[go: up one dir, main page]

Pergi ke kandungan

Layar jong

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kapal ini, Keying, adalah sebuah contoh kapal komersial China yang menggunakan layar jong. Ia berlayar dari China ke Amerika Syarikat dan Inggeris untuk berdagang antara 1846–1848.

Layar jong, juga dikenali sebagai layar lug China, layar lug seimbang China, atau layar sampan, adalah jenis layar yang mempunyai batten (tulang buluh) yang melebar selebar layarnya dan memanjangkan layarnya melebihi tiang.[1][2]

Walaupun agak jarang dalam kapal layar pengeluaran moden, potensi manfaat sistem layar (rig) ini adalah penggunaan mudah dan kos yang lebih rendah untuk kapal penjelajah air biru seperti yang diterokai oleh individu seperti pelumba trans-Atlantik Herbert "Blondie" Hasler dan penulis Annie Hill.

Asal nama sistem layar jong tidak direkodkan secara langsung, tetapi ia secara umum dikaitkan dengan nama kapal jong tradisional Cina, di mana sistem layarnya digunakan ketika pertama kali ditemui oleh orang Eropah.[3]

Cermin gangsa dari tarikh Thang, Wu Tai, atau Sung, menunjukkan sebuah kapal dengan layar persegi. Muzium Wilayah Shaanxi, Xi'an.

Paul Johnstone dan George Hourani, menyifatkan penemuan jenis layar ini oleh orang Austronesia dari Indonesia. Mereka pada mulanya terbuat dari tikar tenun yang diperkuat dengan buluh, sejak sekurang-kurangnya beberapa ratus tahun SM. Mereka mungkin diterima pakai oleh Cina selepas Cina membuat hubungan dengan kapal dagang Austronesia (perahu K'un-lun) semasa dinasti Han (206 SM hingga 220 AD),[4]:191-192 walaupun begitu kapal-kapal Cina era ini adalah kapal sungai (riverine boat), mereka tidak membuat kapal trans-lautan sehingga abad ke-10 oleh Dinasti Song.[5][6] Satu kajian oleh UNESCO berhujah bahawa orang-orang Cina menggunakan layar persegi semasa dinasti Han, hanya pada abad ke-12 orang Cina mula memakai layar jong.[5]

Ahli sinologi Joseph Needham berpendapat bahawa layar lug seimbang Cina dibangunkan daripada layar condong. Richard LeBaron Bowen berhujah bahawa layar lug Cina berkembang daripada layar persegi tinggi purba.[7]:612-613 Tinggalan ikonografi menunjukkan bahawa kapal-kapal China sebelum abad ke-12 menggunakan layar persegi. Sebuah kapal yang diukir dari batu prasasti Buddha menunjukkan kapal dengan layar persegi dari dinasti Liu Sung atau dinasti Liang (sekitar abad ke-5 atau ke-6). Kuil gua Dunhuang no. 45 (dari abad ke-8 atau ke-9) menampilkan perahu layar besar dan sampan dengan layar persegi yang mengembang. Sebuah kapal lebar dengan layar tunggal digambarkan dalam cermin Xi'an (selepas abad ke-9 atau ke-12).[7]:456-457, plat CDIII–CDVI

Needham berpendapat sebuah kapal di relief Borobudur mungkin yang pertama menggambarkan layar jong. Kapal itu berbeza daripada relief kapal lain dan boleh menjadi gambaran tertua kapal pelaut China.[7]:458 Perkara ini dipertikaikan oleh D.A. Inglis, yang membuat kesimpulan bahawa kapal yang diterangkan itu lebih seperti kapal Lautan Hindi yang beroperasi dari Arab dan Asia Selatan selepas menjalankan siasatan di tempat. Kapal itu mempunyai rasuk geladak yang menonjol, tiang tunggal (bukan bipod atau tripod), dan layar persegi yang mempunyai pekaki dan pebahu.[8]:137-139

Sebuah kapal Asia Tenggara dengan layar bertulang, Kemboja, abad 12–13 M.

Gambaran tertua kapal belayar jong bertulang berasal dari kuil Bayon di Angkor Thom, Kemboja.[7]:460-461 Gambaran ini mungkin menampilkan kapal China, tetapi ini dipertikaikan oleh Nick Burningham, yang menunjukkan bahawa kapal itu mempunyai lunas dan kapal-kapal China pada umumnya tidak mempunyai linggi buritan (sambungan lunas di bahagian belakang kapal). Kemudi mempunyai bilah yang nipis,[9]:188 berbeza dengan kemudi Cina yang biasanya mempunyai bilah yang panjang.[7]:481 Sebagai alternatif, relief itu mungkin sebenarnya menggambarkan kemudi sisi yang dipasang pada rasuk galeri belakang. Dari ciri dan lokasinya, berkemungkinan kapal ini adalah kapal Asia Tenggara.[9]:188-189

Penggunaan di kapal lain

[sunting | sunting sumber]
Casco Filipina dengan layar jong di teluk Manila (sekitar 1906)

Terdapat beberapa kapal Asia Tenggara yang menggunakan sistem layar jong dengan lambung lokal, termasuk:

  • Casco - sebuah tongkang lambung datar awalnya digunakan oleh orang Tagalog di sungai Pasig dan di teluk Manila.
  • Tongkang atau "Tong'kang".[10] Sebuah perahu ringan yang digunakan pada awal abad ke-19 untuk mengangkut barang di sepanjang sungai.
  • Twakow, sejenis kapal dengan satu tiang dan layar jong. Mereka adalah pemandangan biasa di sungai Singapura pada pertengahan abad ke-19.[11]
  • Jong Jawa, pendahulu chuan (jong China). Lambungnya tirus ke depan dan belakang tidak seperti jong China (yang kebanyakan berlambung datar dan berbentuk U), beberapa dilengkapi dengan tiang cucur dan layar cucur.

Antara kapal-kapal yang digunakan di pantai China:

  • Lorcha, kapal layar Cina yang ringan. Kapal ini menggabungkan lambung gaya Barat dari pengaruh Portugis, dengan tiang dan layar bergaya Cina.[12] Lorcha boleh ditemui di teluk Siam dan di perairan Filipina. Bangkai kapal Vũng Tàu terdiri dari sisa-sisa lorcha abad ke-17 dari laut China Selatan di lepas pantai kepulauan Con Dao, sekitar 160 km dari Vũng Tàu, Vietnam.

Lihat pula

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ Hasler & MacLeod, Practical Junk Rig, Tiller Publishing. [VM531.H37]
  2. ^ van Loan, Derek; Haggerty, Dan (2006), The Chinese Sailing Rig, Paradise Cay Publications, ISBN 9780939837700.
  3. ^ Why Junk?, Friend.ly Net, diarkibkan daripada yang asal pada 2006-08-13 Unknown parameter |deadurl= ignored (bantuan).
  4. ^ Johnstone, Paul (1980). The Seacraft of Prehistory. Cambridge: Harvard University Press. m/s. 93–4. ISBN 978-0674795952.
  5. ^ a b L. Pham, Charlotte Minh-Hà (2012). Asian Shipbuilding Technology. Bangkok: UNESCO Bangkok Asia and Pacific Regional Bureau for Education. m/s. 20–21. ISBN 978-92-9223-413-3.
  6. ^ Maguin, Pierre-Yves (September 1980). "The Southeast Asian Ship: An Historical Approach". Journal of Southeast Asian Studies. 11 (2): 266–276. doi:10.1017/S002246340000446X. JSTOR 20070359.
  7. ^ a b c d e Needham, Joseph (1971). Science and Civilisation in China: Volume 4, Physics and Physical Technology, Part III: Civil Engineering and Nautics. Cambridge: Cambridge University Press.
  8. ^ Inglis, Douglas Andrew (2014). The Borobudur Vessels in Context (Tesis). Texas A&M University.
  9. ^ a b Burningham, Nick (2019). "Chapter 6: Shipping of the Indian Ocean World". Dalam Schottenhammer, Angela (penyunting). Early Global Interconnectivity across the Indian Ocean World, Volume II: Exchange of Ideas, Religions, and Technologies. Cham: Palgrave Macmillan. m/s. 141–201.
  10. ^ "Tongkang".
  11. ^ "Association Of Singapore Marine Industries - Anchored in Singapore History : Made in Singapore".
  12. ^ Shunshin Chin & Joshua A. Fogel, The Taiping Rebellion

Bacaan lanjutan

[sunting | sunting sumber]

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]