Tawau
Koordinat: 4°15′N 117°53′E / 4.250°N 117.883°E
Rencana ini perlu dirapikan bagi memenuhi mutu piawaian Wikipedia. Masalah tertentu ialah: Rencana seperti karangan. (Februari 2013) |
Tawau ﺗﺎواو | |
---|---|
Cogan kata: "Bumi Peladang" | |
Negara | Malaysia |
Negeri | Sabah |
Bahagian | Bahagian Tawau, Sabah |
Pentadbiran | |
• Badan | Majlis Perbandaran Tawau |
• Presiden Majlis | En. Pang Pick Lim @ Joseph |
• Yang di-Pertua Negeri | Tun Datuk Seri Panglima Juhar Mahiruddin |
• Ketua Menteri | Hajiji Noor (GRS-GAGASAN) |
• MP | Yang Berhormat Tuan Lo Su Fui (GRS-PBS) (Tawau) Yang Berhormat Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-UMNO) (Kalabakan) |
• ADUN | N67 Balung - YB. Tuan Hamild @ Hamid bin Awang, (GRS-GAGASAN) N68 Apas - YB. Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, (GRS-GAGASAN) N69 Sri Tanjong - YB. Tuan Justin Wong Yung Bin, (WARISAN) N70 Kukusan - YB. Puan Rina Binti Haji Jainal, (GRS-PHRS) N71 Tanjung Batu - YB. Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy, (BN-UMNO) N72 Merotai - YB. Tuan Sarifuddin Bin Hata, (WARISAN) |
Keluasan | |
• Jumlah | 6,149 km2 (2,374 batu persegi) |
Penduduk (2020)[1] | |
• Jumlah | 330,797 |
• Kepadatan | 196/km2 (510/batu persegi) |
Zon waktu | UTC+8 (MST) |
• Musim panas (DST) | Tidak dipatuhi |
Poskod | 91xxx |
Kod kawasan | 089 |
Laman sesawang | https://mpt.sabah.gov.my/ |
Tawau (Tulisan Jawi: ﺗﺎواو, singkatan TWU) atau nama pentadbiran Majlis Perbandaran Tawau merupakan nama sebuah bahagian, daerah dan juga salah satu bandar utama di Sabah. Tawau kini merupakan bandar ketiga terbesar di Sabah selepas Kota Kinabalu dan Sandakan.[2] Bandar ini dihubungkan dengan Kota Kinabalu melalui jalan raya sejauh 500 km, laluan udara melalui Lapangan Terbang Tawau dan laut melalui Pelabuhan Tawau. Manakala laluan laut penumpang antarabangsa pilihan ke Tarakan dan Nunukan, Indonesia boleh dihubungkan melalui Terminal Feri Tawau.
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Sejarah Tawau tidak diketahui dengan jelas terutamanya sebelum tahun 1890-an. Bagaimanapun Tawau telahpun berpenduduk dengan sebuah perkampungan kecil nelayan dengan 200 orang penduduk yang kebanyakannya terdiri daripada masyarakat keturunan Τidung dan Suluk sebelum tahun 1890 ( sebelum itu terdapat penempatan terawal masyarakat Islam Tidung di Kalabakan di bawah naungan Kesultanan Bolongan-Tarakan , penempatan masyarakat Tidung dan Suluk di Batu Tinagat serta penempatan masyarakat Bajau di Omadal, Semporna). Pada ketika itu Tawau berada di bawah kuasa Kesultanan Sulu. Dalam satu perjanjian yang termeterainya pada 22 Januari 1878, Kesultanan Sulu menyerahkan kawasan di persekitaran Tawau yang wujud masa kini kepada pihak Inggeris.
Tawau menjadi sebahagian daripada kawasan jajahan orang-orang Inggeris iaitu melalui Syarikat (Berpiagam) Borneo Utara British (SBUB). Mengikut catatan The North Borneo Annual Volume (1955-1965) menyatakan sistem pentadbiran bermula pada tahun 1898, iaitu berikutan langkah-langkah pihak SBUB membuka sebuah penempatan di Tawau dan seterusnya mengadakan asas-asas pentadbiran kerajaan tempatan di situ.
Untuk mengelak perselisihan faham dengan pihak Belanda yang memerintah Kalimantan pada masa tersebut ( Tawau berkongsi sempadan di antara tanah jajahan Belanda dengan tanah jajahan Inggeris ) , pihak pemerintahan Inggeris telah mengambil langkah-langkah untuk menetapkan sempadan. Ini disebabkan sempadan asal bagi kawasan yang telah diserahkan kepada pihak Inggeris oleh kedua-dua Sultan Brunei dan Sultan Sulu ialah di bawah Sungai Sibuco berdekatan dengan Tarakan (Indonesia) yang mana kawasan tersebut termasuk di bawah pemerintahan Belanda yang ketika itu telah sedia ada menghuni di kawasan tersebut. Berikutan itu satu suruhanjaya Sempadan telah ditubuhkan pada tahun 1912 yang terdiri daripada pegawai-pegawai dari United Kingdom dan Belanda. ( Sejarah Malaysia )
Sebuah Laporan Bersama telah disediakan beserta dengan peta dan ditandatangani oleh Pesuruhjaya masing-masing di Tawau pada 17 Februari 1913. Kemudian mengikut protokol di antara United Kingdom dan Belanda yang telah ditandatangani di London pada 28 September 1915, kedua-dua kerajaan mengesahkan laporan bersama dan peta tersebut.
Dengan wujudnya pemerintahan British di Tawau, pelbagai kemudahan telah disediakan seperti hospital, sekolah-sekolah, balai polis, rumah-rumah kedai, pelabuhan Tawau serta juga jalan raya dan jalan kampung yang dibina oleh PWD, sebuah jabatan kerajaan yang mana para pekerjanya adalah dari kalangan penduduk tempatan Tawau.
Hak dan keistimewaan masyarakat tempatan telah diiktiraf oleh Kerajaan British dengan perlantikan Ketua Anak Negeri sebagai mewakili penduduk tempatan di Tawau untuk menyatakan keperluan dan permasalahan rakyat kepada pihak Kerajaan British. Sebelum itu jawatan Ketua Masyarakat pernah diberikan kepada Habib Sheikh pada tahun 1912 manakala jawatan Imam diberikan kepada Imam Mustapa pada tahun 1916. Jawatan Ketua Anak Negeri dengan gelaran Orang Kaya Kaya (OKK) yang pertama dilantik Kerajaan British penghujung 1920-an ialah OKK Kee Abdullah, seorang Sino-Dusun Muslim.[3] Manakala pada tahun 1937 sehingga 1953, Penghulu Abu Bakar (anak OKK Kee Abdullah) telah dilantik menjadi Ketua Anak Negeri. Beliau dipertanggungjawabkan untuk memberi geran-geran tanah yang sah secara rasmi kepada masyarakat tempatan yang mendiami penempatan di sekitar daerah Tawau untuk menjamin hak keistimewaan penduduk tempatan sebagai masyarakat peribumi di daerah Tawau ini.
Penubuhan Persatuan Kebangsaan Melayu Tawau (PKMT) pada tahun 1938 yang diasaskan oleh Penghulu Abu Bakar dan diperkasakan bersama pemimpin Melayu yang lain ( Abu Bakar Titingan , Haji Abdul Karim Drahman, DSP Ahmad Ayid, , Kassim Kamidin & Imam Zainal ) untuk memperjuangkan hak dan kepentingan orang-orang Melayu ini, telah menyatukan masyarakat Melayu tempatan Tawau. Ahli-ahli persatuan inilah yang bersama-sama dengan Tun Datu Mustapa Datu Harun melalui USNO, menuntut kemerdekaan bagi negeri Sabah melalui Malaysia pada tahun 1963. Manakala penubuhan Persatuan Islam Tawau (PIT) yang dipengerusi oleh Imam Zainal dan kemudiannya oleh Haji Abdul Karim Drahman pada tahun 1955 telah mendorong penubuhan USIA pada tahun 1968 yang menjamin keutuhan syiar Islam di seluruh Sabah.( Rujuk : Maklumat dari Muzium Negeri Sabah )[4]
Geografi
[sunting | sunting sumber]Daerah Tawau meliputi kawasan seluas 6,149 km persegi atau 612,506 hektar.[5] Ia berkongsi sempadan dengan Kalimantan, Indonesia di selatan serta dikelilingi Laut Sulu di timur dan Laut Sulawesi di selatan.
Tawau mempunyai 10 mukim dan 81 kampung yang terhimpun dalam dua kawasan parlimen dan tujuh Dewan Undangan Negeri (DUN). Parlimen Tawau mengandungi DUN Sri Tanjung, Apas dan Balung sementara Parlimen Kalabakan mengandungi Merotai, Tanjung Batu, Kukusan dan Sebatik. Dahulunya ia terkandung dalam satu kawasan parlimen dengan empat kawasan pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sabah iaitu Balung, Merotai, Sri Tanjung dan Kalabakan.
Demografi
[sunting | sunting sumber]Kaum Melayu
[sunting | sunting sumber]Ramai yang tidak tahu sebenarnya penduduk tempatan Tawau adalah terdiri daripada Orang-Orang Bugis. Hari ini, Mahkamah Anak Negeri dipengerusikan oleh OKK Ayub bin OKK Abu Bakar sebagai Ketua Anak Negeri yang menggantikan OKK Said Salabbi pada tahun 2000. Sebelum itu, jawatan Penghulu atau Ketua Anak Negeri pernah dipegang oleh beberapa orang di kalangan anak jati tempatan Melayu peribumi seperti OKK Kee Abdullah, OKK Abu Bakar, OKK Zainal, OKK Salleh Ajak, OKK Said Salabi dan OKK Kee Ayub.[4]
Orang-orang bugis ini sebenarnya gabungan masyarakat indonesia daripada pelbagai suku keturunan Melayu yang terangkum melalui hasil perkahwinan dan asimilasi berteraskan ikatan amalan agama Islam dan pertuturan bahasa yang sama iaitu Loghat Tawau selama ratusan tahun lagi. Mereka juga telah lama hidup bersama sejak zaman pemerintahan British dan zaman pendudukan tentera Jepun sehinggalah Sabah merdeka bersama Malaysia. Dari segi sejarahnya pula, Kemudian mereka bersatu pula di bawah payung sebuah parti politik keramat, Persatuan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) pada tahun 1961 untuk menuntut kemerdekaan Sabah bersama Malaysia. Pemimpin orang bajau Tawau yang pernah berjasa ialah Habib Sheikh (1912), Imam Mustapa (1925), Habib Hussein (1932), Penghulu Abu Bakar (1940), Haji Abdul Karim Haji Drahman (1959) dan Datuk Abu Bakar Titingan (1962).[4][3]
Suku Bangsa di Tawau
[sunting | sunting sumber]Suku di Tawau terdiri daripada Kadazandusun, Bajau, Tidung, Cina, Lundayeh, Murut, Suluk, Bulungan, Bugis dan lain-lain.
Statistik
[sunting | sunting sumber]Berikut adalah statistik populasi di daerah Tawau (termasuk daerah Kalabakan) yang diambil pada 7 Julai 2020 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (No. Siri: DOSM/DOSM.SABAH/1.2020/SIRI 86). Kadar kelahiran tahunan di daerah ini meningakt sebanyak 1.4% pada tahun yang sama.[6]
Statistik Populasi (Banci 2020) | |
Jumlah | 438,100 |
Perempuan | 213,400 |
Lelaki | 224,700 |
Melayu | 11,516 |
Cina | 43,500 |
Bukan-Bumiputera Lain | 3,727 |
Jumlah Warganegara Malaysia | 266,200 |
Jumlah Warganegara Bukan-Malaysia | 171,800 |
Sebaran Populasi | 14.1% |
Ketumpatan Populasi | 84/km² |
Keistimewaan Tawau
[sunting | sunting sumber]Tawau mendapat jolokan sebagai "Bumi Peladang" kerana sebahagian besar muka buminya kini adalah kawasan perladangan.[7] Dahulu ketika awal kewujudan Tawau ketika zaman pemerintahan British iaitu sebelum era kemerdekaan, kawasan Tawau dipenuhi dengan ladang kelapa (kopra), getah dan pisang lanut (abaka), kini wajah Tawau sudah berubah wajah dengan pokok-pokok kelapa sawit yang terbentang luas jika dilihat dari atas muka bumi dan sebahagian kecilnya masih ditanam dengan tanaman koko yang dulunya juga pernah menjadi identiti daerah Tawau. Sebahagian besar ladang-ladang kelapa sawit ini adalah dimiliki Sime Darby Corporation, Sabah Softwood Sdn Bhd dan Borneo Samudera (Sawit) Sdn Bhd.
Selain itu, Tawau juga boleh dikatakan sebagai "Syurga Pendatang" kerana di sinilah ratusan ribu rakyat Indonesia dan rakyat Filipina yang teramai di Malaysia, datang bekerja secara sah dan menggunakan pasport untuk mencari rezeki yang halal dan menjanjikan pendapatan yang lebih baik berbanding di negara mereka. Kehadiran mereka adalah terkawal namun kewujudan mereka dengan jumlah terlalu ramai dan luar biasa memberikan satu fenomena yang menarik dan menjadi identiti Bandar Tawau yang sangat dibanggakan. Di Tawau ini, anda boleh melihat di mana-mana saja, rakyat Indonesia dan rakyat Filipina berada dan berjalan bebas seperti rakyat tempatan asalkan ada dokumen perjalanan yang sah. Fenomena seperti ini yang jarang ada di tempat lain. Setiap hari juga di jeti pendaratan berdekatan Pelabuhan Tawau, ribuan rakyat Indonesia dan Filipina berulang alik untuk datang dan pergi ke kampung halaman mereka di Indonesia atau ke selatan Filipina. Satu pemandangan yang mengagumkan dan sangat luar biasa.
Tawau juga mempunyai banyak keistimewaan lain seperti hutan semulajadinya yang merupakan kategori hutan tertua di dunia. Maliau Basin dan lembah Danum telah diakui sebagai khazanah hutan yang sangat berharga di dunia. Di Tawau adanya Hutan Simpan Bukit Gemuk yang begitu cantik pemandangannya jika dilihat dari jauh. Begitu juga Taman Negara Bukit Tawau atau juga dikenali sebagai Kawasan Peranginan 'Table'. Tempat ini menjadi kunjungan para warga Tawau yang inginkan ketenangan dengan kehijauan hutan rimba dan kedamaian deruan air terjun dan jeram yang mempesona. Di Taman Bukit Tawau ini juga disediakan kemudahan hotel dan chalet dengan harga yang berpatutan untuk pengunjung yang ingin bermalam di sini. Selain itu, di sini juga disediakan kawasan untuk mereka yang suka mengadakan aktiviti perkhemahan. Mengikut maklumat pihak Pengurusan Taman Bukit Tawau ini, terdapat juga sebuah pokok tertua yang dikatakan adalah yang tertinggi di Asia Tenggara berdekatan taman peranginan ini. Pokok ini adalah daripada jenis pokok Tualang atau di Sabah ia lebih dikenali sebagai Pokok Menggaris.
Selain itu ada banyak lagi tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi di Tawau ini. Antaranya ialah Tawau Cocoa Village, Shan Shui Golf & Country Club, Balung River Eco Park dan beberapa lagi tempat menarik yang sedang dalam proses pengubahsuaian seperti Kolam Air Panas Semulajadi di Taman HotSpring dan Ranggu Holiday Valley di Batu 10. Tawau juga kini dilengkapi dengan banyak kemudahan rekreasi dan tempat beriadah seperti Taman Awam Muhibbah Tawau yang menjadi kunjungan para warga Tawau untuk melepas lelah pada hujung minggu. Taman ini yang telah diubahsuai menjadi lebih cantik dan menarik dengan tasik mini buatan, laluan trek berjogging yang panjang di sebalik kehijauan fauna yang menyegarkan, taman permainan kanak kanak, gimnasium rakyat, pasar mini buah-buahan FAMA, kemudahan surau dan tandas serta kemudahan ruang letak kereta yang luas untuk para pengunjung yang datang.
Kompleks Sukan Tawau, sebuah kompleks sukan berkonsepkan prasarana termoden dan serba lengkap, pula menyediakan kemudahan untuk hampir semua aktiviti sukan di Tawau. Dari stadium untuk perlawanan bola sepak Piala Malaysia hinggalah ke dewan perlawanan bola sepak futsal. Ini termasuklah juga kemudahan sukan untuk gelanggang seperti tenis, badminton, bola keranjang dan sebagainya. Yang lebih menarik di dalam kompleks sukan ini juga dibina sebuah tasik indah yang luas dengan kemudahan untuk bersiar-siar, berjogging dan bersenam di sekelilingnya. Selain itu, kompleks sukan ini juga menyediakan kemudahan penginapan dengan harga yang berpatutan.
Kemudahan perpustakaan awam di Tawau disediakan oleh Perpustakaan Awam Negeri Sabah Cawangan Tawau yang merupakan antara perpustakaan terbesar di negeri Sabah. Turut dilengkapi dengan dewan auditorium moden dan lengkap yang selalu menjadi lokasi pelbagai aktiviti dari akitiviti untuk kegiatan untuk pelajar sekolah hinggalah kepada aktiviti persatuan serta akvitivi badan-badan kerajaan. Di dalam bangunan perpustakaan yang luas ini dilengkapi dengan banyak ruang untuk pelbagai kemudahan. Dari ruang santai untuk membaca akhbar dan majalah, ruang tontonan video dan audio, ruang untuk kanak-kanak, ruang membaca umum untuk dewasa, ruang untuk buku-buku rujukan, ruangan arkib lama, ruang kemudahan komputer dan internet, kemudahan fotostat, ruang pameran hinggalah kepada Galeri Sejarah Tawau dan Malaysia, semuanya sedia menunggu kehadiran untuk sesiapa yang datang mengunjungi.
Di Tawau ini tidak kurang juga terdapat mercu tanda yang boleh dilihat dan menjadi tarikan kepada pada pengunjung luar untuk dilawati. Antaranya Masjid Berkubah Hijau atau dikenali sebagai Masjid Al-Kauthar yang dikatakan adalah masjid terbesar di negeri Sabah. Mula dibina pada tahun 1997 dan telah siap pada 2002 dengan kos yang menelan belanja hampir 32 juta dan kini merupakan mercu tanda kebanggaan umat Islam di seluruh daerah Tawau ini. Masjid ini pernah menjadi kunjungan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak untuk mengikuti Majlis Berbuka Puasa bersama rakyat Tawau pada tahun 2006. Masjid-masjid lain yang terdapat di Tawau ialah Masjid Raya yang dibina pada tahun 1972 di tapak masjid lama yang dahulunya dikenali sebagai Masjid Wilis dan sebuah masjid lama yang terletak di tengah bandar Tawau iaitu Masjid Bandar yang dibina pada tahun 1960.
Selain itu, Tawau juga boleh berbangga kerana memiliki sebuah bangunan pasar terbuka yang dikatakan adalah antara pasar yang terbesar di Malaysia. Bangunan Pasar Mega yang dikenali sebagai Pasar Tanjung ini adalah pusat penjualan untuk segala macam keperluan untuk masyarakat Tawau dari jualan sayur-sayuran, buah-buahan hinggalah jualan aneka keropok, ikan masin, rempah ratus dan bermacam lagi, semuanya boleh didapati di sini. Pasar ini adalah bangunan 4 tingkat yang dilengkapi dengan ruang makan di tingkat 2 dan di tingkat 4. Ruang makan di tingkat paling atas ini adalah sangat menarik kerana anda boleh melihat panorama seluruh bandar Tawau serta keindahan laut yang membiru dengan pelbagai kapal yang berulang alik di pelabuhan Tawau. Selain itu, kemudahan surau dan tandas juga disediakan.
Di Tawau ini, para pengunjung dari luar tidak akan berpuas hati dengan pulang jika tidak membawa balik buah tangan. Central Market Tawau atau lebih dikenali sebagai Pasar Gantung adalah pilihan untuk mendapatkan barang-barangan perhiasan dan kraftangan sama ada perhiasan dari mutiara atau kraftangan dari siput-siput laut dari daerah Semporna atau juga pelbagai lagi barangan daripada rotan, kayu jati, buluh yang cantik-cantik dan unik buatan tangan dari Filipina dan Indonesia. Semuanya boleh didapati di sini dengan harga yang murah-murah dan menarik. Sekiranya anda ingin membeli belah barang keperluan rumah dalam suasana santai dan tenang tanpa kesibukan terlalu ramai orang dan tanpa kesukaran untuk meletak kereta, anda boleh mengunjungi Bataras yang terletak 3 km dari bandar Tawau, di Sabindo Square dan hadapan Terminal Bus Jalan Tan Stephens. Ruang membeli-belah yang sangat luas dengan pelbagai ruang-ruang kedai yang semuanya berada dalam satu tingkat sahaja tanpa perlu naik dan turun tangga selain kemudahan letak kereta yang sangat luas. Turut disediakan surau, tandas dan kemudahan perbankan mesin ATM pelbagai pilihan bank.
Pada setiap hari Minggu atau Ahad, para warga Tawau atau pengunjung dari luar boleh mengunjung Pasar Minggu Sabindo yang terletak di Bandar Sabindo di bandar Tawau. Begitu banyak barangan sama ada makanan, buah-buahan dan sayuran segar, kraftangan, haiwan belaan terdapat dan dijual di sana. Di Tawau ini juga amat terkenal dengan restoran makanan lautnya dan anda boleh menjamu selera anda dengan mudah dengan begitu banyak restoran seperti ini berhampiran dengan pantai di bandar Tawau. Penginapan di Tawau disediakan oleh banyak hotel dari yang bertaraf 4 bintang hingga ke rumah penginapan yang berbajet rendah, antaranya Borneo Royal Hotel yang terletak di Kompleks Eastern Plaza, Hotel Belfont Marco Polo dan Hotel Emas.
Makanan di Tawau juga ada yang istimewa dan mungkin sukar diperolehi di tempat lain. Misalnya Nasi Kuning yang merupaka sarapan rasmi bagi orang-orang Melayu di Tawau sama seperti Nasi Lemak yang merupakan makanan sarapan popular di Semenanjung Malaysia dan Mee Tauhu. Selain itu, di sini terdapat juga Amplang dan Keropok Belinju yang merupakan kudapan istimewa di Tawau yang kebiasaannya menjadi ole-ole yang perlu dibawa balik kepada sesiapa yang datang mengunjungi Tawau. Sebenarnya ada banyak lagi makanan istimewa yang boleh diperolehi Tawau bagi yang ingin cuba mendapatkannya. Makanan Tradisi Melayu Tawau seperti sate, ikan bakar, Gogos Kokos (pulut panggang),sayap ayam bakar, pecal (gado-gado), soto banjar, cendol dan pelbagai jenis kuih muih seperti kuih Terang Bulan (apam balik), penyaram, baulu, wajik dan pais pisang, pais upi dan sebagainya. Makanan citarasa Indonesia juga amat mudah diperolehi di Tawau ini. Bakso, nasi lalap (ulam) dan murtabak jawa, semuanya menanti untuk dinikmati.
Pertuturan
[sunting | sunting sumber]Sesuatu yang menjadi kebanggaan dan khazanah yang begitu berharga kepada Masyarakat Melayu Tawau ialah bahasa pertuturan mereka sendiri. Bahasa Melayu yang digunakan oleh orang-orang Melayu di Tawau ini adalah unik dan tersendiri. Bahasa atau loghat ini diwarisi dari nenek moyang mereka terdahulu yang hidup di zaman British dan pernah melalui detik detik kekejaman tentera Jepun. Bahasa Melayu Tawau ini tidak sama dengan Bahasa Melayu yang dituturkan di tempat tempat lain di negeri Sabah. Ia tidak sama dengan Bahasa Melayu orang Bajau atau Dusun. Tidak sama dengan Bahasa Melayu orang-orang di Kota Kinabalu. Tidak sama dengan bahasa Melayu orang-orang Indonesia seperti Bugis, Timor dan Toraja atau orang-orang Filipina seperti Tagalog, Visayan dan Tausuq. Bahasa Melayu Tawau adalah unik dan tersendiri dan mesti menjadi kebanggaan orang-orang Melayu Tawau dan anak cucu mereka.
Kawasan bersejarah
[sunting | sunting sumber]Tawau juga memiliki beberapa tempat-tempat bersejarah yang boleh menjadi bukti kejadian dan peristiwa-peristiwa menarik yang berlaku suatu masa dahulu di Tawau. Tempat-tempat ini kini menjadi kenangan dan pilihan untuk anak-anak warga Tawau datang mengunjungi dan dapat melihat serta mengenali sejarah nenek moyang mereka yang pernah hidup dan mencipta sejarah kehidupan mereka sendiri di Tawau sebelum kelahiran generasi baru yang wujud pada ketika ini. Antara tempat bersejarah itu ialah monumen Menara Loceng yang dibina pada tahun 1898. Monumen di pinggir Padang Bandaran Tawau yang dahulunya terletak berhadapan dengan Pejabat Residen Inggeris yang kini tapaknya menjadi pejabat Pos 2020. Menara loceng yang berusia lebih 100 tahun ini adalah monumen paling lama pernah wujud di Tawau dan menjadi bukti sejarah kewujudan Tawau dan pemerintahan Inggeris di Tawau sebelum kemerdekaan Sabah bersama Malaysia.
Selain itu, di Tawau juga terdapat sebuah tapak perkuburan tentera Jepun yang letaknya di jalan Tanjung Batu–Kukusan. Tapak perkuburan bersejarah yang wujud pada tahun 1945—ketika pendudukan tentera Jepun—ini telah dibaikpulihkan dan dibina sebuah tugu. Tugu Peringatan Tentera Jepun dan tapak perkuburan ini selalu menerima kunjungan saban tahun dari warga-warga Jepun yang mempunyai hubungan tali kekeluargaan dengan mereka yang dikebumikan di tapak perkuburan itu. Tempat ini sebenarnya menjadi bukti yang Tawau pernah menjadi sebahagian mangsa kekejaman tentera Jepun. Mendiang Stephen Tan (pemimpin bangsa Cina di Tawau) dan Allahyarham Habib Hussein (pemimpin masyarakat Melayu di Tawau) adalah sebahagian mangsa kekejaman pemerintahan tentera Jepun. Nama-nama kedua pemimpin berjasa yang dibunuh tentera Jepun ini telah diabadikan pada dua buah jalan utama di bandar Tawau pada ketika ini.
Di Kalabakan, lebih 100 km dari bandar Tawau terdapat sebuah tugu peringatan bersejarah. Tugu Peringatan Kalabakan yang dibina pada tahun 1969 ini ialah monumen yang dibina untuk memperingati kehilangan 11 perajurit negara yang terkorban ketika peristiwa konfrontasi Indonesia-Malaysia dahulu.
Sebenarnya ada banyak lagi monumen dan tempat bersejarah yang pernah wujud di Tawau namun sebahagian telah musnah dan tidak dapat dilihat lagi pada hari ini. Namun monumen dan tempat ini masih boleh dilihat dalam gambar-gambar yang dipamerkan di dalam buku-buku atau pameran-pameran di Majlis Perbandaran Tawau (MPT) atau Galeri Sejarah Tawau di Perpustakaan Tawau. Antara monumen dan tempat bersejarah itu ialah rumah api di Batu Tinagat, Lombong Arang Batu di Silimpopon dan Masjid Lama Wilis.
Penduduk yang terkenal
[sunting | sunting sumber]No. | Nama | Kerjaya | Terkenal kerana |
---|---|---|---|
1 | Amber Chia | Model | Model antarabangsa[8] |
2 | Ayie Elham | Penyanyi, Pelakon | Ahli kumpulan Floor 88[8] |
3 | Chua Soon Bui | Ahli Politik[9] | — |
4 | Faizul Sany | Penyanyi | Juara Akademi Fantasia musim 10) |
5 | Firman Bansir | Penyanyi | Juara Akademi Fantasia (musim 11) |
6 | Lia Natalia | Pelakon | Pelakon |
7 | Julamri Muhammad | Jurulatih dan bekas pemain bola sepak[10] | Bermain dengan kelab Sabah F.C. |
8 | Muhammad Hairi Amin (MK K-Clique) | Penyanyi rapper, pelakon | Ahli kumpulan K-Clique |
9 | Pete Teo | Artis | Penulis lagu, ahli musik,
penerbit filem, penerbit lagu dan pelakon |
10 | Rafiuddin Roddin | Pemain bola sepak[11][12] | – |
11 | Rahima Orchient Yayah | Ahli perniagaan dan peragawati Malaysia | Pemenang Miss World Malaysia 1994 |
12 | Salma Asis | Penyanyi | Pemenang Mentor (musim 5) |
13 | Siswanto Haidi | Bekas pemain kriket[13] | Bermain untuk pasukan Malaysia |
14 | Sumardi Hajalan | Belas pemain bola sepak[14][15] | Bermain untuk pasukan Malaysia |
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ "Population Statistic 2020".
- ^ Thiessen, Tamara (2008). Borneo : Sabah, Brunei, Sarawak : the Bradt travel guide (ed. 1). Chalfont St. Peter: Bradt Travel Guides. m/s. 211–220. ISBN 9781841622521.
- ^ a b Chung, Nicholas (2005). Under the Borneo sun: a Tawau story. Natural History Publications (Borneo). m/s. 23. ISBN 9789838121088.
- ^ a b c Gotlet, K. (2009). Tawau: Making the Tropical Communities. Opus Publication.
- ^ Buku tahunan perangkaan Malaysia. Jabatan Perangkaan Malaysia. 2008.
- ^ Statistik Penduduk Negeri Sabah
mycensus2020 Maklumat umum URL https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/cthree&menu_id=UmtzQ1pKZHBjY1hVZE95R3RnR0Y4QT09 Jenis Bandar Ditubuhkan 1658 Lokasi Ibu pejabat Malaysia sunting · sunting di Wikidata - ^ "Ekonomi". Profile MPT. MPT. Dicapai pada 11 November 2011.
- ^ a b "Ayie Floor 88 tak kisah niaga tepi jalan". BHonline. Berita Harian. 7 March 2022. Dicapai pada 26 July 2022.
- ^ "Members of Parliament (Chua Soon Bui)". Malaysian Parliament. Dicapai pada 15 March 2015.
- ^ "Julamri Bin Muhammad". Sabah FA. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 March 2015. Dicapai pada 15 March 2015.
- ^ "Rafiuddin Rodin". European Football Database. Dicapai pada 15 March 2015.
- ^ "Pulau Pinang masih perlu banyak pembaharuan". Sinar Harian. 21 November 2013. Dicapai pada 15 March 2015.
- ^ "Siswanto Bin Moksun Haidi". CricketArchive. Dicapai pada 14 March 2015.
- ^ Francis Xavier. "No comeback for Sumardi". New Sabah Times. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 April 2015. Dicapai pada 15 March 2015.
- ^ Shahrizal Zaini (27 September 2014). "Hijrah demi ilmu". Sinar Harian. Dicapai pada 14 March 2015.
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]- Rencana yang memerlukan rujukan tambahan dari Februari 2013
- Rencana yang memerlukan perapian dari Februari 2013
- Semua laman yang memerlukan perapian
- Rencana yang memerlukan perapian dengan sebab dari Februari 2013
- Laman Wikipedia yang memerlukan perapian dari Februari 2013
- Pages using infobox settlement with unknown parameters
- Daerah di Sabah
- Tawau
- Bandar di Sabah