Samak
Sebahagian daripada siri berkaitan |
Perundangan Islam (Fiqah) |
---|
Suatu disiplin kajian Islam |
Samak ialah menyucikan kulit haiwan selain anjing dan babi dengan syarat-syarat tertentu. Kaedah samak ini menggugurkan benda asing iaitu daging, lemak, tulang, lendir dan tisu dengan menggunakan bahan-bahan yang bersifat tajam iaitu boleh meluntur dan menyerap kotoran seperti tawas, kulit delima, bahan kimia dan sebagainya. Tujuan ini adalah bukan sahaja untuk menyucikan kulit tersebut tetapi untuk mengelakkan pereputan, melembutkan kulit haiwan, dan menjadikann lebih tahan untuk kegunaan manusia.
Bahan-bahan tersebut dapat menanggalkan dan menghilangkan semua kekotoran dan lendir yang mengandungi kuman-kuman penyakit yang melekat pada kulit binatang tersebut.
Sabda Rasulullah S.A.W. daripada Ibnu Abbas bahawa baginda bersabda dengan maksud "Setiap kulit yang disamak menjadi bersih." [1]
"Samak" turunan kata akar cabang barat Proto-Malayo-Polinesia *samak yang asalnya merujuk kepada spesies mahang putih atau Macaranga tanarius yang mengandungi tanin pada kulit kayunya untuk tujuan membersihkan dan menggelapkan kulit haiwan.[2] Pengungkapan ini turut terlanjut kepada pokok-pokok Eugenia jenis mengeluarkan bahan kimia ini.[3]
Membersihkan kulit haiwan dan manfaatnya
[sunting | sunting sumber]Membasuh kulit selepas menyamak
[sunting | sunting sumber]Menurut pendapat yang sahih, menyamak kulit binatang tidak wajib dibasuh dengan air. Oleh itu, sunat sahaja ketika menyamak kulit itu disertai dengan air. Dalam hal ini apabila kulit berkenaan selesai disamak maka harus ia diperjualbelikan, walaupun ia tidak dibersihkan dengan air.
Akan tetapi dalam masalah menggunakannya untuk kepentingan ibadat solat, seperti dibuat pakaian untuk menutup aurat dan seumpamanya, ataupun untuk kegunaan menyimpan barang yang basuh seperti air dan seumpamanya, tidak harus menggunakan kulit yang telah siap disamak bagi tujuan-tujuan tersebut (untuk dibawa sembahyang dan menyimpan benda yang basah) melainkan setelah dicuci dengan air, walaupun ia disamak dengan bahan yang suci, apatah lagi jika kulit itu disamak dengan menggunakan bahan penyamak yang najis, kerana kulit yang telah disamak itu diumpamakan seperti pakaian yang terkena najis.
Adapun jika dibersihkan najis itu dengan air sebelum kulit itu disamak adalah tidak memadai. Sebagai contoh, jika kulit yang belum disamak itu terkena najis mughallazhah lalu disucikan dengan air sebanyak tujuh kali di mana salah satunya bercampur tanah, maka tidak diterima thaharah (penyucian) itu.[4]
Maka, sungguhpun kulit yang sudah disamak dianggap suci dari segi di mana sebelumnya ia dianggap sebagai bangkai, akan tetapi ia belum boleh dimanfaatkan (kecuali dalam masalah jual beli) melainkan setelah dibersihkan terlebih dahulu dengan air setelah kulit berkenaan siap disamak. Adapun pembersihan kulit dengan menggunakan air sebelum atau semasa kulit disamak adalah tidak memadai.
Penggunaan kulit binatang
[sunting | sunting sumber]Penggunaan kulit binatang yang telah disamak adalah diharuskan dalam Islam sama ada dijadikan kasut, pakaian atau sebagainya.
Bagi penganut agama Islam, anjing dan babi itu keduanya adalah najis mughallazah (najis berat). Selain ditegah memakan daging babi dan anjing, ditegah juga memanfaatkan segala anggota binatang itu seperti kulit, bulu dan sebagainya, kerana babi dan anjing itu sendiri adalah najis al-‘ain.) Maka, penyamakan kulit babi dan anjing tidak menjadikan status kulit kedua-dua kulit tersebut suci walau apa kaedah sekalipun.
Sesuatu yang basah atau cecair yang datang daripada najis anjing, dan babi, seperti tahi, kencing, air liur, peluh dan darah adalah najis. Begitu juga sesuatu yang kering daripadanya seperti bulu dan kulit apabila disentuh dalam keadaan basah juga adalah najis. Cara menyucikan daripada najis ini, hendaklah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali. Salah satu daripadanya air yang bercampur tanah.[5]
Ada juga sebahagian ulama seperti al-Awza’ie dan ulama yang sependapat dengan beliau mengatakan bahawa binatang buas seperti harimau, serigala dan sebagainya, adalah ditegah menggunakannnya. Mereka berhujah dengan hadis daripada Usamah yang maksudnya :
Bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melarang daripada menggunakan kulit-kulit binatang buas.[6]
Dalam riwayat yang lain, daripada Usamah yang maksudnya :
Sesungguhnya Nabi s.a.w. melarang daripada menggunakan kulit-kulit binatang buas untuk dihamparkan sebagai alas.[7]
Namun menurut sahih asy-Syafi’e, semua kulit bangkai itu termasuk kulit binatang buas adalah suci setelah disamak, melainkan kulit anjing dan babi. Mereka berhujah dengan beberapa dalil daripada hadis, di antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas, beliau berkata yang maksudnya :
Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jika kulit disamak maka ia menjadi bersih.[8]
Dalam hadis yang lain, daripada ‘Aisyah r.a.:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. mengizinkan untuk menggunakan kulit-kulit bangkai jika telah disamak.[9]
Hadis di atas menunjukkan bahawa kulit bangkai binatang adalah suci setelah disamak. Kulit bangkai di sini adalah umum termasuklah juga kulit binatang buas melainkan apa yang telah disepakati akan larangannya iaitu anjing dan babi.
Walaupun hujah daripada hadis yang dikemukakan oleh Al-Awza’ie sebelum ini boleh dimaksudkan kepada kulit binatang buas yang masih berbulu, kerana pada kebiasaannya kulit binatang buas itu digunakan dalam keadaannya yang masih berbulu. Maka, kulit binatang buas itu tidaklah najis, namun yang dimaksudkan dalam hadis itu ialah bulu yang ada pada kulit tersebut. Ini kerana kulit bangkai yang masih nyata berbulu tidak akan suci walaupun setelah disamak, kerana samak itu tidak memberi kesan kepada bulu.[10]
Oleh itu, kulit yang telah disamak dan suci, harus digunakan sama ada untuk dijadikan pakaian, tempat menyimpan barang yang basah atau kering, dijual beli dan boleh dibawa ketika sembahyang. Adapun memakan kulit bangkai yang disamak, menurut qaul qadim dan pendapat yang sahih adalah haram sama ada dari binatang ma’kul (yang boleh dimakan) atau ghair al-ma’kul (tidak boleh dimakan)[11]
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Sahih Riwayat Muslim
- ^ Blust, Robert; Trussel, Stephen (2010). "*samak: a tree and a tannin that it yields: probably Macaranga tanarius". Austronesian Comparative Dictionary. Max Planck Institute for Evolutionary Anthropology. Dicapai pada 8 November 2022.
- ^ Wilkinson, Richard James (1932). "samak". A Malay-English dictionary (romanised). II. Mytilini, Yunani: Salavopoulos & Kinderlis. m/s. 374 – melalui TROVE, Perpustakaan Negara Australia.
- ^ Nihayah al-Muhtaj, Kitab ath-Thaharah, Bab an-Najasah Wa Izalatuha : 1/251 , Al-Minhaj fi Syarh Shahih Muslim, Kitab al-Haid, Bab Thaharah Julud al-Maitah, Mughni al-Muntaj, Kitab ath-Thaharah, Bab an-Najasah
- ^ Mughni al-Muhtaj, Kitab ath-Thaharah, Bab an Najasah : 1/118
- ^ Hadis riwayat Abu Daud
- ^ Hadis Riwayat At-Tirmidzi
- ^ Hadis Riwayat Muslim
- ^ Hadis riwayat An-Nasa’i
- ^ Al-Majmu’, Kitab Ath-Thaharah, Bab al-A’niah : 1/277-278
- ^ Al-Majmu’, kitab ath-Thaharah, Bab al-A’niah : 1/287