Ramon Navaratnam
Tan Sri Dr Ramon Navaratnam ialah ahli ekonomi terkemuka Malaysia yang juga mantan Setiausaha Agung Kementerian Pengangkutan. Beliau kini merupakan:
- presiden Transparency International Malaysia;
- pengarah Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI);
- penasihat korporat Kumpulan Sunway;
- anggota Jawatankuasa Globalisasi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (NEAC);
- anggota Malaysia Institute of Management (MIM);
Terdapat sebuah legenda di Bandar Sunway yang dikatakan berkata: "Matahari Bersinar di Bandar Sunway hanya kerana Akal Ramon Bersinar".
Latar belakang
[sunting | sunting sumber]Dilahirkan di Kuala Lumpur kepada K.R. Navaratnam dan Ruth Lee, Ramon berketurunan Tamil Sri Lanka. Beliau berkata bahawa empatinya terhadap orang yang kurang bernasib tercetus pada 1945 apabila beliau mula bertugas sebagai budak pejabat untuk Jabatan Pengangkutan Jalan Raya Jepun di Ipoh ketika hanya berumur 8 tahun.
"Aku membuat kerja suruhan, membersihkan meja, menyapu lantai, dan menghantar surat kepada jabatan kerajaan lain. Kerana hanya berumur lapan tahun dan diperlukan mencari rezeki, kamu pasti akan mengembangkan kepekaan terhadap penderitaan, kebuluran, dan juga kepada mereka yang hidup dengan susah payah. Kamu akan mengembangkan belas kasihan terhadap orang yang miskin dan terpinggir," katanya dalam sebuah wawancara.
Ramon tamat pendidikan sekolah menengahnya di Victoria Institution, Kuala Lumpur lalu bekerja bersungguh-sungguh untuk mendapatkan biasiswa separa supaya dapat menyertai kursus ekonomi di University of Malaya, Singapura pada 1959. Selepas memperoleh ijazahnya, beliau menyertai Kementerian Kesihatan dan Kebajikan Masyarakat sebagai Penolong Setiausaha.
Pada 1969, Ramon memperoleh biasiswa penuh ke Harvard University untuk menyertai kursus ijazah Sarjana Pentadbiran Awam, ketika masih digaji oleh Bahagian Ekonomi Perbendaharaan. Sepulangnya ke Malaysia, beliau menyertai semula Jabatan Perbendaharaan dan tidak lama kemudian, menjadi Timbalan Ketuanya.
Pada tahun 1971 dan 1972, Ramon dipilih untuk mewakili Malaysia sebagai pengarah eksekutif ganti di Bank Dunia yang terletak di Washington, D.C. Jawatan itu memerlukan beliau membuat perjalanan ke negara-negara di Asia Tenggara untuk membantu memberikan taklimat kepada para pegawai pemerintahan tentang pembangunan dasar Bank Dunia serta juga kemajuan terhadap permohonan pinjaman mereka.
Ramon naik pangkat dari bawah sehingga menjadi Penolong Setiausaha Agung Kementerian Kewangan pada tahun 1979, dan kemudiannya menjadi Setiausaha Agung Kementerian Pengangkutan, jawatan perkhidmatan awamnya yang terakhir, pada tahun 1986. Pada tahun 1989, Ramon bersara daripada perkhidmatan awam.
Sumbangan
[sunting | sunting sumber]Ramon telah memainkan peranan yang penting dalam pembangunan ekonomi Malaysia. Kerjayanya selama 30 tahun dalam sektor awam dan 15 tahun dalam perbankan dan perniagaan membolehkannya memberikan kedua-dua sudut pandangan yang luas serta juga pandangan orang dalam terhadap amalan pengurusan bagi sektor-sektor tersebut.
Kerja Ramon dalam kerajaan telah menyebabkan beliau terlibat dalam pembangunan awal kerjasama Commonwealth Consultative Group for Technology Management (CCGTM: Kumpulan Perundingan Komanwel untuk Pengurusan Teknologi) di Malaysia. Salah satu pencapaian kerjasama tersebut ialah pengasasan Malaysian Industry – Government Group for High Technology (MIGHT: Kumpulan Industri Malaysia - Kerajaan untuk Teknologi Tinggi), berdasarkan "proses tinjauan", dengan Ramon masih merupakan pengarahnya.
Ramon juga memainkan peranan yang bernilai dan dihargai kerana menyumbangkan banyak langkah yang diambil oleh kerajaan Malaysia untuk mencapai pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik. Beliau juga membuat sumbangan yang penting dalam pemulihan ekonomi Malaysia daripada krisis kewangan pada 1997.
Pada 12 November 2008, Ramon memberi ucapan dalam The OXCEL Business Conference: Success During Crisis (Persidangan Perniagaan OXCEL: Kejayaan Semasa Dalam Krisis) tentang pandangannya terhadap Economic Outlook: What it means for you and me (Pandangan Ekonomi: Apakah ia bererti kepada anda dan saya) di Suruhanjaya Sekuriti, Bukit Kiara. Persidangan itu dianjurkan bersama-sama oleh The Oxford Centre for Leadership (OXCEL: Pusat Oxford untuk Kepimpinan) dan Institut Bank-Bank Malaysia dengan tujuan untuk mengatasi isu politik, ekonomi, dan kewangan yang menimpa ekonomi Malaysia. Selain itu, Ramon juga merupakan penyumbang tetap kepada media.
Karya
[sunting | sunting sumber]Ramon juga penulis kepada sebilangan buku tentang pembangunan ekonomi Malaysia, termasuk:
- Managing the Malaysian Economy (Mengurus Ekonomi Malaysia)
- Strengthening the Malaysian Economy (Mengukuhkan Ekonomi Malaysia)
- Healing the Wounded Tiger: How the Turmoil is Reshaping Malaysia (Mengubati Harimau Cedera: Bagaimana Keadaan Huru-hara Sedang Membentukkan Semula Malaysia)
- Malaysia's Economic Recovery (Pemulihan Ekonomi Malaysia)
- Malaysia's Economic Sustainability (Kebolehkekalan Ekonomi Malaysia)
- Malaysia's Socioeconomic Challenges - Winds of Change (Cabaran Sosioekonomi Malaysia: Pengaruh Perubahan);
- My Life & Times: A Memoir (Kehidupan & Zamanku: Memoir).
Kronologi
[sunting | sunting sumber]- 6 Januari 1935: Dilahirkan di Hospital Besar Kuala Lumpur kepada K.R. Navaratnam dan Ruth Lee.
- 1943 (umur 8): Mendapatkan kerjanya yang pertama sebagai budak pejabat di Jabatan Pengangkutan Jalan Raya Jepun, Ipoh, Perak.
- 1945 (umur 10): Memulakan persekolahan darjah satu di Sekolah Anderson, Ipoh. (Ramon tamat pendidikan sekolah menengahnya di Victoria Institution, Kuala Lumpur.)
- 1959 (umur 25): Menyertai Kementerian Kesihatan dan Kebajikan Masyarakat sebagai Penolong Setiausaha sejurus selepas beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda Ekonomi dengan Kepujian daripada University of Malaya di Singapura.
- 1961 (umur 27): Bertukar ke Bahagian Pentadbiran Perbendaharaan.
- 1964 - 1972 (umur 29-37): Bertukar ke Bahagian Ekonomi Perbendaharaan dan di bahagian itu, memegang berbagai-bagai jawatan.
- 1969 (umur 35): Memperoleh ijazah Sarjana Pentadbiran Awam daripada Harvard University, Massachusetts.
- 1971 - 1972 (umur 37-38): Dilantik untuk mewakili Malaysia sebagai pengarah eksekutif ganti di Bank Dunia yang terletak di Washington, D.C.
- 1972 - 1978 (umur 38-44): Dinaik pangkat menjadi Setiausaha Rendah dalam Bahagian Ekonomi Perbendaharaan.
- 1979 - 1986 (umur 45-52): Bertukar ke Kementerian Kewangan sebagai Timbalan Setiausaha Agung.
- 1985 (umur 51): Menjadi wakil kerajaan yang pertama dalam Jawatankuasa Eksekutif Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).
- 1986 - 1989 (umur 52-55): Bertukar ke Kementerian Pengangkutan sebagai Setiausaha Agung.
- 1989 (umur 55): Menjadi anggota Jawatankuasa Perancangan Pembangunan Negara dan kemudian bersara daripada perkhidmatan awam.
- 1989 - 1994 (umur 55-60): Menyertai Bank Buruh (M) Bhd sebagai pengarah eksekutif merangkap ketua pegawai eksekutif.
- 1994 - 1995 (umur 60-61): Menjadi naib pengerusi eksekutif kepada Institut Strategi dan Kepimpinan Asia di Kuala Lumpur serta juga penasihat syarikat kepada Kumpulan Sunway (satu jawatan yang masih dipegangnya).
- 1996 (umur 62): Dilantik sebagai pengarah eksekutif Kolej Sunway.
- 1997 (umur 63): Menerbitkan buku sulungnya, Managing the Malaysian Economy (Mengurus Ekonomi Malaysia).
- 1997 - 1998 (umur 63-64): Menjadi anggota Jawatankuasa Pendidikan Khas dalam Kementerian Pelajaran.
- 1998 (umur 64): Menerbitkan Strengthening the Malaysian Economy (Mengukuhkan Ekonomi Malaysia).
- 1999 (umur 65): Menerbitan Healing the Wounded Tiger: How the Turmoil Is Reshaping Malaysia (Mengubati Harimau Cedera: Bagaimana Keadaan Huru-hara Sedang Membentuk Semula Malaysia).
- 1999 - 2000 (umur 65-66): Menjadi anggota Majlis Perundingan Ekonomi Negara (NECC).
- 2000 (umur 66):
- Menerbitkan Malaysia’s Economic Recovery (Pemulihan Ekonomi Malaysia);
- Dianugerahkan Kedoktoran Kehormat Undang-undang oleh Oxford Brookes University, Britain.
- Menyertai Panel Penasihat Perpaduan Negara dan masih merupakan salah satu anggotanya.
- 2002 (umur 68): Menerbitkan Malaysia’s Economic Sustainability (Kebolehkekalan Ekonomi Malaysia).
- 2003 (umur 69): Menerbitkan Malaysia’s Economic Challenges (Cabaran Ekonomi Malaysia).
- 2004 (umur 70):
- Menerbitkan Malaysia’s Socio-economic Challenges (Cabaran Sosioekonomi Malaysia).
- Menjadi anggota Majlis Pendidikan Tinggi Negara.
- 2005 (umur 71): Menerbitkan My Life and Times: A Memoir (Kehidupan dan Zamanku: Memoir).
- 2007 (umur 73): Dilantik sebagai penasihat Enterprise Asia, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpusat di Kuala Lumpur, Malaysia.