[go: up one dir, main page]

Academia.eduAcademia.edu
Biografi Syekh Sa di (dipetik daripada asSaadah fi tarjamah arRisalah asSadiyah fi Usul alFiqh terj : Syafiq atTauhidi) Beliau bernama Abd arRahman bin Nasir bin Abdullah bin Nasir bin Hamad Al Sa di, diberi kuniah Abu Abdullah, daripada qabilah Bani Tamim. Seorang ulama dan guru yang berwibawa besar, pakar dalam ilmu agama khasnya dalam Tafsir alQuran, Fiqh dan Usul Fiqh. Alim mazhab Hanbali ini lahir pada 12 Muharram 1307H/1889M, di daerah Unaizah, negeri alQasim, kerajaan Arab Saudi, dan hidup membesar dalam keadaan yatim piatu. Sebelum ayahnya meninggal dunia, beliau telah memesankan kepada anak sulungnya Hamad bin Nasir, untuk menjaga keluarganya dan mendidik adiknya Syekh Sa di dengan sebaiknya. Tugas tersebut dilaksanakan sebaiknya, sehinggalah tersedia bagi Syekh Sa di suasana yang baik lagi soleh, dan seterusnya memacu kemahuan beliau untuk belajar menimba ilmu, siang ke malam, konsisten dan berterusan. Beliau ternyata semenjak kecil lagi sudah menunjukkan minat yang serius dalam menimba pengetahuan. Beliau mengkhatam hafalan alQuran dalam usia yang muda, 11 tahun, dan tidak berhenti di situ, bahkan terus mengaji bidang-bidang yang lain melengkapkan dirinya sebagai seorang sarjana, daripada ilmu Tafsir, Hadis, Fiqh, Usul Fiqh, Akidah, Bahasa Arab dan lainnya, di hadapan para guru yang terbilang yang ada di sekitar alQasim ketika itu. Kita sebutkan di sini nama sebilangan guru-gurunya : -Ibrahim bin Hamad bin Jasir (w1338H), gurunya yang terawal, beliau mempelajari daripadanya ilmu Tafsir, Hadis, dan Usul Tafsir dan Usul Hadis. -Muhammad bin Abd alKarim asSyibl (w1343H), beliau belajar daripadanya ilmu Fiqh, Usul Fiqh, dan Bahasa Arab. -Muhammad bin Abd alAziz alMuhammad alMani (w1385H), gurunya dalam Bahasa Arab. -Muhammad alAmin asSyinqiti (w1351H) gurunya dalam Tafsir, Hadis, Mustolah Hadis dan Bahasa Arab. Di samping itu, beliau juga sering mentelaah karangan-karangan Syeikh alIslam Ibn Taimiyah dan Ibn alQayyim, merujuknya, meringkaskannya, meletakkan syarahannya pada karangan-karangan tersebut. Hal ini antara yang memberi kesan yang mendalam dalam penulisan-penulisan beliau, yang memberikannya intensity/kedalaman dan kekuatan hujah yang luarbiasa yang tidak ditemukan dalam karya penulisan ulama lain. Penghayatannya dalam alQuran dan Sunnah turut menarik perhatian, membuat yang membaca karya-karyanya terpana dengan keindahan akal budi Syekh Sadi dan ketinggian darjat gagasan pemikirannya. Beliau mula mengajar di usia yang muda, seawal 23 tahun, membahagi-bahagikan masanya antara mengajar dan belajar, membaca di hadapan ulama, mengajar murid-murid, dan waktu untuk ulangkaji dan mengkaji. Dikatakan tiada waktu yang tersia-sia buat Syekh Sadi, seluruhnya digunakan untuk ilmu, sehinggalah beliau pada akhirnya menjadi rujukan penduduk negerinya, dan menjadi tempat tumpuan para penuntut ilmu daripada segenap pelusuk negeri. Kita sebutkan di sini pula nama sebilangan anak muridnya yang terbilang ; -Muhammad bin Soleh alUtsaimin (w1421H), yang menjadi pengganti kepada gurunya Syekh Sadi sebagai imam, khatib dan penceramah di Masjid Besar di alQasim. Salah seorang ulama terbilang di Arab Saudi, dan telah mengarang magnum opus asSyarh alMumti dalam Fiqh Perbandingan, dan pelbagai lagi. Begitu terkesan dengan akhlak pekerti gurunya Syekh Sadi seperti yang dijelaskannya dalam beberapa penulisannya dan rakaman audio. -Abdullah bin Abd arRahman alBassam (w1423H), pengarang Taysir alAllam syarah Umdatul Ahkam, salah seorang tenaga pengajar di Masjid alHaram di Mekah, melazimi Syekh Sadi selama 8 tahun. -Abd alAziz bin Muhammad alSalman, (w1422H), salah seorang ulama dan tenaga pengajar di Mahad Imam adDakwah di Riyadh, dan dikatakan mencontohi gaya penulisan Syekh Sadi dalam karya-karyanya. Syekh Sadi disifatkan sebagai seorang yang sederhana tinggi, berambut lebat, berwajah bundar, berkulit cerah kemerah-merahan. Beliau seorang terkenal dengan akhlak yang mulia, tawaduk dan mudah bergaul dengan orang, mesra dan suka bergurau dengan kanak-kanak mahupun dewasa, dan tidak kelihatan sifat pemarah pada wajahnya. Beliau suka berpakaian yang mudah dan tidak menonjol, kemas dan bersih. Seperti yang dilihat di dalam gambar, cara pemakaian Syimagh (serban berjalur merah-putih) demikian merupakan adat kebiasaan golongan badwi dan dianggap tidak bergaya oleh sebahagian individu, yang mencerminkan asal usul beliau yang sederhana dan keperibadian beliau yang merendah diri dan membumi. Beliau menyukai golongan fakir miskin, disifatkan oleh anak muridnya Syekh Utsaimin, bahawa beliau sendiri akan pergi mengetuk pintu-pintu rumah golongan fakir miskin ini dan mengagihkan zakatnya dan sedekahnya. Beliau juga terkenal dengan sikap pemurah, dan suka memberi hadiah, meskipun hadiahnya tidak seberapa, dengan tujuan untuk mengambil hati dan berlaku ihsan. Beliau juga memberi hadiah misalnya, kepada sesiapa yang menghafal matan-matan penting dalam ilmu agama, berupa wang, seperti yang diceritakan Syekh Utsaimin, selaku motivasi untuk murid-muridnya terus berusaha menimba dan menambah ilmu pengetahuan. Beliau memberikan duit daripada sakunya sendiri diagihkan kepada murid-muridnya yang kurang berkemampuan, agar mereka fokus dalam pengajian dan tidak disibukkan dengan pekerjaan dan mencari nafkah saat pengajian. Beliau telah meninggalkan khazanah ilmiah berupa karya penulisan dan syarahan-syarahannya, yang secara umumnya terkenal dengan kelunakan dan kemudahan bahasanya, disifatkan Syekh Utsaimin sebagai umpama meminum air . Syekh Sadi juga terkenal dengan metod Taqrib alIlm (lit. mendekatkan ilmu), mendekatkan ilmu pengetahuan kepada pembaca, khasnya pembaca muda, dengan laras olahan yang senang dan mudah diikuti serta difahami, tanpa mengurangi nilai ilmu tersebut dengan peringkasannya, bahkan mengayakan lagi subjek ilmu tersebut dengan pemilihan kata-kata yang tertepat menyampaikan maksud. Karya-karyanya kita sebutkan sebilangannya di sini ; -Taysir alKarim arRahman fi Tafsir Kalam alMannan, atau lebih dikenali dengan nama Tafsir asSadi, merupakan tafsir yang tergolong dalam kalangan mukhtasar/tafsir ringkas, karangan yang ditujukan beliau untuk memudahkan proses tadabbur/penghayatan alQuran, dengan menyampaikan makna ayat seadanya. Ia kaya dengan istinbat dan tafsiran yang tidak ditemukan dalam karya-karya tafsir sebelumnya, mahupun sesudahnya, bukti bahawa proses penghayatan (hayat-hidup) alQuran dalam hati pengarang berlaku, dan penghayatan merupakan pengalaman peribadi yang tidak dikongsi sesiapapun. -Bahjat Qulub alAbrar wa Qurrat Uyun alAkhyar fi syarh Jawami alAkhbar, himpunan hadis-hadis yang bersifat Jawami alKalim/ringkas tapi padat dengan makna, sebanyak 99 buah hadis, dihimpunkan beliau daripada perut-perut buku hadis yang tebal dan sebilangannya muktabar. Menariknya, syarah beliau bagi hadis-hadis ini kebanyakannya merupakan perkaitan antara makna hadis dengan kaedah-kaedah penting dalam agama, justeru melatih pembacanya untuk praktik kaedah-kaedah usul & fiqh itu dalam teks wahyu, juga memerikan keprihatinan dan kepakaran beliau dalam mengisbatkan kaedahkaedah ini. -Taudhih alKafiyah asSyafiyah, syarahan ringkas beliau terhadap sebahagian daripada alKafiyah asSyafiyah atau lebih dikenali sebagai Qasidah Nuniyah Ibn alQayyim, dalam mengisbatkan akidah Ahli Sunnah dan bantahan kepada akidah yang menyimpang. Syarahan beliau lebih kepada mencerminkan maqasid/intipati daripada gubahan syair dalam nuniyah tersebut, berbanding mensyarahkannya satu demi satu perkataan, justeru mudah ditelaah dan menyampaikan kepada maksud. -alQawaid alHisan li Tafsir alQuran, karangan beliau yang menghimpunkan kaedah-kaedah pentafsiran alQuran yang muktabar/diiktiraf, sesuai dengan cara pentafsiran Salafussoleh yang mengutamakan tafsir bilmatsur/dengan riwayat tafsir daripada Nabi dan para sahabat, tanpa mengabaikan ciri-ciri tafsir bi ar-rayi/istinbat pemikiran tersendiri yang terpuji yang tidak bercanggah dengan tafsir bilmatsur. -Manhaj asSalikin wa Taudhih alFiqh fi adDin, karangan ringkas beliau dalam Fiqh, dengan menyebutkan dalil-dalilnya yang masyhur, dan dalam masalah khilafiyah (tepatnya, ijtihadiyah) beliau memilih pendapat yang kuat di sisinya, buku yang mencerminkan kepakaran Fiqh Syekh Sadi, meski bermazhab Hanbali, namun tidak terikat seratus peratus dengannya, bahkan memilih mana yang terkuat menurut kajian dan pendapatnya, seperti Ibn Taimiyah dan Ibn alQayyim. -Manzumah alQawaid alFiqhiyah, gubahan nazam syair beliau meringkaskan ilmu Qawaid Fiqh, bermula dengan qawaid kubro yang lima, dan menutupnya dengan perbahasan yang wajib dikenali setiap pengkaji Fiqh. Ia ringkas dan mudah dihafal serta difahami, tidak menggunakan perkataan yang rumit dan terlalu tinggi. -adDalail alQuraniyah fi anna alUlum wa alAmal anNafiah alAsriyah dakhilah fi adDin alIslamiy, menjawab isu Sekularisme yang mula menular dalam kalangan umat Islam di Arab Saudi pada zamannya, menjawab syubhat sebilangan modenis yang menuduh agama sebagai agen pemunduran, dan membuktikan bahawa agama tidak pernah menghalang bahkan menggalakkan sebarang usaha ke arah kemajuan, selama mana tidak bertentangan dengan usul syariat. -Risalah Latifah Jamiah fi Usul alFiqh alMuhimmah, risalah dalam Usul alFiqh (yang kita terjemahkan ini), yang kita khaskan penerangannya dalam mukadimah terjemahan ini. Pada tahun 1371H, lima tahun sebelum kewafatan beliau, beliau ditimpa penyakit darah tinggi, dan arteriosclerosis (arteri tersumbat), yang kerap mendatangi beliau berkali-kali. Beliau bersabar menghadapi ujian ini, sehinggalah beliau kembali kepada Allah pada subuh hari Khamis, 22 Jamadil Akhir 1376H. Semoga Allah merahmati Syekh asSa'di atas jasa beliau melangsungkan perbahasan ilmu agama dan mengembalikannya kepada landasan yang betul dan praktikal, dan mengurniakan kita kekuatan untuk menjadi seperti mereka ; yang telah mendengar alQaul/kata-kata maka mengikut yang terbaiknya.