[go: up one dir, main page]

Pergi ke kandungan

Panamax

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kelihatan di sini dua buah kapal sangat hampir menyentuh dinding pintu air Miraflores.

Istilah kapal "Panamax" merujuk kepada kapal yang mempunyai dimensi maksimum yang muat memasuki pintu air Terusan Panama. Saiznya ditentukan oleh dimensi ruang pintu air tersebut, dan kedalaman terusan. Untuk memastikan jumlah kargo yang dapat dibawa oleh sebuah kapal adalah semaksimum yang mungkin, banyak kapal dibina menepati had Panamax. Banyak barangan pukal seperti produk bijirin diangkut oleh kapal-kapal Panamax (atau sub-Panamax).

Pertambahan kapal-kapal bersaiz maksimum telah memberi masalah kepada Terusan Panama. Sebuah kapal Panamax yang melalui laluan sempit di pintu air memerlukan pengawalan yang tepat, dan pengalihan dibuat di siang hari pada tempoh masa yang mungkin lebih panjang. Oleh kerana kapal-kapal terbesar tidak dapat melalui Gailard Cut, terusan ini telah menggunakan alternatif sistem satu arah secara efektif untuk kapal-kapal sebegini.

Seorang pegawai sedang memerhatikan ruang lega kapal persiaran Ryndam ketika ia melalui pintu air.

Pada asasnya, saiz Panamax ditentukan oleh dimensi ruang pintu air, yang berukuran 110 kaki (33.53 m) lebar, 1,050 kaki (320.04 m) panjang, dan 85 kaki (25.91 m) dalam. Kepanjangan boleh guna untuk setiap pintu air adalah 304.8 meter (1000 kaki). Kedalaman paras air yang disediakan untuk setiap pintu air adalah berbeza, dimana yang tercetek adalah di sil selatan pintu air Pedro Miguel dan 41.2 kaki (12.56 m) di paras 54 kaki 6 Inci (16.61 m) tasik Miraflores. Ketinggian Jambatan Amerika (Bridge of the Americas) di Balboa menentukan ketinggian maksimum sesebuah kapal untuk melalui Terusan Panama.

Dimensi maksimum yang dibenarkan untuk sesebuah kapal melalui terusan ini adalah:[1]

  • Panjang: 965 kaki (294.13 m)
  • Lebar: 106 kaki (32.31 m)
  • Drauf: 39.5 kaki (12.04 m) di air tawar tropika (kadar kemasinan dan suhu memberi kesan kepada ketumpatan air, dan juga kepada berapa dalam sesebuah kapal terapung di atas air)
  • Drauf udara: 190 ka (57.91 m) diukur dari paras badan kapal di atas air sehingga bahagian kapal paling tinggi.

Sebuah kapal kargo Panamax selalunya mempunyai sekitar 65,000 tan sesaran.[2]

Pengecualian

[sunting | sunting sumber]
Kapal kontena kelas Panamax sedang melalui Terusan Panama. Beberapa buah kontena telah dipunggah dan diangkut melalui laluan keretapi Panama untuk mencapai drauf yang dibenarkan.

Kapal-kapal yang memiliki ketinggian sehingga 205 kaki (62.48 m) dapat melalui terusan dengan kebenaran awal, bergantung kepada paras air (pasang surut) di Jambatan Amerika.

Dari masa ke semasa, kapal-kapal yang memiliki lebar sehingga 107 kaki (32.61 m) dibenarkan melalui terusan itu dengan syarat drauf yang lebih ketat.

Kapal-kapal yang melebihi panjang dan lebar maksimum perlu menjalani pemeriksaan rapi sebelum dibenarkan lalu.

Ketika musim panas, apabila paras air Tasik Gatun adalah rendah, drauf maksimum yang dibenarkan akan dikurangkan.

Kapal terpanjang pernah melepasi terusan ini adalah San Juan Prospector, yang sekarang bertukar nama Marcona Prospector, sebuah kapal bijih-pukal-minyak yang berukuran 973 kaki (296.57 m) panjang dan 106 kaki (32.31 m) lebar.[3] Kapal terlebar pernah melepasi terusan ini adalah dua kapal perang kelas North Carolina, iaitu USS North Carolina (BB-55) dan USS Washington (BB-56), yang memiliki lebar sehingga 108 kaki 3.875 inci (33.017 m).[4]

Kapal-kapal Pasca-Panamax

[sunting | sunting sumber]

Kapal Pasca-Panamax (Post-Panamax atau Over-Panamax) merujuk kepada kapal yang melebihi saiz Panamax dan tidak dapat melepasi terusan ini, seperti kapal tangki besar dan kapal kontena moden yang terbesar. Kapal-kapal pengangkut Tentera Laut Amerika Syarikat juga berada dalam kelas Pasca-Panamax; contohnya kapal pengangkut kelas Nimitz yang berukuran 1,092 kaki (332.84 m) panjang, 134 kaki (40.84 m) lebar, dengan dek penerbangan selebar 252 kaki (76.81 m).

Perluasan

[sunting | sunting sumber]
USS Missouri, satu daripada kapal perang kelas Iowa melepasi laluan sempit di pintu air Miraflores pada Oktober 1945.

Seawal tahun 1930an, pintu-pintu air yang baru telah dicadangkan bagi mengurangkan kesesakan dan membolehkan kapal-kapal yang lebih besar dapat melaluinya.

Pada 22 Oktober, 2006, Pihak Berkuasa Terusan Panama (dengan sokongan dari Tribunal pemilihan) telah mengadakan referendum agar rakyat Panama mengundi untuk Projek Perluasan Terusan Panama. Projek perluasan ini telah dipersetujui dengan majoriti undi yang besar sehingga 78%. Ianya dianggarkan siap pada 2014 dan menelan belanja $5.3 bilion.

Selepas projek perluasan ini, Terusan Panama bakal mampu menguruskan kapal yang bersaiz sehingga 13,000 TEU.[5] Pada masa kini, ia cuma mampu menguruskan kapal bersaiz maksimum 5,000 TEU. [6]. Set pintu air yang ketiga – berukuran 1,400 kaki (426.72 m) panjang, 180 kaki (54.86 m) lebar, dengan drauf 60 kaki (18.29 m) – bakal digunakan bersama 2 set sedia ada.

Perbandingan Saiz

[sunting | sunting sumber]
Kelas Panamax Panamax II
Panjang 1,050 ka (320.04 m) 1,400 ka (426.72 m)
Lebar 110 ka (33.53 m) 180 ka (54.86 m)
Drauf 41 ka (12.50 m) 60 ka (18.29 m)
TEU 5000 12000

Panamax Baru

[sunting | sunting sumber]

Rancangan untuk membina pintu air yang lebih besar telah mewujudkan kelas baru iaitu "Panamax Baru" (New Panamax) dengan panjang maksimum 1,200 kaki (365.76 m), lebar sehingga 160 kaki (48.77 m) dan drauf di air tawar tropika pada 50 kaki (15.24 m).[7] Arkitek perlautan dan Jurutera awam telah membuat kajian tentang dimensi ini untuk kapal-kapal kontena.[8].

Lihat Juga

[sunting | sunting sumber]
Kapal kelas Panamax sedang melalui Terusan Panama. Pembinaan badan kapal adalah bertujuan memaksimumkan kapasiti kargo yang boleh dibawa, disamping membolehkan kapal melalui laluan sempit di terusan ini.

Pautan Luar

[sunting | sunting sumber]