[go: up one dir, main page]

Pergi ke kandungan

Memorandum Hossbach

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kolonel Friedrich Hossbach (tengah) pada 1934

Memorandum Hossbach ialah ringkasan mesyuarat di Berlin pada 5 November 1937 yang dihadiri oleh diktator Jerman Adolf Hitler dan kepimpinan ketenteraan dan dasar luarnya di mana Hitler menggariskan dasar perluasan kuasanya. Mesyuarat tersebut menandakan permulaan dasar luar Hitler menjadi kian radikal.

Berdasarkan memorandum, Hitler tidak mahu berperang dengan Britain dan Perancis pada 1939. Sebaliknya, beliau menggemari peperangan kecil bagi mendapatkan rampasan perang bertujuan membantu ekonomi Jerman yang sedang bergelut. Ajutan tentera Hitler, Kolonel Friedrich Hossbach mengambil minit mesyuarat di pertemuan itu. Turut hadir ialah Menteri Luar Reich, Baron Konstantin von Neurath; Menteri Perang Reich, Fil Marsyal Werner von Blomberg; Panglima Tentera Darat, Kolonel Jeneral Werner von Fritsch; Komander Kriegsmarine, Laksamana Besar Erich Raeder; dan Komander Luftwaffe, Hermann Göring.

Kandungan

[sunting | sunting sumber]

Persidangan 5 November 1937 diadakan sebagai maklum balas terhadap aduan daripada Laksamana Reader bahawa tentera laut (Kriegsmarine) tidak mendapat peruntukan keluli serta bahan mentah lain yang mencukupi dan keseluruhan program bangunannya berisiko runtuh. Baik tentera udara (Luftwaffe) mahupun tentera darat (Heer) tidak sanggup mengurangkan peruntukan keluli mereka. Persidangan yang bertujuan untuk menyelesaikan pertikaian tersebut telah diambil kesempatan oleh Hitler untuk memberikan ringkasan penilaiannya terhadap dasar luar negara.

Beliau menyatakan bahawa jika beliau meninggal dunia, kandungan persidangan itu hendaklah dianggap sebagai "wasiat politik" beliau. [1] Pada pandangan Hitler, ekonomi Jerman Nazi telah mencapai suatu keadaan krisis sehingga satu-satunya cara untuk menghentikan kejatuhan mendadak taraf hidup adalah dengan melancarkan dasar pencerobohan lebih awal, bukannya kemudian, bagi menyediakan Lebensraum dengan menakluk Austria dan Czechoslovakia.[2] Hitler juga mengumumkan bahawa adalah penting untuk bertindak dalam tempoh lima atau enam tahun akan datang sebelum "dua antagonis yang diseliputi kebencian", Britain dan Perancis, menutup jurang dalam perlumbaan senjata di mana, Hitler berkata, Jerman sudah ketinggalan.[2]

Perubahan ketara yang dicatatkan dalam Memorandum Hossbach ialah penilaian baharu Hitler terhadap Britain: daripada bakal sekutu pada 1928 di Zweites Buch kepada "antagonis yang diseliputi kebencian" pada 1937 yang tidak mahu dan tidak dapat menerima kewujudan negara Jerman yang kuat. Perubahan itu adalah pembalikan sepenuhnya pandangan Hitler terhadap Britain.[3]

Sejarawan Jerman Klaus Hildebrand telah berhujah bahawa memorandum itu menandakan permulaan "langkah ambivalen" terhadap Britain.[4] Pendapat ini turut dikongsi oleh Andreas Hillgruber yang menegaskan bahawa Hitler memulakan perluasan kuasa "tanpa Britain": lebih baik "dengan Britain" tetapi jika perlu, "menentang Britain".[5]

Bahagian pertama dokumen mencatatkan hasrat Hitler supaya Jerman dapat berusaha ke arah ekonomi autarki kerana beliau beralasan bahawa pergantungan kepada negara lain akan menjadikan sesebuah negara lemah. Hal ini telah dilabelkan oleh beberapa sejarawan sebagai satu langkah ketersediaan Jerman untuk menghadapi konflik dengan memastikan bahawa ia tiada pergantungan ekonomi kepada mana-mana negara yang ia akan melancarkan perang kelak. Cadangan memorandum yang menyatakan bahawa jenis-jenis autarki tertentu adalah mustahil boleh dijadikan sebagai alasan untuk menganggap perang sebagai suatu keperluan.

Autarki:

Andaian pencapaian yang hanya mungkin di bawah kepimpinan ketat Nasional Sosialis Negara. Menerima pencapaiannya sebagai sesuatu yang mungkin, perkara berikut boleh dinyatakan sebagai hasilnya:

  1. Dalam bidang bahan mentah, hanya

    autarki yang jenis terhad, bukan mutlak.

    1. Berkenaan dengan arang batu, selagi mana ia boleh dianggap sebagai sumber bahan mentah, autarki adalah mungkin;
    2. Berkenaan dengan bijih, kedudukannya adalah lebih sukar untuk ditentukan. Keperluan besi boleh dipenuhi dari sumber rumah dan begitu juga dengan logam ringan, tetapi dengan bahan mentah lain iaitu tembaga atau timah, sumber rumah tidak dapat memenuhinya.
    3. Keperluan tekstil sintetik hingga bekalan kayu boleh dipenuhi dari sumber rumah. Penyelesaian kekal adalah mustahil kerana bahan mentah tersebut adalah terhad.
    4. Lemak yang boleh dimakan — mungkin.
  2. Dalam bidang makanan, persoalan autarki harus dijawab oleh perkataan "Tidak."

    Dengan peningkatan umum dalam taraf hidup berbanding 30 hingga 40 tahun yang lalu, terdapat peningkatan permintaan dan peningkatan penggunaan di rumah walaupun di pihak pengeluar iaitu petani. Semua hasil daripada peningkatan pengeluaran pertanian telah digunakan untuk memenuhi permintaan yang meningkat, dan oleh itu tidak mewakili peningkatan pengeluaran mutlak. Selain itu, hampir tidak mungkin berlaku peningkatan selanjutnya dalam pengeluaran dengan tahap penggunaan tanah yang lebih besar kerana tanah tersebut telah menunjukkan tanda-tanda ia tidak dapat digunakan lagi akibat penggunaan baja tiruan. Oleh itu, walau dengan peningkatan maksimum dalam pengeluaran, penyertaan dalam perdagangan dunia tidak dapat dielakkan. Dalam perbelanjaan pertukaran asing yang tidak ketara untuk memastikan bekalan makanan melalui import, walau hasil tuaian adalah baik, ia telah berkembang dalam kadar yang teruk dengan hasil yang buruk. Peratusan kemungkinan bencana meningkat kesan daripada pertambahan penduduk, di mana terdapat kira-kira sebanyak 560,000 kelahiran setiap tahun. Hal ini telah meningkatkan penggunaan roti kerana seorang kanak-kanak adalah pengguna roti yang lebih besar daripada seorang dewasa.

    Adalah mustahil dalam jangka masa panjang untuk memenuhi kesukaran bekalan makanan dengan menurunkan standard dan dengan rasionalisasi di benua yang menikmati taraf hidup yang mempunyai standard yang sama. Sejak penyelesaian masalah pengangguran, tahap penggunaan maksimum telah dicapai dan beberapa pengubahsuaian kecil dalam pengeluaran pertanian rumah kami mungkin lagi boleh dilakukan tetapi tiada perubahan asas yang mungkin berlaku dalam kedudukan makanan asas kami. Oleh itu, autarki tidak dapat diaplikasikan dalam hal makanan dan ekonomi secara keseluruhan.[6]

Sesungguhnya, hujah ekonomi menunjukkan kepada semua sebuah jaminan perang untuk mendapatkan bekalan makanan yang bergantung kepada perdagangan asing di dunia yang didominasi oleh lorong perdagangan laut yang dikawal oleh British:

Terdapat kelemahan ketenteraan yang ketara di negeri-negeri yang bergantung kepada kewujudan Britain dalam perdagangan asing. Oleh sebab perdagangan asing yang kita jalankan melalui laluan laut dikuasai oleh Britain, ia lebih merupakan soal keselamatan pengangkutan daripada pertukaran asing. Keadaan ini dapat mendedahkan kelemahan saluran bekalan makanan kita dalam masa perang. Satu-satunya cara yang mungkin kelihatan kepada kita sebagai berwawasan, terletak pada pemerolehan ruang hidup yang lebih besar - sebuah pencarian yang telah lama menjadi asal usul pembentukan negara dan penghijrahan manusia.

Bahagian kedua dokumen memperincikan tiga 'kontingensi' yang Hitler akan ambil jika situasi tertentu berlaku di Eropah, kononnya untuk memastikan keselamatan Reich. Selain itu, Hitler mendakwa bahawa dua "antagonis yang diseliputi kebencian", British dan Perancis telah menghalang matlamat dasar luar Jerman pada setiap ketika dan dalam tempoh lima tahun akan datang atau lebih, Jerman perlu mencapai ekonomi autarki dengan merebut Eropah Timur untuk bersedia menghadapi kemungkinan perang dengan British dan Perancis.

Selepas mesyuarat, tiga daripada hadirin; Werner von Blomberg, Werner von Fritsch dan Konstantin von Neurath telah berhujah bahawa dasar luar Hitler adalah terlalu berisiko kerana Jerman memerlukan lebih masa untuk melengkapkan persiapan ketenteraan. Selain itu, mereka menyatakan bahawa kontingensi yang diterangkan Hitler sebagai prasyarat untuk berperang adalah sangat tidak mungkin untuk berlaku seperti kepastian yang jelas yang ditunjukkan dalam dokumen Perang Saudara Sepanyol yang membawa kepada perang Perancis-Itali di Mediterranean atau bahawa Perancis berada di ambang perang saudara. Juga telah dipertikaikan bahawa sebarang pencerobohan Jerman di Eropah Timur pasti akan mencetuskan perang dengan Perancis kerana sistem pakatan Perancis di Eropah Timur yang dikenali sebagai Cordon sanitaire, dan jika berlaku pertempuran Perancis-Jerman, Britain hampir pasti akan campur tangan untuk menghalang kekalahan Perancis.[7] Maka, sebarang serangan Jerman ke atas negeri-negeri Eropah Timur seperti Czechoslovakia dapat membawa kepada peperangan dengan British dan Perancis sebelum Jerman selesai melengkapkan persiapan ketenteraan untuk berperang dengan kuasa-kuasa besar yang lain. Oleh sebab itu, Fritsch, Blomberg dan Neurath menasihati Hitler untuk menunggu hingga Jerman dapat melengkapkan persiapan ketenteraan sebelum meneruskan strategi berisiko tinggi memulakan peperangan kecil yang mampu mencetuskan perang am ketika Jerman masih belum bersedia untuk menghadapinya. Kesemua mereka yang hadir di persidangan itu tidak mempunyai bantahan moral terhadap strategi Hitler tetapi hanya mempunyai pertikaian berkenaan masa sahaja.[7] Menjelang Februari 1938, Neurath, Fritsch dan Blomberg telah disingkirkan daripada jawatan mereka. Sesetengah sejarawan seperti Sir John Wheeler-Bennett dan William L. Shirer percaya bahawa Blomberg, Fritsch dan Neurath disingkirkan kerana bantahan mereka terhadap rancangan yang dinyatakan dalam memorandum Hossbach.

Ketepatan memorandum tersebut telah dipersoalkan kerana tempoh masa beberapa minit telah dipanjangkan kepada lima hari selepas peristiwa tersebut dalam nota Hossbach yang diambil beliau di persidangan dan juga daripada ingatannya. Selain itu, Hitler tidak menyemak minit mesyuarat, sebaliknya dia menegaskan seperti biasa, bahawa dia terlalu sibuk dan tiada masa memikirkan butiran-butiran kecil seperti itu. Sejarawan British, A. J. P. Taylor berpendapat bahawa manuskrip yang digunakan oleh pihak pendakwaan dalam Perbicaraan Nuremberg tampaknya merupakan versi yang dipendekkan daripada yang asal kerana ia telah dibawa melalui Angkatan Tentera Amerika Syarikat sebelum perbicaraan. Taylor memberi perhatian kepada satu perkara dalam memorandum yang boleh digunakan untuk membuktikan:"Göering, Raeder dan Neurath telah duduk meluluskan rancangan agresif Hitler." Namun begitu, hal ini tidak bermakna Hitler telah menunjukkan rancangannya bagi penaklukan Eropah kerana tiada keputusan aktif dibuat untuk memulakan perang yang disebut dalam memorandum, hanya keputusan berkenaan bila perang adalah praktikal. Walaubagaimanapun, Hitler telah menyatakan hasratnya untuk menambah kelengkapan ketenteraan.

Taylor cuba menambah keraguan ke atas dokumen itu dengan menggunakan fakta bahawa pengilhakan masa depan yang diterangkan dalam 'kontingensi' adalah tidak seperti yang berlaku pada tahun 1939. Walau bagaimanapun, sejarawan yang membantah seperti saingan Taylor, Hugh Trevor-Roper telah menggariskan bahawa memorandum itu masih menunjukkan hasrat untuk memasukkan Austria, Czechoslovakia, Lithuania dan Poland ke dalam Reich. Taylor juga memberikan pendapat bahawa pertemuan itu berkemungkinan besar adalah sebahagian daripada politik dalaman dan beliau menegaskan bahawa Hitler mungkin cuba menggalakkan ahli mesyuarat itu untuk memberi tekanan kepada Menteri Ekonomi Reich dan Presiden Reichsbank, Hjalmar Schacht untuk mengeluarkan lebih banyak pembiayaan bagi persenjataan semula Jerman. Malah, Schacht tidak lama kemudian meletak jawatan sebagai protes terhadap keutamaan persenjataan semula dalam ekonomi Nazi. Sejarawan yang turut berhujah juga telah menggariskan bahawa persenjataan semula adalah bahagian penting dalam persediaan untuk konflik. Sebagai tindak balas, Taylor mengatakan bahawa dasar Hitler adalah tipu muslihat (beliau ingin mempersenjatai semula Jerman untuk menakutkan-nakutkan negeri lain) untuk membolehkannya mencapai matlamat dasar luarnya tanpa pergi berperang.

Di samping itu, Taylor berhujah bahawa kebanyakan 'kontingensi' yang disenaraikan Hitler sebagai prasyarat untuk berperang seperti tercetusnya perang saudara di Perancis atau Perang Saudara Sepanyol yang membawa kepada perang antara Itali dan Perancis di Mediterranean adalah tidak berlaku. Trevor-Roper membalas kritikan itu dengan berhujah bahawa Hitler menyatakan hasrat untuk berperang lebih awal dan bukannya kemudian serta niat Hitler dalam dasar luar pada akhir 1937 adalah lebih penting berbanding dengan pelannya yang jelas dirangkanya kemudian dalam sejarah.

Hujah intensionalis dan strukturalis

[sunting | sunting sumber]

Hujah ini telah banyak digunakan oleh sejarawan intensionalis seperti Gerhard Weinberg, Andreas Hillgruber dan Richard Overy untuk membuktikan bahawa Hitler telah merancang untuk memulakan perang am Eropah, yang menjadi Perang Dunia II sebagai sebahagian daripada pelan induk jangka panjangnya. Walaubagaimanapun, sejarawan fungsionalis seperti Timothy Mason, Hans Mommsen dan Ian Kershaw berpendapat bahawa dokumen itu tidak menunjukkan sebarang rancangan sedemikian. Sebaliknya, memorandum itu merupakan tindak balas ad hoc yang dibuat sendiri oleh Hitler terhadap krisis ekonomi Jerman yang semakin membarah pada akhir 1930-an.

  1. ^ Aigner, Dietrich. "Hitler's Ultimate Aims". H. W. Koch, ed. Aspects of the Third Reich. London: Macmillan Press, 1985, p. 264
  2. ^ a b Messerschmidt, Manfred, "Foreign Policy and Preparation for War", Germany and the Second World War pp. 636–637; Carr, William, Arms, Autarchy and Aggression, pp. 73–78
  3. ^ Robertson, E. M. Hitler's Pre-War Policy and Military Plans. p. 106
  4. ^ Hildebrand, Klaus. The Foreign Policy of the Third Reich. p. 42.
  5. ^ Hillgruber, Andreas. "England's Place In Hitler's Plans for World Dominion". Journal of Contemporary History, Volume 9, 1974. pp. 5–22.
  6. ^ Hossbach Memorandum Berlin, 10 November 1937 Diarkibkan 28 Julai 2020 di Wayback Machine
  7. ^ a b Weinberg, Gerhard. The Foreign Policy of Hitler's Germany Starting World War II. Chicago, Illinois: University of Chicago Press, 1980, pp. 39–40
  • Overy, Richard. "Misjudging Hitler: A. J. P. Taylor and the Third Reich", 1999.
  • Taylor, A. J. P. The Origins of the Second World War, Greenwich, Conn.: Fawcett Publications, Inc., 1965.
  • Trevor-Roper, Hugh "A. J. P. Taylor, Hitler and the War", Encounter, Volume 17, July 1961.

Pautan Luar

[sunting | sunting sumber]