[go: up one dir, main page]

Academia.eduAcademia.edu

Tun Hussein Onn dan Legasinya

TUN HUSSEIN ONN DAN LEGASINYA Ku Hasnan Bin Ku Halim Lutfan Bin Jaes Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia ABSTRAK Kertas ini mengutarakan perbincangan mengenai kepimpinan dan kepentingannya kepada perpaduan dan agenda bangsa dan negara. Tun Hussein Onn adalah merupakan satu-satunya Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia yang mempunyai latar belakang pendidikan ketenteraan. Beliau muncul dalam arena nasional pada 15 Januari 1976, ketika itu seluruh negara masih lagi terpegun, terkejut dan bersedih meratapi pemergian Tun Razak secara tiba-tiba. Tun Hussein Onn mendapat pendedahan awal kepada kegiatan berpolitik dalam usia yang cukup muda iaitu 24 tahun melalui ayahandanya iaitu tokoh nasionalis Dato’Onn Jaafar yang merupakan pengasas parti UMNO yang telah berjaya menyatupadukan umat Melayu sehingga menumbangkan Malayan Union. Pada tahun 1949, apabila Pergerakan Pemuda UMNO di tubuhkan, Hussein dilantik sebagai ketuanya yang pertama. Setahun kemudian pada tahun 1950, Hussein dilantik memegang jawatan setiausaha UMNO. Pada tahun 1951, Hussein mengikut jejak langkah ayahnya meninggalkan UMNO ekoran saranan untuk membuka keahlian UMNO kepada sebuah partai politik pelbagai kaum tidak diterima oleh umat melayu pada ketika itu lantas bertanggungjawab bersama ayahandanya menubuhkan Partai Kemerdekaan Malaya iaitu IMP. Namun beliau telah meninggalkan kegiatan politik kemudiannya untuk melanjutkan pelajaran di dalam bidang undang-undang di Linscon Inn di Landon. Pada tahun 1964, Hussein kembali aktif dalam UMNO atas pelawaan birasnya iaitu Tun Razak dan telah dilantik sebagai seorang Naib yang di Pertuanya pada tahun 1969. Ini diikuti pula oleh lantikan beliau sebagai Menteri Pendidikan, satu kerusi yang disifatkan oleh Tun Razak pada ketika itu kerusi yang begitu sensitif, Menteri Perbadanan Pengurusan Hal Ehwal Awam, Menteri Pertahanan dalam satu rombakan Kabinet pada tahun 1970 dan berikutnya. Beliau terpilih sebagai Presiden UMNO pada September 1978. Walapun agak sedikit tenggelam kepimpinan Tun Hussein kerana dibayangi oleh aura pemimpin-pemimpin yang lain namun Hussein Onn tetap meninggalkan legasinya yang tersendiri dan unik. Negara akan mengenang Tun Hussein Onn sebagai Perdana Menteri Malaysia kerana pengorbanannya yang besar meletakkan kepentingan Negara mengatasi kepentingan yang lain. Keuzuran beliau bukan merupakan kayu penghalang kepada beliau untuk menumpukan tugas beliau terhadap Bangsa, Agama dan Negara. Walaupun tempoh perkhidmatan beliau agak pendek berbanding dengan perdana menteri yang lain iaitu hanya selama 2009 hari, namun kenegarawanan beliau tetap menyerlah dan dirasakan impaknya sehingga ke hari ini. Disamping memperkemas-kukuhkan lagi dasar-dasar dalaman dan luaran negara yang telah dirancang oleh Tun Razak sebelumnya tetapi dalam proses itu juga telah meninggalkan kesan jejaknya tersendiri di dalam sejarah Negara dimana kerja-kerja beliau lebih cenderung mengurangkan populariti tetapi lebih menumpukan kepada apa yang perlu dibuat untuk Negara sepertimana yang diperlihatkan oleh beliau menjelang seratus hari Negara dibawah kepimpinannya. Perdana Menteri Pertama negara, Tunku Abdul Rahman menyifatkan Tun Hussein Onn seperti berikut dalam dunia ini nak dicari orang yang kaya dan pandai bermilion-milion, tetapi nak cari yang jujur hanyalah Tun Hussein Onn, Beliau seorang yang jujur”. Kata kata Tun Hussein Onn yang seringkali kita ingati, ’Tidak ada tugas yang paling murni selain berkhidmat untuk negara, saya tidak penting, apa yang saya lakukan lebih penting’. Pendahuluan Adalah menjadi suatu hal yang sudah jelas bahawa kepentingan pemimpin dan kepimpinan dalam sesebuah institusi ataupun masyarakat dan juga negara adalah satu hal yang tidak dapat dipertikaikan lagi, kerana tanpa pemimpin sesebuah institusi ataupun masyarakat tidak akan dapat berjalan dengan lancar. Justeru Islam mengakui dan memberi perhatian yang berat tentang perlunya pemimpin dalam setiap sistem sosial. Malah Islam menganggap kewujudan pemimpin dalam sesebuah masyarakat atau institusi adalah suatu perkara yang tidak boleh diabaikan. Perbahasan akademik yang berdekad-dekad lamanya tentang makna istilah kepimpinan itu telah melahirkan tidak kurang daripada 350 definisi kepimpinan. Bahkan menurut B.M Bass, banyaknya definisi kepimpinan itu hampir sebanyak orang yang cuba mendefinisikannya. Dalam bahasa Melayu, istilah kepimpinan adalah suatu istilah yang diciptakannya untuk memenuhi makna perkataan ‘leadership’ dalam bahasa inggeris ataupun ‘al Qiyadah’ dalam bahasa Arab. Kamus Dewan hanya memberikan akar kata ‘pimpin’ dan kata terbitannya ‘pimpinan’ yang barangkali dimaksudkan dengan ‘leadership’. Salah satu makna yang diberikan kepada istilah ‘pimpin’ ialah mengepalai atau mengetuai (badan, pergerakan, rapat dan lain-lain) dalam bentuk kiasan, ini membawa makna ‘menunjuk jalan’. Bagaimanapun para pengkaji biasanya mendifinisikan kepimpinan berdasarkan perspektif masing-masing serta berasaskan aspek fenomena yang paling menarik minat mereka. Oleh sebab itu, bersesuaian dengan tajuk kertas kerja ini definisi yang disarankan oleh Fleishman adalah sehaluan bahawa ‘kepimpinan’ adalah usaha kearah pengaruh antara perseorangan yang diarahkan melalui proses komunikasi kearah pencapaian matlamat atau beberapa matlamat’. Adapun perkataan ‘pemimpin’ secara umumnya boleh dikatakan sebagai satu istilah yang ditunjukkan kepada seseorang yang bertindak mengetuai atau mengepalai sesuatu masyarakat, kumpulan, badan, pergerakan dan sebagainya untuk mencapai matlamat kumpulan atau organisasi yang dipimpinnya. Tiap-tiap satu masyarakat mempunyai pemimpinnya sendiri. Pengaruhnya boleh menembusi sempadan negara umpamanya pengaruh agama tidak mengira negara atau bangsa. Penganut agama Khatolik patuh kepada kepimpinan POPE yang bertakhta di Rome. Adakalanya kepimpinannya bertentangan dengan dasar negara yang sama agamanya. Seperti soal pengguguran anak misalnya yang mana menjadi isu topik perdebatan hangat di kalangan penganut agama Khatolik, tetapi POPE itu hanya berpengaruh tanpa berkuasa. Keadaan ini samalah seperti lauk tetapi garamnya kurang, pasti tidak menambahkan perisa kesedapan makanan tersebut. Begitu jugalah perihalnya dengan pengaruh ideologi. Stalin menyebarkan komunisme sepanjang hayatnya, mempengaruhi orang lain, bukan hanya setakat bangsa Russia sahaja atau orang di kampungnya iaitu Georgia yang tidak jauh dari Chechnya. Pengaruhnya sampai ke empat penjuru alam. Berlainan dengan pengaruh Pope, ideologi komunisme pengaruhnya di Hujung Pedang! Apa yang dimaksudkan disini dalam kita mengkaji soal pemimpin, kita tidak boleh lari daripada soal pengaruh kepimpinan itu. Ini bermakna bahawa sesiapa jua yang menjadi pemimpin, besar kemungkinan pemimpin itu bukan sahaja dipunyai oleh kaum, bangsa dan warga di negara yang dipimpin tetapi juga lebih luas daripada itu. Mutu kepimpinan itu tergantung kepada dua aspek iaitu satu kuasanya dan keduanya adalah pengaruhnya. Berkenaan dengan aspek yang pertama iaitu kuasa, ini boleh diperolehi mengikut keadaan. Ada orang yang dilahirkan dengan keadaan berkuasa seperti raja-raja yang memerintah dengan berkuasa penuh atau anak pedagang besar yang mewarisi harta orang tuanya. Ada pula pemimpin itu dipilih ramai dan diberikan kuasa seperti dalam sebuah syarikat yang berjadual publik. Analoginya dalam keadaan ”anjing beruli” dimana siapa yang kuat dia naik keatas dengan sifat sakti atau mempunyai kegagahan yang istimewa seperti bantuan angkatan bersenjata atau kumpulan gelap yang kuat, maka seseorang itu berkuasa dengan cara merampas kuasa. Ada pula yang menerima kuasa hasil daripada pemilihan umum dan ada jua yang diamanahkan memegang kuasa daripada yang berkuasa. Itulah yang dimaksudkan dengan pemimpin politik yang berkuasa. Tetapi kuasa sahaja tidak mempunyai mutu yang tinggi atau berkekalan sekiranya si pemegang kuasa itu bukan seorang pemimpin yang berpengaruh iaitu aspek kedua. Seorang pemimpin murni ialah seorang yang berkuasa lagi berpengaruh. Sifat pemimpin yang berpengaruh adalah mengikut keadaan atau nilai setempat. Lain padang, lain belalang. Umpamanya, seorang ketua kampung, mempunyai sepuluh isteri atau gundik di satu wilayah di Afrika boleh berkuasa dan berpengaruh tetapi seorang Datuk Bandar di Eropah atau mungkin di Malaysia tidak mungkin mengikut budayanya, berpengaruh sekiranya dia mempunyai ramai perempuan simpanan dan gundik? Pemimpin yang mempunyai kewibawaan yang istimewa pandai mengelolakan keadaan bersifat yang boleh menjadi tauladan, mereka itu yang berpengaruh. Bahkan sifat seorang pemimpin itu diharapkan ialah seperti Malaikat. Soal kemajuan Malaysia selalu menjadi tanda tanya kepada orang luar, apakah resepi rahsia atau hikmatnya? Jawapannya mungkin keamanan, kestabilan, keharmonian yang terhasil serta terwujud daripada rakyatnya yang bersatu dan kesanggupan mereka memahami kontrak sosial, taat kepada pemimpin kerana takut di timpa tulah dan sebaliknya dan paling utama kesanggupan untuk berkongsi kuasa. Dan seperkara lagi mungkin perkataan kepimpinan itu berasal daripada perkataan pimpin. Pemimpin itu hendaklah berjalan bersama dengan yang dipimpin dan tidak boleh terlepas pegangan tangan. Sekiranya budaya lain menggunakan istilah pemimpin itu sebagai teras budaya warga dan masyarakat. Kesimpulannya, kepimpinan politik itu berkehendakkan pemimpin bersama-sama dengan yang dipimpin dan mempunyai kuasa yang berpengaruh. Yang dipimpin pula memahami maksud perjuangan pemimpin yang seharusnya ketara lagi jelas dan tegas pendiriannya. Pemimpin dan dipimpin berhaluan satu dan sama sanggup berkongsi untung-nasib buat selama-lamanya. Kajian dan penulisan yang ada menunjukkan bahawa sesebuah negara yang memiliki kepimpinan yang berkesan lebih mudah melalui proses pembangunannya. Keberkesanan kepimpinan ini adalah merujuk kepada kebolehan seseorang pemimpin itu meningkatkan keupayaan memerintah (goverment capability) kerajaan yang diterajuinya dan juga mewujudkan persekitaran politik yang compatible proses perlaksanaan dasar pembangunan negara itu (Tsurutani, 1974;Crone, 1988). Keupayaan memerintah kerajaan dapat dilihat daripada tiga aspek iaitu pertamanya keupayaan regulatif yang merujuk kepada kemampuan kerajaan dalam menggunakan aset legal-coercive dan asset identitive nya dalam mengawasi dan mengawal kelakuan serta sikap politik individu, kumpulan dan rakyat keseluruhannya. Keupayaan ini berkait rapat dengan kemampuan kerajaan melaksanakan tugasnya dalam mewujudkan ketertiban dan stabiliti di dalam masyarakat dan seterusnya negara. Manakala aspek keduanya berkait dengan keupayaan kerajaan di dalam menggembeleng sumber-sumber material dan manusia bagi mencapai matlamat dasar dan program pembangunannya. Keupayaan ini disebut sebagai extractive capability oleh Almond dan Powell (1966). Dimana pada pandangannya sesebuah Negara itu dapat mewujudkan kestabilan yang berpanjangan dan mengalami pembangunan apabila pemimpin, kerajaan dan Negara berkenaan memiliki keupayaan yang tinggi, samada secara langsung atau tidak langsung dalam mengumpul sumber modal yang diperlukan. Tun Hussein Onn Hussein Onn merupakan satu-satunya Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia yang mempunyai latar belakang pendidikan ketenteraan. Sebelum meletusnya peperangan dunia kedua, Hussein Onn bersama dua orang lagi anak kelahiran Johor iaitu Ibrahim Ismail dan Ungku Ahmad dihantar ke India oleh kerajaan Johor untuk menjalani latihan ketenteraan di Pusat Latihan Tentera India dan dihantar kebeberapa negara di Timur Tengah. Hussein mendapat pendedahan awal kepada kegiatan berpolitik melalui ayahandanya iaitu Dato’ Onn Jaafar yang merupakan pengasas parti tersebut. Pada tahun 1949, apabila Pergerakan Pemuda UMNO di tubuhkan, Hussein dilantik sebagai ketuanya yang pertama. Setahun kemudian pada tahun 1950, Hussein dilantik memegang jawatan setiausaha UMNO. Pada tahun 1951, Hussein mengikut jejak langkah ayahnya meninggalkan UMNO untuk menubuhkan Partai Kemerdekaan Malaya iaitu IMP tetapi meninggalkan kegiatan politik kemudiannya untuk melanjutkan pelajaran di dalam bidang undang-undang di Landon. Pada tahun 1964, Hussein kembali aktif dalam UMNO dan dilantik sebagai seorang Naib yang di Pertuanya pada tahun 1969. Ini diikuti oleh lantikan beliau sebagai Menteri Pendidikan dalam satu rombakan Kabinet pada tahun 1970. Pada 8 Ogos 1973, Hussein dilantik sebagai Timbalan Presiden menggantikan Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketiga pada 15 Julai 1976 dan terpilih sebagai Presiden UMNO pada September 1978. Ketegasan dalam menangani masalah dan Rasuah Kepulangan kerahmatullah Tun Razak secara mengejut telah menyerlahkan dua masalah di dalam parti. Pertama ialah cakap-cakap yang menyatakan bahawa Tun di kelilingi oleh sekumpulan kecil penasihat yang mempunyai pengaruh tetapi lebih berkiblat kepada negara-negara sosialis-komunis seperti Soviet Union dan China. Keduanya kemunculan Datuk Harun Idris sebagai pemimpin Pergerakan PEMUDA UMNO yang begitu berpengaruh dan begitu lantang mengkritik dari dalaman kerajaan dan badan induk parti UMNO yang membawa kepada politik berpuak-puak dan berpasukan. Jika dilihat dari sudut dasar luar dalam era Tun Razak, ternyata bahawa Tun sudah mengubahnya daripada berkiblat ke Barat semasa di zaman Tunku kepada dasar berkecuali tetapi sebenarnya mulai menjalin hubungan yang rapat dengan negara blok sosialis. Malahan kunjungan Tun Razak ke negara China pada tahun 1972 merupakan suatu peristiwa sejarah dan ketua negara yang pertama dari kalangan negara-negara Asean yang berbuat demikian. Kunjungan ke Republik China ini yang membawa kepada termeterainya hubungan diplomatik dan kebudayaan antara China dan Malaysia mempunyai kesan jangka panjang melumpuhkan gerakan menentang kerajaan Malaysia oleh Partai Komunis Malaya. Dalam masa beberapa bulan sahaja selepas Tun Razak meninggal dunia. Hussein Onn bertindak secara tegas dan berani untuk menyelesaikan kedua-dua masalah di atas. Pertama ialah membersihkan UMNO dan kerajaan daripada pengaruh ideologi sosialis-komunis yang dikatakan telah berjaya menjauhkan puak nasionalis daripada Tun Razak. Mereka ini yang merupakan penasihat-penasihat penting kepada Tun Razak, telah ditangkap dan dipenjarakan dan dengan itu sekaligus membersihkan UMNO daripada fahaman kiri-sosialis. Masalah kedua ialah pengaruh Pergerakan Pemuda yang sedang berkembang kerana ketokohan dan populariti Datuk Harun Idris selaku ketuanya dan juga sebagai Menteri Besar Selangor. Datuk Harun dianggap sebagai wira bagi orang Melayu ketika itu kerana memimpin orang-orang Melayu dalam pertelagahan dengan bukan melayu yang membawa akibat kepada meletusnya rusuhan kaum 13 Mei 1969. Pergerakan Pemuda UMNO pada masa itu amat lantang bersuara sehingga kehadirannya seolah-olah sebagai parti-dalam-parti. Keadaan ini juga membawa kepada wujudnya kecenderungan berpuak-puak di dalam UMNO yang boleh menghalang perpaduan sesama ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO. Masalah kewangan yang dihadapi oleh Pergerakan Pemuda UMNO kerana pinjaman dari Bank Rakyat Malaysia yang berjuta ringgit banyaknya kerana membiayai kedatangan jaguh tinju dunia Muhammad Ali membawa kepada tuduhan rasuah dan pecah amanah. Datuk Harun Idris di bawa ke mahkamah dan dibicarakan dan akhirnya di dapati bersalah. Selaku salah seorang Naib Presiden yang juga pemimpin kanan parti, Datuk Harun mengharapkan campurtangan UMNO supaya beliau dibebaskan dari tuduhan atau setidak-tidaknya hukuman penjara yang dijatuhkan terhadapnya di kurangkan. Tetapi sesuai dengan peribadinya yang tegas dan berdisiplin tinggi serta patuh kepada undang-undang dan keputusan mahkamah, maka Tun Hussein selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO menjauhkan dirinya daripada campur tangan dalam kes ini. Hukuman penjara terhadap Datuk Harun tetap dilaksanakan mengikut proses undang-undang. Berkaitan dengan peristiwa di atas, maka beberapa pertukaran jawatan berlaku terhadap kepimpinan di peringkat negeri dan pegawai-pegawai tertinggi kerajaan. Sebahagian daripada pertukaran jawatan ini mempunyai kaitannya dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Salah satu ciri penting atau trade mark kepimpinan Hussein Onn ialah ketegasannya memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Hussein memberikan sepenuh kebebasan kepada Badan Pencegah Rasuah menyiasat sesiapa sahaja yang disyaki melakukan kesalahan ini dan mereka yang bersalah tidak akan diberikan perlindungan politik. Kejatuhan Kerajaan PAS di Kelantan Dalam Pilihanraya Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1959, parti PAS telah berjaya merampas negeri Kelantan dengan Cuma dua kerusi di menangi oleh PERIKATAN. Dalam Pilihanraya berikutnya pada tahun 1964 dan 1969, PAS masih terus dapat menguasai Kelantan. Setelah berlaku peristiwa Berdarah 13 Mei 1969, demi untuk perpaduan Melayu, keamanan dan kestabilan politik negara, PAS telah menyertai kerajaan campuran dan kemudiannya menjadi salah sebuah parti komponen dalam Barisan Nasional apabila BN diasaskan pada tahun 1974. Baik di peringkat negeri mahupun diperingkat pusat, PAS adalah salah sebuah parti yang memerintah. Sesudah Pilihanraya Umum dalam Dewan Undangan Negeri pada tahun 1974, Dato’ Mohd Asri yang memegang jawatan Menteri Besar Kelantan menjadi anggota Parlimen dan dilantik sebagai Menteri Penuh dalam Kerajaan Persekutuan. Tempatnya digantikan oleh Dato’Mohd Nasir dan Parti PAS. Tiga tahun kemudian, krisis berlaku diantara PAS dan UMNO di negeri Kelantan. Dato’ Mohd. Nasir dipandang lebih banyak memihak kepada UMNO dan kerajaan Pusat dan dirasakan perlu diturunkan dari kerusi Menteri Besar oleh pucuk pimpinan PAS. Dalam satu sidang Dewan Undang Negeri pada 15 Oktober 1977, usaha untuk menyingkir Dato’ Mohd Nasir selaku Menteri Besar dilakukan dan berjaya. Krisis ini diekori oleh bantahan dan tunjuk perasaan oleh penyokong kedua-dua parti UMNO dan PAS yang menjadi meruncing sehingga hampir berlaku rusuhan. Kerajaan pusat bertindak segera dengan mengistiharkan keadaan darurat manakala kerajaan negeri digantung. Parti PAS membantah keputusan kerajaan Pusat dan mengambil keputusan untuk keluar daripada Barisan Nasional. Sementara itu, persediaan dibuat bagi memulihkan pemerintahan demokrasi menerusi pilihanraya dewan Undangan Negeri. Sebuah parti serpihan dari PAS, parti BERJASA pimpinan Datuk Mohd Nasir ditubuhkan dan terus diterima sebagi anggota Barisan Nasional. Perancangan yang begitu rapi dibuat oleh pemimpin pusat serta kempen besar-besaran dilakukan untuk merampas Kelantan daripada tangan PAS . dalam Pilihanraya Dewan Undangan Negeri yang diadakan pada 11 Mac 1978. Barisan Nasional memenangai majoriti besar mengalahkan PAS ke atas Kelantan selama 18 tahun yang lalu. Peristiwa bersejarah bagi UMNO dan Barisan Nasional ini berlaku semasa UMNO dan Barisan Nasional dipimpin oleh Tun Hussien Onn. Pelancaran Amanah Saham Nasional Dasar Ekonomi Baru yang diasaskan pada awal era Tun Razak mempunyai cita-cita besar untuk meningkatkan penguasaan Bumiputera dalam modal saham daripada kira-kira 5% kepada 30% dalam masa 20 tahun. Juga usaha harus ditingkatkan untuk penglibatan Bumiputera dalam bidang perdagangan secara lebih berkesan. Tun Hussein Onn yang mengambil alih kepimpinan kerajaan dan parti dari Tun Razak memperkenalkan suatu pembaharuan iaitu melancarkan tabung amanah saham Nasional (ASN) pada 20 April 1981. Amanah Saham Nasional mendapat sambutan luar biasa dalam menggalakkan Melayu-Bumiputera menabung dengan cara membeli saham. Ratusan juta modal Melayu-Bumiputera dapat dikumpulkan melalui skim ini yng kemudianny diperluaskan dengan pengenalan satu lagi tabung amanah iaitu Amanah Saham Bumiputera. Kedua-dua tabung ini telah membantu meningkatkan peratus pemilikan saham oleh bumiputera dalam syarikat-syarikat perniagaan swasta. Pemilihan Beberapa Pemimpin Muda Sebagai pelapis Sewaktu Hussein Onn dilantik sebagi Perdana Menteri, beliau mengambil masa yang agak lama untuk memilih timbalannya dari kalangan Naib Presiden. Terdapat tiga tokoh iaitu Ghafar Baba, Tengku Razaleigh Hamzah dan Dr. Mahathir Mohamad. Dari kalangan Ahli Majlis Tertinggi, Ghazali Shafie dilihat sebagai tokoh yang paling popular dan amat rapat hubungannya dengan Allahyarham Tun Razak. Ada kalangan yang tidak menolak juga membuat kejutan dengan melantik Presiden Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah untuk memegang jawatan Menteri Kewangan. Ada antara mereka ini yang kurang berjaya tetapi terdapat juga sebilangan mereka yang berjaya menempa nama dan muncul sebagai tokoh-tokoh penting dalam parti dan kerajaan hari ini. Di antara mereka ini termasuklah Mohd Najib Tun Abd Razak, Rafidah Aziz, Sanusi Junid, Abdullah Ahmad Badawi, Leo Moggie, Paul Leong, Manan Othman, Samy Vellu, Mokhtar Hashim dan Dr. Nik Hussien. Disamping itu, Hussien melantik Mustaffa Jabbar sebagai Setiausaha Agong dan Haji Embong Yahya sebagi Ketua Penerangan. Bolehlah disimpulkan bahawa Hussien Onn mempunyai kebolehan yang istimewa dalam mengenalpasti tokoh-tokoh yang berwibawa sebagai pelapis untuk menerajui parti dan kerajaan demi untuk memastikan kelangsungan perjuangan meningkatkan martabat bangsa Melayu-Bumiputera. Dasar Luar Negara Sama seperti Dasar Ekonomi Baru dan dasar-dasar lain untuk meningkatkan martabat bangsa Melayu, untuk dasar luar Hussein Onn meneruskan usaha yang dimulakan oleh Tun Razak untuk berbaik-baik dengan semua negara termasuk blok sosialis-komunis. Kunjung-mengunjung diantara Malaysia dan negara-negara Barat dipertingkatkan. Walaubagimanapun, Hussein Onn mengambil inisiatif yang khas untuk merapatkan hubungan di antara Malaysia dan negara-negara tetangga dalam Asean seperti Indonesia, Thailand, Singapura, Brunei dan filipina. Beliau meletakkan keamanan di rantau ini sebagai keutamaan dalam dasar luarnya. Penilaian Sumbangan Hussein Onn Diantara empat orang Perdana Menteri Malaysia dari 1957 hingga 1996, Tun Hussein Onn merupakan Perdana Menteri yang paling pendek jangka masanya memegang jawatan yang penting. Beliau memegang jawatan Perdana Menteri untuk selama 5 tahun 6 bulan sahaja, bermula pada 15 Januari 1976 dan meletakkan jawatan pada 16 Julai 1981 atas sebab-sebab kesihatan dan selaku Timbalan Perdana Menteri tidak pun sampai 3 tahun menggantikan Tun Dr. Ismail yang meninggal dunia. Jika kita merenung kembali peristiwa penting serta sumbangan yang boleh dikaitkan dengan era Hussein Onn, suatu kejayaan dari segi sejarah politik UMNO dan Barisan Nasional ialah kejayaan merampas Kelantan dari tangan PAS. Sekaligus kejayaan ini mengakhiri monopoli kerajaan PAS ke atas Kelantan. Kedua, Hussein Onn muncul sebagai seorang Perdana Menteri yang amat tegas dalam menangani sesuatu masalah. Beliau percaya kepada undang-undang dan mahkamah untuk memberi keadilan dan menjauhkan gangguan politik terhadap proses undang-undang. Hal ini amat jelas dalam tindak tanduknya memerangi rasuah, pecah amanah dan penyalahgnaan kuasa. Ketiga ialah keyakinan sepenuhnya Hussein Onn terhadap beberapa dasar yang telah diasaskan oleh Tun Razak sebelumnya. Kecuali skim Amanah Saham Nasional, Hussein tidak memperkenalkan dasar-dasar baru tetapi secara tegas melaksanakan segala dasar yang telah diperkenalkan oleh Tun Razak terutama sekali Dasar Ekonomi Baru. Begitu juga dengan dasar luar Malaysia, Hussein meneruskan dasar berkecuali yang diasaskan oleh Tun Razak. Keempat ialah kebijaksanaan Hussein memilih golongan pelapis untuk mengisi jawatan-jawatan penting dalam kerajaan dan politik. Kebijaksanaan Hussein yang paling menyerlah ialah pemilihan Dr.Mahathir untuk memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, seorang yang pada waktu itu merupakan golongan tokoh muda. Ternyata Dr. Mahathir dan beberapa pemimpin lain yang ditonjolkan oleh Hussein, seperti Rafidah, Mohd Najib, Sanusi Junid, Leo Moggie serta ketiga-tiga Menteri Besar Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan tidak menghampakan kepercayaan Hussein Onn terhadap mereka. Kesimpulan Telah menjadi satu kelumrahan bahawa setiap Perdana Menteri Malaysia dikaitkan dengan satu gelaran yang mencerminkan sumbangan yang dijadikan trade mark seseorang itu semasa memegang jawatan sebagai Perdana Menteri. Walaupun gelaran itu bukanlah sesuatu yang resmi, ia kelihatan mendapat perhatian dan diterima baik oleh masyarakat umum tanpa mempersoalkan kesesuaian gelaran itu. Tunku Abdul Rahman diberikan gelaran sebagai bapak Kemerdekaan Malaysia yang terangkum di dalamnya kedua-kedua pencapaian iaitu Kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 dan pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Gelaran ini dirasakan wajar diberikan kepada Tunku kerana sepanjang memegang jawatan sebagai Perdana Menteri diantara Ogos 1957 dan September 1970 untuk selama 13 tahun dan selaku Yang Di Pertua UMNO selama hampir 20 Tahun dan peristiwa ini merupakan kejayaan yang terbesar dicapai oleh UMNO dan kerajaan. Sumbangan Dato Onn Jaafar adalah menubuhkan UMNO dan menentang Malayan Union sehingga terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu. Dato Onn tidak sampai ke tahap memperjuangkan untuk kemerdekaan tanah air. Amat jelas bahawa fasa pertama Tunku memegang jawatan Yang Dipertua UMNO ialah suatu era Perjuangan Menuju Kemerdekaan dalam ertikata yang sebenarnya. Abdul Razak diberikan gelaran sebagai Bapak Pembangunan. Ini boleh dianggap bertepatan dengan usaha gigih Tun Razak membangunkan sektor luar luar bandar bermula apabila Tun memegang jawatan selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar sehinggalah beliau memegang jawatan Perdana Menteri.Sayugia diingatkan bahawa perlantikan Tun selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO bersempena dengan pelancaran Dasar Ekonomi Baru pada tahun 1971. Dalam sejarah dan perkembangan kemajuan Malaysia, Dasar Ekonomi Baru merupakan satu batu tanda dan dasar yang amat penting dalam merombak sistem ekonomi kolonial dan meletakkan melayu bumiputera ditempat yang sewajarnya iaitu mendorong mereka membabitkan diri dengan secara cergas dalam bidang pembuatan-perindustrian dan perdagangan. Walaupun Dasar Ekonomi Baru tidak mencapai matlamat untuk memberikan 30 peratus penguasaan Bumiputera dalam sektor perniagaan, tetapi 22 peratus yang dicapai pada tahun 1990 sesudah 20 tahun Dasar Ekonomi Baru dilancarkan meletakkan kedudukan bumiputera tidak dalam keadaan yang cemas dan meruncing seperti pada tahun tahun 1960an dan awal tahun 1970an. Hari ini terdengar sekali sekala Bapak Malaysia Moden yang dikaitkan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri yang ke empat. Malaysia Moden yang dikira dalam konteks gelaran ini ialah Malaysia yang semakin maju dalam bidang ekonomi dan tidak begitu jauh majunya untuk memasuki kelab negara industri. Malah telahpun diramalkan oleh para ahli ekonomi bahawa besar kemungkinannya Malaysia akan muncul sebagai negara Islam yang pertama berjaya menjadi negara perindustrian yang maju. Oleh kerana Malaysia sememangnya sedang menuju kearah itu, gelaran ini juga tidak akan menimbulkan sebarang persoalan ia akan diterima pakai umum. Akhirnya kita berminat pula menilai gelaran yang diberikan kepada Tun Hussein Onn Onn selaku Bapa Perpaduan. Jika ditinjau kedudukan politik Malaysia dan UMNO, kita boleh bersetuju bahawa pada era Hussein Onn merupakan zaman yang agak stabil tetapi tidak secara mutlak. Dalam Barisan Nasional, terdapat pergolakan besar antara dua parti melayu Islam yang terbesar iaitu perpecahan antara PAS dan UMNO yang mengakibatkan keluarnya PAS daripada Barisan Nasional. Dalam perkara ini, kita juga merasakan perpaduan antara parti-parti komponen dalam Barisan Nasional lebih berjaya dikekalkan pada zaman Tun Abdul Razak yang sebenarnya mengasaskan perpaduan dan kerjasama diantara parti pemerintah dengan parti-parti pembangkang semaas period sebelum krisis 13 Mei 1969. Malahan gabungan 3 buah parti dalam Perikatan berjaya disatukan menjadi 10 buah yang dimulakan dengan penubuhan kerajaan campuran diperingkat negeri sebaik-baik sahaja Demokrasi dipulihkan pada tahun 1970. Dari segi perpaduan antara parti-parti komponen, mungkin sumbangan atau kejayaan Tun Razak lebih penting dan menyerlah berbanding dengan Tun Hussein. Satu perkara lagi yang harus diambil ialah krisis antara UMNO (Barisan Nasional) dan Parti USNO Sabah yang timbul akibat ketidaksefahaman antara Tun Hussein Onn DAN Tun Datu Mustapha, bekas Ketua Menteri Sabah. Tahun 1976 ialah era kejayaan parti BERJAYA di bawah pimpinan Tun Fuad Stephens dan Datuk Harris Salleh, yang ditubuhkan pada 15 Julai 1975 sebagai sebuah parti alternatif Melayu Bumiputera kepada USNO. Perlu diakui bahawa krisis dengan parti USNO ini telah timbul semenjak tahun 1975 yang lebih merupakan krisis perebutan kuasa untuk memipin Sabah antara dua gergasi politik di sana, Tun Datu Mustapha dan Tun Fuad Stepehens. Ia merupakan zaman kemerosotan pengaruh dan kejatuhan USNO, walaupun USNO masih merupakan sebuah parti di dalam Barisan Nasional. Dalam hal ini harus diakui bahawa Hussein dengan sifat ketegasannya berjaya mengenepikan pengaruh Tun Mustapha di Sabah dan sebaliknya menonjolkan tokoh muda daripada Sabah seperti Dato’ Haris Salleh sebagai pengganti kepada Allahyarham Tun Dato’ Fuad Stephens untuk memipin BERJAYA dan negeri Sabah. Penyelesaian yang ditangani oleh Hussein Onn. Seperti juga dengan krisis UMNO yang berkaitan dengan masalah Dato’ Harun di Selangor ialah secara menyingkirkan tokoh yang dianggap mengganggu kestabilan sesebuah parti atau negeri tetapi bukannya mencari penyelesaian secara berdamai dan di meja perundingan seperti di bawah kepimpinan Tun Razak. Contoh-contoh diatas menimbulkan persoalan adakah wajar gelaran Bapak Perpaduan dikaitkan dengan kepimpinan Tun Hussein Onn? Kita dapat melihat disini ciri utama di dalam kepimpinan Hussein Onn ialah sifat ketegasan serta keberaniannya di dalam menangani masalah tanpa rasa takut atau menghiraukan sangat sensitiviti dan implikasi politik terhadap tindak tanduk beliau. Jika kita membuat keputusan bahawa gelaran Bapak Perpaduan itu kurang relevan dan bersesuaian, kita mungkin juga masih kurang menemui gelaran yang difikirkan bersesuaian. Namun apa yang dapat kita sama-sama menelusuri pantai-pantai sejarah ialah negara dan parti UMNO di bawah Hussein Onn berada di dalam keadaan stabil dan tenang, walaupun parti-parti politik dalam Barisan Nasional tidak bebas daripada masalah rumah tangga ataupun pergolakan dalaman namun masih mampu diawasi dan ditangani dengan kaedah kaedah yang sewajarnya. Senario perkembangan politik di Sabah mulai tahun 1975 melihat kemunculan sebuah parti politik baru yang berpengaruh, berjaya dengan disokong oleh Kuala Lumpur. Hal ini tidak jauh berbeza dengan senario di Kelantan mulai akhir 1977 yang melihat kemunculan parti Berjasa di sana. Kedua-dua parti serpihan yang dicipta ini berjaya menonjolkan diri dan berkuasa untuk seketika, tetapi jelasnya ia tidak berjaya untuk kekal atau bertahan lama. Persoalannya adakah ini merupakan ciri penting bagi sebahagian besar parti-parti serpihan dalam budaya dan proses politik di Malaysia? Apa yang pastinya kepada kita hadiah dan jasa yang amat terbaik yang telah diberikan oleh beliau ( Tun Hussein Onn) kepada kita adalah dengan melantik Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke empat yang telah mengangkat mertabat negara di persada dunia. Bibliografi:- Akhbar Utusan Melayu, Majlis, Berita Harian, New Straits Times, Star Ahmad Boestamam, Datuk Onn Yang Saya Kenal. Kuala Lumpur: Penerbitan Adabi Sdn. Bhd, 1979 Aziz Zariza Ahmad, Hussein Onn Dengan Era Baru. Kuala Lumpur. Firma Malaysia Publishing, 1979 Khairul Azmi Mohamad, Insan Pejuang Bangsa Melayu Abad ke 20.Johor; Yayasan Warisan Johor. 2000 Kita Terus Maju.Kuala Lumpur; Jabatan Penerangan Malaysia. 1979 Ramlah Adam, Dato’ Onn Jaafar Pengasas Kemerdekaan. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992 Nora Haji Samad, Siri Tokoh Pejuang Negara; Tun Hussein Onn. Kuala Lumpur. Goodmark Interprise, 2003 S.Hashim Ahmad, Hussein Onn Perdana Menteri Kita; Era Perpaduan. Ampang Juz Art. 2001 Shaharom Hussein, Biografi Perjuangan Politik Dato’ Onn Jaafar. Petaling Jaya. Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Berhad. 1985 Ucapan-ucapan Tun Hussein Onn. Kuala Lumpur; Arkib Negara Malaysia. 1981. Nada Petronas. Mac 1982 PAGE 12