Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa
Pergerakan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (Jawi: ڤرݢرقن انتارابڠسا ڤالڠ ميره دان بولن سابيت ميره ), adalah sebuah gerakan kemanusiaan untuk menyelamatkan nyawa dan kesihatan manusia. Walaupun ia satu organisasi antarabangsa, pertubuhan ini adalah organisasi persendirian. Tiada kerajaan yang mengawal Palang Merah/Bulan Sabit Merah.
Palang Merah mempunyai tugas istimewa yang diperuntukkan oleh undang-undang antarabangsa. Ia merupakan satu-satunya pertubuhan persendirian yang tugasannya ditetapkan oleh undang-undang antarabangsa.
Tiga benda penting mengenai gerakan ini adalah:
- Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (International Committee of the Red Cross) ditubuhkan pada tahun 1863 di Geneva, Switzerland. Tugas jawatankuasa di bawah undang-undang antarabangsa ini adalah untuk melindungi nyawa dan kehormatan mangsa perang.
- Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (International Federation of Red Cross and Red Crescent Societies) diasaskan pada tahun 1919. Ia berfungsi untuk merapatkan hubungan antara Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah dalam menjalankan misi kemanusiaan dan kes-kes darurat yang besar. Sekretariat bagi persatuan ini juga terletak di Geneva, Switzerland.
- Setiap negara mempunyai Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah.
Pengasas
[sunting | sunting sumber]Pengasas Pergerakan Palang Merah ialah seorang ahli perniagaan bernama Henry Dunant (1828-1910) yang sedih melihat mangsa perang antara Perancis dan Itali dengan tentera Austria di Solferino ,Itali utara pada 24 Jun 1859. Lebih 40,000 tentera dan orang awal cedera dan terkorban. Henry Dunant dalam perjalanan ke Algeria, Afrika, telah membantu mangsa yang merintih dan nyawa-nyawa ikan ke sebuah gereja berdekatan. Sebuah buku kenangan dan pengalamannya 'A Memory of Solferino' telah dicetak dan dihadiahkan kepada semua ketua negara di Eropah. Oleh sebab bahasa dan penceritaannya yang baik, buku itu telah menyedarkan ketua-ketua kerajaan di Eropah.
Buku itu mencadangkan :
- Pertama: membentuk organisasi kemanusiaan antarabangsa bagi membantu tentera dan orang awam yang cedera dan menderita semasa peperangan.
- Kedua : mengadakan perjanjian antarabangsa agar tentera yang cedera dari mana-mana pasukan hendaklah dibantu .
Hasilnya pada 1864 Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dibentuk tanpa kehadiran beliau sendiri.