[go: up one dir, main page]

Pergi ke kandungan

Ekonomi Mexico

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Mexico mempunyai satu ekonomi pasaran bebas dan telah ditubuhkan dengan kukuh sebagai satu negara pendapatan sederhana atas dan ia adalah ekonomi yang terbesar ke-12 di dunia seperti yang diukur dalam Keluaran Dalam Negara Kasar dalam pariti kuasa beli. Selepas kegawatan ekonomi 1994, Mexico telah melalui proses pemulihan yang menarik dengan membina satu ekonomi yang moden dan berpelbagai. Para pentadbirnya yang baru telah juga memperbaiki infrastruktur dan membuka persaingan dalam sektor-sektor pelabuhan, sistem kereta api, telekomunikasi, penjanaan elektrik, pengedaran gas asli dan lapangan-lapangan terbang.

Sejak Perang Dunia Kedua, negara ini telah mengubah tumpuan dari ekonomi berdasarkan pertanian kepada ekonomi pengeluaran. Mexico kaya dengan pengeluaran petroleum dan pada satu ketika merupakan negara ke-10 terbesar pengeluar petroliam di dunia. Petroliam masih merupakan sumber terbesar pendapatan asing di Mexico. Disamping itu, negara ini merupakan pengeksport perak yang terpenting di dunia. Antara dekad 40-an dan 80-an negara ini mengalami pertumbuhan ekonomi yang sangat pesat tetapi ia tersekat akibat pinjaman yang berlebihan.

Pada tahun 80-an, negara ini dilanda inflasi. Tetapi ia kembali pulih pada 1990, apabila Mexico menyertai NAFTA atau Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara. Namun demikian, negara ini telah melalui pertumbuhan defisit perdagangan serta terlebih nilainya kadar pertukaran matawang asing pada 1994 yang dibiayai penjualan bon jangka pendek dan rizab pertukaran wang asing. Beberapa siri kejutan politik dan penurunan nilai peso baru pada akhir 1994 telah mengakibatkan panik dikalangan para pelabur. Akibatnya, inflasi meningkat secara mendadak, dan kerajaan Mexico terpaksa meminta campurtangan asing secara besar-besaran untuk menstabilkan keadaan ekonominya yang meruncing. Banyak kesan-kesan positif dalam pengurangan kemiskinan dan peningkatan dalam kuasa beli kelas menengah adalah dianggap berpunca daripada kestabilan ekonomi makro yang dikejar oleh pentadbiran terkini di Mexico di bawah parti PAN. Pertumbuhan purata tahunan KDNK untuk tempoh 1995–2002 adalah 5.1%. Kemerosotan ekonomi di Amerika Syarikat juga meninggalkan kesan yang sama di Mexico, yang mana pertumbuhannya pulih dengan pesatnya meningkat 4.1% pada 2005 dan 3% pada 2005. Inflasi telah menyentuh paras terendah iaitu 3.3% pada 2005, dan kadar faedah yang rendah, telah merangsang penggunaan kredit di kalangan rakyat kelas pertengahan. Pentadbiran Fox juga memberikan kestabilan kewangan: defisit belanjawan adalah lebih jauh dikurangkan dan hutang asing adalah berkurangan kepada bawah 20% KDNK. Di rantau Amerika Latin, Mexico telah diambilalih negara Chile sebagai negara berdaulat dengan kredit jangka panjang yang paling besar. Selanjutnya, kemiskinan di Mexico telah dikurangkan oleh kiriman-kiriman wang daripada warganegaranya yang bekerja di Amerika, yang mencecah ASD$20 bilion dolar setiap tahun dan adalah punca pendapatan asing kedua terbesar selepas eksport minyak. Kini, kerajaan Mexico yang baru telah mengalihkan tumpuan dari petroleum kepada industri ringan dan eksport pula.

Selain itu, sektor pelancongan telah menjadi sumber ekonomi yang semakin penting. Tarikan pelancongan yang paling utama adalah robohan Meso-American purba, dan resort-resort pantai popular. Iklim pantai dan budayanya yang unik – satu gabungan orang Eropah (terutamanya Sepanyol) dan Meso-American – juga membuat Mexico menarik. Musim-musim pelancong yang paling utama di Mexico adalah pada bulan Disember dan sepanjang Julai dan Ogos, dengan sepanjang minggu sebelum hari Easter dan berduyun-duyun sepanjang cuti Spring Break pada musim bunga kerana banyak pantai peranginan di sana menjadi tumpuan pelajar-pelajar universiti dari Amerika Syarikat yang sedang bercuti.

Menurut pengarah Bank Dunia bagi Colombia dan Mexico, peratusan penduduk Mexico yang termiskin telah berkurangan dari 24.2% hingga 17.6% secara umum dan dari 42% hingga 27.9% di kawasan luar bandar daripada 2000-2004. Meskipun begitu, ketidaksamaan pendapatan masih merupakan satu masalah, dan jurang-jurang besar tetap ada bukan sahaja antara kaya dan miskin tetapi juga di antara utara dan selatan, bandar dan kawasan luar bandar. Perbezaan yang tajam dalam pendapatan dan Pembangunan Manusia adalah juga satu masalah serius di Mexico. Indeks Pembangunan Manusia Bangsa-Bangsa Bersatu 2004 melaporkan Benito Juárez, salah satu daerah dalam Distrito Federal dan San Pedro Garza García dalam negeri Nuevo León, akan mempunyai satu tahap ekonomi, pendidikan dan pembangunan jangka hayat yang setara dengan negara maju seperti Jerman atau New Zealand, mana kala Metlatonoc dalam negeri Guerrero, akan mempunyai satu HDI serupa dengan negara paling mundur iaitu Malawi.