Date and Time: Friday, 26 April 2024 10:25:00PM MYT
Job Number: 222920833
Document (1)
1. Daud Anderson Macdonald v Norabi' ah bt Muda, [2011] 1 SHLR 62
Client/Matter: -None-
Search Terms: Daud anderson macdonald v norabi'ah bt muda 2011
Search Type: Natural Language
Narrowed by:
Content Type Narrowed by
MY Cases -None-
| About LexisNexis | Privacy Policy | Terms & Conditions | Copyright © 2024 LexisNexis
Daud Anderson Macdonald v Norabi' ah bt Muda [2011] 1 SHLR 62
Shariah Law Reports (ShLR) · 11 pages
SHARIAH HIGH COURT (FEDERAL TERRITORY)
MOHAMAD ADIB HUSAIN ShHCJ
CIVIL CASE NO 14700–017–0232 OF 2008
23 August 2010
Case Summary
Islamic Law — Matrimonial property — Harta sepencarian — House purchased by defendant before
marriage — Plaintiff contributed substantial amount in its acquisition — Whether harta sepencarian —
Whether plaintiff entitled to jointly acquired property and extent of entitlement — Islamic Family Law
(Federal Territories) Act 1983 ss 2 & 58
Islamic Law — Shariah Court — Jurisdiction — Shariah High Court — Harta sepencarian — Whether within
jurisdiction of court — Administration of Islamic Law (Federal Territories) Act 1993 s 46(2)(b)(iv) — Islamic
Family Law (Federal Territories) Act 1983 s 58
The parties were married on 2 January 2004 and were divorced on 26 December 2007 vide the Kuala Lumpur
Shariah Subordinate Court order. The plaintiff's application was for an order to declare that the house in Bukit
Damansara was a jointly acquired property and further, to divide the proceeds of its sale at the rate of 95% and 5%
between the plaintiff and the defendant respectively. This division was to be done after the necessary deduction for
the repayment towards the outstanding loan. The plaintiff contended that in the process of the said purchase, he
had paid the deposit, a sum of RM48,000 on 19 November 2003 vide a HSBC cheque issued to the developer.
Further, the plaintiff stated that on 9 February 2004, he had paid a sum of RM290,000 to the developer's lawyer
vide HSBC cheque. The balance of the purchase price, a sum of RM250,000 was paid through a Citibank loan
taken under the defendant's name. The plaintiff also stated that since April 2004 till December 2007 he had paid the
monthly instalments for the said loan vide a standing instruction to his bank. Despite all the above, the house was
registered under the defendant's name. This was primarily to expedite the sale and purchase of the said property.
The defendant however, contended that as the said property was acquired two months prior to their marriage, the
said property was therefore, hers exclusively. The issues before this court were as follows: (a) whether the property
claimed by the plaintiff was a jointly acquired property; and (b) the extent of the plaintiff's contribution towards the
said acquisition.
Held, allowing the plaintiff's claim:
(1) Although the said property was registered under the defendant's name,
[2011] 1 SHLR 62 at 63
there were no impediments for the plaintiff to claim his entitlement to the said property as a jointly acquired
property. The plaintiff had contributed towards the purchase of said property namely, by paying the deposit
(ID9) and other payments vide cheque (ID6) inclusive of the monthly instalments (ID8). A substantial
amount was paid during the subsistence of their marriage. Since the defendant did not dispute the evidence
of the plaintiff's witnesses who had confirmed the above documents, the court was therefore entitled to
acknowledge and admit the said documents. Apart from the above, the defendant had, during cross-
examination, admitted that the said payments by the plaintiff were towards the purchase of the said house.
Hence, the said house, the subject matter of this case, was a jointly acquired property (see paras 16–20).
(2) The plaintiff's direct contribution towards the acquisition of the said property was RM395,027.14. He was
therefore entitled to recover his contribution towards the said purchase. Hence, the court orders that the
said property be sold. The plaintiff's entitlement to the said property was fixed at 60% of the net sale value
less repayment of loan or debts (see paras 22–23).
Plaintif dan defendan telah bernikah pada 2 Januari 2004 dan bercerai dengan kebenaran mahkamah pada 26
Disember 2007 di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Di dalam kes ini, plaintif
memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan perintah bahawa rumah di Bukit Damansara diisytiharkan
Page 2 of 6
Daud Anderson Macdonald v Norabi' ah bt Muda, [2011] 1 SHLR 62
sebagai harta sepencarian. Plaintif juga memohon perintah supaya rumah tersebut dijual dan 95% daripada
keuntungan hasil jualan rumah setelah ditolak hutang pinjaman perumahan diserahkan kepadanya manakala
defendan diberikan 5%. Plaintif menyatakan bahawa di dalam proses pembelian rumah itu, dia telah membayar
deposit sebanyak RM48,000 pada 19 November 2003 melalui cek HSBC yang dibayar kepada pemaju hartanah.
Plaintif juga menyatakan bahawa dia telah membuat bayaran lain bagi tujuan pembelian rumah tersebut yang
berjumlah RM290,000 pada 9 Februari 2004 iaitu selepas pernikahan melalui cek HSBC kepada peguam pemaju.
Manakala baki bayaran rumah tersebut telah dijelaskan melalui pinjaman dari Citibank yang dibuat oleh defendan
yang berjumlah RM250,000. Plaintif juga menyatakan dia telah membuat bayaran ansuran bulanan rumah tersebut
bermula April 2004 hingga Disember 2007 secara 'standing instruction' (arahan tetap pelanggan). Plaintif
menyatakan lagi walaupun dia membuat bayaran-bayaran tersebut, akan tetapi nama hak milik harta tersebut
diletak atas nama defendan atas nasihat untuk menyegerakan urusan jual beli harta. Defendan sebaliknya
berhujah bahawa harta tersebut telah diperolehinya hampir dua bulan sebelum penikahan dan adalah hak milik
mutlak defendan. Isu-isu yang perlu diputuskan mahkamah adalah
[2011] 1 SHLR 62 at 64
seperti berikut: (a) sama ada harta yang dituntut oleh plaintif menepati kehendak konsep harta sepencarian; dan (b)
setakat mana sumbangan plaintif dalam usaha mendapatkan asset tersebut.
Diputuskan, membenarkan tuntutan plaintif:
(1) Walaupun harta tersebut didaftarkan atas nama pihak defendan, tetapi ia tidak menjadi halangan untuk
plaintif menuntut harta sepencarian. Plaintif telah memberikan sumbangan dalam memperolehi harta
tersebut dengan membuat bayaran deposit (ID9) dan bayaran lain melalui cek (ID6) dan ansuran bulanan
(ID8) bagi tujuan pembelian harta itu yang sebahagian besar dibuat dalam tempoh perkahwinan.
Memandangkan kenyataan saksi-saksi plaintif menyokong kewujudan dokumen-dokumen tersebut tidak
disanggah oleh defendan semasa perbicaraan, maka mahkamah mengiktiraf dan menerima dokumen-
dokumen tersebut. Di samping itu defendan di dalam keterangannya semasa soal balas mengakui bahawa
pembayaran-pembayaran tersebut dibuat oleh plaintif bagi tujuan pembelian rumah tersebut. Dengan itu,
rumah yang menjadi hal perkara dalam kes ini adalah harta sepencarian (lihat perenggan 16–20).
(2) Plaintif telah menyumbangkan secara langsung dalam mendapatkan rumah tersebut iaitu dengan
membuat pembayaran sebanyak RM395,027.14. Dengan itu, plaintif berhak untuk mendapatkan nilaian
apa yang telah dia sumbangkan dalam perolehan rumah tersebut. Mahkamah memerintahkan bahawa
hartanah tersebut hendaklah dijual dan plaintif berhak untuk mendapat 60% daripada hasil bersih jualan
tersebut iaitu setelah ditolak baki pinjaman atau hutang (lihat perenggan 22–23).
Notes
For cases on harta sepencarian, see 8(1) Mallal's Digest (4th Ed, 2010 Reissue) paras 664–666.
For cases on jurisdiction, see 8(1) Mallal's Digest (4th Ed, 2010 Reissue) paras 692–698.
Cases referred to
Aimi Nazura binti Nawi lwn Mohamad Sobri bin Ahmad [2008] JH 26(1) 27, CA (refd)
Norlia binti Abdul lwn Md Yusof bin A Rahman [2004] JH 18(1) 133, HC (refd)
Legislation referred to
Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 ss 2, 58, 58(2)
[2011] 1 SHLR 62 at 65
Books referred to
al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siasah al-Syar'iyyah by Ibnu Qayyim al-Juziyyah, Dar al Ihya al-Ulum, Beirut, p 30
Saadiah bt Din (Saadiah Khoo, Lo & Co) for the plaintiff.
Zainul Rijal Abu Bakar (Zainul Rijal Talha & Amir) for the defendant.
Page 3 of 6
Daud Anderson Macdonald v Norabi' ah bt Muda, [2011] 1 SHLR 62
Mohammad Adib Husain HMTS
[1] Tuntutan plaintif di dalam kes ini adalah tuntutan harta sepencarian sebuah rumah di alamat No 8B-1-8, Prima
Damansara, Jalan Chempenai, Bukit Damansara, 50490 Kuala Lumpur ('rumah tersebut'). Plaintif dan defendan
telah bernikah pada 2 Januari 2004 dan bercerai dengan kebenaran mahkamah pada 26 Disember 2007 di
Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
[2] Plaintif dalam penyata tuntutannya memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan perintah rumah tersebut
diisytiharkan sebagai harta sepencarian. Plaintif juga dalam tuntutannya mohon mendapatkan perintah supaya
rumah tersebut dijual dan 95% daripada keuntungan hasil jualan rumah setelah ditolak hutang pinjaman
perumahan diserahkan kepadanya dan defendan diberikan 5%.
[3] Defendan di dalam pembelaannya memohon kepada mahkamah supaya menolak tuntutan yang dibuat oleh
plaintif.
[4] Mahkamah ini berbidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan apa-apa tindakan dalam kes ini
berdasarkan peruntukan s 46(2)(b)(iv) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan)
1993. Seksyen tersebut memperuntukkan:
46(1) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa di seluruh Wilayah-Wilayah Persekutuan dan
hendaklah diketuai oleh seorang Hakim Syarie.
(2) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah —
(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan presiding dalam mana semua
pihak adalah orang Islam dan yang berhubungan dengan —
(iv) pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;
[2011] 1 SHLR 62 at 66
[5] Kuasa mahkamah memerintah pembahagian harta sepencarian telah diperuntukkan dalam s 58 Akta Undang-
Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984. Seksyen 58 menyatakan:
(1) Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah
perceraian, memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha
bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-
pihak itu.
[6] Sebelum mahkamah meneruskan penghakiman ini, suka mahkamah mengulas tentang perkara yang
ditimbulkan oleh peguam defendan dalam hujahan balasnya supaya mahkamah ini menolak dan mengenepikan
hujahan plaintif disebabkan kelewatan plaintif dalam memasukkan hujahan seperti yang dikehendaki oleh
mahkamah. Mahkamah menghargai apa yang dikemukakan oleh defendan dan kesal atas apa yang berlaku. Ini
kerana sebarang penangguhan sesuatu tindakan di mahkamah boleh menyebabkan mahkamah dilihat oleh
masyarakat awam gagal memainkan peranannya sedangkan penangguhan itu bukan disebabkan oleh mahkamah.
Walau bagaimanapun dalam memutuskan kes ini mahkamah tidak bergantung kepada hujahan tetapi adalah
merujuk kepada keterangan-keterangan yang dikemukakan oleh pihak-pihak.
[7] Isu pertama yang perlu mahkamah lihat sebelum ialah adakah harta yang dituntut oleh plaintif menepati
kehendak konsep harta sepencarian berdasarkan hukum Syarak dan undang-undang. Seksyen 2 Akta Undang-
Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan:
'harta sepencarian' ertinya harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut
syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syara';
[8] Seksyen 58 Akta yang sama pula memperuntukkan:
Page 4 of 6
Daud Anderson Macdonald v Norabi' ah bt Muda, [2011] 1 SHLR 62
(1) Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu
perintah perceraian, memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa
perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu
dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.
…
(3) Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat
perintah perceraian, memerintah supaya
[2011] 1 SHLR 62 at 67
apa-apa aset yang diperolehi dalam masa perkahwinan dengan usaha tunggal satu pihak kepada
perkahwinan itu dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu
dibahagi antara pihak-pihak itu.
…
(5) Bagi maksud seksyen ini, rujukan-rujukan mengenai aset yang diperolehi dalam masa perkahwinan
termasuklah aset-aset yang dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan itu yang telah dimajukan pada
sebahagian besarnya dalam masa perkahwinan itu oleh pihak yang satu lagi itu atau dengan usaha
bersama mereka.
[9] Berdasarkan peruntukan tersebut harta sepencarian boleh wujud dalam tiga keadaan seperti yang dinyatakan
oleh Dato' Hj Ismail bin Yahya HMTS di dalam kes Norlia binti Abdul lwn Md Yusof bin A Rahman [2004] 18(1) JH
133 iaitu:
Pertama: harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa menurut
syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum Syarak, dengan usaha bersama mereka;
Kedua: harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa menurut
syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum Syarak, dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan
itu.
Ketiga: aset-aset yang dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan itu yang telah dimajukan pada
sebahagian besarnya dalam masa perkahwinan itu berkuat kuasa menurat syarat-syarat yang ditentukan
oleh hukum Syarak oleh pihak yang satu lagi itu atau dengan usaha bersama suami isteri.
[10] Selanjutnya di dalam kes Aimi Nazura binti Nawi lwn Mohamad Sobri bin Ahmad [2008] 26(1) JH 27,
Mahkamah Rayuan menyatakan:
Walaupun tidak ada perkataan harta sepencarian dalam hukum Syarak secara nyata, namun ia adalah adat Melayu yang
telah diterima pakai dan mendatangkan kebaikan kepada kaum wanita. Di dalam Islam, apabila 'adat' atau uruf diakui
kebaikannya dan telah diberi pengiktirafan undang-undang, kedudukannya adalah menjadi suatu peraturan atau
perundangan yang mesti diikuti dan dikuat kuasakan.
Di dalam kaedah fiqh atau Qawaid al-Fiqhiyyah menyatakan:
Adat itu diperakui dan diberi pengiktirafan undang-undang.
[2011] 1 SHLR 62 at 68
Sesuatu yang diterima mengikut adat samalah kedudukannya seperti sesuatu yang dibuat mengikut Syarak.
Walaupun harta sepencarian asalnya adalah adat Melayu, namun kedudukannya tidak lagi sebagai adat tetapi ianya
bertukar menjadi satu peraturan atau perundangan yang mesti diikuti dan dikuat kuasakan.
[11] Di dalam kes ini, defendan menyatakan bahawa harta yang menjadi isu dalam kes ini diperolehi sebelum
perkahwinan pihak-pihak dan adalah hak milik mutlak defendan. Pihak-pihak telah bernikah pada 2 Januari 2004
dan bercerai pada 26 Disember 2007. Manakala harta yang menjadi pertikaian iaitu sebuah hartanah di Prima
Damansara, Jalan Chempenai, Bukit Damansara, Kuala Lumpur dibeli atas nama defendan dan pinjaman
defendan pada 27 November 2003 iaitu hampir dua bulan sebelum pernikahan. Dengan itu defendan
menghujahkan bahawa harta tersebut tidak menepati takrifan dan konteks harta sepencarian.
Page 5 of 6
Daud Anderson Macdonald v Norabi' ah bt Muda, [2011] 1 SHLR 62
[12] Plaintif di dalam keterangannya mengakui bahawa perjanjian jual beli dibuat sebelum pernikahan pihak-pihak
dan dia mengetahui pembelian tersebut kerana dia bersama dengan defendan bersetuju untuk membeli rumah
tersebut dengan harga RM600,000. Di dalam proses pembelian rumah itu, plaintif telah membayar deposit
sebanyak RM48,000 pada 19 November 2003 melalui cek HSBC yang dibayar kepada pemaju hartanah itu iaitu
Liew Na Na @ Liew Nuo Nuo sebelum perjanjian jual beli ditandatangani. Salinan cek ini telah ditanda sebagi ID9
dalam ikatan dokumen plaintif pada ms 77.
[13] Selain bayaran deposit, plaintif juga menyatakan telah membuat bayaran lain bagi tujuan pembelian rumah
tersebut yang berjumlah RM290,000 pada 9 Februari 2004 iaitu selepas pernikahan melalui cek HSBC kepada
peguam pemaju iaitu Yap Liew & Partners. Salinan cek ini telah ditanda sebagai ID6 dalam ikatan dokumen plaintif
pada ms 17. Manakala baki bayaran rumah tersebut telah dijelaskan melalui pinjaman dari Citibank yang dibuat
oleh defendan yang berjumlah RM250,000 lebih. Plaintif juga menyatakan dia telah membuat bayaran ansuran
bulanan rumah tersebut bermula April 2004 hingga Disember 2007 secara standing instruction (arahan tetap
pelanggan) melalui akaunnya di Citibank dengan jumlah bayaran yang berbeza sebulan. Salinan penyata akaun
plaintif yang menunjukkan arahan tersebut telah ditandakan sebagai ID8.
[14] Plaintif menyatakan lagi walaupun dia membuat bayaran-bayaran tersebut, akan tetapi nama hak milik harta
tersebut diletak atas nama defendan atas nasihat untuk menyegerakan urusan jual beli harta. Ini kerana bagi bukan
warga Malaysia seperti plaintif untuk membeli hartanah di Malaysia perlu
[2011] 1 SHLR 62 at 69
mendapat kebenaran daripada Foreign Investment Committee (FIC). Kenyataan ini tidak disanggah oleh defendan.
[15] Berdasarkan kepada keadaan-keadaan tersebut plaintif menyatakan rumah tersebut merupakan harta
sepencarian walaupun perjanjian jual beli harta tersebut dibuat sebelum perkahwinan, akan tetapi sebahagian
besar bayaran pembelian harta telah dibuat oleh plaintif semasa dalam perkahwinan. Fakta ini diakui oleh defendan
ketika disoal balas oleh wakil plaintif dengan menyatakan sebahagian harga rumah berjumlah lebih kurang
RM340,000 dibayar oleh plaintif dan dokumen ID6 dan ID9 adalah daripada akaun plaintif.
[16] Mahkamah berpendapat dalam kes ini walaupun harta tersebut dinamakan dengan nama pihak defendan,
tetapi ia tidak menjadi halangan untuk plaintif menuntut harta sepencarian. Ini sebagaimana yang dijelaskan di
dalam kitab al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siasah al-Syar'iyyah, Ibnu Qayyim al-Juziyyah, cetakan Dar al Ihya al-
Ulum, Beirut, tanpa tarikh, ms 30 menyebutkan:
Di antaranya ialah, di kalangan ahli perundangan Islam telah sepakat berpendapat bahawa di dalam kes tuntutan antara
suami isteri yang sama-sama berusaha dalam mendapatkan harta rumah tangga dan sebuah kedai, tuntutan yang
sedemikian hendaklah diterima berdasarkan keterangan yang membuktikan tuntutan itu. Sebenarnya di dalam persoalan
ini, pemilikan sesuatu harta itu tidak dikira hanya semata-mata berdasarkan nama yang tertera di dalam harta itu. Setakat
nama yang tertera di dalam sesuatu harta itu belum tentu membuktikan pemilikannya. Kenyataan sebegini adalah kerana
seandainya diambil kira hak milik sesuatu harta semata-mata mengikut nama yang tertera di dalam harta itu, maka
nescaya serban yang dipakai di kepala seseorang yang merampas serban kepunyaan orang lain akan dikira sebagai
serban kepunyaan perampas itu, sedangkan pengiktirafan yang sedemikian adalah suatu kezaliman dan tidak diambil kira.
[17] Selain daripada itu, plaintif telah memberikan sumbangan dalam memperolehi harta tersebut dengan
membuat bayaran deposit (ID9) dan bayaran lain melalui cek (ID6) dan ansuran bulanan (ID8) bagi tujuan
pembelian harta itu yang sebahagian besar dibuat dalam tempoh perkahwinan.
[18] Defendan di dalam hujahannya menimbulkan isu bahawa dokumen-dokumen yang diekshibit oleh plaintif
dalam perbicaraan masih lagi kekal sebagai ID dan wajar ditolak oleh mahkamah. Dalam isu ini semasa
perbicaraan pihak plaintif telah mengemukakan saksi untuk menyokong wujudnya dokumen ID6 dan ID9. Saksi
plaintif yang bernama Chin Yoke Thong @ Than Yoke Thong yang bertugas sebagai pengurus jualan di bahagian
perkhidmatan pembiayaan peribadi (personal financial services) mengesahkan
[2011] 1 SHLR 62 at 70
bahawa salinan cek yang ditanda ID6 dan ID9 adalah dikeluarkan daripada akaun plaintif di HSBC yang bernombor
201—208907—108.
[19] Plaintif juga telah mengemukakan saksi Edward JayaSiri De Silva yang bertugas sebagai pegawai
Page 6 of 6
Daud Anderson Macdonald v Norabi' ah bt Muda, [2011] 1 SHLR 62
perhubungan di Citibank bagi menyokong kebenaran kandungan ID8. Saksi mengesahkan bahawa pihak plaintif
ada membuat arahan standing instruction kepada Citibank terhadap akaun simpanannya di Citibank untuk
membuat pembayaran kepada pihak ketiga. Kenyataan kedua-dua saksi ini tidak disanggah oleh defendan semasa
perbicaraan. Berdasarkan kepada keadaan tersebut maka mahkamah mengiktiraf dan menerima dokumen-
dokumen tersebut.
[20] Di samping itu defendan di dalam keterangannya semasa soal balas mengakui bahawa pembayaran-
pembayaran tersebut dibuat oleh plaintif bagi tujuan pembelian rumah tersebut. Dengan itu mahkamah
menegaskan sekali lagi bahawa rumah yang menjadi subject matter dalam kes ini adalah harta sepencarian.
[21] Mengenai isu yang seterusnya, iaitu apakah sumbangan plaintif dalam usaha mendapatkan aset di No 8, B-1-
8, Prima Damansara, Jalan Chempenai, Bukit Damansara, 50490 Kuala Lumpur. Saya berpuas hati bahawa
beberapa fakta berkenaan sumbangan plaintif yang tidak dipertikaikan:
Plaintif ada menyumbang berjumlah RM48,000 iaitu bagi bayaran deposit pembelian rumah berkenaan
pada 19 November 2003.
Plaintif ada membuat bayaran sebanyak RM290,000 bagi tujuan pembelian rumah tersebut pada 9
Februari 2004.
Plaintif membuat bayaran ansuran bulanan rumah dari April 2004 sehingga Disember 2007 secara
standing instruction berjumlah RM57,027.14 dengan bayaran berbeza sebulan ada RM1,174.70, RM1,600,
RM1,705.44 dan RM2,000 sebulan.
[22] Berdasarkan kepada fakta bayaran di atas jelas menunjukkan bahawa plaintif telah menyumbangkan secara
langsung dalam mendapatkan rumah iaitu dengan membuat pembayaran sebanyak RM395,027.14. Dengan itu
mahkamah berpendapat, plaintif adalah berhak untuk mendapatkan nilaian apa yang telah dia sumbangkan dalam
perolehan rumah tersebut. Ini sebagaimana yang dinyatakan di dalam s 58(2) Akta Undang-Undang Keluarga
Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 yang memperuntukkan:
(2) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (1), Mahkamah hendaklah mengambil perhatian tentang —
takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi
memperolehi aset-aset itu;
[2011] 1 SHLR 62 at 71
KEPUTUSAN
[23] Berdasarkan kepada alasan-alasan tersebut mahkamah memerintahkan:
Tuntutan plaintif untuk mengisytiharkan sebuah rumah di alamat No 8, B-1-8, Prima Damansara, Jalan
Chempenai, Bukit Damansara, 50490 Kuala Lumpur, sebagai harta sepencarian antaranya dengan
defendan dibenarkan. Dengan itu mahkamah memerintahkan harta tersebut sebagai harta sepencarian
antara plaintif dan defendan.
Dengan itu mahkamah memerintahkan bahawa hartanah tersebut hendaklah dijual dan plaintif berhak
untuk mendapat 60% dari hasil bersih jualan tersebut iaitu setelah ditolak baki pinjaman atau hutang; atau
Defendan membayar jumlah pada perenggan (b) kepada plaintif jika hartanah tersebut tidak dijual.
Plaintiff's claim allowed.
Reported by Ashgar Ali Ali Mohamed
End of Document