[go: up one dir, main page]

Sutera ([su.tĕ.ra]) merupakan gentian protein semulajadi yang sesetengah jenisnya boleh ditenun menjadi tekstil. Jenis sutera yang paling dikenali adalah sutera yang diperoleh daripada kepompong yang dihasilkan larva ulat sutera kertau (Bombyx mori) yang diternak (serikultur). Rupa berkilauan yang menjadi punca tarikan sutera didatangkan oleh struktur seakan-akan prisma segitiga dalam gentian yang membolehkan kain sutera membias cahaya yang menembusinya di pelbagai sudut.

Empat jenis rama-rama ulat sutera ternakan yang terpenting, Meyers Konversations-Lexikon (1885-1892)
Pakaian sutera.

"Sutera liar" dihasilkan oleh beluncas selain ulat sutera kertau dan tidak boleh diternak. Pelbagai sutera liar dikenali dan digunakan di China, Asia Selatan, dan Eropah sejak zaman silam, cuma penghasilannya sentiasa jauh lebih kecil berbanding sutera ternakan. Sutera liar berbeza dari sutera ternakan dari segi warna dan tekstur, dan kepompong-kepompong liar yang dikumpul selalunya sudah dirosakkan oleh rama-rama yang keluar sebelum dikumpuk, maka benang sutera yang membentuk kepompong itu sudah terputus menjadi pendek. Ulat sutera ternakan pula dibunuh dengan dicelup ke dalam air mendidih sebelum keluarnya rama-rama dewasa, atau dicucuk dengan jarum, membolehkan seluruh kepompong terungkai menjadi sehelai benang yang tak terputus. Ini membolehkan sutera ditenun menjadi kain yang lebih kuat. Sutera liar pula selalunya lebih sukar dicelup warna berbanding sutera ternakan.

Adanya bukti sejarah yang menunjukkan bahawa sutera liar sedang diusahakan secara kecil-kecilan di kawasan Mediterranean dan Timur Tengah ketika sutera ternakan yang lebih kuat mula diimport dari China(Hill 2003, Appendix C). Di Terengganu, seawal 1764 ulat sutera generasi kedua diimport untuk penghasilan benang sutera. [1]

Sutera juga dihasilkan oleh beberapa jenis serangga lain, namun cuma jenis sutera larva rama-rama yang digunakan bagi tujuan pengilangan tekstil. Pernah juga dijalankan kajian terhadap sutera-sutera lain yang menampakkan kelainan dari aspek molekul. Sutera dihasilkan terutamanya oleh larva serangga yang bermetamorfosis lengkap, tetapi juga dihasilkan oleh beberapa serangga dewasa seperti Embioptera. Penghasilan sutera juga kerap diperhati khususnya pada serangga order Hymenoptera (lebah, tebuan, dan semut), dan adakalanya digunakan untuk membina sarang. Jenis-jenis artropod yang lain juga menghasilkan sutera, terutamanya araknid seperti labah-labah.

Etimologi

sunting

Perkataan "sutera" dalam bahasa Melayu berasal daripada perkataan Sanskrit iaitu sutra, yang membawa erti dan makna yang sama.

Rujukan

sunting


Pautan luar

sunting