Antaramasa
Antaramasa (juga ditulis sebagai Antara Masa) ialah sebuah filem cereka sains Malaysia 2021 arahan bersama Amir Rashid Othman dan Ramdan Che Hassan. Dibintangi oleh Josiah Hogan, Kaka Azraff, Adam Shah dan Tania Hudson, filem ini ditayangkan pada 1 Julai 2021 di Astro First.[1] Ia berkisarkan mengenai seorang pemuda yang menggunakan mesin masa yang dicipta kembali ke masa silam supaya dapat memulihkan kembali hubungannya dengan kekasihnya.[2][3][4]
Antaramasa | |
---|---|
Pengarah |
|
Penulis | Ramdan Che Hassan |
Dihasilkan oleh |
|
Dibintangi | |
Sinematografi | Ramli Long |
Disunting oleh | Amir Rashid Othman |
Muzik oleh |
|
Syarikat penerbitan | Lux Ambiance Productions |
Tarikh tayangan | 1 Julai 2021 (Malaysia) |
Masa tayangan | 90 minit |
Negara | Malaysia |
Bahasa | Melayu |
Sinopsis
suntingMengisahkan Asri, seorang sarjana dalam bidang sains fizik telah membina sebuah mesin tenaga abadi, iaitu mesin yang tidak akan habis menjana tenaga tanpa menggunakan bahan mentah. Keadaan jadi menarik apabila mesin ciptaanya itu juga mampu membawa Asri kembali ke masa lalu. Kemudian, dia menggunakan mesinnya itu beberapa kali untuk kembali ke masa lalu bagi memulihkan hubungannya dengan kekasihnya iaitu Malisa.
Setiap kali Asri kembali ke masa lalu, setiap langkah dilakukan untuk mengubah nasibnya, Asri mengubah sejarah hidup bukan saja untuk dirinya tetapi untuk seluruh garis masa alam yang sentiasa menghalang cintanya. Tanpa disedari, Asri telah mencipta sebuah paradoks masa dan dunianya sudah berubah. Persoalannya, adakah Asri mengubah garis masanya sendiri ataupun adakah semuanya takdir?
Pelakon
sunting- Josiah Hogan sebagai Asri
- Kaka Azraff sebagai Malisa
- Adam Shah sebagai Tauhid
- Tania Hudson sebagai Zahra
- Indi Nadarajah sebagai Profesor Ramesh
- Riezman Khuzaimi sebagai Dato' Farouk
- Aleeza Kasim sebagai Profesor Tina
- Aziz M. Osman sebagai Profesor Amir
- Adam Corrie Lee sebagai Michael
- Iskandar Zulkarnain sebagai Johan
- Jobot Maheran sebagai Ketua Bodyguard
Penerbitan
suntingMenurut penerbit, Umair Mohamed, idea untuk penerbitan filem ini timbul kerana minat mendalam terhadap genre cereka sains.[5] Tajuk asal filem ini ialah Paradox, namun ditukar kepada Antaramasa. Konsep rentas masa digunakan sebagai tema untuk filem.[6] Proses pembikinan filem ini berdepan dengan cabaran sejak peringkat awal, termasuk penulisan skrip filem ini yang mengambil masa 3 bulan untuk disiapkan.[3][7]
Untuk filem ini, pengarahnya, Ramdan Che Hassan memetik beberapa filem cereka sains termasuk XX Ray, Oblivion dan The Butterfly Effect sebagai inspirasi. Beliau juga mendapat persetujuan daripada Aziz M. Osman dan berjaya menghubungi Aleeza Kasim yang menetap di Belanda. Ramdan turut mengkaji banyak teori fizik kuantum dan teori serta merujuk banyak sumber berkaitan teori pengembaraan masa.[3][7]
Menurutnya, ia penting bagi mencari teori sesuai untuk dijadikan landasan dan peraturan. Penggambaran mengambil masa selama 24 hari di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan pada 2014. Sepanjang penggambaran, keadaan cuaca tidak menentua apabila hujan lebat hampir setiap hari di semua lokasi penggambaran. Sebanyak 45% adegan dalam Antaramasa menggunakan imej janaan komputer (CGI) dengan belanjawan besar untuk membina set.[3][7][8]
Josiah Hogan yang memegang watak sebagai Asri mengakui ada rumusan untuk buat sebuah filem cereka sains. Beliau berkata dalam satu temubual bersama Utusan Malaysia: "Antaramasa mengajar saya banyak perkara juga dan rupa-rupanya tak mudah ya sebab naskhah ini memerlukan saya banyak menghafal dialog selain bermain dengan aspek teknikal berat". Filem ini menandakan kali pertama Josiah membintangi filem sci-fi.[9]
Keluaran dan sambutan
suntingAntaramasa ditayangkan pada 8 Julai 2021 di Astro First.[10][11][12] Tayangan filem ini pernah ditunda sebanyak beberapa kali bermula 2018, ia kemudian dianjak pada 2019, namun berdepan masalah tarikh tayangan di pawagam. Penangguhan tayangan berterusan kepada 2020 apabila seluruh dunia diuji oleh pandemik COVID-19 sehingga pawagam terpaksa ditutup.[3][7]
Rujukan
sunting- ^ Heidi Hsia (30 Jun 2021). ""Antaramasa" brings back time-travel theme" ["Antaramasa" membawa kembali tema rentas masa] (dalam bahasa Inggeris). Cinema Online. Dicapai pada 16 Ogos 2021.
- ^ Aqmar Mustaza (29 Jun 2021). "Antaramasa: Angkat kisah pengembaraan masa dan cinta". Utusan Malaysia. Dicapai pada 8 Ogos 2021.
- ^ a b c d e Zaidi Mohamad (2 Julai 2021). "Antara Masa bukan sekuel XX-Ray". Berita Harian. Dicapai pada 8 Ogos 2021.
- ^ "Antaramasa papar kisah mengubah garis masa demi mempertahankan cinta terhadap kekasih". Kopiplanet. 30 Jun 2021. Dicapai pada 8 Ogos 2021.
- ^ "Pengembaraan masa demi cinta Antaramasa". Kosmo!. 5 Julai 2021. Dicapai pada 8 Ogos 2021.
- ^ Budiey (29 Jun 2021). "Berkonsepkan rentas masa, filem Antaramasa lakonan Josiah Hogan ditayangkan di Astro First". Sensasi Selebriti. Dicapai pada 8 Ogos 2021.
- ^ a b c d Asraf Aided (30 Jun 2021). "Antaramasa tampilkan kisah seorang pemuda mengubah garis masa demi cinta". Astro Gempak. Dicapai pada 8 Ogos 2021.
- ^ "Filem Antaramasa bakal membawa penonton merentas masa demi cinta". Oi Jom. 30 Jun 2021. Dicapai pada 8 Ogos 2021.
- ^ Siti Athirah Dzulkifly (1 Julai 2021). "Saya ada formula buat filem sains fiksyen - Josiah Hogan". Utusan Malaysia. Dicapai pada 8 Ogos 2021.
- ^ "Filem sci-fi tempatan Antaramasa akan tiba di Astro First 1 Julai ini". Kakimuvee. 1 Julai 2021. Dicapai pada 8 Ogos 2021.
- ^ "Filem tempatan Antaramasa mengetengahkan tema 'time travel'". Sembang Filem. 1 Julai 2021. Dicapai pada 8 Ogos 2021.
- ^ "Naskhah sains fiksyen Antaramasa temui penonton mulai esok!". Utusan TV. 30 Jun 2021. Dicapai pada 8 Ogos 2021.