[go: up one dir, main page]

Pergi ke kandungan

Discman

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sony Discman
Sony Discman D-145 yang dipasarkan sekitar tahun 1995.
Jenis produkPemain CD audio mudah alih
PemilikSony
Diperkenalkan1984
Ditamatkan2000 (Diubah kepada jenama Walkman)
PasaranSeluruh dunia

Discman (atau Sony Discman) ialah sebuah jenama bagi kumpulan pemain CD audio mudah alih yang dikeluarkan dan dipasarkan oleh Sony, sekitar tahun 1980-an hingga 1990-an. Nama Discman ini mula digunakan setelah Sony melancarkan pemain CD audio mudah alih pertama dengan nombor model D-50 atau D-5[1]. Pada ketika itu, jenama Walkman telah popular di seluruh dunia, menyebabkan gelaran "Discman" ini diberikan kepada pemain CD audio mudah alih kerana ia menggunakan media CD (Disc)[1].

Produk di bawah jenama Discman banyak dipasarkan sekitar tahun 1990-an[2], namun begitu ianya tidak mendapat sambutan yang begitu baik berbanding produk di bawah jenama Walkman yang menggunakan media kaset audio di mana ianya boleh didapati dengan harga yang lebih rendah[3]. Walaupun begitu, pasaran produk Discman menjadi salah satu faktor peningkatan dalam penerbitan album menggunakan media cakera padat[4].

Penukaran nama jenama Discman untuk pemain CD audio mudah alih kepada CD Walkman dilakukan untuk produk berkaitan pemain audio peribadi bagi pasaran Jepun bermula dengan produk yang diperkenalkan sekitar Oktober 1997 hingga Mac 1998[5].


Pada tahun 1980, Sony dan Philips bekerjasama[6] dalam membangunkan media storan baru bagi menggantikan media piring hitam yang memiliki saiz lebih besar dan mudah pecah[6] serta kaset audio. Selepas produk cakera padat memasuki pasaran pada tahun 1983, pemain cakera padat komersil pertama dunia, Sony CDP-101 dilancarkan pada 1 November 1983 untuk pasaran global dengan harga pengenalan sekitar $1000[7]. Lebih kurang 20 album yang tersedia dalam bentuk cakera padat dipasarkan ketika pelancaran model CDP-101 itu.

Jenama Walkman mula diperkenalkan Sony menerusi pengenalan kepada model TPS-L2 pada tahun 1979[8]. Namun begitu, populariti Walkman mula meningkat dengan mendadak[9] selepas pengenalan kepada model kedua iaitu WM-2 (Walkman II) iaitu model Walkman paling terlaris di seluruh dunia[10][9]. Disebabkan fenomena ini, nama "Walkman" telah digunapakai bagi merujuk kepada pemain kaset mudah alih pada ketika itu. Pada masa yang sama juga, populariti cakera padat audio semakin meningkat, ekoran lambakan pemain cakera padat yang boleh dibeli di kedai-kedai elektronik dan banyak album dikeluarkan dalam bentuk cakera padat[11].

Sony D-50 MkII, model pertama yang menggunakan jenama "Discman".

Pada bulan November 1984, semasa ulangtahun kedua kelahiran teknologi cakera padat audio[11], pemain cakera padat audio mudah alih pertama Sony dilancarkan[12]. Sony D-50 atau D-5 (di beberapa pasaran) dilancarkan dengan memiliki fungsi yang sama seperti CDP-101, namun tidak memiliki alat kawalan jauh. Model D-50 ini juga tidak menggunakan nama "Discman"[13], sebaliknya hanya digelar sebagai CD Compact Player (Pemain CD kompak). Sebanyak 20,000 unit model ini mula dipasarkan untuk pasaran Jepun, dan 50,000 unit untuk pasaran antarabangsa[14]. Di Singapura, model ini mula dipasarkan enam bulan selepas pelancaran rasmi, dengan 1,000 unit awal akan berada di pasaran dengan harga pengenalan S$520[14].

Pada bulan Oktober 1985, Sony melancarkan model kedua pemain audio CD mudah alih dengan nombor model D-50 MkII (atau D-7 untuk pasaran Amerika Syarikat[15]). Ini merupakan model pertama yang menggunakan jenama "Discman" secara rasmi dan dijual dengan harga 49,800 yen untuk pasaran Jepun, S$600 untuk pasaran Singapura[16] atau $300 untuk pasaran Amerika Syarikat[15]. Model ini memiliki saiz kerangka 125.9 mm panjang dan lebar, 27.0 mm tebal[16] dan bersaing dengan produk keluaran Technics SL-XP7[17], yang dikatakan pemain audio CD mudah alih paling kecil sekali pada ketika itu. Model D-700 yang dilancarkan seiring model D-50 MkII memiliki fungsi radio FM terbina.

Pada bulan April 1988, Sony melancarkan model D-88, berkemungkinan pemain audio CD mudah alih yang paling kecil sekali di dunia[18] berikutan saiz kerangka yang lebih kecil berbanding saiz cakera padat standard. Apabila pengguna memasukkan cakera padat ke dalam peranti ini, terdapat bahagian cakera padat yang terdedah dan pusingan cakera padat ini semasa dimainkan dapat disaksikan[19]. Pada asalnya, model ini dipasarkan untuk memainkan media Mini CD yang berukuran 80mm diameter, namun begitu ianya juga berupaya membaca data yang terdapat dalam cakera padat biasa[20].


Berikut merupakan antara model yang dikeluarkan Sony untuk jenama Discman, bermula dengan pemain audio CD mudah alih pertama, D-50 yang belum menggunakan jenama Discman pada ketika itu[13].

D-50 / D-5
Sony D-50

Sony D-50 ialah model pertama pemain audio CD mudah alih[21], selepas dua tahun teknologi cakera padat dipasarkan kepada umum. Walaupun model ini dipasarkan sebagai produk mudah alih, namun ia tidak menggunakan bateri[21]. Sebaliknya, terdapat sambungan DC berkuasa 9V[1] yang disambungkan kepada bekalan kuasa rumah AC menggunakan sambungan AC-DC, dengan penggunaan kuasa di bawah 4 watt[22]. Selain itu, ketebalan kerangka model ini dikatakan menyamai empat selongsong cakera padat yang ditindankan, dengan berat model ini lebih kurang 590 gram[13].

Bagi mempromosikan model ini, Sony telah bekerjasama dengan beberapa syarikat di Amerika Syarikat seperti CBS, RCA, Warner dan PolyGram dalam menghasilkan muzik video bersempena dengan cuti musim bunga di sana[23]. Untuk pasaran Amerika Syarikat, Sony memasarkan model ini dengan nombor model D-5[23]. Sony juga mengeluarkan aksesori tambahan seperti pek bateri yang mengandungi 6 bateri jenis "C" boleh dicas dan juga wayar bateri kereta dengan nombor model Sony DCC-120 yang boleh disambung kepada bateri kereta untuk mendapatkan bekalan kuasa untuk pemain ini[22].

D-50 MkII / D-7

Selepas model asal D-50/D5 dipasarkan, banyak pengeluar mengeluarkan pemain audio CD mudah alih mereka sendiri, di mana mereka memperkenalkan ciri-ciri yang tidak terdapat pada model D-50. Pada tahun 1986, Sony melancarkan model D-50 MkII, iaitu model yang dinaiktaraf berdasarkan model D-50 terdahulu. Model ini juga merupakan model pertama yang menggunakan jenama "Discman"[24]. Di beberapa pasaran seperti di Singapura, model ini dipasarkan dengan nama "Sony Discman 2"[17].

Ciri utama yang terdapat pada model ini ialah terdapat pek bateri terbina yang diletakkan di bahagian bawah peranti[24]. Selain itu, ketebalan kerangka model ini juga lebih nipis berbanding model terdahulu serta lebih ringan. Sony menggunakan komponen penukar analog-digital 16-bit berjenis kristal yang mampu mengeluarkan bunyi yang jelas dan ketumpatan bunyi yang lebih jitu. Model ini juga dikatakan menjadi prototaip untuk pembangunan peranti Discman untuk 4 tahun berikutnya.

Model ini menawarkan tiga fungsi bagaimana cakera padat akan dimainkan dan dipaparkan menerusi paparan LCD. Fungsi pertama yang dipaparkan ialah AMS (Automatic Music Search), fungsi ini akan memainkan lagu yang terdapat dalam cakera padat secara normal iaitu dari awal sehingga lagu terakhir[25]. Fungsi kedua ialah Search, di mana pengguna boleh menggunakan butang " « " atau " » " untuk melompat dari satu lagu atau bahagian lagu ke bahagian lain[25]. Fungsi ketiga ialah RMS Mem (Random Music Search Memory), di mana pengguna boleh menetapkan susunan lagu yang disimpan dalam memori pemain ini[25].

D-Z555

Discman D-Z555 dianggap sebagai "raja Discman" atau produk Discman yang paling maju pada ketika itu[26], kerana ciri-ciri dan fungsi tambahan yang ditawarkan. Buat pertama kali, pengguna boleh melakukan tetapan kualiti audio bergrafik, fungsi mempertingkatkan bunyi bes dan pilihan bunyi keliling, menerusi paparan spektrum[27]. Model ini lebih tebal berbanding model-model lain kerana terdapat paparan skrin kedua yang diletakkan pada bukaan peranti dan beberapa butang tambahan.

Lain-lain

[sunting | sunting sumber]
Data Discman
Sony Data Discman DD-8

Sony Data Discman merupakan satu-satunya model yang dipasarkan di bawah jenama Discman yang berfungsi sebagai buku elektronik. Mula dilancarkan pada bulan September 1991 dengan nombor model DD-8, peranti ini digunakan untuk mengakses ensiklopedia[28] dan bahan rujukan digital lain yang disimpan dalam bentuk katrij yang mengandungi cakera padat[29]. Sony juga menyertakan tiga buah cakera padat termasuklah ensiklopedia dan penterjemah bahasa asing untuk pasaran Amerika Syarikat[28].

Maklumat yang dibaca dari CD-ROM akan dipaparkan menerusi paparan LCD berskala kelabu yang agak kecil. Terdapat juga papan kekunci "QWERTY" serta kekunci Yes dan No yang boleh digunakan untuk berinteraksi dengan maklumat yang dipaparkan seperti membuat carian atau membaca teks[30]. Versi awal model ini dikatakan tidak memiliki keupayaan untuk membaca cakera padat yang mengandungi audio[30]. Sony telah mengeluarkan beberapa model di bawah Data Discman sehingga tahun 2000[29].


Di media lain

[sunting | sunting sumber]

Peranti Discman membuat kemunculan dalam filem Ghostbusters: Frozen Empire menerusi babak di mana watak yang bernama Winston Zeddemore (Ernie Hudson) membawa pasukan Ghostbusters terbaru ke Pusat Penyelidikan Paranormal. Di situ, Gary Grooberson (Paul Rudd) terjumpa peranti Discman di kawasan tempat kerja Lars Pinfield (James Acaster) dan mengambil peranti itu. Gary sangat terkejut apabila peranti Discman yang diambil itu cuba menggigitnya[31]. Lars kemudian melakukan demonstrasi menggunakan alatan yang kemudian mengeluarkan hantu yang merasuk Discman itu[32].


  1. ^ a b c "SONY D-50 Discman (1984)". Wolf Architects. 11 Ogos 2022. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 Jun 2023. Dicapai pada 8 Mei 2024.
  2. ^ Lim, John (26 Mei 2017). "Remember How We Used To Listen To Music In The '90s And 2000s?". REV Media Group. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Julai 2017. Dicapai pada 8 Mei 2024.
  3. ^ "From Walkman to smartphones: How portable music has evolved". Bennett, Coleman & Co. Ltd. 18 Disember 2020. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 Februari 2024. Dicapai pada 8 Mei 2024.
  4. ^ "Boombox, Walkman, & VCR: Tech That Charmed Millennials & Faded With Time". The Economic Times. 11 Ogos 2022. Diarkibkan daripada yang asal pada 8 Mei 2024. Dicapai pada 8 Mei 2024.
  5. ^ "Chapter9 Opposed by Everyone". Sony. 11 Ogos 2022. Diarkibkan daripada yang asal pada 7 Disember 2023. Dicapai pada 8 Mei 2024.
  6. ^ a b "History of the CD: 40 years of the compact disc". BBC. 12 Mac 2019. Diarkibkan daripada yang asal pada 7 Mei 2024. Dicapai pada 13 Mei 2024.
  7. ^ Bachor, Kenneth (17 Ogos 2023). "The CD Is Dead, Long Live The CD". Remind. Diarkibkan daripada yang asal pada 9 Ogos 2023. Dicapai pada 1 Oktober 2022.
  8. ^ Gartenberg, Chaim (2 Julai 2019). "40 years ago, the Sony Walkman changed how we listen to music". The Verge. Diarkibkan daripada yang asal pada 13 Julai 2019. Dicapai pada 13 Mei 2024.
  9. ^ a b Suzuki, Miwa (11 Ogos 2019). "Hit rewind: Sony Walkman triggers nostalgia on 40th birthday". Tech Xplorer. Diarkibkan daripada yang asal pada 29 Jun 2022. Dicapai pada 13 Mei 2024.
  10. ^ "In Remembrance Of: A History of the Walkman". Complex. 24 Jun 2015. Diarkibkan daripada yang asal pada 13 Mei 2024. Dicapai pada 13 Mei 2024.
  11. ^ a b "Sound of things to come". The Straits Times. 25 Oktober 1985. m/s. 25. Dicapai pada 13 Mei 2024.
  12. ^ Berenz, Ryan (17 Ogos 2023). "What Was on the First Compact Disc Ever Produced?". Remind. Diarkibkan daripada yang asal pada 29 September 2023. Dicapai pada 13 Mei 2024.
  13. ^ a b c "Flashback Friday: The Sony Discman (1984)". Sony. 30 Disember 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 14 Januari 2012. Dicapai pada 11 Mei 2024.
  14. ^ a b "'Discman' alat menghibur yg selesa". Berita Harian. 1 November 1985. m/s. 5. Dicapai pada 13 Mei 2024.
  15. ^ a b "SONY PRODUCES ANOTHER SMALL MIRACLE WITH D-7 CD PLAYER". Chicago Tribune. 7 Mac 1986. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 Mei 2024. Dicapai pada 15 Mei 2024.
  16. ^ a b "Two compact surprises". The Straits Times. 15 Disember 1985. m/s. 19. Dicapai pada 14 Mei 2024.
  17. ^ a b "Sound choices". The Straits Times. 15 Disember 1985. m/s. 19. Dicapai pada 13 Mei 2024.
  18. ^ Chung, Jackson (3 Disember 2015). "An Interesting Look Back at Sony D-88 Discman, the World's Smallest Portable CD Player". Honekai Media. Diarkibkan daripada yang asal pada 7 Februari 2021. Dicapai pada 15 Mei 2024.
  19. ^ "The Smallest Discman ever made - is a modern-day health and safety nightmare". Techmoan. 22 November 2015. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Mac 2016. Dicapai pada 15 Mei 2024.
  20. ^ "Mini addition to Discman family". The Business Times. 11 Julai 1988. m/s. 11. Dicapai pada 14 Mei 2024.
  21. ^ a b Ha, Peter (25 Oktober 2010). "Sony Discman D-50". TIME. Diarkibkan daripada yang asal pada 21 September 2023. Dicapai pada 11 Mei 2024.
  22. ^ a b White, Paul. "Sony D50 Compact Disc Player". mu:zines. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Oktober 2020. Dicapai pada 11 Mei 2024.
  23. ^ a b Guttenberg, Steve (17 Mei 2012). "Sony D-5 Portable CD Player". Sound & Vision. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Januari 2014. Dicapai pada 11 Mei 2024.
  24. ^ a b Jarman, Tim (23 September 2019). "Sony Discman (D-50 MkII)". Hi-Fi News. Diarkibkan daripada yang asal pada 30 September 2019. Dicapai pada 11 Mei 2024.
  25. ^ a b c Gilby, Paul. "Sony D-55T Discman". mu:zines. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Mei 2022. Dicapai pada 11 Mei 2024.
  26. ^ "These old gadgets are fetching thousands of pounds online". The Telegraph. 4 Ogos 2017. Diarkibkan daripada yang asal pada 19 Ogos 2022. Dicapai pada 13 Mei 2024.
  27. ^ Jarman, Tim (4 Ogos 2023). "Sony D-Z555 CD Portable". Hi-Fi News. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Februari 2024. Dicapai pada 13 Mei 2024.
  28. ^ a b Lawinski, Jennifer (26 Oktober 2010). "Two decades of e-reader evolution ". CNN. Diarkibkan daripada yang asal pada 30 November 2022. Dicapai pada 13 Mei 2024.
  29. ^ a b Hoffelder, Nate (9 Oktober 2011). "Blast from the Past: Sony Data Discman DD-S35". The Digital Reader. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Disember 2022. Dicapai pada 13 Mei 2024.
  30. ^ a b "Sony Data Discman - DD-10EX". The Centre for Computing History. Diarkibkan daripada yang asal pada 26 Februari 2021. Dicapai pada 13 Mei 2024.
  31. ^ Ward, Sarah (21 Mac 2024). "Ghostbusters: Frozen Empire". Concrete Playground. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 Mei 2024. Dicapai pada 15 Mei 2024.
  32. ^ Anderton, Ethan (22 Mac 2024). "Ghostbusters: Frozen Empire". SlashFilm. Diarkibkan daripada yang asal pada 14 April 2024. Dicapai pada 15 Mei 2024.