[go: up one dir, main page]

Pergi ke kandungan

Blogger Boy

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Blogger Boy
GenreDrama
PenciptaLina Tan
Bernard Chauly
Rafidah Abdullah
PengarahBernard Chauly
Khoo Teng Leang
Fabian Wilfred Joseph
Dibintangi oleh
Qushairi Razali
Nas-T
Julie Woon
Lagu pembukaanEpilog Cinta oleh Kugiran Malaya
Negara asal Malaysia
BahasaBahasa Melayu, Inggeris
Bilangan musim2
Bilangan episod40 (Senarai episod)
Penerbitan
Penerbit eksekutifLee Mee Fung
Alan Tan
Lina Tan
PenerbitLina Tan
PenyuntingFarra Aizurin Zulkarnain
Wong Hui Lynn
Tempoh siaran30 minit per episod
Penyiaran
Saluran asal8TV
Siaran asal28 Mei 2009 – 8 April 2010
Pautan luar
Laman sesawang

Blogger Boy ialah sebuah siri drama terbitan Red Communications untuk saluran 8TV yang mengisahkan seorang guru tuisyen yang menyamar identitinya sebagai seorang pelukis komik yang melukis kehidupannya dalam blognya. Siri drama rekaan Lina Tan, Bernard Chauly dan Rafidah Abdullah yang terkenal kerana mengusahakan filem dan siri TV Gol & Gincu, dibintangi oleh Qushairi Razali (Qi), Nas-T dan Julie Woon, dan menampilkan lukisan-lukisan bergaya manga yang hasil Nikki Liaw.

Blogger Boy menjejaki haru-biru kehidupan Budi (Qi), seorang guru tuisyen untuk murid-murid tingkatan lima yang bertelatah nakal, yang jugas menyimpan identiti rahsia di Internet melalui blog komik. Kehidupan Budi semakin memedihkan apabila terlepas teman wanitanya Zehan ke tangan jejaka lain, tambahan pula kemunculan semula teman cintanya swaktu remaja iaitu Nina (Julie Woon), dirumitkan lagi dengan teman serumahnya Kid (Nas-T) yang memberi nasihat kepada Budi agar boleh bermesra dengan Nina, sambil cuba merebut hati Nina sendiri.

Akibat nasibnya yang tidak menentu, Budi mengakui satu-satunya teman yng boleh diharap ialah blognya dan para pembacanya. Semakin berkembang cerita komiknya, maka semakin popular blognya tetapi semakin sukar untuk Budi menyorokkan identiti sebenar dan rahsia-rahsia di kalbunya.

Budi ialah seorang pelukis berbakat yang kuat dipengaruhi gaya komik Jepun dan Korea (manga/manhwa) yang menjadi kegemarannya semenjak berusia remaja dulu. Oleh itu cara dia melukis watak-wataknya kelihatan tak tentu jantinanya. Demi melindungi identitinya semata-mata tanpa mengambil kisah bagaimana orang ramai memandang watak-wataknya, Budi memberi nama samaran B, K and N kepada watak-watak tersebut untuk mewakili diri dan kawan-kawannya. Tak disangka-sangka, karya komiknya menjadi perbualan hangat sampai para pembacanya cuba meneka jantina watak-watak tersebut.

Blogger Boy bermula tayangan di 8TV dengan musim pertama sepanjang 20 episod, setiap Khamis, jam 9.30 malam, dari 28 Mei hingga 8 Oktober 2009. Kisahnya bermula dengan kegembiraan Budi kerana berjaya menempah jawatan kosong sebagai guru tuisyen yang diketuai oleh Ms Vann, tiba-tiba terpadam oleh gelagat para pelajar kelasnya yang benar-benar di luar kawalan. Lebih perit lagi, teman cintanya ketika ini, Zehan tiba-tiba mengumumkan pertunangannya dengan lelaki lain. Lain pula nasibnya bagi teman serumahnya, Kid, yang berkerjaya sebagai pengurus penerbitan yang berijazah.

Pada suatu hari, ketika melawat Zehan yang berpakaian pengantin di tempat penggambaran, tak tersangkanya akan bertemunya dengan kawan lamanya, Nina, yang kembali dari Australia yang didiaminya selama tujuh tahun, untuk melanjutkan kerjayanya sebagai jurugambar yang ingin membuka kedai foto di tanahair. Arakian, dari situlah, kepedihan hati Budi terubat dengan cubaan memutik hubungan dengan Nina, kawan lama yang lama berkenalan sejak kecil. Walau bagaimanapun, cinta antara Budi dan Nina banyak onak durinya. Bukan sahaja Kid juga tertawan oleh Nina lalu cuba menawannya, bahkan juga Datuk Koh, bapa Nina tidak gemar anak tunggalnya itu melepaskan masa depan yang cerah bersama tunangnya di bumi kanggaru.

Tanpa mendedahkan identiti sebenar diri dan kenalan-kenalannya, Budi berkongsi kisah cintanya dengan satu negara melalui blog komiknya Blogger Boy, di mana nama mereka digantikan oleh huruf pertama masing-masing, iaitu B (Budi), N (Nina), dan K (Kid). Budi langsung tidak berkongsi rahsia ini dengan sesiapa pun, termasuk sekali Kid dan Nina. Pada suatu hari, Budi mencabar para pembacanya agar meneka jantina B, N, dan K, dengan alasan kononnya dia tidak pandai melukis perempuan; tetapi balasannya ialah anugerah ejekan "blog gay terbaik".

Lambat-laun, Budi bukan sahaja berjaya mengawal keadaan disiplin di kelas tuisyen, bahkan juga mengeratkan silaturahim bersama anak-anak didiknya sehingga dapat membantu meleraikan masalah kehidupan mereka, sambil memastikan sebaik-baiknya agar identiti rahsia Blogger Boy sentiasa selamat (memandangkan karya komiknya sentiasa dilukis pada kertas dan disimpan dalam begnya yang sentiasa dibawa ke mana sahaja).

Dugaan cinta Budi dan Nina memuncak apabila ibunya melawat Budi setelah mendengar khabar perpisahannya dengan Zehan, lalu mencadangkan agar Budi menjalinkan hubungan dengan wanita pilihan barunya, Maya. Mujurlah keterusterangan meluahkan keutuhan perasaan Budi terhadap Nina membolehkan Budi melepaskan bebanan ibunya terhadapnya untuk terpaksa berkahwin dengan Maya, seorang jururawat klinik, sehinggalah dia menerima tamparan hebat daripada kehadiran tunang Nina, James dari Australia, yang melawat bakal mertuanya yang terlantar di hospital akibat serangan jantung. Setelah dipujuk oleh Datuk Koh, akhirnya terpaksalah Budi melepaskan Nina yang dibawa balik ke Australia oleh James.

Kesinambungan Blogger Boy diteruskan di 8TV dengan musim kedua sepanjang 20 episod, juga setiap Khamis, jam 9.30 malam, mulai 12 November 2009, setelah hanya lima minggu tidak bersua. Kali ini, setelah melepaskan peluang keemasan bersama Nina, Budi berpeluang melancarkan semula perjalanan cinta dengan Maya, wanita yang disyorkan oleh ibunya itu, sejak bertemu semula di klinik. Bagaimanapun, hubungan Budi dan Maya tidak berapa memberangsangkan kerana mereka tidak sentiasa saling mempercayai, sebaliknya asyik disampuk oleh kejutan yang mengaibkan dan rahsia yang terbongkar, hinggakan pernah sekali Budi berikrar untuk kekal bujang sampai bila-bila, itupun untuk masa yang singkat sehingga perasaannya terhadap Maya pulih lagi.

Pada suatu hari, Ms Vann meminta Budi untuk mendidik anak saudaranya, Atiqah, secara sendirian di rumahnya. Atiqah berkerusi roda sejak terbabit dalam kemalangan dahsyat yang meragut nyawa ibunya (kakak Vann); sejak itu juga bapanya jarang berada di sampingnya kerana tidak sanggup melihat anaknya berkeadaan begini. Kesan trauma kecelakaan itu, pada mulanya Atiqah degil orangnya sehingga sanggup melakukan apa saja helah termasuk mencabar gurunya dengan teka-teki semata-mata untuk menjauhi diri daripada pelajaran dan dunia luar. Setelah saat hampir putus asa, akhirnya Budi dipujuk oleh Ms Vann lalu berjaya menceriakan semula Atiqah, tambahan pula mengajaknya keluar bermain bola keranjang sambil berkerusi roda bersama Maya dan Ms Vann.

Ibu Budi kembali menjenguk anaknya bersama Maya, tetapi kali ini dalam keadaan kurang sihat. Rupa-rupanya dia dimaklumkan oleh doktor akan ketumbuhan dalam otaknya, lalu meminta Maya merahsiakan hal ini dari Budi. Bagaimanapun, Atiqah dengan senyap-senyap mengetahui masalah kesihatan ibu Budi lalu mendedahkannya kepada Budi. Oleh yang demikian, Budi sekali lagi marah dengan Maya kerana tergamak menyelindungi perkara serius kesihatan ibunya ini.

Rupa-rupanya Atiqah ialah Blogger Girl, seorang pengikut setia Blogger Boy. Lebih-lebih lagi, dia sudah menduga siapa Blogger Boy sebenarnya, lalu membuat persiapan untuk menggoda Budi. Namun, setelah ditolak oleh Budi, Atiqah kembali murung lalu cuba membunuh diri dengan lemas di kolam renang; mujurlah dia sempat diselamatkan agar dapat diajar baik-baik mengenai betapa tidak bersyukurnya dirinya.

Untuk meraikan tamatnya pelajaran mereka, para murid tuisyen Budi menganjurkan parti penghargaan untuk guru tercinta mereka di rumahnya sendiri. Ketika tengah berparti, Budi dikejutkan oleh Zehan yang memaklumkan perceraiannya lalu meluahkan hasratnya untuk bercinta semula seperti dahulu. Perkara ini menyebabkan Budi tertanya-tanya sama ada dia harus menerimanya kembali, berdasarkan 'petunjuk-petunjuk' yang nyata semakin mengaburi mindanya kepadanya baik tidur mahupun berjaga. Apalagi, pada masa yang sama, Budi berusaha mengumpul dana untuk pembedahan ibunya.

Setelah ditawarkan pembiayaan untuk pembedahan ibunya oleh Zehan, Budi semakin yakin untuk bercinta semula dengan perempuan yang melepaskannya secara mengejut untuk mengejar harta benda lelaki lain dahulu itu, tetapi semakin rapat dirinya dengan Zehan, semakin hebat Budi dicelarui oleh "alamat-alamat", baik dalam mimpi mahupun dalam sedar, yang kononnya harus menunjukkan jalan mana yang harus ditujuinya, dan wanita mana yang wajar dipilihnya. Keadaan bertambah rumit apabila Nina kembali ke Malaysia untuk mengangkut barang-barang yang ditinggalkannya di rumah Budi, lalu terdengar khabar Budi bercinta kembali dengan Zehan yang menyebabkannya terasa berang.

Setelah gagal memujuk Budi sendiri agar menolak Zehan dan wang pembedahan yang ditawarkannya untuk ibunya, Nina berkomplot dengan Kid dan Maya untuk meleraikan hubungan Budi dan Zehan secara senyap-senyap mahupun terang-terangan. Kebetulan pula Kid tercari-cari peserta dan pengarah untuk rancangan permainan akan datang, maka dia mencadangkan agar ketiga-tiga wanita beradu dalam rancangan permainan itu untuk menentukan siapa yang memenangi hati Budi kelak. Malang sekali, rancangan tersebut tidak menjadi, dan keputusan muktamadnya tak lain tak bukan di tangan Budi sendiri.

# Tajuk Tarikh penyiaran
1"Ku Katakan Dengan Indah"28 Mei 2009 (2009-05-28)
Pada suatu hari bertarikh 14 Februari, Budi akhirnya mendapat kerja di pusat tuisyen, tetapi sayangnya kerja di sana perit kerana gelagat para pelajarnya yang kurang berminat untuk belajar. Malang lagi, setelah dua tahun bersama, Budi mendapati teman wanitanya Zehan sudah bertunang dan hendak kahwin. Zehan turut menjemput Budi ke sesi fotografi bersama pasangannya, dan di situlah Budi berjumpa semula dengan Nina.
2"Masa Lalu Tertinggal"4 Jun 2009 (2009-06-04)
Setelah tujuh tahun berpisah, Budi bersua lagi dengan Nina yang kini bekerja sebagai jurugambar. Mereka berdua meluangkan masa di kedai makan, berkongsi cerita masing-masing sehingga diusik oleh anak-anak didik kals tuisyen Budi yang kebetulan berkumpul di sana. Sementara itu, Kid berusaha mendapatkan teman serumah yang baru untuk mengaut sewa, sehinggalah Budi hendak menempah bilik untuk Nina.
3"Perasaan Ini"11 Jun 2009 (2009-06-11)
Budi mula sangsi bahawa Kid semakin merapatkan dirinya dengan Nina. Kid memujuk Budi agar bertemankan seorang wanita lain yang diaturkan oleh Kid apabila mereka berempat pergi berkaraoke, tetapi Budi masih mampu mendekati Nina. Ketika mengemas rumahnya pada hari keesokan, Budi menemui sepucuk surat yang dibatal oleh Nina.
4"Yang Tertulis Untukku"18 Jun 2009 (2009-06-18)
Budi cuba membongkar apa yang dipadam dari surat Nina, sambil menghadapi masalah dua orang pelajar iaitu Shauki dan Najwa yang hendak menukar kelas tuisyen. Sementara itu, Nina bersemuka dengan bapanya, Datuk Koh, dengan perasaan pahit masam. Kid membantu Budi membaiki surat itupun macam tikus membaiki labu.
5"Bicara Hati"25 Jun 2009 (2009-06-25)
Setelah risau akan tindakan Kid menyerahkan surat lama itu kepada Nina, Budi terpaksa berbincang bersama Nina mengenai kandungannya, nampaknya Nina sudah lupa apa yang ditulisnya. Kemudian, Budi bertemu dengan Shauki dan Najwa mengenai hubungannya dengan Nina. Selepas itu, mereka bertemu dengan bapa Nina (keluarga Budi dan Nina pernah berkenalan sewaktu tinggal di Ipoh belasan tahun yang lalu).
6"Tanggapanmu"2 Julai 2009 (2009-07-02)
Kid mengetahui rahsia Budi sebagai pelukis komik, dan mendapati komiknya berunsur homoseksual kerana semua watak-wataknya berupa lelaki lembut. Oleh itu, Budi mencabar para pembaca blognya untuk meneka jantina watak-watak B, K dan N. Sementara itu, Budi membenarkan Nina menggunakan rumahnya sebagai tempat penggambaran untuk majalah buat sementara, tetapi Nina terasa jengkel apabila bapanya datang untuk menjenguknya, lebih-lebih lagi apabila modelnya kelihatan sukar memberi kerjasama.
7"Penjara Jiwa"9 Julai 2009 (2009-07-09)
Budi tersinggung apabila melihat blognya diberi anugerah "Best Gay Blog" oleh pengguna Internet yang lain. Dia menyimpan karya-karya komik akan datang dalam begnya yang dibawa ke kelas tuisyen, tetapi beberapa helai muka surat tercicir di sana. Mujurlah adanya pelajar bernama Andrew yang menjumpainya dan bersumpah agar menyimpan rahsia Budi. Sementara itu, Nina dan Kid terkunci dalam rumah Budi gara-gara terlupa membawa kunci ke mari. Sementara menunggu Budi pulang, mereka meneroka blog Budi dengan komputer riba Nina.
8"Keliru"16 Julai 2009 (2009-07-16)
Budi membenarkan Andrew menumpang di rumahnya selama seminggu. Budi mengetahui bahawa Andrew sebenarnya diusir dari rumah sendiri setelah ibu bapanya mendapati dia menyimpan bahan lucah. Lambat-laun Budi semakin berasa tidak senang duduk dengan kehadiran Andrew yang suka bermalas di rumahnya. Nina memujuk Andrew agar cuba berbaik semula dengan orang tuanya, tetapi dia tetap amat dibenci oleh ayahnya.
9"Aku Punya Kamu"23 Julai 2009 (2009-07-23)
Keresahan Kid terhadap kehadiran Andrew di sisi Budi tak habis-habis. Ketika mengemas bilik, Budi menemui gambar lama keluarga Andrew dalam timbunan pakaian kotor di atas katilnya, lalu mengimbaskan gambar tersebut ke dalam komputernya untuk dimuatkan dalam blognya untuk membantu sesiapa yang boleh menjaga Andrew. Hasilnya, dijumpainya seorang wanita bernama Jules Teng yang merupakan ibu saudara kepada Andrew.
10"Haru Biru"30 Julai 2009 (2009-07-30)
Setelah terjumpa komen Nina dalam blognya, Budi mengehadkan capaian blognya kepada pembaca-pembaca yang dijemput sahaja. Apapun, Budi tetap melawat pameran seperti yang dijemput oleh Nina dalam blog itu, sambil menyorok identiti sebenar Blogger Boy. Tiba-tiba Budi terpaksa melayan seorang wanita tak dikenali yang mengaku dirinya kenal Budi – kesan daripada satu lagi gelagat nakal Kid! Apabila wanita itu berjaya dikejar oleh bekas temannya yang berwajah samseng ke rumah Budi, barulah Budi hendak mengajar Kid. Sementara itu, Nina terjatuh ketika melawan peragut dan kehilangan kameranya.
11"Demi Dia"06 Ogos 2009 (2009-08-06)
Budi dan Kid berusaha mencari balik kamera Nina yang dicuri. Mereka meminta bantuan seorang kawan yang mungkin mengenali pencurinya, dari rumah ke rumah penatnya mereka mencari sehingga mereka menemuinya di sebuah rumah, tetapi Budi terpaksa berlawan dengan penghuni melalui permainan video untuk mendapatkan semula hasil penggambaran yang amat penting kepada kerjaya Nina.
12"Jika Diberikanku Satu Peluang"13 Ogos 2009 (2009-08-13)
Zehan melawat Budi sekali lagi walaupun sudah berkahwin dan menjadi kaya-raya, maka menimbulkan rasa sangsi Nina. Rupa-rupanya Zehan berkahwin dengan suaminya semata-mata untuk membantu menunaikan hajat ibu mertua (di samping mengejar kemewahan), namun hatinya masih pada Budi. Nina tidak senang hati dengan perangai Zehan itu lalu cuba mengajarnya.
13"Jawab Tanya Aku"20 Ogos 2009 (2009-08-20)
Ibu Budi datang melawat anaknya, betapa kecewanya mendengar khabar Zehan yang disangkanya jodoh Budi sudah berkahwin dengan orang lain. Budi menjemput para pelajar tuisyen ke rumah untuk belajar, tiba-tiba ada yang perlu menggunakan tandas kerana sakit perut. Seorang pelajar mencuri masuk bilik tidur Budi dan menjumpai gambar lama Budi dan Zehan, sehingga ditangkap dan ditegur oleh Nina. Zehan terpaksa berpisah dengan Budi, dan memesan Budi agar tidak bercinta dengan wanita sepertinya.
14"Kekasih Baru"27 Ogos 2009 (2009-08-27)
Budi dan Kid meraikan penyembuhan kaki Nina dengan berparti. Tak sudah-sudah kecewa dengan Zehan, ibu Budi membuat kunjungan mengejut untuk memperkenalkan seorang teman wanita baru bernama Maya. Budi perlu pergi ke rumah Maya untuk melihat wajah teman terbarunya buat kali pertama, dan membawanya bermakan malam di restoran.
15"Hujan Jadi Saksi"3 September 2009 (2009-09-03)
Maya terkenang kepedihan bersama kekasih lama, jadi Budi dan kawan-kawan perlu menceriakannya semula agar Maya lupa peristiwa lalu. Budi terus dipusu oleh ibunya agar cepat bernikah dengan Maya. Walaupun begitu, Budi tidak sampai hati meneruskan hubungan dengan Maya, kerana Nina masih dalam hatinya.
16"Berdua Lebih Baik"10 September 2009 (2009-09-10)
Mus meminta bantuan Budi untuk membantunya menarik perhatian gadis idaman. Datuk Koh rasa rimas tertanya-tanya adakah Nina mengasihi orang lain. Sebagai tanda membalas lima helai catatan kasih yang ditinggalkan di merata rumah Budi, Budi menghiburkan Nina dengan nyanyian beriringan gitar melalui telefon. Tiba-tiba Nina digemparkan berita bapanya diserang sakit jantung.
17"Siapa Dia Sebelum Daku"17 September 2009 (2009-09-17)
Sementara Kid memulakan kelas asmara untuk tiga orang pelajar, Budi terpaksa bergegas ke hospital untuk menjenguk Datuk Koh, mujurlah dia selamat menjalani pembedahan. Datuk Koh memesan Budi agar Nina tidak berdekatan dengan mana-mana lelaki lain, kerana dia sudah ditetapkan tunangnya. Datuk Koh turut mendedahkan rahsia mengenai ibu kandung Nina. Ada seorang tetamu istimewa datang secara mengejut untuk menjenguk Datuk Koh.
18"Tiada Ertinya"24 September 2009 (2009-09-24)
Budi diperkenalkan kepada James, tunang Nina dari Australia di luar pengetahuannya. Memang renyuk hatinya apabila baru mengetahui hal ini, tetapi lambat-laun Budi menyedari bahawa hubungan Nina dengan James renggang selama ini. Sementara itu, Kid terus mengajar dan menasihati tiga orang pelajar Budi cara untuk memikat kekasih. Datuk Koh menyedari hubungan Budi dengan Nina dan memujuk Budi agar menjauhinya kerana tidak serasi dengan Nina. James yang hampa dan mabuk menaiki teksi ke hospital yang menempatkan Datuk Koh, selepas itu rebah di pangkuan Budi yang kebetulan baru keluar dari situ.
19"Sama Antara Sesama"1 Oktober 2009 (2009-10-01)
Budi membawa pulang James yang mabuk untuk bermalam di rumahnya. James, Budi dan Kid berkongsi kisah cinta yang pahit. Pada hari keesokannya, Nina datang ke rumah Budi untuk mengakui kesilapan tidak berterus terang pasal pertunangannya, lalu terserempak dengan James. James menyalahkan Nina kerana tidak berterus terang dengan James mengenai masalah hubungan antara mereka.
20"Sudah"8 Oktober 2009 (2009-10-08)
Budi tidak sanggup bersemuka dengan Nina kerana sukar menerima layanan Nina terhadap James semata-mata untuk menerima cinta Budi. Selepas melancarkan pameran "Two Worlds/Dua Dunia" yang meraikan perhubungan Nina dengan "Blogger Boy", Nina menyerahkan pesanan kepada Kid di luar galeri untuk dibaca oleh Budi sendiri yang turut mengunjungi pameran. Alang-alang membaca surat itu, Budi terkial-kial mengejar Nina yang berlepas pulang ke Melbourne.
# Tajuk Tarikh penyiaran
21"Kembali"12 November 2009 (2009-11-12)
Budi memberhentikan blognya setelah berpecah dari Nina, menyebabkan para pengikutnya hampa. Di kelas tuisyen yang dihadiri seorang sahaja (iaitu Najwa) gara-gara hari keesokannya ujian percubaan, dia diminta tolong untuk mencari pen kesayangannya. Bersusah-payah dari hulu ke hilir semata-mata demi pen yang sama jenama dengan pen yang dihilangkan oleh Najwa itu, apatah lagi setiap kali dihalau kerana terbuat kekacauan, akhirnya nasib malang seharinya berakhir apabila dibawa oleh Dato' Koh ke klinik, di mana dia bertemu semula dengan Maya dan akhirnya mendapat pen yang dicari-carinya, lantas terasa hendak kembali melukis untuk blognya.
22"Berhenti Berharap"19 November 2009 (2009-11-19)
Ketika keluar bersama Maya di restoran, Budi dikejutkan oleh Zehan yang berlakon sebagai wanita hamil yang teresak-esak dan menuduh Budi membuntingkannya gara-gara hubungan lalu, menyebabkan Maya menampar muka Budi lalu keluar dari restoran dengan marah bercampur kecewa sekali. Lebih-lebih lagi, Budi teringat Maya menceritakan kisah kekecewaan cinta dahulu, maka dia pun bergegas untuk mencari Maya untuk memberi penjelasan. Akan tetapi, sebaik sahaja menemui Maya, dia digemparkan dengan kenyataan tengkingan Maya bahawa dia "sudah ada teman lelaki."
23"Permulaan Baru"26 November 2009 (2009-11-26)
Budi bersumpah agar tidak lagi berteman wanita, lalu mencari lelaki sahaja sebagai teman sebilik baru. Setelah menerima Rafiq, Budi dan Kid menyangka tepat sekali teman mereka, sehingga Rafiq menggemparkan mereka berdua dengan membawa masuk seluruh keluarganya (ibunya dan sepuluh adik-beradik) pindah masuk ke rumah Budi. Cubaan demi cubaan mereka menghalau Rafiq sekeluarga dari terus memporak-perandakan keadaan, akhirnya Budi meminta bantuan Maya untuk menakutkan orang-orang yang tidak patut diundang dari mula lagi dengan kemahirannya sebagai jururawat.
24"Yang Indah, Hanya Sementara"3 Disember 2009 (2009-12-03)
Budi dan Maya terjumpa seekor arnab terbiar di jalanan, lalu mengambil keputusan untuk membelanya di rumah Budi. Maya memberikan nama Albab kepada arnab itu. Sayangnya, Budi alah kepada bulu arnab, jadi selalu bersin apabila dekat dengan Albab. Kid tidak gemar arnab di rumah, jadi dia cuba menjualnya. Rupa-rupanya Albab sudah ada pemiliknya, jadi terpaksalah Budi menemukan haiwan itu dengan tuannya semula.
25"Seribu Penipuan"10 Disember 2009 (2009-12-10)
Budi tertanya-tanya di mana teman lelaki Maya, tetapi rupa-rupanya Maya mana ada teman lelaki. Oleh itu, dia meminta bantuan seorang pelakon untuk menyamar sebagai teman lelaki Maya, tetapi perangainya yang ala samseng jalanan menimbulkan keraguan Budi. Setelah rahsia "teman lelaki" Maya terbongkar, Kid mendedahkan sampukan dari wanita hamil tempoh hari adalah didalanginya.
26"Tiada Rahsia Lagi"17 Disember 2009 (2009-12-17)
Walaupun menyedari ibunya pasti kecewa, Budi bertekad untuk menjauhi perempuan buat masa ini. Tetapi setelah bertemu dengan Datuk Koh lalu digesa agar menjauhi Nina, Budi terpaksa membuktikan bahawa dia memang berbuat demikian dengan bergegas ke arah Maya dan menjalin hubungannya semula untuk ditunjukkan kepada Datuk Koh. Pada masa yang sama, Nina kembali ke tanah air secara mengejut setelah menguraikan hubungannya dari James, tetapi akhirnya kecewa setelah menyedari hubungan Budi dengan Maya.
27"Manis"7 Januari 2010 (2010-01-07)
Kid kehilangan sebungkus busana mahal yang diperlukan oleh syarikatnya, gara-gara diperdaya oleh seorang pengemis. Setelah tergopoh-gapah mencari busana ganti atau memikirkan jalan untuk mendapatkan balik busana itu, Kid akhirnya mendapatkan bantuan daripada seorang wanita kaya yang jauh lebih tua daripadanya, dengan syarat dia menyertai sebuah parti pada suatu malam bersama seorang teman. Pada malam itu, Kid membawa Budi bersama ke parti itu, tetapi setelah memerhati nada perbualan wanita-wanita tersebut, Budi meminta agar berhenti di stesen minyak dan menarik Kid sama keluar dari kereta untuk melarikan diri atas alasan bahawa wanita-wanita tersebut ingin melakukan hubungan seks terhadap mereka.
28"Esok Masih Ada"14 Januari 2010 (2010-01-14)
Budi diminta oleh Vann agar mengajar anak saudaranya, Atiqah yang bermurung di atas kerusi roda akibat kemalangan yang meragut nyawa ibunya (kakak Vann). Yang susahnya, Atiqah tidak berdisiplin dan sukar diajar walaupun ramai guru tuisyen lain yang mencubanya. Agar dapat mengajarnya, Budi perlu menjawab tiga teka-teki rumit yang diberi oleh Atiqah. Tetapi, sebaik sahaja menjawab teka-teki terakhir di kawasan pintu pagar, Budi dikunci keluar oleh Atiqah yang masih berdegil. Pada keesokan harinya, Budi ke rumah Atiqah lagi lalu terjumpa lukisan komik sebelum diusir oleh Atiqah dengan mengacu-acu pisau.
29"Di Tempatku"21 Januari 2010 (2010-01-21)
Walaupun berputus asa sekejap, namun Budi sekali lagi cuba mengajar Atiqah kerana hanya dialah yang diyakini oleh Ms Vann untuk terdaya mengajarnya. Sebagai tanda memahami apa yang dilalui Atiqah yang berkerusi roda, Budi mengajak Maya, Atiqah dan Ms Vann untuk bersama-sama bermain bola keranjang berkerusi roda, dengan syarat jika Atiqah menang, tidak perlulah dia menerima tuisyen istimewa Budi lagi. Atiqah berjaya memenangi perlawanan, tetapi meminta Budi agar terus mengajarnya pula.
30"Sebenarnya"28 Januari 2010 (2010-01-28)
Ibu Budi datang berziarah lagi walaupun mengalami pening kepala, dan teruja rasanya apabila diberitahu oleh Kid bahawa Budi akhirnya bercinta dengan Maya. Untuk merawat peningnya, dia dibawa ke klinik (tempat kerja Maya) untuk diperiksa, tetapi setelah menjalani pemeriksaan onkologi, didapati bahawa ibu Budi mengalami ketumbuhan dalam otak. Oleh itu, dia memesan Maya agar tidak mendedahkan perihal kesihatannya kepada Budi.
31"Niat"4 Februari 2010 (2010-02-04)
Ibu Budi menyuruh anaknya agar berkahwin dengan Maya secepat mungkin, sambil menyerahkan seutas cincin untuk dipakai oleh Maya. Ketika makan di luar bersama Budi dan Atiqah, Maya menerima panggilan dari ibu Budi untuk membawanya untuk diperiksa lagi. Maya ke bilik air untuk berbual, tanpa menyedari dirinya diperhati oleh Atiqah. Pada hari keesokannya, Atiqah membongkarkan perihal kesihatan ibu Budi kepada Budi sendiri, lalu Budi naik berang dan memutuskan hubungan dari Maya sekali lagi kerana berahsia pasal kesihatan ibunya.
32"Jatuh"11 Februari 2010 (2010-02-11)
Budi sebagai Blogger Boy semakin rapat dengan seorang peminat setia komiknya yang bergelar "Blogger Girl", sehingga Blogger Girl mendedikasi komik lukisan sendiri kepadanya sebagai membalas masukan blog yang menceritakan perihal kesihatan ibunya. Akhirnya tiba harinya, Budi sekali lagi ke rumah Atiqah untuk mengajarnya, semata-mata untuk menyedari bahawa Blogger Girl sebenarnya ialah Atiqah yang sudah tidak lama mengetahui identiti sebenar Blogger Boy, dengan hajat untuk menggoda Budi setelah melalui masalah cinta dengan tiga orang wanita; tetapi dengan terjerih-jerih Budi sempat mencabut dari biliknya.
33"Bernafas dalam Air"18 Februari 2010 (2010-02-18)
Setelah gagal menawan hati gurunya, Atiqah cuba melemaskan diri, tetapi berjaya diselamatkan oleh Budi dengan panduan CPR oleh Maya melalui telefon, lalu dimasukkan ke hospital. Sekali lagi Budi hilang azam untuk terus mengajar Maya, namun Cik Vann tetap memujuknya agar meneruskan perjuangan. Pada hari keesokannya, Budi dijemput oleh Vann untuk menziarahi Atiqah lagi tetapi diusir pula oleh muridnya itu yang meracau. Kebetulan pula tuan punya arnab bernama Albab, iaitu Lily, dihantar ke hospital yang sama untuk dibedah jantungnya, di mana dia menceritakan kepada Budi dan Maya mengenai kanak-kanak mangsa dera di wad bersebelahan, dengan burung kertas origami sebagai tanda hajatnya agar budak itu sembuh. Setelah gagal memujuk Atiqah untuk mengajar kanak-kanak melukis di hospital demi menenangkan dirinya, Maya memarahi sikap Atiqah yang tidak bersyukur, berbaur perasaan kesal akan pemergian mangsa dera tersebut.
34"Main-Main Cinta"25 Februari 2010 (2010-02-25)
Seorang kekasih lama Kid, Zal, menyedari bahawa Kid seorang kaki perempuan yang sukar bertahan lama hubungannya dengan setiap satu wanita yang pernah ditemankannya. Oleh itu, Zal merancang untuk mengajar Kid dengan mengajaknya keluar berdating bersama dua teman lelaki lamanya, datang ke rumahnya pada malam buta semata-mata untuk dimarahi bapa Zal, dan bermain paintball bersama Budi, untuk melawan dua lagi perempuan yang pernah didustai oleh Kid suatu ketika dahulu.
35"In Fair Verona"4 Mac 2010 (2010-03-04)
Untuk meraikan kesudahan pelajaran mereka, murid-murid tuisyen Budi, dengan bantuan Kid dan ibu Budi, mengadakan parti di rumah Budi sebagai penghargaan untuk guru mereka. Zehan juga menghadiri paerti ini sebagai kesempatan untuk memberitahu Budi mengenai perceraiannya setelah pemergian ibu mertuanya. Ibu Budi tetap berseronok sakan walaupun masih menderita dengan ketumbuhan dalam otaknya. Selepas parti, Budi menyuarakan janji agar mampu mengumpul dana yang mencukupi untuk membedah penyakit ibunya.
36"Jodoh"11 Mac 2010 (2010-03-11)
Saat Budi semakin yakin untuk memberi peluang kedua kepada Zehan, dia mengalami beberapa 'petunjuk' yang membuatnya ragu-ragu lagi. Mimpi pertama, dia berakad nikah dengan Kid! Setelah terdengar cerita mimpi itu, Kid membawa Budi untuk menjumpai seorang bomoh, tetapi tidak berhasil kerana rupa-rupanya bomoh itu penipu. Selepas itu, penerimaan TV budi disampuk oleh sekotak cincin di belakang palam kabel peti TV. Mimpi kedua, dia diminta pergi ke sebuah kedai makan, dan di situlah dia pergi untuk terserempak dengan kelibat Nina, tetapi tidak berpeluang untuk berbual pula. Mimpi ketiga, Budi sudah berumah tangga bersama Zehan. Kelirunya rasa Budi.
37"Pancing Ikan"18 Mac 2010 (2010-03-18)
Walaupun dapat bertemu semula dengan Nina, Budi tetap menaruh hatinya kepada Zehan. Teringatkan taktik untuk memikatnya dahulu, Budi sekali lagi menanam cincin dalam pencuci mulut sebagai kejutan untuk Zehan. Tetapi kejutan tidak menjadi kerana mereka berdua keracunan makanan gara-gara udang yang sudah lepas tarikh luputnya. Selepas itu, Budi dan Zehan ke restoran, kehadiran Shah, bekas suami Zehan secara kebetulan menyebabkan Zehan tiba-tiba berkelakuan pelik. Pada hari keesokannya, Budi dan Zehan berpiknik, dan inilah peluangnya untuk Budi melamar; malangnya mereka diganggu oleh kegiatan menyembur racun serangga. Sementara itu, Nina pulang ke Malaysia untuk mengumpul barang-barang yang tertinggal di rumah Budi, sambil menyangka bahawa Budi masih bercinta dengan Maya, sehinggalah dia diberitahu oleh Kid.
38"Tiga"25 Mac 2010 (2010-03-25)
Nina tidak senang hati dengan kenyataan bahawa Budi akan mengahwini Zehan kerana percaya bahawa Budi bukannya mencintai Zehan, sebaliknya hanya berhutang budi kepada Zehan yang menawarkan bayaran perubatan ibunya. Jadi, dia merancang untuk menggagalkan rancangan pernikahan Budi dan Zehan dengan melibatkan sekali Kid dan juga Maya. Nina cuba memujuk Budi agar tidak menerima wang Zehan untuk pembedahan ibu Budi, tetapi ini hanya menekankan lagi Budi untuk cepat berkahwin. Sementara itu, Kid menghadapi kesulitan menjayakan rancangan permainan terbaru setelah gagal berunding dengan pengarah serta tidak dapat dihubungi peserta berpotensi kerana tersilap tulis alamat e-melnya.
39"Dua"1 April 2010 (2010-04-01)
Makan malam Budi dan Zehan disampuk oleh kedatangan Nina bersama Maya secara mengejut. Zehan sudah menduga Nina merancang untuk merosakkan rancangan perkahwinannya dengan Budi. Untuk meredakan kecelaruan minda kerana tiga wanita ini, Budi merancang untuk balik kampung bersama ibu untuk merehatkan minda buat seketika. Kid yang berada dalam kesulitan besar kerana gagal mencari pengarah dan peserta rancangan permainan dalam masa terdekat, akhirnya mencari jalan apabila menawarkan diri kepada majikannya sebagai pengarah serta memujuk Zehan, Nina dan Maya agar menjadi tiga peserta rancangan berkenaan.
40"Satu"8 April 2010 (2010-04-08)
Demi cinta Budi, Zehan, Nina dan Maya berentap dalam permainan Best Woman Wins di Sunway Lagoon, dengan Kid sebagai pengarah yang memastikan mereka bertiga bermain baik-baik dan tidak mengungkitkan nama Budi ketika dirakam. Sementara itu, Budi ketika ini berada di kampung untuk menemani ibu dan menziarahi kubur bapanya. Budi tertidur di tepi kubur ayah dan termimpi simpang tiga jalan yang melambangkan tiga wanita yang harus dipilih salah seorangnya dalam perjalanan cinta, dengan bantuan seorang tua berbasikal. Setelah rancangan permainan Kid bertukar huru-hara dan tidak menjadi, Budi kembali ke bandar untuk membuat keputusan muktamadnya.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]