[go: up one dir, main page]

Academia.eduAcademia.edu
IMAM MUSLIM DISEDIAKAN OLEH: Pelajar ISMP Pendidikan Islam Dan Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah Universiti Pendidikan Sultan Idris Sesi 2009/2010 Hasil Kerja Ini Hanyalah Untuk Sekadar Pengkongsian Ilmu Semata-Mata, Tidak Dibenarkan Untuk Mengedarkan atau Menjual Kepada Umum. 1.0 Pengenalan Tugasan ini akan membincangkan dengan lebih terperinci mengenai kitab sahih Muslim yang merangkumi riwayat kehidupan Imam Muslim, tujuan Imam Muslim menghasilkan kitab sahihnya serta perkembangan kitab tersebut. Selain itu, tugasan ini turut akan menganalisis mengenai metodologi pengumpulan hadith-hadith yang digunakan oleh kitab sahih Muslim dengan menghuraikan beberapa keistimewaan serta kelemahan kitab sahih Muslim. Perkembangan ilmu sentiasa berterusan dari semasa ke semasa dan tidak akan pupus sehinggalah berlakunya kiamat. Manusia sentiasa memerlukan ilmu kerana ia akan mendekatkan lagi diri seseorang itu dengan Penciptanya. Maksud firman Allah S.W.T : “Diangkat oleh Allah S.W.T orang-orang yang beriman di antara Kamu dan orang-orang yang diberikan ilmu dengan beberapa darjat ” Al Mujadalah : 11 Al-Qur'an dan al-Hadis merupakan dua sumber ilmu yang terdapat di dalam Islam. Segala ilmu yang bersumberkan nas-nas al-Qur'an dan al-Hadis dikenali sebagai ilmu naqli. Kebenaran yang terkandung di dalamnya merupakan kebenaran yang bersifat mutlak dan di luar jangkaan pengetahuan manusia. Hadis dari segi bahasa bermaksud baru, atau perkhabaran, sama ada perkhabaran itu sedikit atau banyak1. Menurut ibnu hajar, hadis ialah apa-apa yang disandarkan kepada nabi Muhammad s.a.w iaitu dari segi perkataan, perbuatan, takrir, gerak laku dan diam samada di masa jaga atau tidur. 2 Menurut kitab Manhatul al Mughis Fi ‘iImi Hadith, menyatakan bahawa hadis bermaksud perkataan, perbuatan dan pengakuan (taqrir) Rasulullah saw. Sesetengah ulama menambah sifat-sifat Rasulullah saw sendiri sebagai termasuk di dalam pengertian hadis.3 1 2 3 Mohd Napiah Abdullah. Ikhtisar Sejarah Perkembangan Dan Kaedah Penyusunan Hadith. 1989.Dewan Bahasa Dan Pustaka Selangor Darul Ehsan. Hal 16. Mohd Napiah Abdullah . Ikhtisar Sejarah Perkembangan Dan Kaedah Penyusunan Hadith. 1989.Dewan Bahasa Dan Pustaka Selangor Darul Ehsan. Hal 17. Jurnal Kajian Takhrij Hadith Sahih Berkaitan Dengan Iman Yang Diriwayatkan Oleh Imam Bukhari Dan Muslim. Wan Hasan Bin Wan Embong. Pusat Pengajian Islam Dan Pembangunan Sosial. UTM. Hal 9. Pengumpulan hadis-hadis Nabi saw sebagai sumber rujukan Islam dimulai oleh Ali bin al-Mawafi (234H) iaitu guru kepada Imam Bukhari. Bermula daripada situlah lahirnya usahausaha untuk memisahkan hadith-hadith yang benar dan palsu yang terdapat dalam masyarakat. Ekoran itu maka lahirlah beberapa kitab Hadith yang masyhur seperti al-Jami’ as Sahih susunan Imam al-Bukhari ( 256 H ) dan al Jami’ as-Sahih susunan Imam Muslim (261H). Kedua-dua kitab tersebut dikenali dengan nama as-Sahahain. Selepas kitab ini maka lahirlah pula empat buah kitab yang di namakan As- Sunnan al-Arba’ah iaitu Sunan Abi Daud (275H), Sunan Al Tirmizi (271H), Sunan An-Nasa’i (303H) dan Sunan Ibnu Majah (277H). Kitab-kitab asSahahain dan Sunan al-Arba’ah ini juga dinamakan oleh ulama sebagai al-Kutub as-Sittah.4 Ternyata dalam perkembangan ilmu hadith Imam Bukhari dan Imam Muslim telah mengembangkan lagi pengumpulan hadis-hadis sahih yang datang daripada Nabi Muhammad S.A.W. 2.0 Biodata Imam Muslim 2.1 Riwayat Hidup Imam Muslim Nama sebenar Imam Muslim ialah Abu al-Husain Muslim bin al-Hajjjaj bin Muslim bin al-Ward al-Qusyairi al-Naisaburi. Nama kunyah beliau ialah Abu Al-Hassan.5 Imam Muslim merupakan seorang imam dalam pengajian hadis yang boleh dipercayai, hafizh, penulis dan ahli fiqih. Beliau juga merupakan seorang pengarang kitab yang paling masyhur dalam kalangan muslim iaitu Shahih Muslim. Beliau dilahirkan pada Rejab tahun 206 Hijrah iaitu pada 821 Masihi. Tempat kelahiran beliau adalah di Naisabur. Beliau telah meninggal dunia pada 5 Rejab tahun 261 Hijrah iaitu pada 15 April 875 Masihi.6 Imam Muslim berasal daripada kabilah al-Qusyair bin Ka’ab bin Rabi’ah bin Amir bin Sha’sha’ah yang merupakan sebuah kabilah besar yang melahiran ramai ulama.7 Beliau berasal daripada keturunan yang mulia, terhormat dan terdidik 4 Jurnal Kajian Takhrij Hadith Sahih Berkaitan Dengan Iman Yang Diriwayatkan Oleh Imam Bukhari Dan Muslim. Wan Hasan Bin Wan Embong. Pusat Pengajian Islam Dan Pembangunan Sosial. UTM. Hal 7. 5 Hadi Mahsan. Pengenalan Kitab-Kitab Hadis Sunan Muslim. 1985. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 6 Rosmawati Ali@ Mat Zain. Siri Tokoh Hadis Imam Muslim. 2010. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 7 Imam an- Nawawi. Syarah Shahih Muslim , Jilid I. 2009. Jakarta Timur: Darus Sunnah Press. dalam keluarga yang berilmu. Imam Muslim juga terkenal dengan sifat dermawan dan merupakan seorang peniaga yang kaya. Sejak beliau masih kanak-kanak beliau merupakan seorang yang rajin menuntut ilmu, mempunyai kecerdasan yang luar biasa, mempunyai daya ingatan yang kuat, kemahuan yang tinggi dan seorang yang tekun dalam menuntut ilmu. Ketika usiannya berusia 10 tahun beliau telah menghafaz al-Quran dan hadis berserta dengan sanadnya. Ketika usiannya masih remaja beliau telah merantau ke negara-negara islam untuk mencari ilmu. Tempat utama yang beliau tuju ialah pusat-pusat ilmu pada masa seperti Iraq, Hijaz, Syam, Mesir dan lain-lain. 8 Beliau telah merantau di Khurasan dan berguru dengan Yahya bin Yahya dan Ishak bin Rahawiah. Kemudiannya beliau merantau di Ray dan berguru dengan Muhammad bin Mahran dan Abu Ansan.9 Salah seorang gurunya yang bernama Muhammad Ibn Basyar telah menyenaraikannya sebagai salah seorang daripada empat Hafiz dalam hadis. Empat orang Hafiz tersebut ialah al-Bukhari, Abu Zur ah, al-Darimi dan Muslim. Ketiga-tiga pakar hadis yang disebut bersama imam Muslim merupakan guru kepada imam Muslim. Imam Muslim sering kali pergi ke Bagdad untuk belajar hadits, dan kunjungannya yang terakhir tahun 259H. Ketika Imam Bukhari datang ke Naisabur, Imam Muslim berguru dengannya kerana mengetahui kelebihan ilmu Imam Bukhari. Ketika berlaku ketegangan di antara Imam Bukhari dengan Imam az--Zuhali, Imam Muslim memihak kepada Imam Bukhari. Sehinggalah hubungannya dengan Imam az-Zuhali terputus. Dalam kitab shahihnya dan kitab lainnya, Imam Muslim tidak memasukkan hadis yang diterima dari Imam az-Zuhali, meskipun dia adalah guru kepada Imam Muslim. Beliau juga tidak memasukkan hadis yang diterima daripada imam Bukhari sedangkan imam Bukhari juga adalah gurunya. Walaupun beliau tidak meletakkan Imam Bukhari dan Imam az-Zuhali tetapi beliau tetap mengakui mereka sebagai gurunya. 8 Al- Imam Muslim. Terjemahan Shahih Muslim, Jilid I,II,III, IV. 2003. Singapore: Darel Fajr Publishing House. 9 Ibid. 2.2 Pendidikan 2.2.1 Guru-Guru Imam Muslim Imam Muslim mempunyai ramai guru antaranya ialah Ibrahim bin Khalid AlYasykuri, Ibrahim bin Dinar At-Tamar, Sa’id b. Mansur,’abd b. Humaid, Dhuhali, Ibn Abi Shaibah dan ramai lagi. Beliau juga pernah berguru dengan Imam Bukhari yang merupakan salah seorang imam hadis yang terkenal. 2.2.2 Murid-Muridnya Setelah beliau menjadi seorang yang terkenal di dalam ilmu hadis , ramai penuntut dalam pengajian hadis yang ingin belajar hadis dengan beliau. Antara muridmuridnya ialah At- Tarmizi( Muhammad bin Isa), Ahmad bin Muslimah, Al- Hafiz Soleh bin Muhammad, Ibn Khuzaimah,Abu Amr Ahmad bin Nashr Al-Khafaf Al- Hafizh, Ibrahin bin Muhammad bin Hamzah dan ramai lagi. 2.3 Karya- karya Imam Muslim Imam muslim mengarang banyak kitab-kitab Hadis. Antara kitab karangan beliau ialah Al- Jamak Al- Soheh, Al-Asma’ wal-Kuna, Irfadus Syamiyyin, Al-Arqaam, AlIntifa bi Juludis Siba’, Auhamul Muhadditsin, At-Tarikh, At-Tamyiz, Al-Jami’, Hadits Amr bin Syu’aib, Rijalul ‘Urwah, Sawalatuh Ahmad bin Hanbal, Thabaqat, Al-I’lal, Al-Mukhadhramin, Al-Musnad al-Kabir, Masyayikh ats-Tsawri, Masyayikh Syu’bah, Masyayikh Malik, Al-Wuhdan, As-Shahih al-Masnad dan banyak lagi.10 Kitab yang paling mahsyur karangan Imam Muslim ialah Shahih Muslim. Shahih Muslim adalah sebuah kitab hadis yang tidak asing dalam kalangan ahli-ahli hadis. Kitab ini merupakan kitab yang kedua dari segi sahihnya setelah Shahih Bukhari. 10 http://members.tripod.com/fitrah_online/thema/des98/1298muslim.htm. 29 September 2011. 3.0 Perkembangan Sahih Muslim Dalam khazanah ilmu-ilmu Islam, khususnya dalam bidang ilmu hadis, nama Imam Muslim begitu masyhur, setara dengan gurunya iaitu Abu Abdullah Muhammad bin Ismail alBukhari al-Ju’fy atau lebih dikenal dengan nama Imam Bukhari. Bersama Shahih Bukhari, Shahih Muslim merupakan kitab paling shahih sesudah Al-Quran. Namun kebanyakan berpendapat bahwa diantara kedua kitabnya, kitab Al-Bukhari lebih Shahih. Imam Muslim banyak menulis kitab diantaranya ialah kitab Shahih Muslim, kitab AlIlal, kitab Auham al-Muhadditsin, kitab Man Laisa lahu illa Rawin Wahid, kitab Thabaqat atTabi’in, kitab Al Mukhadlramin, kitab Al-Musnad al-Kabir ‘ala Asma’ ar-Rijal dan kitab AlJami’ al-Kabir ‘alal abwab.11 Di antara kitab-kitab di atas yang paling agung dan sangat bermanfaat luas, serta masih tetap kekal hingga kini ialah Al Jami’ as-Sahih, terkenal dengan Sahih Muslim. Kitab ini merupakan salah satu dari dua kitab yang paling sahih dan murni sesudah Kitabullah. Kitab Sahih ini juga diterima baik oleh segenap umat Islam. Langkah imam Muslim adalah mengikut jejak gurunya imam Bukhari yang menulisdan mengumpul hadis sahih dalam kitabnya. Oleh itu, imam Muslim telah mengerahkan seluruh kemampuannya untuk meneliti dan mempelajari keadaan para perawi, menyaring hadits-hadits yang diriwayatkan, membandingkan riwayat riwayat itu satu sama lain. Imam Muslim sangat teliti dan hati-hati dalam menggunakan lafaz-lafaz, dan selalu memberikan isyarat akan adanya perbezaan antara lafaz-lafaz itu. Dengan usaha yang sedeemikian rupa, maka lahirlah kitab Sahihnya.12 Namun begitu, nama kitab ini pada asalnya sebagaimana di naqalkan oleh Doktor Muhammad Mustafa al-A’zami dari ibn Khoir iaitu al-Musnad as-Sohih al-Mukhtasar min al-Sunan bi naqalul A’dil ‘an Rasulullah. Akhirnya kitab ini di namakan Sahih Muslim iaitu Sahih menunjukkan bahawa hadis-hadis yang 11 Muhammad Mustafa Azam. Kajian Metodologi dan Penulisan Hadith. Hal 135-136. Dewan Bahasa dan Pustaka. 12 http://ahlulhadist.wordpress.com/2007/09/29/imam-muslim-202-261-h/. 26 September 2011. terdapat di dalamnya adalah sahih dan Muslim adalah nama orang yang mengumpulkan hadishadis sahih dalam kitabnya.13 Imam Muslim di dalam penulisan Sahihnya tidak membuat judul setiap bab secara terperinci. Adapun judul-judul kitab dan bab yang didapati pada sebahagian naskah Sahih Muslim yang sudah dicetak, sebenarnya dibuat oleh para ulama yang mensyarah dan meringkaskan hadis yang datang terkemudian. Di antara ulama yang paling baik membuatkan judul-judul bab dan bersistematik adalah Imam Nawawi dalam Syarahnya.14 Perkembangan penyusunan sahih muslim adalah bertujuan menyusun sahihnya sebagai tindak balas kepada persoalan semasa yang berlaku ketika zamannya iaitu kitab-kitab hadis sebelumnya bercampur aduk antara hadis sahih dan hadis yang tidak sahih. Oleh itu, beliau menyusun hadis sahih sahaja yang mengandungi hokum-hukum agama untuk menjadi rujukan kepada pengkaji-pengkaji Islam dalam merumuskan hokum syarak serta kepada mereka yang belum mempunyai ilmu yang luas di dalam bidang hadis. Walaupun imam Bukhari telah menyusun sahihnya mengikut bab, namun kitab ini menjadi kesukaran kepada orang Islam untuk mencari sesuatu hadis di dalamnya.15 Selain itu, timbulnya gerakan pemalsuan hadis yang di lakukan oleh golongan zindik, tukang cerita dan orang yang mengaku sebagai ahli tasawwuf tetapi jahil agama. Mereka ini sangat merbahaya kerana cuba memesongkan orang Islam dari ajaran yang sebenarnya dengan membuat pemalsuan-pemalsuan terhadap hadis. Oleh kerana itu, imam Muslim telah menyusun kitabnya dengan mengumpulkan hadis sahih agar umat Islam pada ketika itu tidak tertipu dengan gerakan tersebut. 16 13 Hadi Mahsan. Pengenalan Kitab-kitab Hadis Sunnan Sittah. Hal 91. Dewan Bahasa dan Pustaka 1985. 14 Hadi Mahsan. Pengenalan Kitab-kitab Hadis Sunnan Sittah. Hal 113-112. Dewan Bahasa dan Pustaka 1985. 15 Mohd. Napiah Abdullah. Iktisar Sejarah Perkembangan dan Kaedah Penyusunan Hadis. Hal. 172. Dewan Bahasa dan Pustaka. 1989. 16 Hal. 173 Kemunculan kitab Sahih Muslim adalah kerana Imam Muslim mahu mengembalikan fikiran orang Islam daripada terus terpesong oleh golongan-golongan tersebut kepada cahaya kebenaran. Imam Muslim telah mengumpul hadis sahih dalam bentuk yang mudah di fahami terutam kepada mereka yang bukan ahli di dalam bidang hadis. 4.0 Metodologi Penulisan Kitab Sahih Muslim. Kitab hadis Sahih Muslim telah ditahqiqkan oleh Imam Nawawi menggunakan pelbagai disiplin ilmu metodologi hadis. Terdapat dua metodologi yang digunakan dalam menulis kitab sahih Muslim iaitu metodologi secara umum berkaitan dengan kitab ini dan metodologi penulisan yang khusus yang telah digunakan oleh Imam Muslim dalam penulisan hadisnya. Metodologi umum, dari segi penggunaaan tulisan, Imam Muslim menggunakan tulisan dalam bentuk Khat Nasakh. Beliau menulis tajuk atau kitab, bab, sanad, matan dan ayat al-Quran. Tulisan hadis ditulis dengan saiz yang kecil. Beliau meletakkan baris pada semua kalimah, hadishadis serta ayat-ayat al-Quran. Dari segi penyusunan kitab, kitab ini dimulakan dengan terjemahan Imam Muslim yang dikarang oleh Imam Nawawi. Terjemahan ini memuatkan serba sedikit tentang biodata Imam Muslim sama ada dalam kehidupan mahupun pendidikan. Kemudian, Imam Nawawi mengulas tentang Kitab Sahih Muslim secara ringkas dan menguraikan sedikit metodologinya. Penulisan beliau disertakan dengan Mukaddimah yang didahului dengan basmalah. Seterusnya, masuk kepada kitab pertama hingga kitab terakhir iaitu dimulai dengan kitab Iman dan berakhir dengan kitab Tafsir. Jumlah tajuk yang terdapat dalam Sahih Muslim ada kemungkinan berbeza antara edisi dengan edisi yang lain. Menurut satu pendapat di dalam sahih Muslim, terdapat 54 kitab yang di catatkan di dalam kitab tersebut.17 Tajuk utama diletakkan pada setiap helaian muka surat yang baru dan ditebalkan tulisan. Setiap hadis disambung dengan sanad dan matan yang sahih dan pada penghujung hadis diletakkan ayat-ayat al-Quran bagi menguatkan hadith tersebut. Berdasarkan kepada metodologi yang digunakan dalam kitab Sahih Muslim ini, beliau menyebut kalimah Haddasani dan Haddasana sebelum dinyatakan sanad dan matan hadis 17 Hadi Mahsan. Pengenalan Kitab-Kitab, Hadis Sunan Muslim. 1985. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia. Hal 106. tersebut. kemudian, beliau meletakkan bilangan hadis pada setiap tajuk dan disertakan juga dengan nombor hadis yang tidak berulang. Ini bertujuan memudahkan para pengkaji dan pembaca membuat rujukan pada kitab syarah Sahih Muslim dan dapat mengetahui bilangan hadis yang terdapat pada setiap tajuk dengan mudah. Dari segi gaya bahasa, Imam Muslim menggunakan bahasa yang sederhana, boleh difahami dan diterjemahkan sesuai dengan proses pembelajaran. Beliau memuatkan hadis-hadis yang mudah diingati dan difahami. Metodologi secara khusus, Imam Muslim mengambil masa selama 16 tahun untuk menyelesaikan susunan kitabnya dengan membuat kajian terhadap 300 000 hadis yang dikumpul pada peringkat awalnya. Beliau membahagikan kitabnya kepada beberapa tajuk yang dinamakan kitab berjumlah 54 kitab. Walaupun Imam Muslim menyusun kitab sahihnya kepada beberapa kitab, tetapi beliau tidak membawa tajuk-tajuk bab seperti yang terdapat dalam Sahih Bukhari. Perkara ini merupakan suatu perbezaan yang nyata antara Sahih Bukhari dengan Sahih Muslim. Imam Muslim menyusun hadis dengan sanad yang berlainan pada satu tempat. Jika terdapat kelainan lafaz pada sesuatu riwayat, beliau akan menerangkan bahawa lafaz hadis itu daripada perawi itu. Beliau menjelaskan hal tersebut dengan perkataan al-lafz lahu. Kaedah seperti ini menunjukkan ketelitian dan sifat amanahnya dalam meriwayatkan hadis.18 Imam Muslim juga mendahului sahihnya dengan suatu pendahuluan dengan menerangkan objektif penyusunannya, menerangkan bahawa seseorang itu hendaklah meriwayatkan hadis daripada perawi yang thiqah dan jangan meriwayatkan hadis daripada perawi yang dusta dan juga menerangkan bahawa hadis al-Mu’an’an boleh dijadikan hujah.19 Seperti Imam Bukhari, Imam Muslim juga tidak menegaskan dengan jelas dalam sahihnya syarat-syarat perawi yang diterima hadis mereka. Ahli-ahli hadis telah mengkaji hadishadis yang terdapat dalam Sahih Muslim dan mereka telah merumuskan bahawa Imam Muslim mensyaratkan bahawa hadis yang diriwayatkan itu mestilah diriwayatkan oleh perawi-perawi yang thiqah sehingga sampai kepada peringkat sahabat dan sanadnya pula hendaklah berhubung Mohd.Napiah Abdullah,1989, “Ikhtisar Sejarah perkembangan dan Kaedah Penyusunan Hadith”, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, hlm.172-173. 19 Ibid, hlm.173. 18 dari awal sanadnya sampai kepada sahabat yang menerima hadis daripada Rasulullah SAW. Namun begitu, terdapat beberapa orang yang ditinggalkan oleh Imam Bukhari dari meriwayat hadis mereka, telah diterima oleh Imam Muslim setelah beliau meneliti kebenaran hadis-hadis yang diriwayatkan oleh perawi-perawi tersebut. Antara perawi-perawi tersebut ialah Hammad bin Salamah, Suhail bin Abu Salih, Dawud bin Hindun, Abu Al-Zubir dan al-‘Alak bin Abd. alRahman.20 Ciri-ciri karya kitab Sahih, Imam Muslim tidak memberi perhatian pada petikan hukum. Beliau juga tidak menyebut bab-bab yang ditambahnya kemudian. Perkara yang lebih diberi perhatian ialah mutaba’at dan syawahid. Kedudukan kitab ini adalah selepas sahih Bukhari dan beberapa banyak penulisan tentang hadis dapat dikeluarkan daripada kitab ini. Imam Muslim telah mempersembahkan kitabnya kepada seorang pengkritik hadis yang teragung iaitu Abu Zur’ah. Apa-apa kecacatan hadis yang didapati oleh Abu Zur’ah, maka Imam Muslim membuangnya tanpa bantahan kerana beliau tidak mahu mencatat hadis-hadis sahih menurut kriterianya sahaja. Beliau mencatat hadis-hadis hanya daripada perawi-perawi yang ketulenan hadis-hadis mereka diterima dalam kalangan ulama. Ini jelas daripada kenyataan beliau sendiri dalam kitab sahih bahawa beliau mencatat hadis yang diterima ramai sahaja sebagai suatu yang tulen.21 Jumlah hadis yang terdapat dalam Sahih Muslim adalah sebanyak 7275 hadis yang berasal daripada 300 000 hadis yang dikumpul pada peringkat awalnya. Apabila dikira hadis yang tidak berulang, maka jumlahnya adalah sebanyak 4000 hadis.22 Menurut perkiraan Muhammad Fuwad ‘Abd al-Baqi, Sahih Muslim mengandungi 3033 bilangan hadis. Kaedah perkiraannya tidaklah berdasarkan sistem isnad, tetapi berdasarkan tajuk-tajuk sahaja. Lazimnya kita ketahui bahawa ahli-ahli hadis menghitung berdasarka isnad. Oleh itu, jika kita 20 Ibid. Hal 173. Muhammad Mustafa Azami. (ter: Engku Ibrahim Engku Ismail). 1989. Kajian Metodologi dan Penulisan Hadith. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia. Hal 136-137. 22 Mohd.Napiah Abdullah,1989. Ikhtisar Sejarah perkembangan dan Kaedah Penyusunan Hadith. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia. Hal 172. 21 menggunakan kaedah mereka itu, maka bilangannya akan bertambah mungkin dua kali ganda.23 Imam Muslim telah menerangkan sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Khatib Al-Baghdadi bahawa beliau telah mengumpulkan hadis-hadis yang terdapat di dalam sahihnya itu daripada 300 000 hadis yang telah dipelajarinya. Daripada jumlah tersebut beliau telah memilih 4000 hadis. Tidak termasuk yang berulang. Jika termasuk yang berulang, jumlahnya melebihi hadis Sahih Bukhari kerana Imam Muslim membanyakkan thariq(jalan) dalam hadis yang dikumpulkan itu. Menurut al-‘Araqi(seorang Ulama’hadis) sebagaimana yang dinaqalkan oleh Al-Suyuti ialah sebanyak 12 000 hadis.24 5.0 Keistimewaan dan Kelemahan 5.1 Keistimewaan Sahih Muslim Keistimewaan kitab hadis Sahih Muslim ialah mengandungi 7275 buah hadis Sahih termasuk hadis yang matannya disebut secara berulang kali. Manakala jumlah hadis yang matannya tidak berulang ialah sebanyak 4000 buah hadis. Hadis-hadis ini telah dibahagikan kepada 54 tajuk kecil yag dikenali sebagai kitab.25 Tajuk-tajuk tersebut merangkumi pelbagai bidang, antaranya ialah ibadah muamalah, jihad, zikir, doa serta fada’il al-a’mal. Menyerlahkan lagi keistimewaan Sahih Muslim ini, ialah ianya disusun mengikut bab tanpa mencampur aduk antara satu sama lain. Hal ini, lebih mudah dirujuk oleh para pengkaji. Selain itu juga, kitab sahih ini turut memuatkan hadis yang ditinggalkan oleh al-Bukhari. Keistimewaan lain yang terdapat dalam sahih ini ialah: 1. Tidak ada sebarang penambahan atau pengurangan dalam kitab Sahih ini sejak dari zaman beliau sehingga selepas kewafatan beliau dan berlarutan sehingga sekarang. 23 Muhammad Mustafa Azami. (ter: Engku Ibrahim Engku Ismail). 1989. Kajian Metodologi dan Penulisan Hadith. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia. Hal 137. 24 Hadi Mahsan. Pengenalan Kitab-Kitab, Hadis Sunan Muslim. 1985, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia. Hal.93. 25 Rosmawati Ali @ Mat Zin. Imam Muslim. Hal 19. 2. Majoriti ulama telah bersepakat dan mengiktiraf kedudukan kitab Sahih Muslim sebagai kitab kedua selepas Sahih al-Bukhari. 3. Sahih Muslim adalah pelengkap kepada kitab gurunya iaitu Sahih al-Bukhari. Hal ini diakui oleh Imam Muslim dengan mengatakan: “aku kumpulkan hadis-hadis supaya aku dan orang yang menulis hadisku mempunyai satu kumpulan hadis yang tidak diragui kebenarannya”.26 4. Kaedah penulisan atau metodologi yang digunakan dalam mengumpulkan matan-matan hadis adalah berbeza dalam satu riwayat walaupun dalam bab yang sama. Kaedah ini berbeza dengan metodologi al-Bukhari. 5. Pengumpulan segala jalan hadis adalah dilakukan pada satu tempat untuk memudahkan pembaca dan pengkaji untuk mencari dan mengeluarkan hukum daripadanya. 6. Pengulangan yang berlaku dalan hadis cuba dielakkan supaya tidak banyak hadis yang berulang-ulang. 5.1.1 Ulasan penulis Menurut penulis, apabila menerangkan keistimewaan yang terdapat pada kitab Sahih Muslim, penulis dapat menyimpulkan bahawa kemasyuhran kitab Sahih Muslim tidak perlu diperkatakan lagi kesahihannya kerana nama itu sahaja telah memberi jaminan kepada kita mengenai hadis-hadis yang diriwayatkan olehnya. Semua orang percaya mengenai hadis yang diriwayatkan olehnya. Contohnya “Hadis Riwayat Muslim”. Banyak ulama hadis memberi pujian keatasnya. Buktinya, Imam Nawawi telah berkata: “Alim ulama telah bersepakat bahawa kitab al-Bukhari dan Muslim ialah kitab yang sahih selepas al-Quran”27. Antara lain ialah beliau mengatakan: “Imam Muslim telah memilih jalan dan cara yang sangat teliti sekali untuk kitab Sahihnya. 26 27 Rosmawati Ali @ Mat Zin. Imam Muslim. Hal 20. H.A Razak dan H. Rais Lathief. Terjemahan Hadis Sahih Muslim. Jilid 1. Hal 35. 5.2 Kelemahan Beliau mengakui apa yang dilakukan itu masih belum sempurna. Beliau pernah berkata: “tidak semua hadis dalam kitabku ini adalah hadis sahih Aku hanya meletakkan hadis yang telah disepakati bersama yakni ulama hadis”.28 Maka tidak hairanlah sekiranya ibnu al-Salah pernah menyatakan bahawa terdapat beberapa hadis dalam sahih al-bukhari dan muslim tidak memenuhi syarat sahihnya. Al-Daruqutni pula menyenaraikan sebanyak 200 hadis yang tidak memenuhi syarat yang ditetapkan yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim.29 Ada juga ulama yang mengatakan bahawa tedapat sebanyak 210 hadis yang tidak memenuhi syarat sahih. 78 daripada hadis riwayat al-Bukhari, 32 hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, dan 100 hadis yang diriwayatkan oleh Muslim. Namun begitu, taraf-taraf yang dikritik ini tidaklah jatuh ketahap hadis dai’f yang keterlaluan seperti hadis maudu’, atau munkar. Da’if yang dimaksukan adalah da’if yang biasa dan tidak menjejaskan autoriti kitab tersebut.30 5.2.1 Ulasan penulis Dalam hal ini, penulis berpendapat bahawa segala kelemahan tersebut mungkin berlaku kesilapan semasa mengkritik hadis-hadis ini. Mungkin para pengkritik tidak melihat dengan lebih banyak rangkaian sanad yang lain untuk mengukuhkan hadis yang diriwayatkan oleh alBukhari dan Muslim. Hal ini kerana, dua tokoh ini bukanlah calang-calang orangnya dari segi warak, ketelitian, berhati-hati dalam meriwayatkan sesuatu hadis. Ini juga, berkemungkinan terdapat kesilapan sewaktu menyalin dan mencetak karya mereka sehingga boleh mencacatkannya. Apatah lagi dikukuhkan lagi dengan kenyataan oleh seorang ulama yang bernama Umar Ibn Sholah. Beliau mengatakan bahawa: “Perbezaan antara kitab al-Bukhari dan Muslim dengan kitab-kitab yang lain ialah hadis-hadis yang termaktub dalam kedua kitab ini tidak perlu dibahas lagi tentang kesahihannya, harus diamalkan dengan mutlak dan tidak bersyarat. Sedangkan yang lain perlu kepada pemeriksaan, ketelitian dan syarat-syarat yang tertentu untuk menentukan kebenarannya”.31 28 Rosmawati Ali @ Mat Zin. Imam Muslim. Hal 27. Rosmawati Ali @ Mat Zin. Imam Muslim. Hal 28. 30 Rosmawati Ali @ Mat Zin. Imam Muslim. Hal 28. 31 H.A Razak dan H. Rais Lathief. Terjemahan Hadis Sahih Muslim. Jilid 1. Hal 36. 29 5.3 Kritikan terhadap Sahih Muslim Seperti yang kita ketahui, semua kitab yang disusun oleh para ulama ada kelemahannya masing-masing dan tidak terlepas daripada kritikan. Ini kerana mereka juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Dalam kitab hadis Sahih Muslim terdapat dua kritikan iaitu dari segi sanad dan juga matan. 5.3.1 Kritikan terhadap sanad Imam Nawawi dalam Muqaddimah Sahih Muslim telah menyebut bahawa Imam Muslim telah membahagikan hadis kepada tiga bahagian,32 iaitu: 1. Hadis yang diriwayatkan oleh para hufaz yang muttaqin. 2. Hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang tidak diketahui keadaan peribadinya. 3. Hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang daif yang tidak boleh diterima hadisnya. Berhubung dengan kenyataan di atas, Imam Muslim hanya meriwayatkan hadis daripada golongan pertama dan golongan kedua sahaja. Ini menunjukkan bahawa Imam Muslim ada meriwayatkan hadis dari golongan perawi yang dianggap daif yakni perawi dalam golongan yang kedua, yang mempunyai ingatan dan kemahiran yang sederhana dan berada dalam keadaan tidak diketahui peribadinya. Oleh sebab demikian, terdapat golongan tertentu telah mencaci beliau. 5.3.1.1 Ulasan penulis Menurut pandangan penulis, Imam Muslim merupakan manusia biasa yang tidak terlepas dari kesalahan. Namun begitu, ianya bukanlah bermaksud Imam Muslim itu seorang yang lemah bahkan beliau seorang ulama yang terkenal dengan kehebatannya dalam pelbagai aspek khususnya dalam bidang hadis. Tambahan gelaran al-Imam diberikan kepadanya. Semestinya beliau akan meriwayatkan hadis daripada perawi yang diyakini olehnya. Oleh itu, penulis 32 Hadi Mahsan. Pengenalan Kitab-Kitab, Hadis Sunan Muslim. 1985, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia. Hal. 96. menggunakan pendapat yang dikemukakan oleh seorang ulama yang bernama al-Imam Abu ‘Amru bin Solah untuk menolak segala cacian yang dilontarkan kepada Imam Muslim.33 1. Perawi itu adalah siqah walaupun daif menurut pandangan orang lain. Dalam hal ini, kita tidak boleh menyalahkan Imam Muslim dengan berhujah al-Jarh Muqaddam ‘ala Ta’dil yakni celaan didahulukan daripada sanjungan. Maksudnya jika terdapat pada perawi tersebut orang yang memuji dan mencela maka hendaklah diutamakn mencela. Dalam kes ini, perlu diambil perhatian bahawa al-Jarh yang diutamakan dari Ta’dil ialah al-Jarh yang disertakan dengan sebab. Maka tidak boleh diutamakan daripada Ta’dil. Begitulah juga keadaannya dengan perawi-perawi yang majruh yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. 2. Kelemahan yang ada pada perawi itu, berlaku selepas Imam Muslim meriwayatkan hadis daripada mereka. 5.3.2 kritikan terhadap Matan Kritikan yang terdapat pada matan hadis Sahih Muslim contohnya dalam bab AlFitan yakni mengenai hadis yang berhubung dengan al-Dajjal. Sebilangan pengkaji hadis telah meragui hadis ini. Antara sebabnya ialah: 1. Hadis yang berhubung dengan al-Dajjal itu, bertentangan dengan nas al-Quran. Hal ini kerana, dalam al-Quran Allah berfirman: 33 Hadi Mahsan. Pengenalan Kitab-Kitab, Hadis Sunan Muslim. 1985, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia. Hal.97.                                             Mereka menanyakan kepadamu tentang kiamat: "Bilakah terjadinya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan tentang kiamat itu adalah pada sisi Tuhanku; tidak seorangpun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia. kiamat itu amat berat (huru haranya bagi makhluk) yang di langit dan di bumi. kiamat itu tidak akan datang kepadamu melainkan dengan tiba-tiba". mereka bertanya kepadamu seakan-akan kamu benar-benar mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan tentang bari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak Mengetahui".34 Oleh yang demikian, jika al-Dajjal datang sebelum qiamat maka ianya bermaksud qiamat tidak datang secara tiba-tiba. 2. Hadis-hadis yang berhubung dengan al-Dajjal, berbeza diantara satu dengan yang lain. 3. Hadis-hadis yang berhubung dengan al-Dajjal, menerangkan bahawaaDajjal merupakan fitna yang paling besar sebelum berlakunya kiamat. Oleh itu mengapa alQuran tidak menerangkan perkara ini? 5.3.2.1 Ulasan penulis 34 Al-Quran. Surah al-I’raf, ayat:187. Jawapan kepada pengkritik ialah ada perkara perlu diperhatikan iaitu: 1. Hadis-hadis mengenai al-Dajjal tersebut telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitabnya Sahih al-Bukhari dalam bab al-Fitan. Hadis-hadis ini juga disebut oleh al-Tirmizi dalam kitabnya sunan al-Tirmizi dalam bab al-Fitan. Seterusnya diriwayatkan oleh Abu Daud dalam sunannya, Ibnu Majah dalam Sunan Ibnu Majah, Ahmad bin Hanbal dalam Musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal dan Malik bin Anas dalam Muwatta’. Ini menunjukkan bahawa hadis-hadis ini tidak perlu diragui lagi kerana ianya telah diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan Sunan yang lain. 2. Kritikan yang mengatakan bahawa ianya tidak diterangkan dalam al-Quran. Jika dilihat dalam perspektif yang luas, banyak perkara yang tidak diterangkan dalam alQuran secara jelas. Contohnya mengenai bilangan rakaat dalam sembahyang. Ini menunjukkan tidak semua perkara dijelaskan dalam al-Quran dan ianya akan dijelaskan dalam hadis nabi. Apapun yang wajib ke atas kita adalah berpegang teguh dengan al-Quran dan hadis. 5.4 Perbandingan di antara sahih Bukhari dan sahih Muslim Imam bukhari adalah merupakan guru kepada imam muslim dan kedua-dua mereka merupakan ulama yang sangat mahir di dalam bidang hadis, oleh itu dari segi penguasaan ilmu di dalam bidang hadis, imam bukhari adalah lebih dari sudut penguasaan berbanding dengan imam muslim. Di tambah pula dengan keadaan ketika zaman tersebut tidak ada ulama yang lebih alim daripadanya berkenaan dengan bidang hadis. Usaha imam bukhari mengumpulkan hadis-hadis sohih di dalam kitabnya iaitu sohih bukhari telah mendapat perhatian daripada muridnya yang paling setia iaitu imam muslim. Kedua-dua ulama tersebut telah membuat pengakuan bahawa usaha pengumpulan hadis mereka hanya merangkumi hadis-hadis yang sohih sahaja. Namun begitu, setelah dikaji terdapat sedikit perbezaan di antara kedua-dua kitab hadis tersebut yang mana perbezaan tersebut telah mengangkat kesahihan salah satu kitab melebihi kitab yang lagi satu. Ulama berpendapat bahawa kitab sohih bukhari adalah lebih tinggi nilainya berbanding dengan kitab sohih muslim dari beberapa sudut iaitu seperti dari sudut perawi hadis. Terdapat perawi-perawi yang mana hanya diriwayatkan oleh imam bukhari sahaja yang mana tidak diriwayatkan oleh imam muslim seramai lebih daripada 430 orang perawai dan daripada jumlah tersebut perawi yang dikritik dan dikatakan lemah adalah seramai 80 orang perawi. Sedangkan perawi-perawi yang diriwayatkan oleh imam muslim dan tidak diriwayatkan oleh imam bukhari ialah seramai 620 orang perawi dan daripada jumlah tersebut, dikatakan seramai 60 orang. Hadis yang diriwayatkan oleh orang yang tidak dikritik adalah lebih tinggi nilainya daripada orang yang dikritik. Namun begitu, kritikan tersebut tidak sampai menjejaskan pengesahan hadis tersebut. Imam bukhari tidak banyak meriwayatkan hadis daripada kalangan perawi-perawi yang dikritik kecuali daripada hadis daripada ikrimah yang diambil daripada ibnu abbas. Sedangkan imam muslim banyak meriwayatkan hadis daripada perawi yang dikritik seperti abi zabir yang diambil daripada jabir, sahil yang diambil daripada bapanya, I’lak bin abdul rahman daripada bapanya, himad bin salamah daripada shabit dan lain-lain lagi. Perawi-perawi yang dikritik itu sendiri adalah kebanyakkanya daripada guru imam bukhari sendiri. Beliau mengenali mereka dan mengetahui keadaan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh mereka sama ada sah atau tidak hadis-hadis tersebut. Manakala perawi-perawi imam muslim yang dikritik pula kebanyakkanya bukan daripada kalangan gurunya sendiri malah tidak sezaman dengan mereka. Perawi-perawi tersebut adalah daripada kalangan tabi’in atau selepas mereka. Secara jelasnya, seorang ahli hadis itu adalah lebih memahami perawi-perawi yang dapat dicapainya daripada perawi-perawi yang mereka tidak pernah berjumpa. Seterusnya adalah imam bukhari meriwayatkan hadis daripada perawi peringkat yang kedua bukan sebagai asal sedangkan imam muslim menjadikannya sebagai asal. Perbezaan yang seterusnya adalah berkenaan dengan bilangan hadis dan martabat hadis di dalam kedua-dua kitab sohih tersebut. Hadis sohih bukhari mengandungi sebanyak 9082 hadis termasuk hadis-hadis yang berulang. Jumlah ini tidak termasuk hadis mauquf kepada sahabat dan hadis maqtuq kepada tabi’in dan golongan selapas mereka. Hadis sohih bulhari yang mausul dan tidak berulang berjumlah 2602 manakal hadis muallaq dan marfuq berjumlah 159. Imam Bukhari telah membahagikan hadis-hadis di dalam sohihnya mengikut bab iaitu sebanyak 96 bab bermula dengan bab penurunan wahyu hinggalah I’tisom bil Kitab wa Sunah. Imam muslim telah menerangkan sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Khatib alBaghdadi bahawa beliau telah mengumpulkan hadis-hadis yang terdapat di dalam sohihnya itu daripada 300,000 hadis yang telah dipelajarinya. Manakala daripada jumlah tersebut beliau iaitu imam muslim telah memilih hanya 4000 hadis sahaja tidak termasuk yang berulang. Jika diambil kira bilangan hadis yang berulang maka bilangan hadis di dalam sohih muslim melebihi bilangan hadis di dalam sohih bukhori. Hal tersebut adalah kerana imam Muslim membanyakkan toriq iaitu jalan di dalam hadis yang dikumpulnya. Menurut al-A’roki iaitu seorang ulama’ hadis sebagaimana yang dinakolkan oleh as-Syuyuti ialah sebanyak 12000 hadis. Seterusnya Imam Muslim pula telah membahagikan hadis-hadis di dalam kitab sohihnya kepada 54 bab iaitu dimulai dengan bab iman hinggalah kepada bab tafsir. 5.4.1 Ulasan penulisan Berikut adalah merupakan sedikit perbezaan yang terdapat di dalam dua buah karangan yang sangat bermanfaat dan merupakan rujukan kedua selepas kitab suci al-Quran.Namun begitu kajian ini bukanlah bertujan untuk menjatuhkan martabat salah satu kitab hadis tersebut akan tetapi untuk mendalami metod serta kaedah yang digunakan oleh kedua-dua imam tersebut dalam menyempurnakan kitab sohih mereka tersebut. 6.0 Penutup Secara keseluruhannya, kitab sahih Muslim telah memuatkan beratus-ratus kategori dari berbagai-bagai bab yang menyentuh persoalan iman hinggalah kepada akhlak. Penggumpulan kepelbagaian hadis-hadis ini telah banyak membantu umat Islam membuat rujukan dalam bidang-bidang yang berkenaan. Tambahan itu, kitab sahih Muslim adalah salah sebuah kitab yang sahih selepas al-quran dan as-sunnah yang mengandungi hadis yang sanadnya bersambung dan disandarkan kepada Nabi Muhammad saw yang layak dikategorikan sebagai sumber yang dipercayai serta dapat digenggam dengan kemas. Disamping itu, kitab ini mengandungi intipati yang amat berkait rapat dengan kehidupan sosial umat islam. Oleh itu, amatlah sesuai dijadikan panduan dan rujukan dalam kehidupan seharian untuk mencapai kebahagian di dunia dan akhirat. Setelah membincangkan segala intipati yang terdapat dalam sahih Muslim ini, adalah menjadi tanggungjawab bagi umat Islam zaman kini menyambung serta meneruskan lagi usaha dalam mengembangkan hadis-hadis ini sesuai dengan zaman semuanya hanya dihujung jari dengan pendekatan dalam pemantapan iman serta akidah umat Islam di zaman globalisasi kini dengan mudah rapuhnya iman mereka misalnya. Dengan kecanggihan teknologi terkini, kebanyakan hadis-hadis yang sukar diperolehi terutama hadis-hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim ini akan dapat diatasi dengan penggunaan CD ataupun melayari laman web sahaja, kemudian hanya copy ke dalam file sendiri, seterusnya dapat dijadikan hujah tanpa perlu menaip semula dan menterjemahkannya semula.35 Dikarang Oleh: SITI AISYAH BINTI ISA Izyan Zahida Binti Mat Hussin Rashidah Binti Alias Muhamad Zharif Bin Mattelain Suhailul Muzammil Bin Saud Nurul Syafiqa Binti Samsudin 35 Jurnal Kajian Takhrij Hadith Sahih Berkaitan Dengan Iman Yang Diriwayatkan Oleh Imam Bukhari Dan Muslim. Wan Hasan Bin Wan Embong. Pusat Pengajian Islam Dan Pembangunan Sosial. UTM. Hal 46.