[go: up one dir, main page]

Pergi ke kandungan

Inteam

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada In-Team)
Inteam
Dari kiri: Hisyam, Hazamin, Suhaimi, Syah & Rahim
Latar belakang
Juga dikenali sebagai
In-Team (2000-2005)
Berasal dariMalaysia Malaysia
GenreNasyid
Tahun aktif2000-kini
Syarikat rakaman
Hijjaz Records (2000-2005)
Inteam Records (2005-kini)

Label Edaran:
NAR Records (2000-2003)
EMI Music Malaysia (2003-07)
Warner Music Malaysia (2008-14)
Sony Music Malaysia (2015-19)
Universal Music Malaysia (2020-kini)
Ahli
Bekas ahli
Suhaimi Saad (2000-2005) (meninggal dunia pada 15 November 2023)

Inteam (dahulu In-Team) merupakan sebuah kumpulan nasyid Malaysia. Kumpulan ini menyampaikan lagu-lagu nasyid dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Arab. Inteam diperkenalkan menerusi lagu "Kasih Kekasih" sekitar tahun 2000 di bawah pengurusan Hijjaz Records. Kumpulan ini juga seangkatan dengan kumpulan UNIC, Aeman dan Mestica yang juga bernaung di bawah label yang sama.

Perjalanan Karier

[sunting | sunting sumber]

1998 : Sejarah Awal

[sunting | sunting sumber]

Kumpulan In-Team telah ditubuhkan pada tahun 1998 oleh beberapa orang mahasiswa yang ketika itu baru sahaja menjejakkan kaki di Pusat Matrikulasi UIA Kampus Lembah Pantai dan antara anggota terawal In-Team pada ketika itu ialah Syahril, Hazamin, Izzat Mahadi (bekas anggota kumpulan Mirwana) serta Kamaruzaman yang juga dikenali sebagai KZ. Nama In-Team telah dicadangkan oleh KZ yang juga pernah menganggotai kumpulan nasyid sekolah iaitu Suara SMAKL. Pada masa yang sama, UIA juga telah mempunyai kumpulan nasyid rasmi iaitu Husaini yang mana kumpulan ini mempunyai anggota yang ramai, antara yang dikenali ialah Hisyam, Rahim, Ariffin (kemudian menyertai Hijjaz) dan Amin Idris (kini pengacara & motivator). Pada ketika itu, industri nasyid sangat meriah dan mendapat tempat di hati peminat dengan kemunculan beberapa kumpulan nasyid ternama seperti Brothers, NowSeeHeart, Raihan, Hijjaz, Rabbani, Saujana dan lain-lain lagi. Hal ini meniupkan lagi semangat mereka untuk menjadi artis nasyid yang terkenal seperti sifu-sifu mereka.

Perjalanan seni kumpulan In-Team bermula apabila mereka telah diundang untuk membuat persembahan-persembahan di dalam dan luar kampus di mana salah satunya ialah persembahan pembukaan di sekolah lama Hazamin iaitu Sekolah Menengah Agama Al-Ihsan di Temerloh, Pahang yang mana pada malam itu kumpulan Hijjaz turut sebagai tetamu VIP dan membuat persembahan di sekolah yang sama. Selain itu, mereka turut membuat persembahan dalam konsert "KAWAN" di dalam kampus mereka yang mana konsert ini turut dihadiri oleh kumpulan Hijjaz. Konsert itu ternyata telah membawa nama In-Team ke dunia muzik mainstream apabila mereka ditawarkan kontrak sebagai artis di bawah naungan Hijjaz Music Entertainment yang kemudiannya dikenali sebagai Hijjaz Records. In-Team yang pada ketika itu dianggotai oleh lima orang iaitu Syahril, Hazamin, Ariffin, Masnawi dan Fakhri tidak terus menghasilkan album, sebaliknya mereka menimba ilmu nasyid dengan Hijjaz selama lebih kurang setahun. Dalam tempoh itulah mereka mengikuti Hijjaz setiap kali kumpulan itu membuat persembahan pentas di seluruh Malaysia dan selalunya In-Team akan menjadi penyanyi latar bagi kumpulan tersebut.

1999-2000 : Hisyam & Suhaimi Pelengkap In-Team, Kasih Kekasih & Penerimaan Peminat

[sunting | sunting sumber]

Menjadi lumrah bagi mana-mana kumpulan nasyid yang bergiat aktif di universiti, anggota In-Team telah bersilih ganti. Setelah Ariffin, Masnawi & Fakhri mengundurkan diri atas faktor komitmen, Hijjaz Records bersama Syahril & Hazamin kemudiannya mencari 2 anggota baharu untuk melengkapkan line-up sekaligus merakamkan album sulung In-Team. Akhirnya, pihak pengurusan berjaya mendapatkan dua anggota baharu iaitu Hisyam yang merupakan salah seorang kenalan mereka dari Husaini dan seorang pelajar jurusan bahasa Arab UIA bernama Suhaimi hasil cadangan Hazamin sendiri yang kebetulan pernah suatu ketika bersekolah di tempat yang sama dengan Suhaimi. Dengan penyertaan Hisyam dan Suhaimi, maka In-Team telah memulakan sesi rakaman selain menjadi penyanyi latar untuk kumpulan Hijjaz setiap kali kumpulan tersebut mengadakan persembahan pentas di seluruh Malaysia.

Pada tahun 2000, In-Team telah melahirkan album studio pertama mereka yang diberi judul Kasih Kekasih, terbitan Hijjaz Music Entertainment dan edaran NAR Records. Album ini telah memperkenalkan nama In-Team dalam industri muzik tanah air apabila single pertama mereka, Kasih Kekasih mula mendapat tempat di hati peminat seterusnya mencatatkan jualan mencecah 80,000 unit. Kejayaan album ini turut melayakkan mereka untuk mendapat anugerah platinum daripada Hijjaz Records.

Dengan hitnya lagu Kasih Kekasih ini, ia sedikit sebanyak mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai. Kebanyakannya menerima baik lagu tersebut kerana mengandungi nilai-nilai positif yang boleh diambil. Namun, ada juga yang memandangnya dari sisi negatif kerana berpendapat lagu ini akan menggalakkan lagi orang ramai untuk menjalinkan cinta pada usia yang muda sehinggakan In-Team pernah ditegah dari menyanyikan lagu tersebut setiap kali mereka mengadakan persembahan pentas di dalam UIA. Lama-kelamaan, kontroversi itu semakin pudar dan orang ramai mula menerima baik lagu tersebut setelah memahami lirik dan intipati lagu tersebut.

2001 : Impian Kasih

[sunting | sunting sumber]

Setelah setahun In-Team menghasilkan album, mereka muncul dengan album studio kedua yang berjudul Impian Kasih pada tahun 2001, terbitan Hijjaz Records dan edaran yang sama iaitu NAR. Album ini telah menaikkan lagi nama In-Team dalam industri dengan beberapa lagu hit mereka, antaranya Impian Kasih, Insan Taqwa, Hembusan Kasturi, Selamatkan Dunia dan sebuah lagu srikandi bertajuk Rabiatul Adawiyah. Sebuah lagu ciptaan Suhaimi In-Team bersama gurunya, Ustaz Khairul iaitu Lilin Seorang Guru turut dimuatkan dalam album ini.

Pada waktu ini, In-Team boleh dikatakan agak kehadapan dari segi penghasilan album kerana album kedua ini mempamerkan kualiti bunyi yang lebih baik di samping susunan muzik yang lebih mantap & kreatif hasil khidmat beberapa pemuzik profesional seperti Along, Musa dan Ujang dari kumpulan Exists dan ramai lagi.

2002-2003 : Rahim Menggantikan Hisyam & Album Damba Kasih

[sunting | sunting sumber]

Dikala In-Team sedang giat mempromosikan album kedua mereka, ahli-ahli In-Team sudahpun berada di tahun kedua pengajian dan jadual mereka juga semakin padat dari hari ke hari. Hal ini sedikit sebanyak telah menyebabkan jadual mereka mula berlainan antara satu sama lain terutamanya Hisyam yang pada ketika itu hendak menghabiskan pengajiannya dengan lebih awal daripada masa yang ditetapkan. Kesibukan Hisyam yang perlu fokus pada pengajiannya telah menimbulkan konflik antara beliau dengan pihak pengurusan, tambahan pula Hisyam merasakan bahawa bayaran yang diterima oleh beliau dan ahli-ahli In-Team yang lain tidak setimpal dengan persembahan pentas yang diterima setiap bulan. Konflik ini menjadi semakin parah sehingga menyebabkan Hisyam enggan menyambung kontrak bersama Hijjaz Records, sekaligus tidak lagi bersama In-Team selepas itu.

Pada masa yang sama, Hijjaz Records yang sudah mempunyai tiga artis naungan iaitu In-Team, UNIC dan Ae-man telah menghasilkan album kompilasi berjudul Nur Kasih yang menampilkan lagu-lagu terbaik dari ketiga-tiga kumpulan tersebut. Album kompilasi ini turut menampilkan lagu baharu In-Team pada ketika itu iaitu Nur Kasih, ciptaan Munif Ahmad di mana rakaman lagu ini hanya menampilkan tiga suara sahaja iaitu Syahril, Hazamin dan Suhaimi. Lagu ini ternyata mudah mendapat tempat di hati peminat sekaligus menjadikan ianya lagu In-Team yang paling "berhantu" sehingga kini.

Pengunduran Hisyam daripada In-Team merupakan sesuatu yang mengejutkan di kala nama In-Team sering meniti di bibir peminat nasyid ketika itu. Tanpa menunggu lama, ahli-ahli In-Team terutamanya Syah dan Hazamin telah mengambil keputusan untuk menjemput sahabat mereka di UIA iaitu Rahim untuk menggantikan Hisyam sebagai anggota tetap sekaligus ditawarkan kontrak bersama Hijjaz Records. Dengan kemasukan Abdul Rahim sebagai anggota baharu, In-Team kemudiannya menghasilkan album studio ketiga berjudul Damba Kasih pada tahun 2003, diterbitkan oleh Hijjaz Records dan juga edaran NAR. Album ini menampilkan banyak lagu hit seperti Damba Kasih, Sentuhanmu, Bisikan Nurani dan sebuah lagu srikandi berjudul Ratu Syahadah. Lagu Nur Kasih yang terkandung dalam album kompilasi Nur Kasih sebelum itu juga dimasukkan semula ke dalam album Damba Kasih di trek kelapan (trek pertama di muka dua untuk versi kaset).

2004 : In-Team '04

[sunting | sunting sumber]

Berikutan kejayaan album ketiga mereka, In-Team tidak lagi menoleh ke belakang dengan menghasilkan material untuk album mereka yang seterusnya. Setelah setahun mencari ilham & menghasilkan material, maka terbitlah album yang diberi judul In-Team '04. Album ini menampakkan sedikit kelainan kerana tidak lagi menggunakan perkatan "kasih" sepertimana judul untuk tiga album In-Team yang terdahulu. Kelainan ini juga kelihatan jelas dari segi susunan muzik dalam setiap lagu di mana mereka turut mencuba elemen "world music" dalam lagu bertajuk Az-Ziarah yang juga sebuah lagu Arab lama nyanyian Habib Asasi dari negara Yaman. Selain itu, album ini hanya memuatkan 10 lagu sahaja dan tiada lagi "narration" sepertimana yang terkandung dalam tiga album mereka yang terdahulu.

Album ini diberi nama In-Team '04 kerana album ini merupakan album studio In-Team yang keempat, dikeluarkan pada tahun 2004 dan dianggotai oleh 4 orang. Album ini diterbitkan oleh Hijjaz Records, namun kali ini diedarkan oleh sebuah syarikat rakaman antarabangsa iaitu EMI memandangkan kontrak kerjasama antara Hijjaz Records dengan NAR Records telahpun tamat selepas album Damba Kasih dikeluarkan. Antara lagu hit dalam album ini ialah Setanggi Syurga, Kasihku Abadi, Kalimah Cinta dan sebuah lagu srikandi yang berjudul Halimatus Saadiah. Salah satu lagu dalam album ini iaitu Keredhaan-Mu telah dicipta oleh Hazamin In-Team bersama Zamre Khan yang juga rakan sebilik Hazamin. Album In-Team '04 merupakan album terakhir In-Team di bawah label Hijjaz Records sebelum mereka bergerak sendiri pada tahun 2005.

2005-2006 : Pengunduran Suhaimi, In-Team Kepada Inteam & Album Tiada Lagi Kasih

[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 2004, kumpulan In-Team telah meminta keizinan daripada Hijjaz Records untuk menguruskan kerjaya seni mereka sendiri tanpa bantuan staf-staf Hijjaz Records dan pada masa yang sama telah menubuhkan syarikat mereka sendiri iaitu In Team Edutainment. Pada mulanya, mereka menggunakan salah sebuah bilik di rumah sewa Hazamin sebagai pejabat In Team Edutainment memandangkan Hazamin telahpun mendirikan rumah tangga sejak 2002 dan mempunyai seorang anak pada waktu itu. Sebelum kontrak mereka dengan Hijjaz Records tamat, In-Team sempat muncul dengan lagu Kerana Cinta bersama kumpulan Mestica yang juga bernaung di bawah label yang sama.

Pada tahun 2005, seperti kebiasaannya kumpulan Hijjaz menawarkan In-Team untuk menyambung kontrak bersama Hijjaz Records. Namun In-Team yang pada ketika itu merasakan sudah tiba masanya untuk mereka berdikari telah menolak secara baik tawaran tersebut. Keputusan yang diambil ini menyebabkan anggota kumpulan Hijjaz berasa sedikit kecewa dan merasakan bahawa In-Team seolah-olah melupakan jasa mereka selama ini. Konflik yang berlaku ini telah mendorong kepada penjenamaan semula In-Team menjadi Inteam demi mengelakkan sebarang isu yang timbul antara mereka dengan Hijjaz Records sambil menyatakan bahawa mereka terinspirasi oleh kejayaan guru-guru mereka setiap kali wartawan mengajukan pertanyaan kepada mereka mengenai Hijjaz. Namun di kala mereka memulakan impian untuk bergerak sendiri, Suhaimi dilanda dilema kerana merasakan dirinya masih menyayangi Hijjaz dan belum bersedia untuk meninggalkan Hijjaz Records. Akhirnya, Suhaimi mengambil keputusan untuk kekal bersama Hijjaz Records sekaligus tidak lagi bersama Inteam selepas itu.

Pada masa yang sama, In Team Edutainment secara rasminya dinaik taraf menjadi Inteam Records Sdn. Bhd. dan telah mempunyai beberapa orang pekerja di mana sebahagiannya merupakan sahabat Inteam ketika belajar di UIA. Dengan tertubuhnya Inteam Records, Inteam telah memulakan usaha untuk menghasilkan album mereka sendiri dan mula mendapatkan khidmat rakan-rakan dalam arena nasyid untuk penciptaan dan penyusunan lagu antaranya Abu Bakar Raihan (lagu Cintailah Ilahi), Fadzli Fareast (lagu Segenggam Tabah), Akmal Mirwana (lagu Tanpa-Mu) dan juga Frizdan (lagu Pemergianmu). Selain itu, Inteam juga berkolaborasi bersama artis-artis nasyid lain seperti Nazrey Johani menerusi lagu Kehidupan dan Muaz Dzulkefly menerusi lagu Selawat Badrul 'Ain. Inteam juga telah mengetengahkan lagu ciptaan mereka sendiri dalam album ini, antara Senandung Budi ciptaan Abdul Rahim dan Stand Together ciptaan Syah.

Setelah hampir setahun memerah keringat, akhirnya Inteam berjaya menghasilkan album studio kelima mereka yang berjudul Tiada Lagi Kasih pada tahun 2006, sekaligus merupakan album studio pertama yang diterbitkan di bawah syarikat mereka sendiri iaitu Inteam Records dengan menggunakan EMI sebagai pengedar album. Album ini mengembalikan semula identiti album-album Inteam yang terdahulu di mana album ini mengandungi 2 narration oleh Ustaz Dinie Juri. Album ini menunjukkan kemampuan mereka dalam menghasilkan album mereka sendiri dan seterusnya menaikkan nama mereka ke peringkat yang lebih tinggi dalam arena seni.

2007-2013 : Inteam Reunited

[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 2007, Inteam sekali lagi menghasilkan album studio dan judul albumnya kali ini ialah Nur Insani. Album ini merupakan album pertama Inteam yang berkonsepkan jalan cerita di mana lagu-lagu yang terkandung dalam album ini disusun mengikut permulaan hidup manusia dari lahir sehinggalah meninggal dunia. Album ini juga merupakan album pertama Inteam yang menampilkan Hisyam Ahmad yang juga bekas anggota kumpulan Inteam itu sendiri.

Dua tahun selepas itu, Inteam telah menghasilkan studio ketujuh yang berjudul Allahu Rabbi. Album ini boleh dikatakan sebagai album yang sangat istimewa kerana mereka telah menjemput dua bekas anggota Inteam iaitu Hisyam dan Suhaimi, menjadikan album ini mendapat sambutan yang luar biasa dalam kalangan peminat. Album ini turut mengubah nasib kumpulan Inteam itu sendiri apabila mereka berjaya merangkul anugerah menerusi lagu "Dia Muhammad" dan album Allahu Rabbi dalam AIM ke-17 yang berlangsung pada tahun 2010. Lagu "Dia Muhammad" diiktiraf sebagai Lagu Nasyid Terbaik manakala album Allahu Rabbi diangkat sebagai Album Nasyid Terbaik pada malam tersebut yang berlangsung pada 2 Mei 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Pada tahun 2013, Inteam sekali lagi mengundang Hisyam dan Suhaimi dalam album studio kelapan iaitu Iman & Aman. Album ini terkenal dengan lagu Iftar ciptaan Syahril Inteam.

2014-Kini : Ujian Getir Syahril, Hisyam Kembali Ke Pangkuan Inteam & Pemergian Suhaimi

[sunting | sunting sumber]

Sekitar tahun 2014, dunia nasyid telah dikejutkan dengan berita yang menyedihkan di mana penyanyi utama Inteam, Syahril telah terkena jangkitan kuman di paru-paru yang menyebabkan beliau mengalami batuk yang amat teruk di samping mengalami penyusutan berat badan yang sangat drastik. Keadaan menjadi lebih genting apabila keadaan kesihatan Syahril semakin menurun dan mulai tidak sedarkan diri dan ketika itulah timbul khabar angin yang mengatakan bahawa harapan beliau untuk hidup semakin tipis. Keadaan ini telah menimbulkan keresahan dua anggota Inteam pada ketika itu iaitu Hazamin dan Rahim di mana mereka berasa sangat sedih dan buntu memikirkan sahabat mereka. Namun dengan izin Allah, satu keajaiban telah berlaku di mana Syahril akhirnya sembuh seperti sediakala berkat usaha para doktor dan juga orang-orang sekeliling. Namun begitu, Hazamin dan Rahim meminta Syahril untuk berehat seketika daripada aktiviti seni dan pada ketika itulah mereka memanggil semula Hisyam untuk bersama mereka menjayakan persembahan-persembahan di institusi-institusi pengajian di dalam dan luar negara.

Pada tahun 2015, Inteam telah membuat pengumuman bahawa Hisyam secara rasminya kembali bersama Inteam sekaligus menjadikan Inteam kembali berempat selepas hampir 10 tahun Inteam bergerak dengan tiga orang anggota. Pada tahun yang sama, Inteam telah menghasilkan album kompilasi pertama di bawah label mereka sendiri iaitu Miracle Hits Inteam, di mana album ini menghimpunkan semula lagu-lagu hit Inteam dari album pertama sehingga album ketujuh. Album ini turut menampilkan single terbaru mereka berjudul #suratcinta yang berkisar tentang Al-Quran. Single ini diterima dengan sangat baik oleh para peminat.

Pada tahun 2018, Inteam telah terpilih untuk menyertai Gema Gegar Vaganza 2 anjuran Astro. Mereka berjaya mara ke pusingan akhir dan mendapat tempat keempat. Selepas penyertaan tersebut, mereka muncul dengan single terbaharu mereka berjudul Dia, ciptaan Harry Khalifah dan lirik oleh Syahril Inteam. Single ini turut diserikan lagi dengan penampilan pasangan pelakon Norman Hakim dan Memey Suhaiza bersama anak mereka di dalam video klip.

Kemudian pada tahun 2020, Inteam telah menaik taraf syarikat mereka dari Inteam Records kepada Inteam Digital. Pada 10 Julai 2020, Inteam telah melancarkan single baharu mereka iaitu Wanita ciptaan sepenuhnya oleh Hisyam Ahmad dan menampilkan seorang instafamous terkenal iaitu Aisyah Hijanah.

Pada 12 Disember 2020, Inteam telah mengadakan Konsert Inteam 20 Tahun sempena tahun ke-20 Inteam berada dalam industri muzik tanah air. Konsert yang mendapat dana daripada Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (KKMM) menerusi Geran Dana Kandungan Digital (DKD) ini berlangsung dengan meriah sekali di mana mereka turut menjemput beberapa artis terkenal tanah air seperti Hijjaz, UNIC, Fitri Haris, Suffian Amrin, Khai Bahar, Lah Ahmad, Ikhwan Fatanna dan juga Exists.

Pada 15 November 2023, Inteam telah dikejutkan dengan khabar duka apabila sahabat mereka yang juga bekas anggota Inteam, Suhaimi Saad telah kembali ke rahmatullah di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru pada jam 7.40 petang akibat jangkitan kuman dalam paru-paru. Pemergian Suhaimi ternyata mengejutkan ramai pihak terutamanya para peminat dan juga penggiat seni yang sering mengikuti perkembangan beliau.

Anggota Kumpulan

[sunting | sunting sumber]

Anggota Terkini

Bekas Anggota

  • Mohd Suhaimi bin Saad (Suhaimi Saad) - Mula menganggotai In-Team pada tahun 2000 sebelum bergerak secara solo pada tahun 2005. Berasal dari Triang, Pahang. Telah kembali ke rahmatullah pada 15 November 2023 akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Garis Masa

[sunting | sunting sumber]

Diskografi

[sunting | sunting sumber]

Album Studio

[sunting | sunting sumber]
Tahun Judul Album Penerbit Label Edaran Jualan
2000 Kasih Kekasih Hijjaz Hijjaz Music Entertainment NAR Records 80,000 unit
2001 Impian Kasih Hijjaz Hijjaz Music Entertainment NAR Records 50,000 unit
2002 Damba Kasih Hijjaz Hijjaz Records NAR Records 50,000 unit
2004 In-Team '04 Hijjaz Hijjaz Records EMI Music Malaysia
2006 Tiada Lagi Kasih Inteam Inteam Records EMI Music Malaysia
2007 Nur Insani (menampilkan Hisyam) Inteam Inteam Records EMI Music Malaysia
2009 Allahu Rabbi (menampilkan Hisyam & Suhaimi) Inteam Inteam Records Warner Music Malaysia
2010 Nur Muhammad (menampilkan Hisyam, Suhaimi & kumpulan UNIQUE) Inteam Inteam Records Warner Music Malaysia
2013 Iman & Aman (menampilkan Hisyam & Suhaimi) Inteam Inteam Records Warner Music Malaysia
2017 Zikir Hati Inteam Inteam Records Inteam Records
Tahun Judul Lagu Komposer Penulis Lirik Label Album (jika ada)
2005 Kerana Cinta (bersama Mestica) Putra Aiman Lukhman S Hijjaz Records
  • Layar Keinsafan (album Mestica)
  • Kalimah Cinta 2
  • Inteam 20 Tahun
2015 #suratcinta Abu Yusuf Al-Menara Shaykh Hamza Yusuf Inteam Records
  • Miracle Hits Inteam
  • Inteam 20 Tahun
2016 Jangan Menghina (featuring Alif Satar) Sallam Khalid Hassan Inteam Records Inteam 20 Tahun
2017 Ya Rabbi Ya (featuring Adik Viral) DJ Fuzz Inteam Records Inteam 20 Tahun
2018 Dia Harry Khalifah Syah Inteam Inteam Records Inteam 20 Tahun
2019 Pemergianmu 1440H Frizdan Frizdan Inteam Records Inteam 20 Tahun
2020
I Love Muhammad (with Jae Deen) Joshua Asare Joshua Asare Deen Starz Entertainment/Inteam Records Inteam 20 Tahun
Setanggi Syurga 2020 (featuring Khai Bahar) Isman Isam (Manis Helma) Ito Lara Inteam Records Inteam 20 Tahun
Wanita Hisyam Ahmad Hisyam Ahmad Inteam Records Inteam 20 Tahun
Terima Kasih (featuring Ikhwan Fatanna) Ikhwan Fatanna & Wan Saleh Ikhwan Fatanna Inteam Records Inteam 20 Tahun
Ittaqullah Yasin Sulaiman Inteam Records
2021
Mencari Sinar (feat. Sam Bunkface) Allahyarham Ahmadi Hassan Allahyarham Ahmadi Hassan Smiley River Online
Al-Quds Lana Ibrahim Al-Ahmad Ibrahim Al-Ahmad/Fedtri Yahya My Aqsa Defenders/Inteam Records

Album Kompilasi Inteam & Album Lain Yang Melibatkan Inteam

[sunting | sunting sumber]
Tahun Judul Album Penerbit Label Edaran Jualan
2002 Semulia Ramadhan Seindah Lebaran Hijjaz Hijjaz Records NAR Records
2002 Best Of In-Team Hijjaz Hijjaz Records NAR Records
2002 Nur Kasih Hijjaz Hijjaz Records NAR Records
2002 Junjungan Mulia 3 Warner Music Malaysia
2004 Kalimah Cinta Hijjaz Hijjaz Records EMI Music Malaysia
2004 Habibullah Hijjaz Hijjaz Records EMI Music Malaysia
2004 Sirah Junjungan Warner Music Malaysia
2005 Nur Kasih 2 Hijjaz Hijjaz Records EMI Music Malaysia
2005 Kalimah Cinta 2 Hijjaz Hijjaz Records EMI Music Malaysia
2005 Memori Gemilang Hijjaz Hijjaz Records EMI Music Malaysia
2005 Nasyid No. 1 Hijjaz Hijjaz Records EMI Music Malaysia
2006 Habibullah (Platinum Edition) Hijjaz Hijjaz Records EMI Music Malaysia
2007 Riwayat Agung Hijjaz Hijjaz Records EMI Music Malaysia
2008 Salamun Salam Inteam Inteam Records EMI Music Malaysia
2010 Nasyid Hits Inteam Inteam Records Warner Music Malaysia
2010 Love Allah Love Rasul (International Edition) Inteam Inteam Records Inteam Records
2010 Inteam Kembara Sedekad Inteam Inteam Records Warner Music Malaysia
2016 Miracle Hits Inteam Inteam Inteam Records Sony Music Malaysia
2018 The Best Of In-Team Hijjaz Hijjaz Records Rusa Music
2020 Inteam 20 Tahun (CD Eksklusif) Inteam Inteam Records Masyhur/Universal Music Malaysia

Anugerah dan pencalonan

[sunting | sunting sumber]

Kumpulan In-Team ini mempunyai pencapaian yang bagus dari segi penciptaan albumnya iaitu peningkatan penarikan lagu kepada pendengar dari setiap ciptaan album ke album yang lain.

Kesemua album mereka telah mencapai Anugerah Platinum iaitu melebihi 25,000 unit. Album pertama mereka, Kasih Kekasih sahaja telah terjual sebanyak 80,000 unit.

Mereka juga telah menubuhkan syarikat In-Team Edutainment[1], kini dikenali sebagai Inteam Records Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat milik penuh Inteam. Setelah mereka menamatkan kontrak bersama Hijjaz Records Sdn. Bhd. (HRSB), mereka telah merapatkan perkataan "Inteam" dengan membuang tanda sempang pada perkataan asalnya, "In-Team". Mereka juga telah mengeluarkan album yang berjudul Tiada Lagi Kasih pada tahun 2006 sebagai produk pertama Inteam di bawah pengurusan yang baharu. Album baharu ini dijangka mampu membuktikan kemampuan Inteam bergerak tanpa perlu tunjuk ajar lagi.

Kumpulan ini sekali lagi membuktikan kematangan dalam penghasilan album dan lagu, apabila album "Allahu Rabbi" dinobatkan sebagai Album Nasyid Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-17 (AIM 17). Kemengan ini merupakan anugerah AIM yang pertama dimenangi oleh mereka setelah beberapa kali tercalon dalam kategori yang sama. Selain itu, kumpulan Inteam juga turut membawa pulang satu lagi trofi apabila lagu ciptaan Frizdan, "Dia Muhammad" turut diangkat sebagai Lagu Nasyid Terbaik AIM 17. Mereka juga turut membuktikan bahawa kualiti vokal semakin meningkat apabila lagu "Allahu Rabbi" turut tercalon dalam kategori Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu. Namun, mereka tewas kepada pasangan duet, Datuk Siti Nurhaliza & Krisdayanti menerusi lagu "Amarah".

Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM)
Tahun Kategori Karya Tercalon Album / Material Keputusan
2001 (AIM8) Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik di Dalam Album Kasih Kekasih Tercalon
Album Nasyid Terbaik Tercalon
2005 (AIM12) Album Nasyid Terbaik In-Team ‘04 Tercalon
2009 (AIM16) Lagu Nasyid Terbaik "Kemuliaan Al-Quran" Kemuliaan Al-Quran Tercalon
2010 (AIM17) Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik di Dalam Lagu "Allahu Rabbi" Allahu Rabbi Tercalon
Lagu Nasyid Terbaik Tercalon
"Dia Muhammad" Menang
Lagu Terbaik Tercalon
Album Nasyid Terbaik Menang
Album Terbaik Tercalon
2011 (AIM18) Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik di Dalam Lagu "Salamun Salam 2" Tercalon
Lagu Nasyid Terbaik "Bebas Palestin" (bersama Rabbani, Saujana & NowSeeHeart) Tercalon
2013 (AIM20) Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik di Dalam Lagu "Syafaatmu" Iman & Aman Tercalon
Lagu Nasyid Terbaik "Zikir Susah Senang" Tercalon
  • Selepas lebih 20 tahun berada dalam industri, Inteam sememangnya boleh berbangga kerana setiap daripada mereka berjaya dalam bidang masing-masing. Kemantapan vokal setiap anggota Inteam menjadikan mereka antara kumpulan nasyid yang kekal utuh sehingga kini.
  • Inteam kini merupakan sebuah nama yang besar di mana mereka mempunyai syarikat rakaman sendiri iaitu Inteam Records. Syarikat yang telah ditubuhkan pada tahun 2005 itu kini menjual pelbagai jenis barangan seperti album, buku-buku ilmiah, cenderamata, produk berasaskan makanan sunnah dan banyak lagi.
  • Sebelum Hisyam dan Suhaimi menyertai In-Team, Rahim pernah dilamar oleh Syah dan Hazamin untuk menyertai In-Team pada peringkat awal. Namun Rahim tidak dapat menyertainya kerana beliau telah berpindah ke UIA Gombak (kampus induk) satu semester lebih awal daripada anggota In-Team yang lain.
  • Selepas keluar dari In-Team pada tahun 2002, Hisyam Ahmad kemudiannya menubuhkan kumpulan nasyid baharu iaitu DeHearty pada tahun 2004. Kumpulan DeHearty yang bernaung di bawah label NAR Records ini terkenal dengan beberapa lagu hit, antaranya Di Hati, Inspirasi Hati, Siti Zulaikha, Abu Bakar As-Siddiq dan Permata Yang Dicari. Biarpun kumpulan ini tidak lagi aktif, lagu-lagu DeHearty masih diingati peminat nasyid sehingga kini.
  • Single terbaru Inteam pada tahun 2020, Wanita ciptaan sepenuhnya oleh Hisyam Ahmad sebenarnya adalah lagu lama beliau bersama kumpulan DeHearty yang dikeluarkan pada tahun 2005 menerusi album Insan Istimewa.
  • Suhaimi yang meninggalkan In-Team pada tahun 2005 untuk kekal bersama Hijjaz Records telah bertemu jodoh dengan Nordiana Mohd Naim atau Ina Naim yang juga artis naungan Hijjaz Records. Ina Naim sebelum ini pernah bertunang dengan juara Akademi Fantasia musim ke-3 iaitu Mawi.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]