[go: up one dir, main page]

Academia.eduAcademia.edu
-Biografi Imam Sahnun- Beliau bernama Abd asSalam bin Sa‟id bin Habib bin Hassan bin Hasan bin Hilal bin Bikar bin Rabi‟ah atTanukhi alQairawani alMaliki. Diberi kuniah Abu Sa‟id. Diberi laqab Sahnun1, kerana ketajaman akalnya. Beliau lahir pada tahun 160H, dalam sebuah keluarga sederhana ; bapanya merupakan seorang perajurit berketurunan arab daripada Homs, Syria -semoga Allah mengembalikan keamanannya seperti semula- yang menetap di Qairawan (di Tunisia, kini). Beliau memulakan perjalanannya menuntut ilmu alQuran dan Sunnah serta fiqh alQuran dan Sunnah, sepertimana kebiasaan penuntut ilmu pada zamannya, daripada ulama-ulama yang berada di sekitar Qairawan dan sekitar Ifriqiyah (Afrika Utara) seperti Tripoli di Libya. Di antara guru-gurunya di Ifriqiyah ialah, „Ali bin Ziyad anak murid Imam Malik yang berpusat di Tripoli, Abu Mas‟ud alAbbas bin Asyras, alBahlul2 bin Rasyid, Abdullah bin „Umar bin Ghanim arRu‟aini, dan Mu‟awiyah asSumadihi. Kemudian, pada tahun 178H, dengan usia semuda 18 tahun, beliau berganjak sedikit ke timur merantau mempelajari ilmu agama daripada anak-anak murid Imam Malik yang berpusat di Mesir pula ; Abd arRahman Ibn alQasim, Asyhab, Abdullah bin Wahb, Abdullah bin Abd alHakam, serta tokoh-tokoh lain yang ada di situ. Beliau tidak berhenti di situ saja, bahkan beliau meneruskan langkah beliau menjejak ilmu ke Syam (Levant – kawasan Syria dan sekitarnya), meriwayatkan ilmu daripada alWalid bin Muslim, Abu Sa‟id Ayyub bin Suwaid alHimyari, begitu juga di Madinah, beliau meriwayatkan langsung daripada anak-anak murid Imam Malik yang berpusat di sana ; Abd alMalik bin Abd alAziz bin Abi Salamah alMajisyun, Mutarrif bin Abdullah dan selainnya. Beliau meriwayatkan hadis daripada tokoh yang pelbagai ; Sufyan bin „Uyaynah, Abd arRahman bin Mahdi, Waki‟ bin alJarrah, Hafs bin Ghiyats, Abu Daud atTayalisi penulis Musnad atTayalisi, dan selainnya. Beliau pulang ke Qairawan semula pada tahun 191H, dan mengajar menyebarkan ilmu di Masjid Jami‟ alQairawan. Di antara sumbangan beliau yang teragung ialah mengarang alMudawwanah, himpunan bagi fatwa-fatwa Imam Malik yang diriwayatkan beliau sendiri daripada tokoh-tokoh besar dalam mazhab Malik : Ibn alQasim, Asad bin Furat, dan Ibn Wahb, disusun beliau dalam bab-bab fiqh, dan digelar dalam Fiqh Maliki sebagai alUm/buku rujukan terutama, sebelum bukubuku riwayat fatwa-fatwa Imam Malik yang lain seperti alMawwaziyah dan lainnya. Buku ini Sahnun atau Suhnun ialah sejenis burung pemangsa daripada keluarga helang, dikenali dengan nama ‘dark chanting goshawk’ (m. metabates). 2 Kata nama Bahlul ini memiliki konotasi yang kurang baik dalam bahasa kita bahasa melayu, merujuk kepada orang bodoh, namun ia kembali kepada pengamalan Islam dalam kebiasaan kita sejak berzaman ; di mana kata nama itu merupakan doa daripada pengucapnya buat orang yang digelar, yakni seakan-akan mendoakan orang bodoh itu supaya menjadi alim seperti alBahlul. Ini juga kita kesan dalam panggilan sang ibu misalnya kepada anak yang cuai, katanya, ‘Anak bertuah!’ atau seumpamanya. Amalan ini amat baik, selari dengan perintah Nabi sallAllah alaihi wa sallam “Jangan kalian mendoakan yang buruk-buruk buat diri kalian sendiri, jangan juga pada anak-anak kalian, jangan juga pada harta-harta kalian, agar kalian tidak bertepatan dengan satu waktu (dalam sehari) di mana Allah dipinta sebarang permintaan lalu dikabulkanNya buat kamu.” (HR Muslim) Namun konotasi Bahlul itu haruslah dinilai semula sebagai doa, adapun pada hari ini, di Malaysia khasnya, tiada lagi yang mengenali siapa alBahlul bin Rasyid, perkataan itu sudah berpindah daripada majaz kepada hakikat kebodohan, semoga Allah mengampuni umat Islam seluruhnya. 1 disifatkan Qadhi „Iyadh alMaliki sebagai, “Terdapat di dalamnya 4000 hadis nabawi, sementara atsar (daripada sahabat dan tabi‟ien) sebanyak 36000 riwayat, dan persoalanpersoalan fiqh sebanyak 40000 persoalan. Seakan-akan ia mengandungi 40000 hukum-hakam dan 40000 fatwa, yang kesemuanya disokong oleh dalil daripada Kitabullah, atau Sunnah RasulNya sallAllah alaihi wa sallam, atau atsar daripada para sahabat, semoga keredhaan Allah bagi mereka semua.” Beliau dikurniakan anak-anak murid yang kesemuanya tokoh-tokoh fiqh dan hadis belaka, tidak menghairankan bagi tokoh yang memiliki kaliber agung seperti Sahnun. Di antaranya ialah anaknya sendiri Muhammad (kita akan kongsikan biografi khas buatnya menyusul biografi ini), Baqiy bin Makhlad, Wahb bin Nafi‟ faqih Cordova,Hamdis, Ibn Mughits dan selainnya. Beliau merupakan antara tokoh Ahli Sunnah wal Jamaah yang sangat lantang menegakkan kebenaran. Dikatakan, pada zaman beliau kembali semula ke Qairawan, masjid alQairawan itu dipenuhi dengan majlis-majlis ilmu golongan Khawarij-Sufriyah dan Khawarij-Ibadhiyah yang terkenal dengan penyimpangan mereka. Sehinggalah beliau datang dan membantah sekerasnya pengajian-pengajian itu, menggantikannya dengan pengajian-pengajian hadis dan fiqh Maliki, dan kembalilah Masjid Jami‟ alQairawan itu murni seperti sediakala. Atas sebab kelantangan beliau ini juga, beliau ditimpa ujian alMihnah sama seperti yang menimpa Imam Ahmad bin Hanbal di Baghdad, berkenaan pemerintah yang menyokong pendapat Muktazilah bahawa alQuran itu makhluk (mereka berdua hidup pada zaman yang sama, tapi pada tempat yang berbeza) ; pendapat ini dibantah beliau sekeras-kerasnya ; beliau dipenjara dan diseksa kerananya. Hal ini menyebabkan kedinginan berlaku antara beliau dan pemerintah alQairawan pada zaman itu. Ketokohan dan kecekalan beliau atas Sunnah, mengundang ramai anak murid bertandang menadah ilmu daripada pancuran hati beliau, sehinggalah alQairawan pada zaman beliau menjadi salah satu daripada pusat ilmu, yang menandingi Baghdad di Timur Islam. Beliau dicintai oleh penduduk alQairawan, dan berpengaruh dalam urusan kemasyarakatan mereka. Beliau dilantik menjadi qadhi/hakim alQairawan pada tahun 234H, oleh pemimpin alQairawan, Amir Muhammad Abu alAbbas alAghlabi, hanya setelah menolaknya selama setahun, pada tahun 233H, kerana tidak mahu sekiranya urusan penghakiman beliau dicampuri oleh ketidakadilan daripada pemimpin Aghalibah (proto-pemisahan antara kuasa eksekutif & judisiari dalam negara Islam) , lantaran beliau sendiri pernah merasakan kezaliman pemimpin. Ketika lantikan ini termeterai, Amir Muhammad berkata kepada anak perempuannya, “Sesungguhnya bapamu telah disembelih tanpa pisau.” Hal ini kerana Amir Muhammad turut terkenal membela orang-orang jahat yang bernaung di bawahnya untuk melangsungkan kegiatan haram mereka. Keputusan Imam Sahnun itu amat bertepatan dengan keperluan semasa, dan menjamin keadilan tertegak di alQairawan. Beliau melaksanakan tugas kehakiman ini secara sukarela tanpa upah tertentu daripada pemerintah, untuk mengelak sebarang ketergantungan terhadap mereka yang menjejaskan urusan kehakimannya. Beliau melaksanakan tugas kehakiman ini selama 6 tahun, hinggalah ke hari beliau dijemput semula ke kandil rahmatNya, pada bulan Rejab tahun 240H, pada umur 80 tahun, semoga Allah merahmati beliau dengan seluas rahmatNya yang menggenapi, atas segala usaha dan pengorbanan yang dilaksanakan Imam Sahnun buat umat ini. Beliau meninggalkan beberapa orang waris, di antaranya anaknya Muhammad. Beliau mendapat firasat bahawa anaknya ini akan menjadi seorang imam yang besar, dan berpesan kepada guru kepada anaknya ini, “Janganlah dikau menghukumnya, melainkan dikau memujinya dan kata-kata yang halus. Dia ini bukan jenisnya untuk dihukum dengan pukulan, dan bersikap keras. Biarkanlah dia menurut jejak langkahku. Sesungguhnya daku berharap agar dia ini menjadi tokoh terulung pada zamannya, dan daku takut sahaja kalau umurnya ini pendek!” Ternyata firasat ini umpama panah yang menepati sasarannya. Siapakah Muhammad bin Sahnun ini? karangan : Mohammad Syafiq Ismail (Syafiq atTauhidi), semoga Allah mengampuninya dan kedua ibubapanya, amin. Biografi Imam Sahnun ini dan sambungannya boleh dibaca penuh di dalam terjemahan Kitab Adab Para Guru yang telah kita selesai usahakan terjemahannya, pada 19 Muharram 1440H, semoga Allah memudahkan capaiannya kepada khalayak, dan menerimanya dengan sebaik-baiknya, seperti yang layak bagi Yang Kasih. Hanya Dialah di balik cita.