[go: up one dir, main page]

Pertempuran Sungai Kalka

Pertempuran Sungai Kalka (Bahasa Ukraine: Битва на річці Калка, Rusia: Битва на реке Калке) merupakan pertempuran yang tercetus antara Empayar Mongol dan kerajaan-kerajaan Rusia termasuklah Kiev, Galich dan Cuman. Tentera campuran ini dipimpin oleh Mstislav Mstislavich dan Mstislav III manakala angkatan Mongol pula diketuai oleh Jebe dan Subutai. Pertempuran ini berlaku pada 31 Mei 1223 di tebing Sungai Kalka yang kini terletak di Oblast Donetsk, Ukraine. Pertempuran ini berakhir dengan kemenangan muktamad Mongol.

Pertempuran Sungai Kalka
Sebahagian daripada serangan Mongol ke atas Rus' Kiev

Pemanah berkuda Mongol
Tarikh31 Mei 1223
Lokasi
Sungai Kalka, Ukraine
47°15′03″N 37°29′44″E / 47.25083°N 37.49556°E / 47.25083; 37.49556
Keputusan Kemenangan muktamad Mongol
Pihak yang terlibat
Empayar Mongol Kerajaan Kiev
Kerajaan Galicia-Volhynia
Kerajaan Chernigov
Kerajaan Smolensk
Cuman
Komandan dan pemimpin
Jebe
Subutai
Mstislav Mstislavich
Mstislav III # Dihukum mati
Daniel (WIA)
Mstislav II Svyatoslavich 
Khan Koten
Kekuatan
20,000–23,000 tentera[1] 15,000–80,000[2][3][4][5][6]
Kerugian dan korban
Tidak diketahui (kemungkinan sedikit) Kira-kira 90% daripada tentera campuran terkorban[7]

Latar belakang

sunting

Selepas panglima Mongol, Jebe dan Subutai bersama dengan 20,000 tenteranya gagal untuk mengejar Shah Muhammad II, mereka menghabiskan waktu musim sejuk pada tahun 1220 di Iran dan Azerbaijan. Penceroboh Mongol telah menyerang dan menyerbu kota-kota untuk menghalang tentera Khawrezm dari arah barat bertindak menolong Jalaluddin di timur. Pada titik ini, Mongol telah menggunakan idea mereka untuk melakukan satu pengintaian yang paling berani dalam sejarah.

 
Laluan ekspedisi Jebe dan Subutai dapat dilihat di bahagian kiri peta

Pada tahun 1221, tentera Mongol menceroboh Georgia dan mereka telah merampas barangan berharga dan bekalan-bekalan di kawasan luar bandar. Setelah melihat tanah Georgia telah dijarah oleh penceroboh asing, Raja George IV telah bertindak mengumpulkan satu angkatan tentera terdiri daripada ramai kesateria yang telah mengangkat sumpah untuk menyertai Perang Salib Kelima. Dalam pertempuran yang tercetus di Sagimi, Subutai membuat satu helah dengan mengarahkan pasukannya untuk berpura-pura berundur sekali gus mereka berjaya mengumpan tentera berkuda ringan Georgia bertindak untuk meninggalkan infantrinya. Akhirnya, pasukan Subutai melancarkan serangan balas dengan mengepung tentera musuh sebelum mereka semua dibunuh beramai-ramai.

Tentera Mongol seterusnya bergerak ke Iran dan Azerbaijan untuk merompak dan menjarah lebih banyak kota. Kemudian dalam beberapa bulan, Georgia diserang oleh Subutai sekali lagi. Raja George IV berhasrat untuk menghentikan kemaraan penceroboh Mongol berhampiran Tbilisi tetapi tentera Georgia tertewas dalam pertembungan tersebut. Pertempuran ini telah melemahkan kerajaan Georgia sekali gus membolehkan tentera Mongol meneruskan kemaraan melalui Pergunungan Caucasus.

Subutai terus memimpin pasukannya meredah kawasan pergunungan walaupun semasa musim sejuk. Hal ini menyebabkan pasukannya mengalami kecederaan yang berat dan keletihan. Setelah mereka menuruni kawasan pergunungan, tentera Mongol bertemu dengan angkatan tentera gabungan terdiri daripada suku Lezgin, Alan, Kipchak dan Volga Bulgaria. Tentera gabungan tersebut memiliki kekuatan seramai 50,000 orang tentera. Pada mulanya, tentera Mongol melancarkan asakan tetapi berjaya dipatahkan oleh tentera gabungan. Tentera gabungan tersebut merancang untuk terus bertahan dan menunggu sementara mengharapkan tentera Mongol akan mati akibat kebuluran. Kekurangan bekalan serta kegagalan untuk mengatasi musuhnya, Subutai secara rahsianya telah merasuah suku Kipchak yang merupakan sukuan majoriti dalam tentera gabungan tersebut. Subutai telah merasuah suku tersebut untuk menjadi satu sekutu dengannya. Dalam kepekatan malam, suku Kipchak berangkat pulang meninggalkan tentera gabungan mereka. Subutai dengan pantasnya mengambil peluang ini untuk melancarkan serangan ke atas saki baki tentera gabungan sekali gus mengalahkan musuhnya dengan serta merta. Walau bagaimanapun, beliau tidak berhenti di situ. Subutai mengarahkan tentera berkudanya yang pantas untuk mengejar suku Kipchak yang sedang berada dalam perjalanan pulang. Mereka berjaya mengejar dan membunuh suku Kipchak tersebut yang bergerak perlahan kerana sibuk mengangkut dan memikul harta-harta berharga yang diperoleh mereka dalam satu perjanjian rahsia dengan Subutai sebelum ini. Selepas itu, tentera Mongol menuju ke sebuah kota yang kaya dan mewah, Astrakhan yang terletak di Sungai Volga sebelum kota itu dibakar.

Di tanah yang asing bagi mereka, tentera Mongol terus menjarah dan merompak kawasan-kawasan luar bandar untuk mendapatkan bekalan serta barang berharga. Kemudian, Subutai dan Jebe kini berpecah kepada dua pasukan. Jebe mara menuju ke Sungai Dnieper manakala Subutai pula bergerak ke selatan iaitu Crimea. Subutai telah mengadakan satu pakatan dengan pedagang Venice yang mana beliau berjanji untuk menghapuskan mana-mana kumpulan atau masyarakat selain daripada Venice di kawasan tersebut. Sebaliknya, Subutai menyerang dan membakar kota Soldaia. Sebagai balasan, pedagang Venice di situ mendedahkan kerajaan-kerajaan yang ada di Eropah pada masa itu kepada pihak Mongol.

Sementara itu, suku Kipchak yang terselamat daripada serangan mengejut Mongol telah berjaya melarikan diri dan menemui putera Rus' untuk menceritakan keadaan buruk melanda mereka. Pada masa itu, kawasan moden Rusia dan Ukraine telah diperintah oleh beberapa kerajaan kecil Rus'. Semua kerajaan tersebut kemudiannya bergabung untuk membentuk satu pakatan bagi menentang Mongol. Dengan tambahan suku Kipchak, pakatan ini memiliki kekuatan tentera campuran sebanyak kira-kira 60,000 orang yang kebanyakannya terdiri daripada kavalri. Tentera Mongol juga menggabungkan tenteranya iaitu antara pasukan Subutai dan Jebe. Pihak Mongol seterusnya menghantar utusan kepada Putera Rus' untuk memberitahu dan mengingatkan mereka supaya berundur daripada pertempuran ini kerana pertempuran ini hanya melibatkan antara Mongol dan suku Kipchak sahaja. Namun, putera itu telah bertindak membunuh utusan Mongol tersebut.

Pertempuran

sunting

Gerakan awal

sunting

Tentera gabungan bertembung dengan tentera Mongol berhampiran dengan tebing Sungai Dnieper dan mereka cuba untuk mengepung tentera Mongol di situ. Subutai telah mengorbankan pengawal-pengawalnya di belakang seramai 1,000 orang manakala tentera yang lain menyeberangi sungai itu untuk berundur ke arah timur. Orang-orang Rusia berbincang bagaimana mereka mahu menang dalam pertempuran ini. Beberapa orang menggesa untuk mengejar tentera Mongol yang lain manakala yang lain menggesa untuk terus bertahan di situ. Akan tetapi angkara sifat dendam suku Kipchak yang ingin menyerang tentera Mongol, lalu putera-putera Rus' mengambil keputusan untuk mengejar bala tentera Mongol.

Setiap putera ini bergerak secara berasingan daripada yang lain. Tentera Mongol terus berundur selama sembilan hari dan setelah tentera gabungan ini semakin hampir, gerombolan Mongol menggunakan taktik tembak dan lari dengan meninggalkan harta rampasan, banduan dan bekalan kononnya untuk memberi gambaran kepada orang Rusia supaya berfikir mereka sedang menang. Namun, ia sebenarnya merupakan satu helah dan perangkap yang diatur oleh tentera Mongol. Pada akhir hari kesembilan, kesateria-kesateria Kipchak mara ke hadapan terlalu jauh demi membalas dendam ke atas Mongol. Kesateria Kipchak telah memberikan tentangan yang hebat ke atas tentera Mongol dan ia memaksa Subutai mengarahkan pasukannya supaya berundur dan menyeberangi Sungai Kalka yang kecil.

Strategi Mongol

sunting

Suku Kipchak dilihat mendahului tentera-tentera Rus' yang jauh ketinggalan di belakang untuk membolehkan mereka menghampiri tentera Mongol. Subutai seterusnya bertindak menyusun bala tenteranya. Beliau telah menghantar kavalri beratnya menyerang Kipchak ke arah depan manakala pemanah berkudanya menyerang tentera Rus' untuk memperlahankan gerakan musuh. Bersama dihujani anak panah, kavalri berat Mongol menyerang satu demi satu tentera Rus' yang terpisah antara satu sama lain dengan momentum yang tinggi. Tentera Rus yang tidak terbunuh dalam asakan kavalri berat Mongol ini akan menghadapi serangan hujan anak panah. Medan perang menjadi huru-hara di sungai itu.

Tentera Rus' yang lebih tersusun telah dipimpin oleh Mstislav III yang sebelum ini telah menyuarakan pendapat untuk mengambil langkah berhati-hati. Beliau telah menyusun 10 ribu orang tentera termasuk tentera Rus' yang melarikan diri daripada medan perang menentang Mongol. Kereta bagasi telah disusun untuk mewujudkan satu bulatan benteng di tanah yang tinggi sebagai isyarat untuk tentera yang melarikan diri. Kemudian, tentera Mongol telah mengepung kawasan ini. Di sini, Mstislav terus bertahan selama tiga hari sambil dihujani oleh serangan anak panah dan bom asap oleh penyerang Mongol. Mereka tidak memiliki bekalan air dan terpaksa memilih untuk menyerah kalah secara aman seperti apa yang ditawarkan Mongol. Sejurus mereka keluar dari benteng itu, mereka telah diserang. Tentera Rus' dikepung dari segenap arah kecuali terdapat satu celahan kecil yang sengaja dibuka untuk memberi peluang kepada mereka untuk melarikan diri. Subutai telah mewujudkan muslihatnya dengan lebih gemar menyerang kumpulan-kumpulan kecil oleh pemanah berkudanya yang lebih pantas dengan menyerang tentera musuh yang sedang melarikan diri satu demi satu.

 
Orang Mongol sedang berpesta setelah berakhirnya pertempuran Kalka

Hanya satu daripada sepuluh orang yang berjaya menyelamatkan diri daripada maut dan tangkapan Mongol. Malangnya bagi Mstislav III dan bangsawan Rus' yang lain. Mereka semua telah diikat dan diletakkan di bawah papan kayu. Papan kayu tersebut telah digunakan untuk orang Mongol meraikan pesta sambil bangsawan Rus' dilenyekkan di bawahnya. Subutai kemudian beralih ke arah lain di tepi Laut Kaspia dan beliau telah mengalahkan banyak lagi suku Kipchak dan Volga Bulgaria dalam perjalanan pulangnya ke Mongolia. Walaupun Mongol tidak menakluk mana-mana tanah baru dalam ekspedisi ini, mereka telah mendapat ilmu baru tentang landskap, orang dan tentera di Eropah.

Selepas mereka menjalankan satu siri rompakan yang dahsyat, Subutai tidak menghabiskan masanya untuk berehat. Malah, beliau diberikan satu misi baru iaitu menghukum kerajaan Xia Xia kerana tidak memberikan sumbangan kepada kempen ketenteraan Mongol. Kerajaan tersebut jatuh dalam jangka masa yang singkat manakala maharajanya telah dibunuh. Walau bagaimanapun sebelum serangan itu bermula, Genghis Khan terjatuh dari tunggangan kudanya dan bahunya tercedera. Kemudian, beliau mengalami demam panas dan diarahkan untuk kembali ke Mongol supaya berehat tetapi Khan Agung itu menolak dan tidak berputus asa. Xia Xia menjadi kerajaan pertama dan terakhir yang telah ditawan oleh Genghis. Pada 18 Ogos 1227 semasa berusia 66 tahun, Genghis Khan telah meninggal dunia.

Catatan

sunting
  1. ^ de Hartog, Genghis Khan: Conqueror of the World, p. 118.
  2. ^ name="John Fennell pp. 66-8"
  3. ^ D.G. Khrustalev. Rus and the Mongol invasion (20 - 50's of XIII century). - SPb: Eurasia, 2013. - pp. 85–86
  4. ^ Khrustalev, p. 416
  5. ^ Sverdrup, p. 206
  6. ^ Spencer C. Tucker. A Global Chronology of Conflict: From the Ancient World to the Modern Middle East. - 23.12.2009. - pp. 426
  7. ^ The Novgorod First Chronicle, diterjemahkan oleh R. Michell dan N. Forbes, London 1914.

Bacaan lanjutan

sunting
  • Golitsin, N.S., Russian military history, St. Petersburg, 1877, Vol. 4, Part I, pp. 107–09. (Rusia: Голицын Н.С. Русская военная история. –СПб., 1877. –4.1. – С. 107–09.)
  • Chronicle tales of Tatar-Mongol invasion/Military tales of Ancient Rus, Moscow, 1985, pp. 70–95 (Rusia: Летописные повести о татаро-монгольском нашествии // Воинские повести Древней Руси. – М., 1985. С. 70–95.)