terutamanya dari aspek konsep pertandingannya. Apa sebenarnya yang dipertandingkan. Apa yang sebenarnya pengajur hasratkan. Dan apa yang sepatutnya peserta dapat dari pertandingan ini. Semua ini harus dijelaskan dan diperincikan. Cadangan penulis program ini bukan sahaja akan mendidik peserta-pesertanya malah akan juga berjaya menyelesaikan masalah yang dikemukakan itu. Paling tidak permasalahan tersebut dapat sampai kepada pengetahuan pihak yang berwajib dan berkaitan dengannya. Rujukan Ahmad Atory Hussin, 2008, Pembentukan Polisi Awam. Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd Mohd Azizuddin Mohd Sani, 2002, Hak Asasi Manusia Menurut Pandangan Islam dan Barat. PTS Publications & Distributors Sdn Bhd Syed Ahmad Hussein, Rohizani Yaakub, Norpisah Mat Isa, 2003, Kita Rakyat Malaysia…Projek Warga. Universiti Sains Malaysia