Atap nipah
Atap nipah merupakan sejenis atap sesuatu binaan yang diperbuat daripada daun nipah. Kediaman atap nipah boleh didapati di kampung-kampung di Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura. Hingga kurun kesembilan belas, bangunan-bangunan awam yang penting seperti kuil turut dibina menggunakan cara ini. Kediaman atap nipah telah digunakan sebagai ilham untuk sistem bersifat rentas pengalihan udara untuk Newtown Suites, oleh WOHA Architects, Singapura.
Pada asasnya atap nipah terdiri daripada "tulang" atau dikenali sebagai "bengkawan", yang diperbuat daripada buluh yang diraut ataupun kayu kecil yang dilipat daun nipah bagi membentuk seperti sayap dan dijahit dengan menggunakan rotan ataupun kulit pokok bemban untuk mengikatnya. Pada masa kini, kerana sukar untuk mendapatkan bahan tersebut tali plastik atau nilon digunakan bagi menyemat atap.
Setiap atap nipah biasanya mempunyai panjang kira-kira 1.5 meter hingga 1.8 meter dan daunnya perlu dilipat agar sama panjang untuk mencantikkan atap yang dihasilkan. Seorang pembuat atap yang mahir mampu menghasilkan sebanyak 80 hingga 90 keping atap sehari kerana kerja membuatnya memerlukan pemerhatian yang rapi. Bagi menambahkan ketahanan daun nipah yang akan dijadikan atap, daun nipah perlu direndam di dalam air sungai selama sekurang-kurangnya satu hingga dua minggu sebelum disusun untuk dijadikan atap.
Atap nipah yang dibuat menggunakan hanya selapis daun digelar atap kudi / "kelarai", sementara atap yang diperbuat daripada dua lapis daun dikenali sebagai atap pakai / "mata ketam". Atap mata ketam adalah lebih tebal dan tahan daripada atap kudi, tetapi harganya adalah lebih tinggi.
Penggunaannya
[sunting | sunting sumber]Atap nipah merupakan bahan atap yang paling meluas digunakan pada binaan tradisional di Malaysia pada masa dahulu.[1] Atap ini agak cepat rosak dan perlu diganti setiap 10 - 15 tahun sekali. Bagaimanapun bagi kerosakan kecil, cuma kepingan atap yang rosak perlu diganti dengan cara disisip antara kepingan yang rosak. Selain daun nipah, daun rumbia juga turut digunakan bagi menghasilkan atap rumbia.
Pada era 1950 - 1970-an istilah atap nipah atau rumbia membawa erti orang miskin, yang dapat dilihat dalam buku berjudul Atap Genting Atap Rumbia.[2]
Kelebihan
[sunting | sunting sumber]Atap nipah memiliki kelebihan kerana ia lebih sejuk kerana ia tidak menyimpan haba sebagaimana atap genting.[3] Tetapi ia perlu ditukar setiap tiga hingga lima tahun sekali, bagi atap nipah yang tidak diproses. Bagaimanapun harganya yang rendah mengurangakn kos penggantiannya. Bagi atap daripada daun nipah yang direndam pula mampu bertahan antara enam hingga lapan tahun. Atap daripada daun nipah yang direndam juga lebih mudah disusun kerana lebih lembut dan tidak mudah patah apabila dilipat.