[go: up one dir, main page]

Anjing pemburu Tirol

baka anjing dari Austria

Anjing pemburu Tirol[a] ialah satu baka anjing yang berasal dari Tirol. Ia merupakan anjing pemburu bau yang diturunkan daripada anjing pemburu Celt pada lewat tahun 1800-an, terutamanya untuk kemahiran perburuannya. Ia anjing rajin, ghairah, dan berdikari yang bukan dikenali kerana saiznya tetapi kerana kecerdasannya. Atas sebab itu, para pemburu dapat kerap menggunakan anjing ini untuk menangkap buruan mereka, cedera ataupun sebaliknya. Kemampuannya untuk mencapai jarak jauh, di rupa bumi mencabar yang panas mahupun sejuk kerana mangsanya juga merupakan lagi satu kelebihan anjing ini. Para pemburu masih perlu risau tentang kecederaan terhadap anjing, walau bagaimanapun, serta kecederaan umum yang diperoleh oleh anjing ini sepanjang hidupnya, seperti displasia pinggul atau jangkitan telinga. Selain sebarang kecederaan, anjing ini cenderung hidup dengan bertenaga selama kira-kira 12–14 tahun, dan cenderung kekal sebagai anjing sihat dan tegap secara keseluruhan.

Anjing pemburu Tirol
Seekor anjing pemburu Tirol
Negara asalAustria
Anjing (Canis lupus familiaris)

Perihal dan sejarah

sunting

Anjing pemburu Tirol ialah baka anjing pemburu yang pada asalnya dikembangkan pada tahun 1800-an daripada anjing pemburu Jerman dan anjing pemburu Celt. Ia pertama kali dibiakbakakan di Tirol sebagai anjing yang teradaptasi terhadap perburuan di persekitaran bersalji.[1] Maharaja Maximilian I menggunakan anjing pemburu ini untuk memburu kelinci dan rubah dan untuk menjejak buruan tercedera. Pembiakbakaan bermula pada tahun 1860, dan kemudian, pada tahun 1896, piawaian pembiakbakaan pertama diterbitkan. Ikutan itu tidak lama kemudian, anjing pemburu Tirol diiktiraf sebagai baka tersendiri pada tahun 1908. Hanya mulai tahun 2006, anjing pemburu Tirol diiktiraf oleh United Kennel Club.[2]

Seperti anjing daripada baka anjing pemburu bau yang rajin, anjing pemburu Tirol dibiakbakakan untuk kemampuan perburuannya. Baka ini terkenal kerana kemampuan cemerlangnya dalam olah geraknya melalui kawasan pergunungan atau hutan tebal, dan kerana kemampuan penghiduannya yang mengagumkan. Semua ini terhasil melalui saiz anjing pemburu Tirol. Ia cenderung menjadi anjing bersaiz sederhana hingga besar dengan ukuran tinggi sekitar 18.5–24 inci (47–61 cm) dan dengan ukuran berat sekitar 35–60 paun (16–27 kg) untuk yang jantan. Betinanya pula cenderung lebih kecil secara fizikal, hanya tumbuh sehingga setinggi sekitar 16.5–19 inci (42–48 cm). Walau bagaimanapun, kedua-dua jantan dan betina mempunyai garis rangka halus dan elok dan cenderung agak berotot. Anjing pemburu Tirol, sama ada jantan atau betina, mempunyai lapis bulu ganda tebal, dengan lapis bawah kasar. Ia juga cenderung memiliki tiga warna utama, iaitu merah, hitam, dan sawo matang dengan tompok-tompok campuran putih antara warna-warna tersebut.[2]

Rincian tubuh

sunting

Kepala

sunting

Kepala anjing pemburu Tirol agak lebar dengan sedikit lengkung di tengah-tengah. Lengkung ini berterusan sehingga muncung anjing yang dalam dan lurus dan tamat sama ada di hidung hitam atau perang; yang hitam lebih diingini.

Gigi anjing pemburu Tirol patut beruang dan kekurangan sebatang atau dua batang geraham kecil sepatutnya normal. Di sebelah atas muncung, matanya tidak terletak terlalu dalam, dan cenderung berwarna perang gelap, besar, dan bulat. Yang terletak di sebelah atas mata pula ialah kelopak mata ketiga yang patut berpigmen dan bingkai matanya patut sepadan. Di sebelah atas mata, anjing pemburu bersaiz sederhana ini mempunyai telinga rata lebar yang terletak tinggi di kepala dengan hujung membulat. Telinganya malah dapat mencapai hujung hidung apabila ditarik ke arah hadapan.[3][4]

Tubuhnya padat dan berbentuk segi empat tepat. Ia mempunyai lapis bulu ganda tebal termasuk lapis bawah kasar. Ada dua warna utama, merah dan hitam dengan sedikit sawo matang, kedua-duanya mungkin mempunyai tanda-tanda putih. Ia mempunyai gaya jalan pantas dan dapat digunakan sama ada untuk penjejakan atau perburuan.[1] Ia mempunyai dada dalam yang sederhana lebar dengan dada hadapan berotot. Tulang belikatnya dan lengan atasnya mencondong dan membentuk sudut hampir tegak. Kelasanya jelas dan krupnya menyerong dengan lembut ke bawah. Tungkai hadapannya lurus dengan tulang sederhana, sementara tungkai belakangnya cukup berbulu, lebar, dan berotot. Akhir sekali, ekornya terletak tinggi di belakang dengan lekukan saber. Ekornya terangkat tinggi-tinggi apabila anjing teruja dan patut berbulu dengan bulu tebal.[3]

Perangai

sunting

Seperti banyak anjing pekerja, anjing pemburu Tirol sangatlah aktif, mesra, dan bersemangat bebas. Ini merupakan anjing yang sangat cerdas dan oleh sebab itu, ia cenderung sangat berdikari. Biarpun ia boleh menjadi degil dari masa ke masa, ia dapat dilatih dengan mudah. Oleh sebab ini, anjing ini sesuai menjadi anjing peliharaan hebat untuk keluarga, lebih sesuai dengan laman luas atau capaian mudah ke lapangan terbuka.[3]

Walaupun anjing ini dapat memiliki saat berdikari dan dapat bertingkah laku kurang elok, para pemburu kerap menghargai kemampuan anjing ini untuk berburu sendirian dan mengikuti buruan sepanjang jarak besar. Ia sangat dihormati kerana kebolehannya untuk berburu dalam cuaca panas mahupun sejuk dan hampir di semua rupa bumi. Ia memilik gaya jalan pantas yang meliputi tanah dan berdaya tahan, yang sesuai untuk pemburu ghairah yang pantas dan cekap. Anjing ini, yang waspada dan bersemangat, walaupun berhati-hati dengan orang asing, dapat menjadi pemburu segala mampu serta anjing peliharaan hebat yang kekal di rumah, hampir seakan-akan ada kebolehan untuk "memetik suis" dan pulang untuk berehat. Sementara kekurangan agresinya membataskan kemampuannya sebagai anjing penjaga, ia masih memiliki salakan lantang untuk memberikan amaran kepada sesiapa yang kurang menyenangkan, lalu menjadikan anjing ini anjing penjaga hebat.[2][3]

Kesihatan

sunting

Sebuah kajian Jerman yang menganalisis kepelbagaian genetik bagi anjing pemburu bau gunung Bavaria, anjing pemburu bau Hanover, dan anjing pemburu Tirol mendapati bahawa anjing pemburu Tirol mempunyai paras tertinggi bagi pembiakbakaan dalam: pekali pembiakbakaan dalam merupakan 4.5%, 6.8%, dan 9.5% masing-masing dan kadar pembiakbakaan dalam bagi setiap generasi merupakan 0.69%, 0.98%, dan 1.88% masing-masing. Saiz populasi berkesan ialah 26.5 untuk anjing pemburu Tirol.[5]

Lihat juga

sunting

Catatan

sunting
  1. ^ Jawi: انجيڠ ڤمبورو تيرول; Jerman: Tiroler Bracke; bahasa Inggeris: Tyrolean hound

Rujukan

sunting
  1. ^ a b Pugnetti, Gino (1980). Schuler, Elizabeth Meriwether (penyunting). Simon & Schuster's Guide to Dogs [Panduan Simon & Schuster untuk Anjing] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Simon & Schuster. m/s. 139. ISBN 9780671255268. OCLC 6200215.
  2. ^ a b c "Tyrolean Hound Dog Breed Information and Pictures - PetGuide" [Maklumat Baka Anjing dan Gambar Anjing Pemburu Tirol - PetGuide]. PetGuide (dalam bahasa Inggeris). 14 Februari 2018. Dicapai pada 21 Disember 2023.
  3. ^ a b c d "Breed Standards : Tyrolean Hound" [Piawaian Baka: Anjing Pemburu Tirol]. United Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 21 Disember 2023.
  4. ^ "Tyrolean Hound – Photos, Characteristics, Information" [Anjing Pemburu Tirol – Foto, Ciri, Maklumat]. Royal Canin. Dicapai pada 21 Disember 2023.
  5. ^ Voges, S.; Distl, Ottmar (16 September 2009). "Inbreeding trends and pedigree analysis of Bavarian mountain hounds, Hanoverian hounds and Tyrolean hounds" [Trend pembiakbakaan dalam dan analisis pedigri bagi anjing pemburu bau gunung Bavaria, anjing pemburu bau Hanover, dan anjing pemburu Tirol]. Journal of Animal Breeding and Genetics (dalam bahasa Inggeris). Wiley. 126 (5): 357–365. doi:10.1111/j.1439-0388.2009.00800.x. ISSN 1439-0388. PMID 19765162. S2CID 20820229.