Ramayana
Teks Hindu |
Śruti
|
Ramayana (bahasa Sanskrit Rāmāyaṇa) yang berasal dari kata Rāma dan Ayaṇa yang berarti "Perjalanan Rama", adalah salah sebuah mahakarya atau epik dari India di samping epik Mahabharata. Ramayana merupakan sebuah kitab suci yang telah mempengaruhi kehidupan, pemikiran dan kebudayaan jutaan orang Hindu sejak beribu-ribu tahun. Hampir setiap aspek agama, kebudayaan, sama ada kesusasteraan, drama, muzik, seni atau ukiran masyarakat Hindu telah dipengaruhi oleh kitab ini. Malah, boleh dikatakan bahawa tidak ada kitab suci lain yang telah mempengaruhi kehidupan orang Hindu seperti Ramayana.
Nampaknya, tidak ada tempat di benua India yang tidak ada kaitan dengan Rama, Sita, Lakshmana dan Hanuman! Sungai di mana Sita mencuci pakaiannya, gunung yang terbelah dua kerana tekanan Hanuman, batu yang dipijak oleh Rama - dengan pelbagai cerita begini, penduduk-penduduk India membina hubungan yang rapat dengan hero-hero Ramayana. Maka, dengan menghayati mahakarya yang hebat ini, seseorang dapat memperbanyakkan pengetahuannya tentang kebudayaan India dan juga meningkatkan sedikit sebanyak kebudayaan dan kerohaniannya sendirinya.
Ramayana yang asal ditulis oleh Valmiki.
Sejarah Rama
[sunting | sunting sumber]Terdapat suatu perbezaan ketara antara konsep sejarah Barat dan Hindu. Dalam sejarah Barat, bukti untuk kejadian sesuatu perkara ialah tarikh atau masa, tempat atau lokasi kejadian itu berlaku adalah amat penting. Penemuan seketul batu, sebuah pasu atau sekeping duit syiling purba yang ditemui semasa menggali sesuatu tapak arkeologi adalah lebih tinggi nilainya sebagai 'keterangan' atau 'bukti' sesuatu kewujudan atau kejadian berlaku. Oleh itu, sejarah Barat tidak memberi sebarang kepentingan sama ada sesuatu peristiwa telah meninggalkan kesan ke atas masyarakat masa depan. Sebaliknya, dalam sejarah Hindu, sesuatu kejadian atau perkara mesti meninggalkan kesan, sama ada baik atau buruk ke atas kehidupan dan kebudayaan generasi masa depan. Oleh itu, masyarakat Hindu tidak mengendahkan sama ada sesuatu perkara telah benar-benar berlaku atau seseorang benar-benar wujud.[1]
Terdapat satu lagi perbezaan antara sejarah Barat dan Hindu. Dalam masyarakat Barat, masa dilihat sebagai suatu garisan linear yang mempunyai titik permulaan dan titik penamatan. Sebaliknya, masa dalam konteks Hindu ialah suatu kitaran, yang tidak permulaan atau penamatan. Itulah sebabnya dalam Hinduisme, masa dibahagikan kepada Yuga, Manvantara yang tidak terkira.
Atas sebab-sebab ini, ilmuwan Barat enggan menerima Rama sebagai seorang tokoh sejarah dan menganggap Ramayana sebagai suatu karya sastera yang penuh dengan mitologi.
Namun, kita tidak harus terburu-buru untuk membuat kesimpulan bahawa orang Hindu langsung tidak mengendahkan tentang sejarah dalam menghasilkan karya-karya mereka. Kedua-dua Ramayana dan Mahabharata dikelaskan sebagai 'Itihasa' ('maka, demikianlah berlaku') yang bermaksud, karya-karya ini adalah suatu penceritaan tentang sesuatu yang pernah berlaku dahulu. Malah, kedua-dua mahakarya ini juga penuh dengan data-data astronomi berhubung dengan peristiwa-peristiwa penting. Berdasarkan kepada kiraan astronomi, maka, suatu andaian boleh dicapai tentang tarikh atau masa sesuatu kejadian dalam mahakarya ini berlaku. Menurut suatu usaha begini, beberapa tarikh dalam Ramayana telah dihitung begini[2]:
- Kelahiran Rama - 4439 S.M.
- Pembuangan negeri Rama - 4414 S.M.
- Rama menaiki tahkta Ayodhya - 4400 S.M.
Menurut satu pendapat lain pula[3]:
- Kelahiran Rama - 4342 S.M.
- Perkahwinan dengan Sita - 4327 S.M.
- Pembuangan negeri Rama - 4315 S.M.
- Rama menaiki tahkta Ayodhya - 4301 S.M.Namun, riwayat Rama telah meninggalkan kesan yang amat mendalam dalam kehidupan orang Hindu, dan ini tidak dapat diubah dengan sebarang sejarah.
Ringkasan Cerita
[sunting | sunting sumber]Kisah epik ini sebenarnya sangat sederhana. Ada seorang putera, bernama Rama yang merupakan Jelmaan Maha Vishnu di dunia. Sebagai anak sulung, Rama berhak untuk menaiki tahkta kerajaan selepas ayahandanya, Dasaratha. Ketika persiapan sedang dibuat untuk upacara penabalan Rama sebagai putera mahkota, Dasaratha dipaksa oleh permaisurinya, Kaikeyi untuk menabalkan puteranya Bharata sebagai putera mahkota dan Rama dibuang negeri selama empat belas tahun.
Rama bersama-sama Sita dan Lakshmana menjalani kehidupan pertapa di hutan Dandaka. Pada hujung tempoh pembuangan mereka, Sita diculik oleh Ravana, raja kerajaan Lanka. Meskipun Ravana menggunakan pelbagai taktik untuk meminta Sita berkahwin dengannya, Sita enggan dan sebagai seorang isteri yang setia, Sita menantikan kedatangan Rama.
Rama dan Lakshmana mencari Sita dan akhirnya mendapatkan bantuan Sugriva dan Hanuman untuk menyerang kerajaan Lanka. Selepas menewaskan Ravana, Rama membebaskan Sita dan membawanya pulang ke Ayodhya.
Rama seterusnya menaiki tahkta kerajaan Ayodhya dan memerintah kerajaannya dengan baik. Pemerintahan ideal ini dinamakan sebagai Ramarajya.
Kandungan Ramayana Valmiki
[sunting | sunting sumber]Maharishi Valmiki, penulis terkenal Ramayana ialah salah seorang yang wujud dalam riwayat Rama. Apabila Rama dibuang negeri, Rama mula merantau di hutan dan melawat asrama orang-orang alim. Salah sebuah asrama yang dikunjunginya ialah asrama Valmiki. Valmiki juga memberikan perlindungan kepada Dewi Sita yang dibuang negeri oleh Rama. Seterusnya, kedua-dua putera Rama mendapat didikan daripada Valmiki. Valmiki mengajar putera-putera ini untuk menyanyikan mahakarya ini.
Teks Ramayana oleh Valmiki yang wujud pada masa ini mengandungi 24000 ayat-ayat atau secara tepat 24253 ayat-ayat. Kitab ini dibahagikan kepada tujuh buku atau Khanda. Setiap Khanda pula dibahagikan kepada Sarga atau bab. Terdapat 647 Sarga keseluruhannya.
Tujuh bab yang dikenali sebagai Kanda adalah:
- Balakanda
- Ayodhyakanda
- Aranyakanda
- Kiskindhakanda
- Sundarakanda
- Yuddhakanda
- Uttarakanda
Balakanda
[sunting | sunting sumber]Bab pertama Balakanda bermula dengan Dasaratha, Maharaja kerajaan Kosala. Dasaratha memerintah dari Ayodhya, sebuah kota yang indah. Baginda seorang yang gagah perkasa, adil dan prihatin akan penduduknya. Baginda mempunyai segala-galanya kecuali seorang putera untuk meneruskan kerajaan baginda.
Atas nasihat guru baginda, Vasishta Muni, baginda melakukan upacara korban Aswamedha diikuti dengan upacara Putrakamesthi. Pada penghujung Putrakamesthi, seorang dewa muncul dalam perapian suci dengan sebuah mangkuk emas dan menyerahkannya kepada Dasaratha. Baginda mengagihkan bubur dalam mangkuk itu kepada tiga orang permaisuri utamanya, iaitu Kausalya, Sumitra dan Kaikeyi.
Tidak lama kemudian, Kausalya selamat melahirkan Rama, Sumitra melahirkan kembar Lakshmana dan Satrughna, dan Kaikeyi melahirkan Bharata. Seluruh Ayodhya meraikan kelahiran putera-putera ini. Sejak kecil, Lakshmana amat rapat dengan Rama. Satrughna pula sentiasa bersama Bharata.
Putera-putera Dasaratha mencapai usia remaja. Pada suatu hari, Rishi Viswamitra tiba di istana Dasaratha untuk memohon perlindungan. Dua orang raksasa, Maricha dan Subahu sering menganggu upacara korban yang dilakukan oleh Viswamitra. Putera-putera Rama dan Lakshmana mengikuti Viswamitra ke asramanya dan menumpaskan raksasa-raksasa itu. Viswamitra dapat menyempurnakan upacara korbannya. Dalam perjalanan pulang ke istana Ayodhya, mereka mempelajari pelbagai perkara daripada Rishi itu.
Semasa melalui kerajaan Mithila, mereka bersinggah di istana Raja Janaka. Di sana, Rama berjaya merafak busur Siva dan mematahkannya. Kejadian ini disambut dengan gembira kerana Raja Janaka telah bertitah bahawa sesiapa yang berjaya mengangkat busur itu akan dikahwinkan dengan puteri baginda, Dewi Sita. Utusan di hantar ke Ayodya untuk menjemput Maharaja Dasaratha dan keluarga baginda. Janaka juga menawarkan puteri-puteri lain, Urmila kepada Lakshmana, Mandavi kepada Bharata dan Srutakirti kepada Satrughna. Selepas istiadat perkahwinan diraja ini, mereka kembali ke Ayodhya. Sebelum berangkat ke Ayodhya, Rama juga mengalahkan Parasurama, seorang Avatara Maha Vishnu.
Ayodhyakanda
[sunting | sunting sumber]Beberapa tahun kemudian, Dasaratha memutuskan untuk menabalkan Rama sebagai Putera Mahkota. Seluruh kota Ayodhya menyambut khabar itu dengan penuh kegirangan. Namun, Manthara yang keji, tidak dapat menerima berita itu. Manthara meracuni fikiran Kaikeyi, permaisuri kegemaran Dasaratha. Bergantung kepada suatu janji yang diberikan oleh Dasaratha pada suatu ketika dahulu, Kaikeyi menuntut tahkta untuk putera baginda, Bharata. Kaikeyi juga menuntut agar Rama dibuang negeri selama empat belas tahun. Dasaratha, seorang yang sentiasa menepati janji baginda, tersekat dalam perangkap Kaikeyi. Semua rayuan baginda tidak dipedulikan oleh Kaikeyi.
Apabila Rama mendapat tahu tentang permintaan Kaikeyi, tanpa teragak-agak, Rama bersetuju untuk mengurniakan tahkta kerajaan kepada Bharata dan meninggalkan Ayodhya. Sita dan Lakshmana, turut mengikuti Rama ke hutan.
Perpisahan dengan putera tercinta baginda, mematahkan hati dan badan Dasaratha. Pada hari ke lima Rama dibuang negeri, Dasaratha mangkat ketika semua orang sedang tidur.
Sementara itu, utusan dihantar untuk memanggil putera-putera Bharata dan Satrughna. Peristiwa yang berlaku di Ayodhya menjadikan Bharata murka dan baginda memutuskan hubungan dengan bondanya, Kaikeyi. Bharata juga enggan menerima tahkta Ayodhya dan bersumpah untuk membawa kembali Rama sebagai raja yang sah. Selepas melaksanakan istiadat kemangkatan ayahandanya, Bharata bertolak ke hutan untuk mencari Rama.
Pertemuan Bharata dan Rama di bukit Citrakutha adalah suatu peristiwa yang amat mengharukan hati. Mendengar berita kemangkatan ayahandanya, Rama tidak dapat menahan air matanya. Bharata memujuk Rama untuk kembali ke Ayodhya dan menerima singgahsana kerajaan. Namun, Rama enggan kerana itu akan bermaksud bahawa Dasaratha tidak dapat menunaikan janjinya. Demi kebenaran, Rama harus menjalani hukuman pembuangan negeri selama 14 tahun.
Akhirnya, Bharata mengambil paduka (alas kaki) Rama dan menabalkannya sebagai 'raja' Ayodhya. Bharata bersemayam di Nandigrama, sebuah kampung kecil, di luar Ayodhya dan menguruskan pentadbiran kerajaan sebagai pemangku Rama.
Aranyakanda
[sunting | sunting sumber]Rama, Sita dan Lakshmana menerokai jauh ke dalam hutan Dandaka. Dalam perjalanan ini, mereka bersinggah di asrama-asrama pertapa seperti Valmiki, dan Bharadvaja. Sepuluh tahun berlalu dengan aman dan bahagia. Rama dan Lakshmana menghapuskan ramai raksasa-raksasa kejam yang mengancam kehidupan lain dan ketenteraman di hutan Dandaka.
Akhirnya, atas nasihat Agastya, putera-putera itu sampai di Pancavati, jauh di selatan hutan Dandaka. Pada suatu hari, Surpanakha, seorang raksasa betina yang hodoh mendekati pondok mereka. Surpanakha jatuh hati pada Rama dan ingin berkahwin dengannya. Rama menolak niat Surpanakha, dan dalam siri kejadian yang berikutnya, Lakshmana memotong hidung Surpanakha. Raksasa itu terbang dari tempat itu dengan bersumpah untuk membalas dendam.
Atas aduan Surpanakha, raja raksasa di tempat itu, Khara dan 14000 tentera raksasa memulakan serangan ke atas Rama. Seorang diri, Rama menewaskan angkatan Khara. Semakin marah akan Rama, Surpanakha terbang ke Lanka (kini Sri Lanka) untuk menghadap kakandanya, Ravana. Namun, Dengan amat licik, Surpanakha menghuraikan kecantikan Sita dan membangkitkan nafsu Ravana untuk memiliki Sita.
Ravana, seorang raja yang zalim dan kaki perempuan, tidak dapat menahan dirinya. Dengan serta-merta, Ravana berangkat untuk berjumpa dengan Maricha. Ravana membuat rancangan untuk menculik Sita dan meminta Maricha membantunya. Maricha, yang pernah dikalahkan oleh Rama cuba untuk mengubah fikiran buruk Ravana tetapi tidak berjaya. Akhirnya, Maricha bersetuju dengan rancangan Ravana.
Maricha menjelma sebagai seekor rusa emas dan berlari-lari di hadapan Sita. Kagum dengan kecantikan rusa emas itu, Sita mendesak Rama untuk menangkapnya. Apabila Rama cuba menangkapnya, rusa itu melarikan diri jauh ke dalam hutan. Akhirnya, Rama melepaskan anak panahnya dan menumpaskan rusa emas itu. Sebelum mati, Maricha menyahut, 'Oh Sita! Oh Lakshmana!' dalam suara Rama. Mendengar jeritan Rama, Sita mendesak Lakshmana untuk pergi menyelamatkan kakandanya. Lakshmana cuba meyakinkan Sita bahawa itu mesti suatu muslihat musuh mereka. Namun, akhirnya, Lakshmana terpaksa akur pada permintaan Sita.
Sebaik sahaja Lakshmana meninggalkan pondok mereka, Ravana muncul dalam rupa seorang alim. Dengan helah meminta sedekah, dia menculik Sita dan membawanya ke Lanka. Jatayu, seekor burung helang tua bertempur dengan Ravana untuk menyelamatkan Sita. Ravana memotong kedua-dua kepaknya dan menumpaskannya.
Apabila Rama dan Lakshmana kembali ke pondok Panchavati, mereka mendapati Sita telah hilang. Dalam percubaan mencari Sita, mereka berjumpa dengan Jatayu dalam keadaan tenat. Jatayu menceritakan bahawa Sita telah diculik oleh Ravana, Raja Lanka dan menghembuskan nafas akhirnya. Rama melaksanakan upacara kematian Jatayu sebelum meneruskan pencarian Sita.
Semasa mencari Sita, putera-putera itu bertembung dengan Kabandha, seorang raksasa dan membunuhnya (dan dengan itu, membebaskannya daripada suatu sumpahan). Atas nasihat Kabandha, mereka bertemu dengan Sabari, seorang pertapa wanita. Sabari menasihatkan mereka untuk menuju ke bukit Rishyamuka dan berjumpa dengan seorang vanara bernama Sugriva.
Kishkindhakanda
[sunting | sunting sumber]Sugriva, seekor vanara (monyet) dari keturunan diraja Kishkindha berada di bukit Rishyamuka sebagai pelarian. Abangnya, Vali telah merampas isterinya dan membuangnya dari kerajaan mereka. Rama berkenalan dengan Sugriva dan menjalin persahabatan. Rama berjanji untuk mendapatkan kembali hak Sugriva, sementara Sugriva pula berjanji untuk membantu mencari Dewi Sita.
Rama memenuhi janjinya dengan menewaskan Vali dan mendapatkan kembali kerajaan Sugriva. Selepas menjadi raja Kishkindha, Sugriva mengarahkan pasukan vanara untuk mencari Dewi Sita. Satu pasukan tentera di bawah pimpinan Angada, putera mahkota Kishkinda dan Hanuman bertolak ke arah selatan. Sampati, abang Jatayu memberikan maklumat bahawa Ravana telah membawa Sita, merentasi laut ke Lanka. Pasukan vanara mula memikirkan cara-cara untuk merentasi lautan itu.
Sundarakanda
[sunting | sunting sumber]Selepas perbincangan, akhirnya, Hanuman diberikan tugas untuk merentasi lautan itu. Dengan kesaktian yoganya, Hanuman membesarkan dirinya dan merentasi lautan itu dalam satu lompatan. Selepas mencari di seluruh pelusuk Lanka, akhirnya, Hanuman menemui Sita di taman Asoka. Hanuman memperkenalkan dirinya dan menyerahkan cincin Rama kepada Sita. Sebagai balasan, Sita memberikan cudamani (perhiasan rambutnya) untuk dibawa kepada Rama, Walaupun Hanuman menawarkan untuk membawanya pulang, Dewi Sita enggan kerana sepatutnya Rama yang datang untuk membebaskannya. Sebelum kembali kepada Rama, Hanuman menyebabkan kemusnahan besar kepada kota Lanka.
Sebaik sahaja Hanuman membawa berita tentang penemuan Dewi Sita, Rama mengarahkan Sugriva untuk mengumpulkan pasukan tenteranya dan bertolak ke semenanjung selatan.
Yuddhakanda
[sunting | sunting sumber]Ketika tentera vanara sedang berkhemah di tepi pantai dan merancang strategi untuk merentasi lautan itu, Vibhisana, adik Ravana tiba dari Lanka. Vibhisana, seorang yang mulia telah menasihatkan Ravana untuk mengembalikan Dewi Sita kepada Rama. Ravana yang angkuh dengan kekuatannya, enggan untuk menerima nasihat dan menghina Vibhisana di khalayak ramai. Vibhisana dan empat orang sahabatnya telah meninggalkan Lanka dan berganding bahu dengan Rama.
Selepas membina sebuah jambatan batu, pasukan Rama merentasi lautan itu. Rama menghantar utusan kepada Ravana untuk menyerahkan Sita dan dengan itu, mencapai kedamaian. Ravana masih berdegil dan mencabar Rama untuk berperang dengannya.
Akhirnya, satu pertempuran yang dahsyat tercetus. Hanuman berterbang ke pergunungan Himalaya untuk membawa bukit Sanjivani. Herba sanjivani menghidupkan semula Lakshmana dan askar-askar vanara yang terkorban. Dalam pasukan Ravana pula, semua pahlawan-pahlawan hebatnya, seperti Kumbhakarna dan Indrajit (putera Ravana) telah terkorban. Akhirnya, Rama juga menumpaskan Ravana dan membunuhnya.
Kematian Ravana disusuli dengan upacara penabalan Vibhisana sebagai raja Lanka. Kemudian, Rama bertemu dengan Sita selepas Sita menjalani ujian di atas perapian untuk membuktikan kesuciannya. Ketika ini, empat belas tahun pembuangan Rama telah sempurna. Rama, Sita dan Lakshmana kembali ke Ayodhya dengan menaiki sebuah kereta pedati terbang.
Di Ayodhya, Rama ditabalkan sebagai Raja dan Sita sebagai Permaisuri. Pemerintahan Rama yang dikenali sebagai Ramarajya membawa keamanan dan kebahagiaan kepada semua penduduknya.
Uttarakanda
[sunting | sunting sumber]Beberapa tahun kemudian, pada suatu hari, Rama mendengar suatu berita buruk. Seorang dua penduduk Ayodhya telah mengutuk perbuatan Rama menerima kembali Sita yang telah menetap di rumah Ravana. Terperanjat dengan tomohan itu, Rama memutuskan untuk menghantar Sita ke hutan. Atas titah Rama, Lakshmana membawa Sita ke hutan dan meninggalkannya di sana. Valmiki Muni menemui Sita yang hamil dan memberinya perlindungan di asramanya. Beberapa lama kemudian, Sita melahirkan putera kembar yang dinamakan sebagai Lava dan Kusa. Atas didikan Valmiki, mereka membesar di asrama itu. Beberapa tahun kemudian, Rama menjalankan upacara korban Aswamedha di hutan Naimisha. Valmiki membawa Lava dan Kusa ke upacara itu untuk menyanyikan Ramayana yang dikarangnya. Rama menyedari bahawa Lava dan Kusa adalah putera-puteranya sendiri. Rama meminta Valmiki untuk membawa Sita ke istananya dan agar Sita membuktikan kesuciannya sekali lagi. Buat kali kedua, Sita berjalan di atas perapian. Selepas berjaya membuktikan kesuciannya, Sita berdoa kepada Bhudevi, Dewi Bumi untuk mengambilnya semula. Bhudevi muncul dari perut bumi dan membawa Sita bersama-samanya. Demikian, berakhir hidup Sita yang penuh penderitaan. Tempoh kehidupan Rama di bumi mencapai hujungnya. Kalapurusha (Jelmaan Masa) tiba di Ayodhya untuk mengingatkan Rama bahawa masa untuk mengakhiri hidupnya telah tiba. Disebabkan takdir, Rama terpaksa menghalau Lakshmana. Devendra (Raja Syurga) muncul dan membawa Lakshmana ke syurga. Selepas menyerahkan kerajaan Ayodhya kepada Lava dan Kusa, Rama bertolak ke sungai Sarayu untuk mengakhiri hidupnya. Ramai penduduk Ayodhya yang setia pada Rama mengikut bersamanya ke sungai Sarayu. Dengan merahmati dan memberikan kebebasan kepada mereka, Rama kembali ke kediaman abadi-Nya.
Pengaruh Ramayana
[sunting | sunting sumber]Tidak ada karya lain yang telah mempengaruhi segala aspek kehidupan penduduk India seperti Ramayana. Swami Vivekananda menjelaskan pengaruh mahakarya ini terhadap masyarakat Hindu seperti begini:
"Rama ialah idola purba dari zaman kepahlawanan, jelmaan kebenaran dan moral, anak yang ideal, suami yang ideal, bapa yang ideal, dan terutamanya, raja yang ideal. Valmiki, telah memperkenalkan Rama ini kepada kita. Tidak ada bahasa yang lebih tulen, lebih suci, atau lebih indah, dan pada masa yang sama lebih ringkas daripada bahasa yang digunakan oleh penyair agung itu (Valmiki) yang menceritakan kisah hidup Rama
"Apakah yang hendak diperkatakan tentang Sita? Kamu boleh mencari dalam semua kesusasteraan dunia pada masa lampau, dan saya boleh memberi kepastian, kamu juga perlu menghabiskan semua kesusasteraan dunia pada masa akan datang, sebelum kamu boleh bertemu dengan seorang Sita yang lain. Sita adalah unik. Watak itu telah dipaparkan dengan sepenuhnya. Mungkin terdapat beberapa orang Rama. Tetapi, tidak pernah ada lebih daripada seorang Sita! Dia adalah wanita India sejati kerana semua idea-idea tentang seorang wanita yang sempurna telah lahir daripada kehidupan Sita. Selama beribu-ribu tahun, Sita masih menjadi pujaan setiap lelaki, perempuan, dan kanak-kanak di seluruh bumi Aryavarta (India). Sita yang menakjubkan akan ada selama-lamanya. Sita adalah jelmaan kesucian, kesabaran, dan kesengsaraan. Dia mengharungi kehidupan yang penuh penderitaan tanpa sedikit pun rungutan. Dialah isteri yang tetap suci, tetap tulen, idola masyarakat, dan idola dewa-dewi. Sita yang hebat akan sentiasa kekal sebagai Tuhan kebangsaan kita. Tidak perlu untuk penjelasan panjang kerana kita semua mengenalinya dengan amat baik
"Semua mitos kita mungkin akan lenyap, kemungkinan Veda juga akan hilang, dan bahasa Sanskrit kita mungkin akan hilang selama-lamanya. Namun, selagi lima orang Hindu masih berada di sini, yang mungkin bercakap dalam bahasa kasar sahaja, kisah Sita akan ada. Tengoklah! Sita telah menjadi asas bangsa kita. Dia berada dalam darah setiap lelaki dan perempuan Hindu. Kita ialah anak Sita."[4][5]
Tamadun & Kebudayaan
[sunting | sunting sumber]Tamadun dan kebudayaan tidak semestinya wujud bersama-sama. Sesuatu masyarakat yang bertamadun tidak semestinya mempunyai kebudayaan yang tinggi. Ketamadunan menjadikan kehidupan di dunia lebih selesa dan senang. Sebaliknya, kebudayaan mengajar kita untuk menggunakan semua benda-benda baik yang diberikan oleh tamadun untuk kebaikan berpanjangan semua orang. Ada kalanya, ketamadunan turut membawa bersama-samanya pelbagai kejahatan dan maksiat. Sebaliknya, kebudayaan, yang mengutamakan nilai-nilai murni dan etika, serta memberikan penekanan kepada kemajuan yang holistik dapat mengurangkan kesan-kesan buruk ketamadunan dan juga meningkatkan tamadun itu ke suatu tahap yang mulia.[6]
Ramayana oleh Valmiki memberikan kita kedua-dua aspek ini. Mahakarya ini memperkenalkan kita kepada tiga ketamadunan dan kebudayaan yang tipikal tetapi berlainan iaitu Ayodhya, Lanka dan Kishkindha.[7]
Ayodhya[8]
[sunting | sunting sumber]Ayodhya ialah sebuah tamadun yang telah mencapai kebudayaan yang tertinggi. Valmiki memberikan deskripsi tentang kota Ayodhya di bawah pemerintahan Dasaratha dan kemudiannya di bawah Rama. Kota ini penuh dengan istana-istana yang mengagumkan. Jalan-jalannya luas dan bersih. Kubunya kuat dan penuh dengan semua kelengkapan pertahanan. Pasukan tentera Ayodhya sentiasa bersedia untuk menghadapi medan pertempuran. Mereka berpegang kuat kepada Yuddhadharma atau etika peperangan. Penduduk Ayodhya hidup dengan aman, selesa dan gembira. Pembelajaran dan penyebaran ilmu Veda serta pelaksanaan upacara agama berjalan tanpa sebarang halangan. Raja memerintah kerajaannya dengan penuh efisyen dibantu oleh para menteri dan penasihat yang bijak. Para rishi menjadi penasihat dan sami diraja. Satya (kebenaran) dan Dharma (Kebaikan) menjadi tunjang kerajaan dan kehidupan setiap penghuni Ayodhya. Tugas dan tanggungjawab empat varna (brahmin, kshatriya, vaisya, dan sudra) dan empat asrama (brahmachari, grihasta, vanaprastha, dan sannyasa) diikuti dengan ketat. Kemewahan duniawi, keseronokan jasmani, dan kekuasaan langsung tidak menggoda putera-putera Ayodhya. Asas kehidupan mereka ialah Dharma dan kebaikan orang lain. Dasaratha yang terikat dengan janjinya kepada Kaikeyi, Rama yang serta-merta mengikuti titah ayahandanya untuk melepaskan haknya dan pergi ke hutan, kesediaan Lakshmana dan Sita untuk mengikuti Rama ke hutan, percubaan Bharata untuk membawa balik Rama, semua ini menunjukkan suatu masyarakat yang berbudaya tinggi.
Lanka[9]
[sunting | sunting sumber]Kerajaan Lanka di bawah pemerintahan Ravana menjadi sebuah kota mewah yang menakjubkan. Namun, hampir ke semua kemewahan dan kekayaan kota ini adalah hasil daripada rompakan atau hasil rampasan peperangan. Kota ini penuh dengan istana-istana, bangunan-bangunan besar, dan taman-taman yang indah. Penduduknya berbadan besar dengan penampilan yang mengerunkan. Perbuatan kanibalisme dan meminum arak amat berleluasa. Golongan Brahmin di Lanka lebih cenderung kepada upacara-upacara sihir dan ilmu hitam. Kebanyakan kuil di Lanka adalah untuk dewa-dewi yang menakutkan seperti Badrakali. Ravana dan puteranya, Indrajit menyembah Badrakali di sebuah tempat tersembunyi bernama Nikumbhila untuk mendapatkan kemenangan dalam peperangan dan senjata-senjata ajaib. Ravana dan Indrajit juga mahir dalam Maya Yuddha, peperangan yang menggunakan ilmu sihir dan kuasa ajaib untuk memperdayakan musuh. Satu-satunya matlamat hidup penduduk Lanka ialah untuk menikmati keseronokan duniawi.
Ravana adalah seorang raja yang amat berkuasa, berpendidikan dan berkebolehan. Ravana juga dapat menjalani disiplin agama yang rumit. Namun, kegilaan seks yang tidak terkawal, keegoan dan sifat mementingkan diri sendiri telah membawa kepada kekalahan Ravana, kejatuhan dan akhirnya kemusnahkan Lanka.
Satu-satunya penduduk Lanka yang mengikuti Dharma ialah Vibhisana. Lanka telah selamat daripada kemusnahan sepenuhnya disebabkan Vibhisana.
Kiskindha[10]
[sunting | sunting sumber]Kota ini digambarkan sebagai sebuah gua. Kemungkinan ia terletak di kawasan pergunungan dan jalan ke kota ini menerusi sebuah gua. Kota ini amat luas dengan bangunan-bangunan yang cantik dan dipenuhi dengan segala keselesaan seperti suatu tamadun yang maju.
Namun, Valmiki telah menggambarkan penduduk Kiskindha sebagai 'vanara' atau monyet-monyet yang mempunyai sifat-sifat monyet. Jika kita mengaji seluruh Ramayana, kita boleh merumuskan bahawa 'vanara' ialah suatu perkataan simbolik. Perkataan 'va-nara' mungkin bermaksud, 'atau, mungkin dia adalah seorang manusia'. Bentuk muka masyarakat ini mungkin serupa dengan rupa monyet. Namun, oleh kerana mereka bercakap dalam bahasa manusia dan golongan perempuan tidak mempunyai ekor, perempuan-perempuan Kiskindha juga dihuraikan sama seperti golongan perempuan dalam spesis manusia. Maka, kita boleh merumuskan bahawa vanara adalah masyarakat yang hidup di kawasan pergunungan, perhutanan dan persisiran sungau. Mungkin mereka mewarnai diri mereka seperti monyet dan memakai kain yang panjang di belakang seperti ekor. Atau mungkin, monyet adalah simbol negara mereka.
Penduduk Kiskindha mempunyai badan yang kuat dan ramai dalam kalangan mereka mahir dan seni gusti. Mereka menggunakan gigi dan kuku mereka serta beberapa peralatan daripada batu atau dahan ketika bertempur. Masyarakat vanara juga nampaknya tidak mahir dalam penggunaan senjata buatan.
Penduduk Kiskindha juga mengamalkan pemakaian yajnopavita (benang suci) dan melakukan upacara ritual sandhya. Namun, adat perkahwinan dan hubungan lelaki-perempuan masyarakat ini tidaklah begitu beretika tinggi seperti dalam masyarakat Ayodhya. Kedua-dua lelaki dan perempuan vanara juga mempunyai ketagihan minuman keras.
Tamadun Kiskindha adalah jelas sebuah tamadun yang berada dipertengahan tamadun Ayodhya dan Lanka. Kota Kiskindha terselamat daripada kemusnahan disebabkan Sugriva yang berserah kepada Rama.
Kerohanian lwn Kebendaan[11]
[sunting | sunting sumber]Seperkara perlu diingati sebelum membaca atau mengaji mahakarya ini. Penulis mahakarya ini, Valmiki ialah seorang Rishi yang telah melepaskan segala nikmat duniawi dan menjalani kehidupan rohani demi kebaikan dunia dan untuk mencapai Tuhan. Matlamat utama mahakarya Valmiki ialah untuk menunjukkan bahawa evolusi moral dan rohani adalah kemajuan sebenar manusia dan bukannya pencapaian material atau kemajuan saintifik. Kemajuan sebenar manusia adalah di dalam dirinya sendiri dan bukan di luar. Di luar, seseorang mungkin kelihatan kasar, primitif dan kolot, tetapi di dalam, mungkin dia mempunyai moral dan etika yang tinggi. Watak-watak seperti Hanuman, Jambavan, dan Jatayu nampaknya memberikan kita mesej ini. Meskipun dari segi penampilan, watak-watak ini kelihatan seperti binatang, namun mereka penuh dengan sifat-sifat terpuji seperti kesetiaan, persahabatan, kesanggupan untuk berkorban demi kebaikan orang lain. Satu lagi kemuliaan watak-watak ini ialah kebolehan mereka untuk mengenali dan menghargai kebaikan, kebenaran dan kerohanian.
Sebaliknya, seseorang yang lain, mungkin kaya-raya, berdarah bangsawan, mahir dalam segala seni dan sains, dan berpendidikan tinggi, tetapi sikapnya mungkin masih primitif dan seperti binatang. Inilah gambaran yang diperolehi daripada watak-watak Ravana dan Indrajit.
Maka, falsafah Ramayana, secara ringkas ialah bahawa kekayaan, kekuatan fizikal atau kekuasaan tentera tidak boleh menyelamatkan seorang individu atau sebuah negara. Kepercayaan dan amalan Satya (kebenaran) dan Dharma (Kebaikan) yang melindungi manusia dan negara!
Mahakarya ini memberikan kita semua ideal-ideal dalam sebuah masyarakat dan kebudayaan yang tertinggi. Rama ialah seorang lelaki, suami, anak, abang, sahabat, dan raja atau pemerintah yang ideal. Dewi Sita ialah seorang wanita ideal yang tiada tandingan dan menjadi simbol kewanitaan yang mulia. Keluarga Dasaratha menjadi sebuah keluarga yang ideal di mana setiap ahli mengutamakan kebaikan orang lain. Ramayana juga memberikan adik-beradik ideal, kawan-kawan ideal dan pekerja ideal. Contoh sebuah kerajaan yang ideal diberikan melalui Ramarajya.
Dalam kata lain, mahakarya ini memberikan segala idea dan ideal kehidupan yang mulia yang boleh dicontohi dan diikuti oleh seluruh umat manusia dalam semua zaman. Ramayana bukan sebuah mitologi yang penuh dengan cerita dongeng. Ia adalah khazanah ilmu ketamadunan dan kebudayaan tertinggi yang telah mempengaruhi dan memperkayakan arus pemikiran, kreatif, agama dan kerohanian dunia.
Versi Lain Ramayana
[sunting | sunting sumber]Pengaruh kuat dan mendalam Ramayana Valmiki telah melahirkan beberapa Ramayana lain dalam bahasa Sanskrit dan juga beberapa vernakular India. Antara karya-karya Sanskrit yang terkenal ialah Ananda Ramayana, Adhyatma Ramayana, Adbhuta Ramayana, Yoga Vasishtha Ramayana, Tattvasangraha Ramayana dan Sangraha Ramayana.
Selain itu, kisah Ramayana juga diberikan dalam beberapa Purana. Beberapa buah Upanishad minor seperti Rama Purvatapaniya, Ramottaratapaniya, dan Rama Rahasya merujuk kepada Rama sebagai Parama Purusha (Tuhan).
Antara Ramayana popular dalam bahasa-bahasa lain yang berdasarkan kepada maharya Valmiki atau adaptasinya ialah:
- Rama Charita Manasa oleh Tulasidas (bahasa Hindi)
- Ramayana oleh Kamba (bahasa Tamil)
- Ramayana oleh Krttivasa (bahasa Bengali)
- Ramacaritam dan Kannassa Ramayanam oleh Ceraman dan Kannassa (bahasa Malayalam)
- Ramavatar oleh Guru Gobind Singh (bahasa Punjabi)
- Ranganatha Ramayana (bahasa Telugu)
- Ramacaritra oleh Girdhar (bahasa Gujarati)
- Saptakanda Ramayana oleh Sarala Das (bahasa Oriya)
- Ramayana oleh Madhava Kandhali (bahasa Assam)
- Torave Ramayana oleh Narahari (bahasa Kannada)
Adhyatma Ramayana
[sunting | sunting sumber]Ini ialah sebuah karya yang dipercayai telah dihasilkan pada kurun ke-14 dan menjadi sebahagian daripada Brahmanda Purana. Karya ini berbentuk dialog antara Shiva dan Parvati yang bertujuan untuk menyebarkan kultus agama Rama. Ia mengandungi puisi-puisi suci dan karya falsafah, termasuk karya popular yang dikenali sebagai Rama Gita.
Ananda Ramayana
[sunting | sunting sumber]Karya ini juga dikenali sebagai Manohara Ananda Ramayana. Karya ini juga berbentuk dialog, mula-mula di antara Shiva dan Parvati dan kemudiannya di antara Ramadasa dan Vishnudasa. Karya ini mengandungi beberapa buah cerita yang masih popular seperti cerita Gokarna (sebuah tempat ibadat yang terkenal di Karnataka, India) dan kisah Ahiravana dan Mahiravana. Karya ini juga dipercayai telah dihasilkan pada kurun ke-14.
Ramayana di Luar India
[sunting | sunting sumber]Di luar benua India, Ramayana juga telah tersebar luas di Asia, terutamanya di Thailand, Malaysia, Indonesia, Myanmar, Laos, China dan Jepun. Karya asal Valmiki dalam bahasa Sanskrit telah diadaptasikan mengikut kesesuaian dan kebudayaan tempatan di luar India. Antara versi Ramayana tempatan yang popular di Asia ialah seperti berikut:
- Kakawin Ramayana (Jawa)
- Hikayat Seri Rama (Malaysia)
- Ramakien (Thailand)
- Pha Lak Pha Lam dan Khvay Thuaraphi (Laos)
- Hobutsushu (Jepun)
- Ramasvamedha (Nepal)
- Janakiharana (Sri Lanka)
Dalam Media
[sunting | sunting sumber]Beberapa buah filem dan siri-siri television telah dihasilkan berdasarkan Ramayana.
Pentas
[sunting | sunting sumber]Bermula pada tahun 1978, di bawah penyeliaan Baba Hari Dass, Ramayana telah dipentaskan setiap tahun oleh Mount Madonna School di Watsonville, California. Pada masa ini, pementasan ini merupakan pementasan tahunan yang terbesar epik Ramayana dalam versi Barat.
Filem
[sunting | sunting sumber]- Sampoorna Ramayanam – sebuah filem Telugu lakonan N. T. Rama Rao (1958)
- Sampoorna Ramayana, sebuah filem Hindi arahan Babubhai Mistry (1961)
- Lava Kusha – sebuah filem Telugu lakonan N. T. Rama Rao (1963)
- Kanchana Sita - sebuah filem Malayalam arahan G. Aravindan (1977)
- Ramayana: The Legend of Prince Rama – sebuah filem animasi Jepun dalam bahasa-bahasa Hindi, Jepun dan Inggeris. (1992)
- Sita Sings the Blues – Sebuah filem animasi (2008).
- Lava Kusa: The Warrior Twins – Sebuah filem animasi berdasarkan Uttarakanda (2010).
- Ramayana: The Epic – Sebuah filem animasi Warner Bros. 2010).
- Sri Rama Rajyam – Filem Telugu berdasarkan Uttarakanda, lakonan Nandamuri Balakrishna. (2011)
- Yak: The Giant King - Suatu terjemahan semula Ramayana dalam bentuk animasi Thai
- Mumbai Musical - Sebuah filem Dream Works Animation (2016).
Drama
[sunting | sunting sumber]- Kanchana Sita, Saketham and Lankalakshmi – sebuah trilogi oleh penulis Malayalam C. N. Sreekantan Nair
- Lankeswaran drama oleh pelakon Tamil R. S. Manohar.
Siri Television
[sunting | sunting sumber]- Ramayan (1986) – Asalnya ditayangkan dalam Doordarshan, terbitan Ramanand Sagar.
- Jai Hanuman – Asalnya ditayangkan dalam Doordarshan arahan dan terbitan Sanjay Khan.
- Ramayan (2002) – Tayangan asal dalam Zee TV, terbitan BR Films.
- Ramayan (2008) – Tayangan asal dalam NDTV Imagine.
- Antariksh (2004) – Suatu fiksyen sains ditayangkan asalnya dalam Star Plus.
- Raavan - siri berdasarkan kisah Ravana dan ditayangkan dalam Zee TV.
- Sankatmochan Mahabali Hanuman - (2015) sedang ditayangkan di Sony TV.
- Siya Ke Ram - sebuah siri baru Star Plus bermula November 2015.
Bacaan Lanjut
[sunting | sunting sumber]Terjemahan Inggeris
[sunting | sunting sumber]- Valmiki Ramayana oleh Desiraju Hanumanta Rao, K. M. K. Murthy et al.
- Valmiki Ramayana oleh Ralph T. H. Griffith (1870–1874) (Project Gutenberg)
- The Ramayana condensed into English verse oleh R. C. Dutt (1899) at archive.org
- Ramayana oleh Kamala Subramaniam, Bharatiya Vidya Bhavan, Mumbai (2007)
- The Ramayana oleh R.K.Narayan (sebuah prosa pendek Kamba Ramayana dalam Tamil) ISBN: 978-0-14-004428-7
- Ramayana : King Rama's Way oleh William Buck, University of California Press (1976)[1]
Bahasa Melayu
[sunting | sunting sumber]Lihat Juga
[sunting | sunting sumber]Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol.3 62-63
- ^ N.Mahalingam (Ed.), Ancient World - A New Look, Madras, Pub. International Society for the Investigation of Ancient Civilizations, 1981
- ^ D.S.Triveda, Indian Chronology, Bombay, Bharatiya Vidya Bhavan, 1963
- ^ Swami Vivekananda, Lectures from Colombo to Almora, ms. 177-178
- ^ http://prabhusrirama.blogspot.my/2016/05/1-pengenalan.html
- ^ http://prabhusrirama.blogspot.my/2016/05/5-tamadun-kebudayaan.html
- ^ ibid
- ^ ibid
- ^ ibid
- ^ ibid
- ^ ibid